Wednesday, June 27, 2012

AZREE MAHU PERMUDAHKAN MATEMATIK, GABUNGKAN UNSUR TEMPATAN...

Azree mahu menjadikan matematik mudah difahami, digemari rakyat Terengganu.
Felo Penyelidik Matematik Gunaan di University Cambridge, Azree Shahrel Ahmad Nazri, berkata kepakarannya dalam bidang matematik diharap boleh membantu menarik minat lebih ramai rakyat Malaysia dan Terengganu meminati bidang itu.

Beliau berharap rakyat Terengganu khususnya, bukan sahaja akan menggemari matematik tetapi paling penting ia menjadi sesuatu yang mudah difahami.

Menurut beliau, sebenarnya elemen matematik sudah hadir dalam kehidupan masyarakat di Pantai Timur dengan memberikan contoh bagaimana di Pasar Payang, Kuala Terengganu,  ada peniaga menggunakan unit iaitu 3 amah bagi RM1.50.

Ini membuktikan elemen matematik sudah meresap di dalam budaya setempat, tegasnya.

“Saya harap suatu hari nanti dapat saya memudahkan matematik ke tahap yang dapat difahami oleh rakyat Terengganu dengan menggabungkan unsur-unsur tempatan,” katanya menjawab soalan saya melalui e-mail.

Blog teganuku, yang memetik laporan Berita Harian 19 Jun lalu menyebut Azree Shahrel, Tutor Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai felo penyelidik bidang matematik gunaan di Universiti Cambridge, United Kingdom.


Pelantikan di Trinity College itu adalah hasil pencapaian beliau yang menakjubkan sepanjang sesi pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang matematik di universiti terkemuka dunia berkenaan sejak 2008.

Anak muda kelahiran Terengganu berusia 32 tahun itu adalah tutor Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM.

Azree yang berasal dari Batu Rakit Terengganu berkata impian beliau adalah membantu anak-anak yatim di Malaysia untuk membuat 'social mobility'.

“Saya mungkin tidak dapat memberi sumbangan dari segi kewangan tetapi dari segi ilmu. Bagi saya hanya ilmu dapat membuat anjakan sosial kepada anak-anak yatim ini…” katanya.

Ditanya mengenai pengkhususnya, felo penyelidikan berusia mengatakan matematik adalah bidang universal. “Tanpa matematik mungkin banyak teknologi terkini tidak dapat dijumpai.

Bidang ini boleh membawa saya ke mana sahaja di mana memerlukan kepakaran kuantitatif,” katanya.

Pensyarah kanan Universiti Cambridge Universiti Cambridge, Dr Pietro Lio’ dalam surat sokongannya kepada UPM menyifatkan Azree sebagai pelajar berbakat.

Kebolehan Azree yang menjalani latihan berkembar di makmal biologi dan molekular serta sistem biologi statistik sebagai jarang berlaku di Universiti Cambridge, kata beliau.

“Seingat saya tiada pelajar Cambridge berbuat demikian. Saya amat terkejut dengan kebolehannya yang boleh menggabungkan ilmu statistik dengan bioinformatik untuk menyelesaikan persoalan biologikal yang rumit,” katanya.

Beliau juga berkata, jawatan itu hanya ditawarkan kepada penyelidik yang berkebolehan serta bijak dan sebagai penyelidik, Azree boleh menumpukan penyelidikan dalam bidang matematik gunaan tanpa beban mengajar, seterusnya memulakan kariernya ke peringkat lebih tinggi.

Ditanya apakah yang akan beliau beliau lakukan selepas ini, Azree mrngatakan beliau akan terus menumpukan kepada penyelidikan.

Azree turut menasihati rakan pelajar agar sentiasa menghargai kehidupan dan kewarasan. Menurutnya hidup hanya sekali dan sewajarnya tidak dipersiakan kehidupan yang dianugerah Allah.

“Sering ditanya kenapa bukan beragama Islam selalu berjaya berbanding orang Islam itu sendiri. Sebenarnya Allah itu Maha Adil.

 “ Orang bukan Islam suka berusaha bersungguh sungguh. Oleh itu Allah membalas usaha mereka didunia dengan kejayaan, “ katanya. Beliau turut menasihati orang muda, khususnya pelajar agar menghormati orang tua dan guru. Paling penting menurutnya, sentiasa merendah diri kepada sesiapa sahaja.

“Manusia ini dinamik. Jika kita menyombong hanya kepada seorang manusia, kita mungkin tidak mengetahui suatu hari nanti orang tersebut akan menjadi orang yang lebih berjaya daripada kita,” tegasnya.


 Bersambung esok

No comments:

Post a Comment