Showing posts with label arak. Show all posts
Showing posts with label arak. Show all posts

Tuesday, April 20, 2010

HENTIKAN FITNAH MEMFITNAH!


Fitnah lebih kejam daripada membunuh!

Kini Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib turut dikaitkan dengan minum arak pada satu majlis.

Sudah ada di blog proPAS gambar seperti di atas.
Bebaskanlah Datuk Zaid Ibrahim daripada tuduhan beliau ‘kaki botol’ tegar. Kempen seperti ini tidak akan ke mana-mana dan akan merugikan Barisan Nasional (BN), percayalah.
Walaupun saya antara yang terawal mempersoalkan apakah Zaid masih ‘pewain tegar’ – itupun kerana ada laman web proPAS yang mengatakan mereka tidak mahu turun padang kerana faktor diri Zaid – saya tidak perlu menerusakannya lagi.
Ini kerana ‘pembunuhan watak’ akan merugikan BN sendiri. Dan apabila Zaid mengatakan beliau sudah insaf, cukuplah!
Percayalah, banyak isu lain yang boleh ‘memenangkan BN’ tetapi bukan melalui taktik gambar superimpose dan sebagainya.

Jangan terikut-ikut dengan kempen jahat pembangkang. Sedarkan bahawa kempen cara sedemikian, walaupun menang tidak akan diredhai Allah, lebih-lebih lagi jika memburukkan sesame manusia.

Saya masih ingat bagaimana kempen buruk pembangkang – pembunuhan watak - terhadap Datuk Wan Farid pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Februari 2009 yang kononnya beliau kaki karaoke dan berkaraoke dengan seorang wanita muda.

Menyiarkan gambar beliau kononnya berkaraoke itu adalah perbuatan yang memang jahat dan tidak beretika.

Apakah UMNO dan BN mahu teruskan kempen memburuk-burukkan Zaid sedemikian?

Kesannya nanti terpercik ke muka sendiri dan fitnah akan dibalas dengan fitnah.
Kini memburukkan keadaan apabila disiarkan pula gambar-gambar yang mengaitkan arak dan beer dengan pemimpin UMNO.

Malah ada yang sanggup menyiarkan gambar kononnya isteri kepada menteri turut minum arak. Apa akan jadi selepas ini?

Menurut Malaysiakini, dalam reaksi tindakan balas, blog bernama Salt, Pepper and a little kicap menyiarkan satu siri foto yang dikatakan menunjukan seorang pemimpin kanan Umno yang juga menteri kabinet, sedang memegang satu tin bir. Foto itu juga menunjukkan isteri pemimpin Umno tersebut, juga melakukan perkara yang sama.

Artile tersebut kemudiannya dipetik oleh peguam terkemuka Haris Ibrahim dalam blognya, di mana beliau mengecam menteri berkenaan.

Ahli parlimen Kota Belud yang juga bekas setiausaha Pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan terus menjawab melalui twitternya, mendakwa gambar tersebut telah diubahsuai.

Kemudiannya, satu lagi gambar muncul di internet di mana seorang individu yang kelihatan seperti ahli parlimen Rembau yang juga ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersama dengan seorang lelaki yang tidak dikenali dan dua orang wanita.

Suasananya kelihatan seperti di kelab malam dan mereka duduk di depan meja yang penuh dengan botol minuman keras.

Malaysiakini melaporkan perkara itu sampai ke perhatian Khairy yang menjawabnya melalui Twitter. "Apa yang betul? Adakah saya minum apa2 dalam gambar tersebut?" soalnya.

Gara-gara serang menyerang, mereka yang ada di dalam gambar terpaksa pula menjawab dan menangkis serangan berkenaan. Bukankah kerja seperti ini membuang masa?

Selain itu dedah-mendedahini akan membawa kesan buruk kepada semua pemimpin kita sama ada kerajaan atau pembangkang akhirnya?

Friday, August 14, 2009

TAKBIR PAS DI SELANGOR KINI TAK-BEER, TAK-BEER….

Almarhum Dato' Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor Almarhum tegas mengingatkan kita khamar itu adalah "Ummul qobaais-ibu segala maksiat-mother of all evil!)

Alhamdullilah, sengaja atau kebetulan isu mengenai penjualan arak di Selangor ini dapat kita sama-sama fikirkan pada hari ini – Jumaat - penghulu hari bagi segala hari.

Apakah isu penjualan arak di Selangor selesai?

Apakah hanya kerana Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan anggota jawatakuasa DAP pusat, Ronnie Liu bersetuju mematuhi arahan pucuk pimpinan pakatan pembangkang, isu ini selesai?

