Sunday, January 1, 2012

ANWAR PUNYA ISU MORAL, TIDAK LAYAK JADI PM

Sah sudah kalau mengikut Raja Petra Kamarudin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibarhim punyai isu moral dan tidak mampu mentadbir Malaysia.

Hakikatnya hanya PKR yang memerlukan Anwar sedangkan DAP dan PAS tidak akan mengharapkan pemimpin itu lagi sekiranya pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Ertinya, pilihan raya umum ke 13 ini adalah hidup mati Anwar. Ini belum pasti dengan keputusan mahkamah 9 Januari ini.

Selain mempunyai isu moral, Anwar juga tidak mampu menjadi penasihat ekonomi negeri Selangor, apatah lagi untuk mentadbir negara.

Bagi Raja Petra, Anwar bukan lagi satu pilihan kepada rakyat Malaysia kerana Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memang tidak layak.

Terkejut mendengar apa yang diperkatakan oleh Raja Petra seperti dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, yang disiarkan hari ini.

Raja Petra mendedahkan Anwar berbohong apabila menyatakan tidak mengenali Datuk Eskay Shazryl Abdullah sedangkan tiga tahun lalu ketua pembangkang itu pernah menghubunginya untuk membantu membersihkan nama Eskay.

Mengenai gay, Raja Petra yang merujuk kepada Anwar berkata, jika anda nak jadi gay, teruskanlah. “Anda tak boleh jadi pemimpin dan gay sekali gus. Di Australia, anda boleh.”

Sebaliknya, di Malaysia seseorang kena pilih. “Kalau nak jadi Perdana Menteri dan gay sekali gus, sudah tentu di Malaysia tak boleh.”

Baca temubual Raja Petra dengan Mingguan Malaysia untuk seterusnya di sini.

DR HASAN DEDAHKAN PEMBOHONGAN, WAJAH SEBENAR PAS…

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Kunci mulut.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib pula berkata, PAS perlu melihat angkara siapa yang sebenarnya yang menjadi punca permulaan yang menyebabkan kontroversi antara bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa yang dikatakan menentang konsep Negara Berkebajikan selepas diperkenalkan PAS pada muktamar lalu.

Tak kanlah dalam isu seperti orang UMNO yang mahu dipersalahkan. Atau media yang proUMNO dan proKerajaan Barisan Nasional (BN) mahu dipersalahkan!

Laporan menyebut Mursyidul Am PAS itu mengambil sikap berdiam diri terhadap kenyataan Dr Hasan yang menafikan laporan media rasmi Pas, Harakahdaily bahawa beliau meminta maaf semasa bertemu dengan Nik Aziz di Kelantan Selasa lepas.

Nik Aziz ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di Dataran Ilmu kelmarin enggan mengulas sebaliknya segera berlalu meninggalkan pentas ceramah sejurus diajukan soalan berkenaan.

Sikap Nik Aziz itu dikatakan mahu mengendurkan persengketaan pemimpin PAS yang sebelum ini saling tuduh menuduh sekali gus menjejaskan momentum parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 13 (PRU13).

Ketika ini, apa yang dibimbangi banyak pihak dalam PAS, kemelut ini akan menjejaskan peluang PAS pada pilihan raya nanti. PAS bimbang kemelut akan menyebabkan prestasinya menurun dan ini akan menjejaskan ‘desakan’ sekiranya kerajaan Pusat dapat dibentuk Pakatan Rakyat.

Di peringkat Parlimen dan DUN pula, kemelut akan menjejaskan PAS untuk kerusi Parlimen Bachok, malah PAS Kelantan sudah lepas tangan apabila mengatakan pihaknya menyerahkan keputusan kepada PAS Pusat sama ada mengekalkan Nasharudin bertanding di Parlimen Bachok atau sebaliknya.

Malah, Timbalan Exco Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Abdul Fatah Harun melahirkan kekecewaan dengan sikap pemimpin PAS yang tidak mengikut saluran dalam menyelesaikan kemelut parti.

Ternyata pemimpin yang dilahirkan sekarang tidak bersikap yang diharapkan apabila sanggup mendedahkan masalah sendiri kepada pengetahuan musuh sekali gus menyebabkan parti menjadi lemah.

“Sama ada kita suka atau tidak itu yang berlaku dalam PAS, pemimpin yang ada sekarang tidak seperti dulu, sebelum ini ada pemimpin PAS yang keluar parti tetapi mereka tidak menghentam PAS,” katanya.

