Thursday, December 11, 2008

BUKAN AZIZ SATTAR SEORANG SAHAJA...

Pejuang seni, termasuk artis perlukan perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

Jangan menganggap mereka penghibur semata-mata. Mereka menceriakan rakyat dan sumbangan ini besar kerana kadangkala rakyat mampu melupakan seketika kesedihan dan kesulitan mereka apabila terhibur.

Sebagai insan seni yang bergantung hidup kepada bakat anugerah Allah, mereka adalah manusia ‘bebas’ yang tidak menuntut perkara yang bukan-bukan seperti orang politik atau rakyat yang mengharapkan subsidi.

Perkara ini perlu diberikan perhatian dan semestinya dijalankan secara bersepadu oleh beberapa kementerian, khususnya Kementerian Penerangan dan Kementerian dan Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta jabatan.

Kita sering mendengar artis susah dan menderita.

Susah dan menderita bukan bermakna sakit dan pendapatan yang semakin menurun tetapi juga soal-soal lain seperti masalah rumah tangga dan sebagainya.

Kita banyak mendengar masalah artis menghadapi perceraian dan perpisahan. Mereka ada anak dan keluarga.

Sewajarnya bantuan bukan dalam konteks geran, kemudahan pinjaman dan wang ringgit semata-mata. Ia juga mungkin dalam konteks kemudahan mendapatkan peguam, khidmat nasihat atau juga persatuan yang aktif.

Apapun, langkah Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Mohd Shafie Apdal semalam meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat pelakon veteran Datuk Aziz Sattar dihargai.

Mohd Shafie yang turut ditemani Pengerusi Finas, Datuk Razali Ibrahim; Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim dan Presiden Seniman, Datuk Mustafa Maarof menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Aziz.

Pelakon berusia 83 tahun itu, yang cukup popular dengan filem Bujang Lapok dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri, kelmarin kerana serangan asma.

Terdahulu, Seniman turut menyampaikan sumbangan bernilai RM500.

Melihat kepada keperihatinan beliau jelas KPKKW sentiasa prihatin dengan nasib yang menimpa golongan artis apatah lagi pelakon veteran itu banyak memberikan sumbangan kepada industri hiburan tempatan.

Menurut Shafie, kementerian bukan hanya prihatin apabila artis ditimpa musibah tetapi kami memberikan sokongan kepada mereka setiap masa.

KUALA TERENGGANU – PENGIBAR PANJI-PANJI BN (Bahagian Akhir)

Siapa juga nama yang diserahkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan dipersetujui oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), dia akan menjadi pembawa panji-panji BN dan UMNO .

Nama calon BN perlu diumumkan lebih awal bagi mengelak spekulasi dan ‘perebutan berterusan’.

UMNO Bahagian Kuala Terengganu sendiri sudah mengenal pasti senarai nama calon untuk mewakili BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan. Penamaan calon pada 6 Januari 2009.

Pada pilihan raya umum lalu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Allahyarham Datuk Razali Ismail menang dengan majoriti 628 undi apabila memperoleh 32,562 undi menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu (31,934 undi) dan calon bebas Maimun Yusuf, 89, mendapat 685 undi.

Lima nama yang kini disebut-sebut sebagai bakal calon termasuk Wan Ahmad Farid yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Nama lain yang disebut ialah Bendahari Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Roslan Awang Chik; bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh; Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Mohd. Sabri Alwi dan Ketua Sektor (Akademik) Jabatan Pendidikan Negeri, Zuber Embong.

Di pihak Pakatan Rakyat, antara nama disebut-sebut sebagai calon ialah Wakil rakyat Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, ahli perniagaan Dr Mohd Khazani Abdullah, dispekulasi sebagai calon parti itu termasuklah Mustafa, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali serta timbalannya Datuk Wan Mutalib Embong dan bekas calon Mohamad Sabu, yang juga Naib Presiden PAS.

Mohamad Sabu yang ditonjolkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mungkin tidak dicalonkan kali ini kerana faktor ‘orang luar’.

PAS dikatakan sukar menentukan calonnya kerana Mustafa Ali turut menunjukkan minat dan jika beliau tidak dicalonkan, dia dikatakan akan menyokong ‘orangnya”.