Apa yang selesai sebenarnya?

Apakah dengan bersalaman antara mereka di hadapan media, isu perjualan khamar ini selesai?

Apakah Hassan Ali tidak jadi letak jawatan hanya kerana mahu menunjukkan sikap berbaik-baik dan mewujudkan keredaan pertelingkahan antara parti dalam pakatan pembangkang demi pilihan raya kecil Permatang Pasir?

Berasaskan kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia memang sedemikian.

Bagi Anwar, dengan kedua-dua Exco itu sudah berjabat tangan, pergeseran terbuka antara kedua-dua mereka "sudah selesai". Fahamilah kata-kata ini dengan sebaik-baiknya – isu penjualan arak selesai atau pergeseran pemimpin yang selesai.

Bagi Anwar, pendirian ‘kita’ tetap sama, iaitu tidak menggalakan percambahan penjualan arak kepada orang Islam tetapi penjualan arak kepada orang bukan Islam kekal seperti sekarang. Tidak ada masalah berbangkit.

Baginya, isu arak ini sengaja dibangkitkan bagi menyorok isu mengenai PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Klang) dan rasuah.

Itulah cara Anwar. Mudah sahaja selesai, iaitu membangkitkan isu lain dan dikaitkan dengan isu ini untuk membersihkan pakatan pembangkang.

Perkara ini ditegaskan oleh Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat di Tropicana Golf and Resort semalam.

Mesyuarat pakatan pembangkang itu turut dihadiri Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, tokoh veteran DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pula mengulas perkara itu mendakwa isu arak tersebut merupakan isu lama dan diwarisi daripada kepimpinan Barisan Nasional (BN).

"Pun begitu, kita dapat selesaikan dengan baik, tanpa menyentuh antara satu sama lain di mana Islam dapat dilaksanakan dan orang bukan Islam dijamin haknya. Yang penting kita (Pakatan Rakyat) bersatu walaupun kita berbeza pendapat dan ideologi. Apa guna kita bersama kalau tidak bersatu," katanya.

Berbalik kepada kenyataan Anwar awal tadi, bagi pakatan pembangkang, termasuk Hadi sendiri, apakah isu penjualan arak ini selepas hanya kerana Hassan Ali dan Ronnie Liu berbaik semula?
Apakah penyelesaian isu ini dilakukan demi kepentingan politik atau melalui ekakmen, garis panduan dan peraturan?

Saya hairan kerana pakatan pembangkang tidak menyatakan sedikit pun mengenai langkah bukan politik – agama dan social dan lebih penting penguatkuasaan.

Apa yang disebut oleh kedua-dua pemimpin pembangkang itu lebih kepada keputusan politik dan kepentingan perpaduan dalaman pakatan pembangkang.

Apabila kerajaan Selangor pada 7 Ogos lepas, memutuskan bahawa penjualan minuman keras di negeri itu berpandukan kepada kesedaran penjual sendiri terhadap permintaan pembeli daripada kalangan orang Islam dan remaja, ada banyak lompang dalam arahan berkenaan.

Ronald Liu yang ditanya sama ada permohonan maaf antara kedua-duanya telah dibuat, beliau enggan menjawab dan hanya bersalaman dengan Hasan.

Hassan Ali yang turut hadir pada mesyuarat tersebut ketika ditanya mengenai hasratnya untuk meletak jawatan exco kerajaan negeri, berkata beliau akur dengan keputusan yang diputuskan Menteri Besar Selangor.

"Tiada apa lagi yang perlu dibangkitkan. Kita setuju dengan Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim)," katanya.

Beliau kini senada dengan Liu, akur dengan keputusan pucuk pimpinan pakatan itu.

Apakah mereka yang mengemukakan pandangan isu ini dari PAS dan PKR seperti Yang Berhormat Zulkifli Noordin akan patuh apabila Hassan Ali dan Ronald Liu sudah berjabat tangan?

Apapun, baca kembali tulisan Zulkifli Noordin pada 10 Ogos lalu.

TAKBEER! SELANGOR DARUL KHAMAR?

Oleh Zulkifli Noordin (10 August 2009)

Saya sangat kecewa dengan keputusan YAB Tan Sri Menteri Besar Selangor yang menolak usul yang dikemukakan oleh PAS Selangor supaya dilaksanakan larangan menyeluruh ke atas penjualan arak dikedai serbaneka dan peruncitan di Shah Alam khususnya, dan Selangor amnya. Ianya telah menukar status Selangor daripada negeri Darul Ehsan kepada Selangor Darul Khamar!!