Isu melanda PAS bukan terikat kepada perbalahan antara pemimpin PAS di Selangor semata-mata tetapi kritikan Dr Hassan terhadap hala tuju PAS iaitu Negara Kebajikan meninggalkan kesan mendalam.

Jadi apabila Dewan Ulama Pas menyeru partinya mengenalpasti 'dalang' di sebalik kemelut melanda Dr Hasan dan Nasharudin, ia menandakan betapa seriusnya kriris dalam PAS, bukan lagi menjadi isu peribadi pemimpin tertentu.

Dr Hasan menarik balik kenyataan dibuatnya pada 20 Disember berkiatan PAS yang tersasar apabila memperjuangan Negara Berkebajikan apabila menyifatkan ulasan beliau sebagai keterlanjuran.

Walaupun menarik kenyataan terdahulu, Dr Hasan tetap dengan pendirian bahawa teguran tersebut dibuat untuk memperbetulkan perjuangan PAS yang semakin tersasar dari landasan asal kerana terlalu ‘akomodatif’ demi kepentingan parti komponen.

Dr Hasan dan Nasharuddin dikritik kepimpinan sendiri, di mana Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali mendakwa Hasan terjerat dengan agenda UMNO.

Selain Mustafa, pemimpin seperti Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu mahu Dr Hasan ‘angkat kaki’ dari PAS sementara di Selangor, Khalid Samad dan beberapa pemimpin PAS lain menyerang Dr Hasan dan Nasharudin begitu hebat.

Malah ada yang membuka rahsia mengatakan Dr Hasan tidak lagi layak bertanding di Dewan Undangan Negeri yang diwakilinya sekarang dan akan diganti oleh orang lain.

Kalaupun bukan kerana keadaan sedemikian, perjuangan PAS yang berubah daripada memperjuangkan negara Islam kepada negara Kebajikan lebih bersifat slogan semata-mata.

PAS hanya menawarkan perjuangan baru sedangkan PAS tidak mampu menunjukkan pencapaiannya sendiri (track record) yang menggambarkan sebagai parti yang membawa kebajikan kepada rakyat sama ada di Kelantan, Terengganu atau Kedah ketika berkuasa dan masih masih berkuasa di dua negeri berkenaan.

Hakikatnya, tiada dasar atau pelaksanaan program PAS sendiri yang bercirikan kebajikan yang mampu menyakinkan rakyat untuk menerima perjuangan baru PAS berkenaan.

Malah, seruan Nik Aziz sendiri bahawa “duit boleh ambil, tetapi bila mengundi, pangkah PAS,” menggambarkan bahawa kerajaan negeri pimpinan PAS sebenarnya mengharapkan bantuan dan peruntukan kerajaan Pusat dalam apa sahaja bentuk dan apabila menyampaikannya kepada rakyat membohongi penyokong mereka kononnya bantuan itu adalah daripada usaha mereka!

Amat jelas kepimpinan PAS tidak boleh menerima kritikan Dr Hasan bagi memperbetulkan parti kerana pemimpin PAS bukan sahaja taksub untuk berganding bahu dengan DAP dan PKR ke Putrajaya.

Mereka sebenarnya bimbang kritikan Dr Hasan mendedahkan pekong bahawa mereka berbuat amat sedikit dan tidak mampu membuktikan apa yang mereka tawarkan melalui manifesto dan sejauh ini apa yang mereka sampaikan dan berikan kepada rakyat sebenarnya wang dan peruntukan yang disediakan UMNO dan BN melalui Kerajaan Pusat.

Suatu ketika rakyat akan tahu juga pembohongan ini dan kritikan Dr Hasan adalah permulaan kepada pendedahan wajah sebenar PAS dan pemimpinnya!

Saturday, December 31, 2011

PEMBANGKANG PAKSA YANG DI-PERTUAN AGONG PECAT JAMIL KHIR

"Wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman...Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes melibatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit inilah,” - Datuk Seri Jamil Khir

Ini belum jadi pemerintah rasmi!

Sudah pandai mahu paksa Yang di-Pertuan Agong memecat seorang Menteri yang kononnya tidak meminta maaf berhubung dakwaan penyalahgunaan wang zakat.

Menurut laporan semalam, gerakan anti-rasuah Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jingga 13 akan meminta Jamil Khir dipecat daripada pentadbiran negara sekiranya menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam itu tidak melakukan demikian.

