Friday, June 12, 2009

MAJLIS PELANCARAN JENTERA PILIHANRAYA BN

Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Barisan Nasional N. 41 Manik Urai Kelantan pada 13 Jun 2009 jam 9.00 malam.
Ia akan dilangsungkan bertempat di Sekolah Kebangsaan Peria Manik Urai Kuala Krai Kelantan.

Turut sama dalam majlis ini ialah Pengarah Pilihanraya YB Datuk Mustapa Mohamad merangkap Pengerusi Barisan Nasional Kelantan.

Dijangkakan semua pemimpin UMNO Bahagian Negeri Kelantan terutama UMNO Bahagian Kuala Krai yang diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Datuk Ramzi Ab Rahman akan hadir.

Ramzi selaku Pengarah Pilihanraya Parlimen Kuala Krai dan AJK serta pemimpin tempatan dan rakyat Manik Urai akan memenuhi padang sekolah berkenaan pada malam tersebut.
Pilihan Raya Kecil Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaacob, 60, pada 22 Mei lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan akibat sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, Ismail memperoleh 5,746 undi menewaskan Mohamed Zulkifli daripada BN yang mendapat 4,394 undi.

Thursday, June 11, 2009

RASOL WAJAR BERSIHKAN DIRI

Apa kaitan Datuk Rasol Wahid dengan keruntuhan Stadium Sultan Mizan, 2 Jun lalu?

Apa kaitannya dengan kontraktor yang membina stadium berkenaan? Apa salahnya?
Bagi saya adalah wajar jika Rasol beruaha membersihkan dirinya.
Kenapa ada perbualan di kedai kopi menyebut nama beliau dan beberapa yang lain.
Saya menyokong pandangan beliau kenapa mesti mengaitkan beliau dengan kontraktor yang membina stadium ini. Apakah tidak ada kerja lain mereka yang cuba ‘memburukkan beliau’ berterusan dalam konteks runtuhnya stadium berkenaan.
Sebenarnya adalah sesuatu yang menyakitkan menunggu untuk nama dibersihkan.
sms, e-mail dan perbualan tidak boleh dihentikan begitu sahaja oleh Rasol.
Sakitnya Rasol seperti sakitnya Wan Ahamad Wan Muda apabila dituduh menghantar ‘sms ugut bunuh’. Kalau mahu tahu rasa sakitnya, Rasol boleh tanya Wan Ahamad.

Bagi saya awal-awal lagi kita sudah jelas bahawa Rasol tiada kaitan dengan Stadium Sultan Mizan.
Malah adalah tidak adil juga untuk mengaitkan Datuk Wan Hisham Wan Salleh, Datuk Din Adam dan beberapa individu lain dalam kes ini.

Kalau tidak tahu apa-apa mengenai pembinaan dan kontrak membina stadium ini jangan buat hal.Jangan tidak tentu pasal berbual di kedai kopi mengaitkan mereka ini.Jangan nak tuduh sembarangan. Siasat dulu hujung pangkalnya.

Kata Rasol: “...saya tidak tahu kenapa saya dikaitkan. Adakah kerana saya baik dan rapat dengan kontraktor ini? Wallahualam...Tapi ingin saya jelaskan di sini saya baik dengan semua orang termasuk rakan-rakan pembangkang. Pada saya semua adalah rakan-rakan saya... Tetapi bagi saya yang benar akan muncul juga nanti. Cuma masa dan ketika sahaja InsyaAllah.”

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan Rasol melalui blognya yang merasakan tidak sewajarnya kontraktor tempatan (Terengganu) dilabelkan sebagai ‘cap ayam’.
Menurut Rasol: “...saya merasa kesian kepada kontraktor Terengganu dengan peristiwa yang terjadi ini. Sedikit sebanyak saya fikir akan terkena tempiasnya. Ada saya dengar bahawa kerana tragedi ini kontraktor Terengganu akan dipersoalkan reputasi mereka...cap ayamlah katakan....”

Ini kerana menurut Rasol, semua orang tahu bahawa atap yang runtuh itu dibina oleh kontraktor luar bukannya orang kita.
‘Saya mengalu-alukan siasatan yang akan dibuat nanti...InsyaAllah kita kan tahu puncanya nanti. Pada saya kejadian ini banyak pengajarannya. Saya mendoakan agar ia adalah tragedi buruk terakhir di bumi Darul Iman ini.”

Dalam Sinar Harian 4 Jun 2009, Rasol berkata paling dikesalkan , apabila terdapat suara nakal yang cuba menyalahkan kontraktor tempatan berhubung insiden itu.

Katanya: “Saya rasa tidak revelan mengaitkan isu menyiapkan secara tergesa-gesa kerana dari segi teknikalnya perkara itu tidak timbul. Jika ada masalah kita boleh tangguh dahulu’.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri itu turut melahirkan rasa terkilan dan sedih kerana ikon yang dibanggakan tidak mampu bertahan lama, hanya setahun sahaja selepas siap dibina.

Bukan Rasol sahaja, ikon di sini bukan hanya stadium itu sahaja tetapi nama pada stadium itu turut dicemarkan.