PAS Terengganu dikatakan tidak akan melayan ‘kerenah PAS Pusat’ dalam menentukan calon dan kemenangannya kali ini dan ini sudah pasti akan menyebabkan kumpulan yang menyokong pencalonan Mohamad Sabu akan merasa tersisih.

Di pihak BN, Wan Ahmad Farid dikatakan sebagai calon pilihan paling sesuai untuk setelah kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang kosong selepas penyandangnya, Datuk Razali Ismail meninggal dunia.

Banyak pihak meramalkan faktor calon menjadi penentu kepada kemenangan kali pada ketika Pakatan Rakyat sedang pening memikirkan calon sesuai sebagai pertaruhan mereka.

Kemenangan bagi BN pada pilihan raya ini amat bermakna pada ketika rakyat yang sebelum ini menolak BN-UMNO sebenarnya sudah insaf bahawa janji-janji pembangkang pada pilihan raya umum lalu sukar untuk ditunaikan.

Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelamrin menggesa parti itu bekerja keras jika ingin memenangi pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu pada bulan depan. “Kita mahu menang. Kita mahu menang. Kita mesti ada keyakinan, sebab itu kita kata boleh menang. Kita ada sokongan kuat dan kita perlu bekerja keras,”" katanya selepas mempengerusikan mesyuarat BN kelmarin.

Ditanya oleh wartawan sekiranya ada pengundi akan beralih arah untuk menyokong pembangkang, beliau berkata:

"Tidak buat masa sekarang. Awak tahulah politik, awak tidak dapat meramal bagaimana pengundi ingin beralih arah. Mereka mempunyai kecenderungan beralih arah sekalipun pada minit-minit terakhir, sama ada ke arah kita (BN) atau lawan."

Yang nyata ia bukan mudah untuk menang kerana pada pilihan raya lalu, hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri dimenangi oleh BN, melalui MCA di DUN Bandar.

Sementara bagi tiga DUN kali BN kecundang, malah Dun Ladang yang mulanya dikatakan selamat turut jatuh ke tangan PAS dengan majoriti 31 undi.

Bagi dua DUN lain, iaitu Wakaf Mempelam yang menjadi kubu PAS, parti itu menang dengan majority 2, 193 dan DUN Batu Buruk pula, PAS mendapat majoriti 1,161 undi.

Wakil rakyat Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi disifatkan oleh PAS sebagai tokoh paling layak yang boleh melawan semua calon Barisan Nasional, termasuk Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh,

Ketua penerangan PAS kawasan Batu Burok, Azmi Mohd Yassin dipetik Malaysiakini sebagai berkata Dr Syed Azman adalah calon terbaik PAS untuk pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Katanya, ahli jawatankuasa pusat PAS itu menepati semua ciri calon yang sesuai untuk membawa parti itu ke ambang kemenangan, tambahnya. Menurutnya, Dr Syed Azman, orang yang ada personaliti, ketokohan dan berpendidikan. Beliau juga sudah dikenali di kalangan pengundi tempatan.

Dr Syed Azman tokoh muda dan pengalaman sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu selama empat tahun mulai 1999,

Sementara Dr Mohd Khazani ialahbekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), yang dikatakan ‘dekat’ dengan Mustafa Ali kini mengetuai Significant Technologies Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam teknologi tinggi gentian optik.

Badan Perhubungan Umno negeri akan bermesyuarat malam ini untuk membincangkan senarai calon yang difikirkan layak untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, sebelum dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan bakal calon ketika mengadakan lawatan ke Terengganu, esok.

Wan Ahmad Farid yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, yakin BN dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi BN dengan sasaran majoriti empat angka.

“Pembangkang tidak mempunyai isu yang kuat baik di peringkat negeri mahupun pusat. Walaupun tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu milik pembangkang, namun untuk peringkat Parlimen, BN memperoleh majoriti kemenangan yang besar kecuali di Wakaf Mempelam,” katanya.