Desakan ini dibuat berdasarkan hakikat Shah Alam adalah kawasan yang penduduknya lebih 90% adalah umat Islam. Tidak ada sebab untuk kedai peruncitan dan serbaneka untuk menjual arak, beer atau alkohol atas apa nama sekalipun, apatah lagi jika ianya berdekatan dengan surau atau masjid.

Berikutan aduan yang dibuat oleh umat Islam, Majlis Bandaraya Shah Alam telah melaksanakan langkah merampas arak yang dijual dibeberapa kedai serbaneka ini. Namun tindakan MBSA telah dipertikai oleh YB Ronnie Liu daripada DAP yang mengarahkan supaya MBSA memulangkan balik arak yang dirampas.

Tindakan YB Ronnie Liu telah membangkitkan kemarahan umat Islam khususnya di Shah Alam. Maka PAS Selangor dibawah pimpinan YB Dato' Hassan Ali telah mengemukakan memorandum supaya larangan penjualan arak secara menyeluruh di Selangor dilaksanakan.

Tindakan dan keputusan YAB Tan Sri Menteri Besar jelas bertentangan dengan kehendak dan aspirasi penduduk Islam di Shah Alam, dan jelas tidak menghormati pendirian PAS Selangor yang merupakan rakan Pakatan.

Malahan apa lebih dikhuatiri sikap YAB Tan Sri Menteri Besar akan memberikan persepsi beliau terlalu tunduk kepada nafsu serakah DAP yang akhir-akhir ini kelihatan makin melampau dan biadap termasuk membuat kenyataan dan tindakan yang dianggap menghina dan merendahkan Islam dan umat Islam.

Kalau Shah Alam yang majoriti besarnya adalah umat islam boleh dicabul dengan penjualan arak, apalah nasib kawasan lain di Selangor! Alangkan YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman pun pernah menyatakan supaya Shah Alam hendaklah dibebaskan daripada pengaruh arak.

Saya teringat lagi kata-kata Almarhum Dato' Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor yang sentiasa mengingatkan kita dan istiqomah dalam menegaskan bahawa arak itu adalah "ummul qobaais" - ibu segala maksiat..the mother of all evil! Saya kira kalau Almarhum masih hidup, sudah tentu beliau akan menentang habis-habisan tindakan Kerajaan Selangor ini.

Saya ingin menegaskan bahawa saya langsung tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Selangor membenarkan penjualan arak dikedai serbaneka dan peruncitan di Selangor. Saya mengambil keputusan memufaraqahkan diri daripada keputusan itu.

Saya juga mendesak supaya Kerajaan Selangor supaya menarik balik keputusan membenarkan penjualan arak tersebut dan menerima memorandum yang dikemukakan oleh PAS Selangor untuk larangan menyeluruh keatas penjualan arak di Selangor.

Saya juga berpendapat mungkin sudah tiba masanya undang-undang negara dipinda untuk membolehkan tindakan pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mana-mana pemilik atau pengusaha kedai peruncitan ataupun serbaneka yang menjual arak kepada mana-mana orang Islam.

Kita melihat kebanyakan pemilik atau pengusaha ini terdiri daripada golongan bukan Islam, malahan ada antaranya dimiliki oleh taukeh judi. Mereka tahu bahawa jika mereka menjual arak kepada remaja Islam tindakan tidak boleh dikenakan terhadap mereka; kerana undang-undang negara menghadkan bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya kepada umat Islam.

Saya juga memohon kepada Kebawah Duli Sultan Selangor mengambil tindakan tegas dalam hal ini kerana sebagai payung bagi agama Islam dalam negeri Selangor, rakyat mengharapkan Tuanku memelihara kesucian dan maruah Islam dan umat Islam yang sudah tercemar akibat kegagalan YAB Tan Sri Menteri Besar Selangor mempertahankan Islam. Tuanku, you are the last bastion of Islam in this state of Selangor..please do something to redeem the honor and status of Islam in Selangor!

Saya juga menyeru sahabat-sahabat pejuang Islam supaya istiqomah dalam perjuangan kita memastikan Selangor khususnya, dan Malaysia amnya bebas daripada pengaruh arak, beer dan alkohol. Janganlah nanti dikata orang takbir kita dah jadi "tak-beer"!!

Monday, August 10, 2009

MSO DAH KAYA...