Keruntuhan itu memberikan kesan buruk kepada nama Yang di-Pertuan Agong dan amat wajar jika Tuanku Mizan Zainal Abidin murka selepas diperkenankan namanya digunakan apabila sewajarnya stadium yang gah itu diselenggara dengan baik.

Apalagi, dalam keadaan jaminan masih ada, sewajarnya siapa juga kontraktor atau subkontraktor yang diamanahkan menjalankan tugas dengan baik.

Apapun usaha Rasol setakat ini, perbualan kedai kopi akan berterusan.
Rasol tidak boleh berbuat apa-apa dan tidak akan mampu menyekat orang ramai bercakap mengenainya.

Hanya Jawatankuasa Penyiasatan Bebas menyiasat punca kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan sahaja mampu membersihkan namanya.

Kita sama-sama berdoa siasatan dapat dipercapatkan , bukan sahaja membantu Rasol membersihkan namanya tetapi juga untuk orang ramai mengetahui punca sebenar runtuhnya Stadium Sultan Mizan itu.

Tuesday, June 9, 2009

MANEK URAI – MENCARI CALON CAKNA RAKYAT

Bekas ADUN Barisan Nasional (BN) DUN Manek Urai, Zulkepli Omar mengatakan dia yang terbaik?
Cuba angkat diri sendiri?
Inilah yang dapat dirumuskan mengenai kenyataannya seperti dilaporkan Malaysiakini bertajuk ‘Beberapa nama bakal calon BN tidak disenangi ahli Umno’.

Menurut laporan portal berita itu semalam, beberapa nama pemimpin Umno bahagian Kuala Krai yang disebut-sebut bakal dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bulan depan, tidak disenangi ahli dan penyokong Umno.
Beliau mendakwa, mereka termasuklah ketua bahagian, Datuk Ramzi Abdul Rahman; naib ketua bahagian, Che Jalal Muda dan ketua Wanita, Rohani Abdul Majid.
Saya diberitahu oleh salah seorang ahli jawatankuasa Bahagian Kuala Krai, beberapa hari lalu, Ramzi memberitahu mesyuarat bahagian itu bahawa beliau ‘tidak berminat menjadi calon’ dan tidak timbul beliau akan bertanding.
Perkara ini jelas dan Ramzi tidak akan berganjak.
Lagipun beliau merasakan anak tempatan lebih sesuai kerana bekas ADUN Dabong itu mahu menumpukan kepada kerja-kerja UMNO di Bahagian itu.
Jadi kenapa Zulkepli menimbulkan perkara ini? Apakah beliau merasakan Ramzi adalah saingannya untuk dipilih semula.

Zulkepli yang mendakwa demikian adalah calon BN dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008. Beliau memenangi kerusi tersebut pada 2004 dengan majoriti 53 undi sahaja.

Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum 2008 beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi oleh calon PAS, Ismail Yaacob dengan majoriti 1,352 undi.

Kerusi tersebut kosong berikutan kematian Ismail bulan lalu kerana sakit jantung.
Hakikatnya, Zulkepli bukanlah wakil rakyat UMNO yang baik selepas menang pilihan raya 2004.
Pada pilihan raya umum 2008, beliau hampir digugurkan.
Difahamkan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa ‘mengeluh’ dengan sikap Zulkepli yang dikatakan mengabaikan kawasannya.

Ramzi juga dikatakan berbelah bahagi ketika itu untuk mencalonkan semula Zulkepli, namun katanya kerana ada ‘desakan’ pihak tertentu, UMNO Bahagian Kuala Krai ‘dipaksa’ memilih beliau.
Jadi, apabila Zulkepli menyatakan kepada media bahawa ‘semua orang lain tidak layak’, apakah beliau sendiri layak?
Zulkifli mendakwa, ketiga-tiga mereka tidak digemari oleh ahli dan pengundi Manek Urai sendiri.

"Datuk Ramzi, walaupun menang tanpa bertanding jawatan ketua Umno bahagian dalam pemilihan lalu, tetapi banyak cawangan Umno tidak senang dengannya," kata Zulkifli ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebaliknya, beliau mendakwa, Ramzi yang menyebabkan cawangan-cawangan Umno tidak dapat mencalonkan pemimpin lain untuk mencabarnya.
Ramzi yang saya hubungi enggan mengulas lanjut tetapi menyerahkan kepada pucuk pimpanan parti untuk menentukan siapa.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai penamaan calon dan pengundian pada 14 Julai.

Mengenai Che Jalal pula, Zulkifli melabelkan pemimpin itu sebagai yang tidak turun ke bawah menemui penduduk setempat.

Katanya, kalau tidak menemui pengundi bagaimana hendak mendapatkan sokongan mereka.

Manakala Rohani pula, kata Zulkifli, tidak mempunyai penyokong dan umurnya pula sudah menjangkau 68 tahun.

Katanya, jika Rohani dipilih sebagai calon BN, ia umpama memberi kemenangan percuma kepada pembangkang.

"Tetapi kalau dia kata hendak bertanding di Manek Urai, tak apalah itu hak dia.

"Apapun wanita tidak sesuai bertanding di Manek Urai. Ini kubu PAS dan kawasan kampung dan banyak ladang pula," katanya.