Yang penting ialah, pada mesyuarat Umno bahagian Kuala Terengganu yang diadakan malam semalam, pelbagai perkara turut dibincangkan termasuklah penubuhan beberapa jawatankuasa bagi memperkuatkan jentera pilihan raya parti itu menjelang hari pengundian hari pengundian yang telah ditetapkan pada 17 Januari depan.

"Banyak perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut. Kami menubuhkan beberapa buah jawatankuasa sebagai jentera kami. Kekuatan jentera juga masih sama seperti sebelum ini, tiada yang berubah," kata Wan Ahmad Farid.

ISU PPP - JANGAN CEPAT MELATAH

Isunya Parti Progresif Penduduk (PPP), mendesak supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipinda dan Barisan Nasional (BN) enggan melakukannya.

Kerana isu ini PPP mengugut akan keluar BN jika Akta ISA tidak dipinda sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Sejauh ini PPP tidak membawa cadangannya ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN, termasuk mesyuarat terbaru BN, sebaliknya diluahkan secara terbuka.

Presiden PPP Datuk M. Kayveas tidak hadir pada mesyuarat terbaru Selasa lalu dan menghantar wakilnya.

Akibatnya? Abdullah selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn, Selasa membuat kenyataan umum: “Jika itu pilihan mereka, apa yang kami boleh buat ?”

Dan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi BN mengatakan PPP bebas membuat pilihan untuk keluar daripada BN jika itulah pilihan mereka mengundang persepsi yang berbeza-beza.

1. Kata-kata itu tidak boleh diterjemahkan sebagai Abdullah sudah menghalau PPP daripada BN tetapi PPP boleh menilai sendiri kedudukannnya dalam BN kerana ia hak PPP;

2. Kalaupun kenyataan Abdullah dianggap ‘kasar’ dan seakan menghalau PPP, keputusannya juga terletak kepada PPP sama ada keluar secara sukarela dan tidak akan dipecat seperti yang berlaku kepada parti USNO pada awal 1980-an;

3. Sewajarnya PPP mengemukakan cadangannya kepada Majlis Tertinggi BN terlebih dahulu dan BN pula meminta dan meneliti apakan perkara-perkara yang perlu dipinda dalam akta tersebut sebelum membuat keputusan sama ada PPP wajar kekal atau sebaliknya dalam BN.


4. Akta ISA boleh disemak semula mengikut kepentingan dan keperluan semasa dan tidak rigid. Cadangan supaya dipinda tidak salah dan perlu diselesaikan dengan semangat BN bukan melalui ugutan atau amaran.

Hakikatnya, ugutan yang dibuat oleh PPP untuk meninggalkan BN sedikit pun tidak menjejaskan parti memerintah, sebaliknya ia akan kembali memperkuatkan BN pada masa depan. Bak kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tindakan pemimpin parti kecil itu yang terus mengugut untuk keluar daripada BN nyata telah melemahkan PPP sendiri.

"Jadi kalau PPP nak keluar daripada BN, silakan. Saya sokong keputusan Pengerusi BN berhubung hal ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri di Air Keroh semalam.

Apapun, BN dilihat perlu diperkemas dan dimantapkan, dan pastinya Kayveas sepatutnya tidak membuat ugutan atau gertakan sementara BN jangan terburu-buru menghukum.

Ini kerana bukan PPP sahaja yang mahukan Akta ISA dipinda, Parti Gerakan yang juga komponen BN pada 12 Oktober lalu, turut meminta kerajaan meminda Akta ISA bagi memperkukuhkan lagi sistem demokrasi di negara ini. Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, pindaan akta itu perlu merangkumi segala perlindungan hak asasi manusia.

Pada sidang akhbar selepas menamatkan Persidangan Perwakilan Gerakan Nasional Ke-37 selama tiga hari di Wisma PGRM, Kuala Lumpur, beliau menyifatkan akta-akta yang memerlukan tahanan tanpa bicara di mahkamah hendaklah dipinda dan segala perlindungan hak asasi manusia hendaklah dimasukkan.

Berikutan terdapat banyak perbezaan pandangan mengenai ISA, Tsu Koon mencadangkan kerajaan membentuk satu jawatankuasa atau pasukan petugas khas membincangkan mengenai pindaan akta tersebut.