Setiausaha Jingga 13, Saifuddin Shafi Muhammad, memberitahu wartawan bahawa selaku ketua agama negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memecat menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang menggunakan RM63,650 untuk membiayai kos guaman.

Namun, wang itu telah dibayar balik selepas agensi itu memperoleh RM70,000 pada Jun tahun lalu.

Pada Rabu, 28 Disember lalu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan pihaknya menggunakan peruntukan khas geran kerajaan bagi menjelaskan kos guaman Menteri berkenaan dan dua yang lain dalam kes membabitkan pertikaian di mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Muhammad Yamin Ismail berkata, pihaknya mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi tujuan pembayaran yuran guaman.

Sejak 1993, peruntukan khas itu telah diwujudkan dan tahun ini peruntukan yang diterima ialah sebanyak RM11 juta termasuk RM700,000 pada tahun sebelumnya.

"Apa yang boleh disimpulkan, keghairahan sesetengah pihak untuk menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam telah mengakibatkan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan kerenah mereka yang tidak berkesudahan," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka. Turut disebut berhubung isu Che Mat yang telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010 iaitu daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Menurut Muhammad Yamin, ketiga-tiga responden berkenaan adalah di bawah seliaan MAIWP sebagai penjawat awam bagi hal ehwal Islam, bukannya atas kapasiti peribadi mereka.

"Adalah menjadi kewajipan kami sebagai pihak berkuasa agama Islam untuk menanggung kos pembelaan bagi sebarang tindakan guaman terhadap mereka bertiga. Tohmahan yang dihadapi oleh ketiga-tiga responden ketika ini telah membawa kepada banyak pertikaian di mahkamah. Oleh demikian, ia mengakibatkan penggunaan wang rakyat yang sepatutnya disalurkan kepada kepentingan umat Islam," jelas beliau.

PKR bagaimanapun terus menerus memberikan tekanan ke atas Jamil Khir, berulang kali meminta perkara itu diperjelaskan.

Semalam, PKR terus menuntut pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib memberikan penjelasan berhubung penyalahgunaan wang zakat didakwa melibatkan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sambil sekali lagi meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak lagi berselindung di sebalik pegawai kerajaan.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata wujud percanggahan dari segi penjelasan dan ada beberapa perkara yang masih menjadi tanda tanya.

Dakwaan penyalahgunaan wang zakat terhadap Jamil Khir Baharom didedahkan bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim awal minggu ini.

Bekas pegawai siasatan jenayah Kuala Lumpur mendakwa Jamil Khir dan dua pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan wang zakat untuk membiayai kos guaman tahun lalu seperti yang disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Jamil Khir, Setiausaha MAIWP Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwa MAIWP Shamsudin Hussain dikatakan menggunakan RM63,650 dari wang zakat untuk membiayai kos guaman dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bayangkan kalau dah jadi pemerintah, Yang di-Petuan Agong, iaitu institusi tertinggi pentadbiran negara akan dibuat atau dipaksa oleh PKR sesuka hati.

“Jika beliau (Jamil Khir) tidak meminta maaf dalam 48 jam, kami akan menghantar memo kepada Agong selaku ketua agama untuk mempertahankan Islam,” katanya sebelum memfailkan satu laporan terhadap Jamil Khir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di Shah Alam.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, itu menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit dalam penyelewengan wang zakat adalah tidak benar.

Beliau berkata, wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes melibatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit inilah,” kata beliau di Sepang.

Apakah penjelasan ini tidak mencukupi? Apakah PKR mahu teruskan niat hantar memo kepada Yang di-Pertuan Agong?

Memandangkan Jamil Khir tidak mintamaaf kerana tidak perlu melakukannya dan isu ini dijadikan modal pembangkang, untuk tujuan politik, Jamil Khir akan menjadi watak yang akan diperkatakan sehingga pilihan raya umum depan.

Friday, December 30, 2011

MAHU JADI WAKIL RAKYAT…AZIZ BARI BUKA TEMBELANG DIRI SENDIRI

Tidak payah nak selak atau tercari-cari siapa sebenarnya ‘pakar perundangan’ yang diagung-agungkan pembangkang - Dr Abdul Aziz Bari.

Dia menunjuk dan mendedahkan warna sebenar dirinya apabila hari ini menawarkan diri sebagai calon berpotensi pada pilihan raya umum akan datang untuk Pakatan Rakyat.