SIKU SIKIT

Kalau Saudara Zabidi Saidi melalui blognya Memo Belakang mengatakan blogger Zaharin Mat Yassin (Sang Kelembai) dah kaya raya, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Mohd Sayuti Omar (MSO).

Jumaat lalu, ketika melalui Pasir Tumbuh untuk ke Kota Bharu, saya nampak terpampang papan iklan – MSO Corporation Sdn Bhd – kontraktor membina Bandar Satelit Islam.

Saya tidak dapat ambil gambar kerana ketika melaluinya, lampu isyarat hijau. Terpaksa melalui begitu sahaja.

Namun MSO Corporation tetap di kepala saya. Saya turut bangga.

Dalam kepala saya terbayang bagaimana nikmatnya memuja memuji Kerajaan Negeri Kelantan, akhirnya MSO jadi orang kaya juga.

Kerana itu. beliau tidak hairan langsung dengan bekas rakannya seperti Datuk Husam Musa atau Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Jadi tidak payahlah lagi ungkit isu kambing Jamnapari atau apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan sama ada Husam atau Ibrahim.

Tahniahlah MSO.

Setidak-tidaknya ada juga blogger yang kaya.

Seiringan dengan ini, saya mohon untuk memetik tulisan Saudara yang bagi saya amat menarik untuk dikongsi.

Kemunafikan Pemimpin Melayu Islam

Oleh MSO (9 Julai 2009)

DI DALAM biara atau masjid, surau, atau pun bila berbicara di majlis-majlis berbau keagamaan, pemimnpin politik tampil sebagai jaguh agama. Muncul sebagai pejuang Islam nombor wahid.
Dibacalah berangkaian hadith-hadith dan ayat-ayat al-Quran untuk menunjukkan betapa kuatnya keimanan mereka. Begitu menyinarnya iltizam mereka kepada agama, iras-iras seakan rela syahid di medan juang adden. Seakan kalau mereka terpanah musuh ketika itu darah yang mengalir membentuk kalimah Lailahaillah macam cerita-cerita sufi dalam filem Hindustan.

Maka bersoraklah para pendengarnya, banggalah dan kembanglah dada dan merindinglah bulu roma di lengan dan bulu tengkuk sampai ke janggut. Jika dikerah para pendengar itu, saat itu juga mereka turun ke medan jihad fisabilah. Maka bersahutan takbir yang dikemudikan oleh seorang juru tempik yang berada di hadapan penceramah, yang menempik takbir....!

Tokoh yang bercakap dan bersyarah bersembur air liur tadi pun dipuji dan diusung dan dinobatkan sebagap muhyiddin (pebela agama). Jika berkesempatan bersalaman, dipeluk dan dicium tokoh itu dan air serban dan jubahnya pun turut diminum untuk jadikan penawar menguatkan jiwa dan mengebalkan kulit tubuh untuk menghadapi pedang kuffar.

Sebelum melangkah ke kereta pancuan empat roda akan dihulur sampul yang di dalamnya ada beberapa keping nota RM50 atau RM100.
Itulah warna dan senario yang dapat dilihat bila pemimpin berada di pentas syarahan mereka.

Tetapi bila turun ke bawa lain sekali jadinya. Bila berhadapan dengan ujian dan masalah, dengan mehnaj, berbeza jauh dengan ketika berada di pentas. Mereka jadi macam anak ayam kesejukan disimbah hujan. Jiwa kental mereka untuk menegakkan Islam, menentang kemungkaran ghuyup dan lunyai.
Usahkan berdepan dengan Yahudi, tetapi bila berdepan dengan rakan politik yang yang bukan sesama Islam pun sudah cukup melemahkan mereka. Nada cakapnya tiba-tiba jadi berubah, dari suara rimau sebelum ini kepada suara burung hantu bisu..

Mereka bukan pun mengeluarkan senjata tetapi cukup setakat meninggikan suara saja, akan diakur dan dituruti atas alasan kemanusiaan. Iya kemanusiaan politik gilakan kuasa.
Topik perbicaraan pun bertukar daripada menceritakan soal-soal agama kepada soal-soal dunia semasa, soal perpaduan membina masa depan negara dan sebagainya.

Soal untuk angkat pedang sudah tidak ada lagi. Apa lagi bila sesekali rakan Islam menjadi tiong meniru-niru membaca ayat Quran ataupun berkokok memberi salam dan berhipokrit dengan selendang di kepala dirai dengan menyembelih tujuh ekor unta dari padang pasir.
Inilah hakikat yang berlaku? Hakikat yang perlu disedari dan difahami oleh semua orang Islam dan Melayu.