Yang membezakan tindakan antara PPP dan Gerakan ialah PPP mengugut keluar BN tetapi Gerakan tidak sampai ke tahap itu.

Soal sama ada Kayveas mempunyai dua pilihan sama ada boleh meletakkan jawatan sebagai Presiden parti atau membawa parti itu keluar BN juga tidak timbul.

Kayveas sepatutnya terlebih dahulu mengemukakan cadangan apakah perkara atau bidang yang perlu dipinda dan tidak timbul msama ada perlu mendapatkan konsensus dan sokongan dengan mengadakan referendum di kalangan ahli peringkat akar umbi untuk keputusan keluar BN atau sebalinya.

Kelmarin, Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata pelbagai isu sensitif dibincangkan tetapi tidak perlulah disenaraikan.

"Kita mengambil sikap terbuka dan memahami bahawa kami semua (parti-parti komponen) (terletak) di bawah satu parti besar BN dan kami juga bertanggungjawab kepada banyak perkara secara bersama.

"Kerajaan yang wujud adalah yang berkongsi kuasa berasaskan konsensus iaitu kita mengamalkan tanggungjawab bersama, maka dengan itu tidak ada perkara yang sensitif yang tidak dibincangkan," katanya.

Abdullah berkata, tidak ada sesiapa yang membangkitkan atau membuat kenyataan mengenai isu mahu keluar daripada BN pada mesyuarat berkenaan. Beliau berkata mesyuarat membincangkan langkah dan usaha yang mahu dibuat untuk mengadakan Konvensyen BN pada Februari depan.

Wednesday, December 10, 2008

PM – NAJIB SUDAH PASTI

Satu ‘peluru’ sudah mengena.

Saya tidak mahu mengulas lanjut. Hanya orang yang faham dan tahu apa maksud ‘peluru’ saya itu.

Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) semalam menganggap spekulasi beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri selepas Mac sebagai ‘mengarut’.

Ini bermakna Datuk Seri Najib Razak yang akan menjadi Presiden UMNO secara sah pada Mac 2009 akan pasti menjadi Perdana Menteri.

Saya yakin dengan pengesahan oleh Abdullah ini, serangan terancang terhadap Najib akan menjadi bertambah sengit dan menjijikkan.

Najib diserang bertalu-talu dan secara terancang – kononnya terbabit dengan kes Altantuya, rasuah di Kementerian Pertahanan serta penyalahgunaan kuasa – dan kebanyakannya datang daripada pemimpin dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara cerita mengenai ‘kenapa Abdullah mesti dipertahankan’ dan perlu kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh mandat pilihanraya umum 2008 sehingga semalam, begitu menarik dan panas.

Jika sebelum itu ia bagaikan ramalan, tetapi apabila saya ‘jolok’ kali pertama, ia nampaknya mungkin berlaku sehinggalah penafian Abdullah semalam.

Tetapi apakah dengan penafian itu ia ‘membakar dan meranapkan’ semua usaha terancang sebelum ini?

Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2 Disember 2008 lalu berkata berita angin sudah tersebar luas bahawa walaupun Najib akan jadi Presiden Umno, tidak semestinya dia akan jadi Perdana Menteri. Berita yang didengar ialah Abdullah masih berminat meneruskan jawatan Perdana Menteri.

Kata Dr Mahathir: “ Jika diambil kira sikap pemimpin dan ramai ahli Umno, kemungkinan ini berlaku tidak mustahil. Mereka tidak akan menentang Abdullah kerana mereka amat selesa dengan kepimpinan beliau dan nikmat tertentu yang mereka dapati darinya.”

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada 7 Disember 2008 meminta secara khusus supaya Perdana Menteri jangan lepaskan jawatan.

Presiden PAS mencadangkan agar Perdana Menteri terus menjalankan tugas-tugasnya sebagai Perdana Menteri walaupun melampaui tarikh penyerahan kuasa yang disepakati dalam Umno iaitu pada bulan Mac 2009 nanti.