Rohani sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut 14 April depan.
Jelas, mencari calon untuk DUN Manek Urai bukan mudah.
Pada ketika PAS mengatakan ia mencari profesional bertaraf ulama, UMNO perlu kemukakan calon yang ‘mesra dan cakna rakyat’ tetapi mudahkah mendapatkannya di Manek Urai.

UMNO-BN TIDAK IKTIRAF PERANAN MEDIA BARU?

Saya tertarik dengan satu posting dalam www.ohsedapnya.blogspot yang memetik tulisan addin_77 pada 3 Jun lalu yang mengatakan sumbangan media baru khususnya media siber termasuk portal berita dan blog memainkan peranan untuk menyediakan maklumat alternatif kepada rakyat.
Melalui tajuk “Hadi Iktiraf Sumbangan Blogger, Najib Bila Lagi’, tulisan berkenaan menyebut, selama ini maklumat di cengkam oleh media arus perdana yang dikuasai kerajaan UMNO BN.

Ia telah berjaya mencelikkan rakyat sehingga memilih pekatan pembangkang dalam pilihanraya kecil yang diadakan selepas pilihanraya umum lalu, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Enam pilihanraya kecil telah diadakan selepas pilihanraya umum Mac 2008 dan Pakatan Pembangkang menang 5 daripadanya, bermula dengan Parlimen Permatang Pauh, Parlimen K. Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan Penanti. Satu lagi pilihanraya kecil iaitu DUN Batang Ai di Sarawak di menangi oleh BN. Manakala pilihanraya kecil bagi DUN Manek Urai akan berlangsung pada 14 Julai depan. Suruhanjaya Pilihanraya telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Julai.

"Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat yang telah celik, hasil daripada maklumat yang dimerdekakan ke atas mereka oleh sumber media baru, sehingga memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu," kata Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya di Muktamar Agung PAS di Shah Alam baru-baru ini.
“Kesemua pilihanraya ini kita sama-sama hadapi dengan semangat kerja kuat dan keserasian setiakawan Pakatan Rakyat yang tidak pernah luntur,” katanya.

Walaupun kita berhadapan dengan UMNO BN yang berselindung di sebalik jentera kerajaan dan pelbagai agensi, tetapi kita berjaya membuktikan bahawa rakyat terbanyak masih kukuh bersama kita dengan kita memenangi lima dari enam kerusi yang dipertandingkan, dan Insya Allah kita akan dapat mempertahankan Manek Urai. Namun begitu, katanya, kejayaan Pakatan itu dicapai melalui usaha keras yang ditunjukkan oleh jentera pilihanraya serta pihak-pihak yang membantu tanpa habuan wang ringgit.

Apabila PAS melihat media baru berperanan besar, apa pula sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak?

Pertanyaan ini tepat pada masanya kerana usaha menggunakan media baru dan siber nampaknya bermusim, khususnya sebelum dan ketika pemilihan UMNO baru-baru ini.
Yang pasti, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis yang mendakwa mewakili Datuk Seri Najib Razak berusaha mendekati blogger.

Tidak pasti apa tujuan Jamaluddin ketika itu.

Apakah beliau berusaha memujuk blogger tertentu supaya perlahan sedikit ‘membantai’ Najib atau sebaliknya.

Pada pertemuan dan perbincangan itu yang turut dihadiri beberapa blogger ternama Jamaluddin seperti orang politik lain menjanjikan bermacam-macam.
Selepas itu, biasalah orang politik – menghilang semula dengan janji-janjinya dan telefon serta sms pun mula ‘tidak berangkat dan terjawab’.

Kepada blogger mereka tidak kisah ada ‘bantuan’ atau sebaliknya kerana mereka akan tetap menulis. Cuma, yang mendapat habuan bernasib baiklah mereka dan yang tidak dapat akan tetap meneruskan perjuangan.

Cuma apabila seseorang membawa bersama nama Najib yang ketika itu bertanding Presiden UMNO dan kini menjadi Perdana Menteri, ia kurang manis untuk berperangai sedemikian.
Namun di kalangan wartawan dan penulis, mereka sudah kenal siapa Jamaluddin atau JJ ini.
Apapun, lupakan kisah JJ, kerana yang penting apakah BN dan UMNO bersikap seperti Hadi Awang dalam konteks peranan blogger ini?

Renungilah kata-katanya walaupun beliau bukan Perdana Menteri atau Menteri.
Pada ketika Presiden UMNO tidak pun mengiktiraf peranan blogger pada ucapan dasar atau juga ucapan penangguhan di Perhimpunan Agung UMNO, kata-kata Hadi Awang membawa makna yang besar.

Tidak tahulah sama ada BN atau UMNO masih yakin dengan media perdana sahaja tanpa melihat peranan blogger (yang sesetengahnya berperanan seperti akhbar nyamuk) tetapi apabila ia menggila atau menggigit, kesannya sangat besar kepada sokongan rakyat terhadap BN dan UMNO.

Sampai bilakah pemimpin BN dan UMNO terus ragu-ragu terhadap sumbangan dan peranan blogger?