Bukan baru, fenomena ini dah lama dah. Apakah tokoh-tokoh seperti ini yang boleh diharapkan untuk membela Islam? Menjadi muhyiddin? Apakah dalam keadaan iman lemah dan senang digemulaikan itu yang boleh mereka perlakukan? Dan apakah tidak berdosa bagi mereka yang memberi undi untuk menaikan mereka?
Bukankah memberi undi itu memberi kuasa? Dengan kuasa itu sebagai wali untuk mereka melaksanakan apa yang dipersetujui?

Dalam konteks ini ialah melaksanakan perintah Allah s.w.t. dan melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w. Jadi kalau mereka gagal melaksana itu apakah hukum dan tindakan yang harus dilakukan? Bukankah Allah mengecam mereka yang melakukan persubahatan?


Ringkas ceritanya, analogi ini untuk melihat apa yang berlaku di Selangor sekarang ini mengenai larangan penjualan arak secara terbuka di negeri berkenaan. Bukan maksud saya ingin menyatakan larangan atau tindakan itu kurang bijak, tetapi dilihat dari konteks orang yang memimpin hari ini ialah bangsa Islam. Pemimpin ini diberikan harapan dan kepercayaan untuk mendaulatkan Islam kerana dia Islam tindakan dan keputusan itu adalah satu yang sangat kontras dan menyakitkan jiwa.


Bagi orang Islam mereka memberi kuasa untuk pemimpin bukan saja menegakkan keadilan, tetapi kebenaran juga. Keadilan satu hal kebenaran satu hal. Dalam beragama, ia bukan sahaja mesti adil, tetapi wajib benar, haq. Keadilan tanpa kebenaran adalah batal. Kebenaran tanpa keadilan adalah zalim. Islam itu bukan zalim dan hampa. Islam itu padat dan realitas.

Menjual arak untuk keperluan bukan Islam, adalah keadilan sosial sebagai memenuhi budaya mereka. Tetapi tidak melarang dan membiarkannya atas kehendak penjual dan pembelian bukan yang haq, dan itu satu kesalahan dan dibenci dan dilaknat Allah.

Salah bila perbuatan bertentangan dengan hukum Tuhan. Haq di dalam Islam ialah menegakkan kebenaran dalam keadaan apa sekalipun bukannya memberi keadilan sehingga dibenci Allah.
Mencegah ianya dijual samalah cegahan atau larangan Tuhan menghampiri zina (maksiat).

Kerana maksiat itu membawa kecelakaan maka undang-undang (pencegahan) telah ditekankan. Begitulah dengan arak walaupun dijual bukan untuk Islam tetapi membiarkannya atas nama keadilan itu ia mendedahkan kecelakaan kepada orang Islam.


Sikap memberi kuasa kepada penjual itu telah memberi kesempatan kepada peminumnya. Apa yang patut difikirkan bila benda itu sudah tersedia (dijual bebas) ia mengundang pembeli yang tidak sepatutnya membeli.

Fitrah manusia macam fitrah kucing dengan ikan tawar yang pantang melihatnya. Filsafat kucing jika ia tidak membaham ikan tawar itu maka ia sudah tidak menjadi kucing lagi.
Jika kucing memakan ikan tawar yang terdedah itu bukan salah si kucing tetapi tuan yang tidak melindungi ikan tawar itu.

Jadi di sini salahnya mereka yang berkuasa dan diberikan kuasa untuk melindunginya tetapi sengaja tidak mahu melindungi rakyatnya. Kerajaan seperti ini samalah orang yang sengaja mendedahkan ikan tawar kepada si kucing itu.


Tindakan penguasa yang menyerahkan kepada penjual dan pembeli membuat keputusan mengenai minum keras itu adalah tindakan paling lemah sekali dan tidak menujukkan kesungguhan dalam membenteraskan maksiat dan kegiatan haram.

Dari segi keimanan, imannya sangat lemah dan naif. Tiada kekuatan adden dalam dirinya. Jiwa agamanya sudah longlai.
Iya kita sering berbalik kata, inikan negara majmuk?

Iya.. ini negara majmuk tetapi apakah kemajmukan ini menyebabkan kita harus bertolakansur tetapi tidak dipihak lain? Apakah kerana kita digembar gemburkan berkuasa dan menjadi tuan maka kita syok atas dendangan itu dan perlu bertolak ansur. Kita sudah berlebih-lebih dalam soal ini.