Demi memberi peluang kepada Abdullah bersara dalam keadaan yang baik, maka PAS menyeru agar beliau diberikan masa untuk menyelesaikan tugas-tugas besar ini dan tidak harus melepaskan jawatannya pada bulan Mac 2009 nanti selagi tugas-tugas berkenaan tidak selesai sepenuhnya.

Ini kerana menurut Dato' Abd. Hadi Awang, beberapa perkara besar yang melibatkan pentadbiran negara termasuklah sebahagiannya yang merupakan janji Abdullah kepada rakyat Malaysia amnya masih belum tertunai.

"Penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia, umpamanya masih di peringkat rang undang-undang dan berkemungkinan akan mengambil masa dan belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

"Begitu juga dengan Suruhanjaya Kehakiman yang sepatutnya mengembalikan kewibawaan badan kehakiman, masih belum terlaksana," kata Hadi dalam kenyataan media kepada Harakahdaily kelamrin.

Hadi turut merasakan Abdullah wajar menyelesaikan beberapa tuntutuan ke arah penambahbaikan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang masih diragui oleh rakyat Malaysia sehingga kini.

"Biarlah segala ketempangan dan kepincangan badan yang sepatutnya menguruskan proses pilihan raya dalam negara ini secara telus, dirawat dan diperbaiki sebelum beliau melepaskan jawatannya,"katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut terjerumus dengan isu ini apabila mengatakan ‘huru hara melanda UMNO” kerana ketidakpuasan hati komponen BN selain Najib terus dikaitkan dengan pembunuhan, rasuah dalam kontrak kelengkapan pertahanan dan penyalahgunaan kuasa.

Kerana itu beliau percaya, Abdullah mempunyai sebab (kelebihan) untuk memanjangkan tempoh sebagai Perdana Menteri walaupun Najib sudah menang Presiden UMNO tanpa bertanding.

Katanya secara persefahaman biasa, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN menjadi Perdana Menteri tetapi secara perlembagaan, mereka yang mendapat majoriti di Parlimen patut menjadi Perdana Menteri.

Laporan The Malaysian Insider semalam (9 Disember 2008) bertajuk ‘Anwar: Umno stoking racial fires’ memetik Anwar sebagai berkata beliau sendiri tidak pasti senario berkenaan kerana kemungkinan Abdullah akan kekal berkuasa hanya ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, yang berpihak kepada Najib.

Yang menariknya, The Malaysian Insider, yang begitu berminat dengan isu ‘mempertahankan Abdullah ini” pada 3 Disember 2008 lalu, memetik Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai berkata, Abdullah tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih Presiden UMNO pada Mac.

“Ia adalah prerogatifnya kerana beliau (Abdullah) mendapat mandat untuk lima tahun,” kata Razaleigh .

Beliau menjawab tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Abdullah masih berminat kekal berkuasa selepas adanya pemilihan parti berkenaan.

Tengku Razaleigh mengakui akan terus menyokong kepimpinan Abdullah dan kerajaan dalam kapasitinya sebagai Ahli Parlimen.

Razaleigh berpendapat: “Dia (Abdullah) mendapat keyakinan majoriti Ahli Parlimen. Dan Perdana Menteri dilantik oleh Yang DiPertuan Agong, bukannya Perhimpunan Agung,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Menariknya dalam satu rencana bertajuk “So, is he going... or staying? “ kelmarin (8 Disember 2008) The Malaysian Insider yang memetik sumber mengatakan Abdullah sudah pun membuat perancangan bagi kehidupannya selepas Perdana Menteri.

Sememangnya Abdullah akan keluar dari Seri Perdana dan akan tinggal di rumah ala-kampung di Sungai Penchala. Perdana Menteri dikatakan sudah memberitahu kawan rapatnya bahawa beliau akan menumpukan usaha mengukuhkan hubungan Malaysia dengan Asia Barat.

Dengan kata-kata Abdullah ini, harapan untuk Hadi dan Anwar ‘menyekat’ Najib menjawat Perdana Menteri terbantut sementara.

Apakah usaha lain pembangkang untuk ‘mengucar-kacirkan UMNO’ dan ‘memenderemkan Najib’ selepas ini?