Tidak hairanlah kalau beliau selama ini hentam kerajaan dan tidak ada yang kena dan menyokong apa sahaja kenyataan dan tindakan pembangkang.

Apabila sudah jelas begini mudah.

Ada pihak mengatakan Aziz Bari tidak perlu jadi ahli politik untuk memperjuangkan cita-citanya sebagai pengulas dan pakar.

Namun, dia tidak mampu menyekat kemahuan sebenar dirinya, apa lagi kini dikaitkan dengan PAS.

Aziz Bari mengatakan beliau mahu mengambil bahagian dalam proses politik negara dengan berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Jelas sekali beliau mahu jadi ‘payung terjun’ dan tidak perlu menjadi ahli parti untuk mencapai cita-cita dan kedudukan untuk beliau.

Walaupun mengatakan beliau “tidak ghairah” tentang menjadi anggota parti sambil menambah sistem dua parti yang berkesan membenarkan reformasi dan pentadbiran yang bagus, Aziz Baru tidak mempedulikan orang parti yang berjuang begitu lama dan sanggup berdepan pelbagai cabaran untuk sampai di tahap sekarang.

Tup..tup..Aziz Baru mahu bertanding dan menjadi calon.

Rasionalnya mudah. Seperti mengambil bahagian dalam pemilihan parti, beliau hanya mahu menjadi wakil rakyat jika mereka (Pakatan Rakyat) merasakan beliau sesuai untuk menjadi calon mereka.

Menurut The Malaysian Insider melalui kiriman emelnya hari ini, beliau ada menerima tawaran “tidak rasmi” dari semua parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP, namun “masih terlalu awal untuk membuat keputusan” parti mana yang akan ditandinginya.

Baginya beliau tidak memilih tentang bertanding di bawah mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat memandangkan “semua parti komited untuk melaksanakan dasar dengan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan ia pentung bagi mewujudkan sistem dua parti.”

Jelas, Aziz Bari tidak kisah apa perjuangan, asalkan boleh bantu pembangkang ke Putrajaya dan mengharapkan mungkin akan dilantik sebagai orang penting kerajaan kelak.

Sedangkan, jika beliau benar-benar berjiwa Islam, pastinya PAS pilihannya. Namun Aziz tidak…yang penting beliau jadi WAKIL RAKYAT!

Amat jelas Abdul Aziz menjadikan dirinya popular dan membiarkan kontroversi menyelubungi dirinya untuk kepentingan dirinya.

Perhatikan bagaimana beliau sanggup meletakkan dirinya agar digantung tugas dari Uiversiti Islam Antarabangsa kerana mengkritik campur tangan Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam negeri itu ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Banyak pihak mengatakan Aziz Baru idamkan kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dipegang Abdul Rahman Bakri, yang dijangka akan dibicarakan pada Jun kerana didakwa membuat sembilan tuntutan palsu.

Sebagai orang Selangor dan berajakan Sultan Selangor, perbuatannya mengkritik Sultan itu adalah biadap dan tidak tahulah apakah orang di Sabak Bernam akan menerima beliau atau sebaliknya.

Selain tindakannya mengkritik Sultan Selangor, bekas pensyarah kontroversi ini berdepan dengan siasatan dalaman oleh UIA kerana kritikannya itu.

Selain itu Abdul Aziz juga disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Terbaru, beliau membela bukan Melayu dan bukan Islam mengatakan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia berkaitan Hak Istimewa Orang Melayu sebagai membuli rakyat bukan Melayu di negara ini.

Nilailah sendiri bagaimana orang ini mahu menjadi popular dan ahli politik pada ketika dia sendiri dikelilingi kontroversi dan kritikan-kritikan yang Dilihat melampau dan banyak kali membela orang bukan Islam.

Aziz Bari tidak peduli perasaan ahli atau pemimpin parti yang akan disertainya, atau pendapat mengatakan beliau bagus kalu terus menjadi penganalisis atau pakar perundangan daripada menjadi orang parti.

Bagi Aziz Baru hanya satu-satunya bagi dirinya ialah dia layak menjadi Wakil Rakyat dan sama ada mewakili PAS, DAP atau Parti Keadilan, itu tidak penting
.
Tidakkah ini menggambarkan Aziz Bari sebenarnya pentingkan diri sendiri dan pilihan apa lagi yang beliau ada selepas tidak lagi menjadi pensyarah di UIA?