Satu hakikat yang perlu diingati bahawa tidak semua majoriti itu berada dalam keadaan selesa. Majoriti bukannya segala-galanya. Majoriti bukan tanda kehebatan dan kemenangan!
Umat Islam yang memberi undi dan kuasa kepada pemimpin demikian tentu rasa kesal dan bersalah. Wajar mereka merasakan begitu kerana hasil kelonggran itu ia memberi kesan dan saham dosa buat mereka.

Seorang yang merindui keimanan yang jernih tidak akan relah mendedahkan diri mereka terendam dalam lopak subahat yang kekeruhan.
Dari sudut lain, kegagalan menangan isu-isu bersabit dengan soal keimanan dan akidah (seperti arak, judi dsbnya) umat Islam dalam sesebuah negeri yang ada raja, dimana raja pula berkuasa dalam bidang agama menunjukkan kuasa sudah tidak memberi apa-apa erti lagi.

Kuasa itu hanya berkuasa ats kertas saja. Maka eloklah kalau kuasa-kuasa mutlak turun temurun itu difikirkan untuk dicabut. Sebab kalau ia ada tetapi tidak digunakan tak ubah seperti keris pusaka yang tersarung tergantung di dinding rumah.


Jika ia sudah tidak berguna dan digunakan ia meyerabutkan mata memandang saja. Sebenarnya dalam hal ini kita tidak merasa kesal dengan kekuatan dan usaha musuh berbagai itu kerana kita sendiri tidak melindungi diri dan agama dengan kuasa yang terbekal kepada kita! [wm.kl. 7:45 am 09/08/09]

Sunday, August 9, 2009

HASSAN ALI BERTINDAK BERDASARKAN ENAKMEN JENAYAH SYARIAH BN/UMNO 1995

(Sembang Ahad)

Untuk apa Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Hassan Ali menerjunkan dirinya dalam isu arak walaupun tahu akan timbul kontroversi?

Inisiatif adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya disisi Islam.

Ia bukan untuk menganggu-gugat hak masyarakat yang bukan Islam. PAS Selangor tidak pernah menuntut agar arak ini diharamkan dijual atau diminum dikalangan masyarakat bukan Islam.

Berdasarkan apa Hassan Ali bertindak?

Hassan Ali bertindak bukan berdasarkan enakmen atau peruntukan diluluskan oleh kerajaan pembangkang Selangor.

Hassan Ali bertindak berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang digubal oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Selangor dan dikuatkuasakan oleh kerajaan BN Selangor pada 22 November 1996.

Terang dan jelas, kerajaan BN yang mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai suatu kesalahan jenayah syariah.

Jelas tuduhan BN sebagai kerajaan zalim, kafir dan tidak memperjuangkan Islam tidak benar.

Komponen BN di Selangor seperti MCA, MIC dan Gerakan tidak pernah menentang Enakmen 1995 itu, malah menyokongnya – kerana itu diluluskan.

MCA, MIC dan Gerakan tidak seperti DAP yang asyik mempertikaikan hukum-hakam Islam dan jelas Parti Keadilan Rakyat juga 2 kali 5.

Jadi di sini, tidak payahlah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu mengada-ngada mahu mengajar Kerajaan Selangor untuk menyelesaikan masalah ini.

Tindakan Nik Aziz, tindakan politik yang bukan mahu membela Hassan Ali tetapi pemimpin DAP –Ronnie Liu.

Kenapa Nik Aziz bersungguh-sungguh mahu membela pemimpin DAP yang diminta oleh Hassan Ali supaya difikirkan semula kedudukannya dalam Barisan Exco Selangor?

Menteri Menteri Besar Kelantan itu jangan cepat melompat mengatakan sedia bantu Selangor cara jual arak.

Apakah Kelantan mempunyai formula lebih baik menjual arak berbanding Selangor.

Apakah selama ini cara Selangor tidak baik berbanding Kelantan yang menganggapnya lebih baik?

Kata Nik Aziz, sistem penjualan arak di Kelantan berkesan dan mampu memberikan keselesaan kepada pengguna dan peniaga bukan Islam mengikut kaedah yang dituntut Islam.

Berikutan itu, Kerajaan PAS Kelantan sedia membantu Selangor jika kerajaan negeri itu berminat mempelajari kaedah pengurusan dan penjualan arak kepada penduduknya yang bukan beragama Islam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, “Kalau Ronnie Liu (Exco Selangor) nak mari, sebagai tuan rumah kita kena sambut tetamu yang mahu datang atau berkunjung ke rumah kita untuk belajar cara-cara kita mengendalikan sistem penjualan dan pengurusan kedai minuman arak kepada bukan Islam negeri ini,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan Kelantan mula melaksanakan sistem pengurusan penjualan arak di negeri ini selepas PAS mula mengambil alih teraju pentadbiran negeri ini pada 1990.

Persoalannya ialah:

Pertama, pengalaman dan persekitaran di Kelantan dan Selangor berbeza. Di Selangor, orang bukan Islam ramai dan Majlis Perbandaran juga banyak dan turut disertai bukan Islam. Di Kelantan, bukan Islam sedikit dan sebelah sempadan dekat sahaja.

Selain itu majlis daerah boleh dikatakan ahlinya 100 peratus orang Islam. Hanya beberapa majlis daerah dan perbandaran yang ahlinya orang Islam.

Kedua, orang bukan Islam di Kelantan tidak ‘enjoy’ atau ‘happening’ di Kelantan. Mereka boleh ke luar Kelantan untuk ‘melepaskan keresahan mereka’.

Boleh dikatakan di Kelantan, peratusan dan undang-undang bersabit Islam, lebih ditujukan kepada orang Islam, bukannya bukan Islam.

Jadi, Nik Aziz kena faham suasana dan persekitaran dan jangan melihat Kelantan itu baik dan ok segala-galanya.

Rasanya dalam konteks Selangor Hassan Ali. Janganlah Nik Aziz mahu menjadi ketam...mengajar anak berjalan betul!

Apapun, fahami apa sebenarnya hasrat dan tindakan Hassan Ali mengenai kontroversi ini:

Kenyataan Penuh Dr Hassan Ali

“KONTROVERSI ISU ARAK DI NEGERI SELANGOR”

PENDAHULUAN

MEMINUM arak ataupun minuman berakohol yang memabukkan merupakan salah satu dosa besar dalam agama Islam. Ia haram diminum samada dalam kuantiti yang banyak ataupun sedikit, samada sipeminum tadi mabuk ataupun tidak akibatnya.
Allah swt berfirman di dalam al Quran, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. “
(al Maidah: 90).

Nabi Muhammad s.a.w pernah melaknat mereka yang terbabit dengan arak ini iaitu sebanyak 10 golongan melalui sabdanya:

“Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan:
(1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkannya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya."
(Hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995

Oleh itu kerajaan bertanggungjawab memastikan yang rakyat jelata khasnya yang beragama Islam tidak terlibat dalam aktiviti yang membabitkan arak ini tambahan pula di Negeri Selangor, umat Islam di negeri ini adalah tertakluk dan terikat pada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berkuatkuasa sejak 22 November 1996 yang telah mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai suatu kesalahan jenayah syariah.

Melalui Enakmen ini di bawah kategori kesalahan minuman yang memabukkan dinyatakan di bawah Seksyen 18 (1) dan (2) iaitu:

(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

INISIATIF MEMBEBASKAN UMAT ISLAM DARI ARAK DI SELANGOR

Diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) contohnya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berdasarkan sentimen dan tuntutan masyarakat, usaha telah dilakukan untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal penjualan arak ini iaitu di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam. Inisiatif ini turut diambil oleh ahli-ahli majlis di PBT-PBT yang lain di Selangor.

Walaubagaimanapun harus diberi perhatian bahawa segala usaha di atas TIDAK sama-sekali melibat atau membabitkan hak masyarakat bukan Islam di Negeri Selangor. PAS Selangor tidak pernah menuntut agar arak ini diharamkan dijual atau diminum dikalangan masyarakat bukan Islam.

Inisiatif yang diambil adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya disisi Islam dan bukan untuk menganggu-gugat hak masyarakat yang bukan Islam.

Oleh itu PAS Selangor kesal apabila inisiatif dari tindakan untuk mengawal pengurusan penjualan dan peminuman arak ini dikalangan masyarakat Islam telah dicampuri oleh pihak-pihak yang tertentu. Campurtangan membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai 2009 lalu dengan mempertikaikan keputusan pihak PBT dan para pegawai MBSA yang melaksanakan tugas ternyata telah mengingkari saluran-saluran pentadbiran yang sepatutnya.

Malah PAS Selangor mendapat laporan bahawa campurtangan itu (dan beberapa tindakan serupa sebelum ini) telah menganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan amnya.

TUNTUTAN-TUNTUTAN DAN TINDAKAN PAS SELANGOR

PERTAMA: Dengan perkembangan ini PAS Selangor mendesak agar kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim agar serius dan menyegerakan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, untuk digunapakai seluruh negeri Selangor, supaya kontroversi seumpama ini tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam di sini.

KEDUA: PAS Selangor turut menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.

KETIGA: PAS Selangor mengeluarkan arahan kepada seluruh kekuatan parti di negeri ini untuk mengambil langkah-langkah yang wajar dan bersesuaian dengan kedudukan dan jawatan masing-masing agar usaha untuk membebaskan umat Islam dari arak ini dilakukan secara serius dan berterusan, menurut adab, peraturan dan undang-undang yang sedia ada, demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh masyarakat dan umat Islam di negeri ini.

KEEMPAT: PAS Selangor akan segera mengemukakan deraf peraturan kecil mengenai penggunaan arak dikalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat PBT-PBT.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, PAS Selangor mengesan bahawa keseluruhan rentetan kes-kes ini sesungguhnya berpunca dari kegagalan dan kelemahan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) Selangor yang telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini lebih 50 tahun lalu.

Pimpinan Umno Selangor semasa berkuasa dahulu terbukti tidak sama-sekali serius dan jujur dalam menyelesaikan masalah orang-orang Islam termasuklah berhubung penjualan dan peminuman arak ini. Oleh itu PAS kini melalui mandat yang diberikan rakyat kepadanya, bertanggungjawab untuk memperjuangkan isu ini demi kepentingan masyarakat Islam dan seluruh rakyat amnya.

YB DATO’ DR HASAN BIN MOHAMED ALI PESURUHJAYA PAS NEGERI SELANGOR 4 OGOS 2009

Thursday, August 6, 2009

KESIAN DR HASSAN BERKESAORANGAN...

Apakah PAS Pusat tidak yakin dan percaya dengan bantahan oleh Datuk Dr Hasan Mohamed Ali terhadap wakil rakyat DAP, Ronnie Liu yang juga Exco Selangor?

Hsssssshhh....jangan buka mulut. Menteri Besar marah. Pemimpin PAS Pusat juga akan marah...nanti terjejas kerjasama. Isu arak kecil berbanding dengan kepentingan kuasa.

Pemimpin PAS Pusat skeptikal dengan tindakan Hassan Ali. Yang pasti kepentingan kuasa mengatasi apa yang diperjuangkan Hassan Ali.

Nampak sangat dalam isu ini Hassan Ali berkesaorangan – kecuali Pemuda PAS Selangor - apabila kira-kira jam 3 petang semalam, Dewan itu turut menyerahkan memorandum kepada Liu.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan, berkata Dewan Pemuda Pas Selangor menghantar memorandum itu bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan Liu dan meminta wakil rakyat DAP itu menghormati sensitiviti umat Islam.

Hassan Ali bagaikan terperangkap kerana pada ketika Menteri Besar tidak mahu layan langsung desakannya, beliau akan berdepan pula dengan PAS Pusat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan tegas mengatakan, tidak tunduk terhadap desakan PAS Selangor yang mahu wakil rakyat DAP, Ronnie Liu, digugurkan daripada barisan Exco negeri kerana didakwa mengguris hati umat Islam.

Di pihak PAS, Naib Presidennya Salahuddin Ayub berkata, PAS Pusat akan mendapatkan penjelasan daripada Pesuruhjaya Pas Selangor itu berhubung desakan beliau supaya kedudukan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu dikaji semula.

Abdul Khalid pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco semalam, menegaskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan negeri itu tidak akan digugurkan kerana ia bukan isu.

Abdul Khalid berkata, isu yang dibangkitkan PAS Selangor itu akan diselesaikan selepas kerajaan negeri membuat keputusan mengenai peraturan kecil penjualan minuman keras pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), esok (Jumaat).

Sehingga keputusan muktamad dibuat, katanya, semua Exco dan pegawai kerajaan negeri dilarang bercakap atau membuat sebarang komen mengenai isu penjualan minuman keras.

Beliau berkata, peraturan kecil penjualan minuman keras di Selangor yang akan diumumkan esok mengambil kira semua pihak, terutama sensitiviti umat Islam dan kepentingan bukan Islam.

Difahamkan, kerajaan negeri akan menguatkuasakan peraturan kecil melarang penjualan minuman keras di kawasan majoriti Islam di semua 12 PBT di Selangor.

Peraturan itu telah ada sejak 1996, tetapi hanya dikuatkuasakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menggunakan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1996.

Apabila dikuatkuasakan, semua premis termasuk kedai serbaneka di kawasan membabitkan Seksyen 1 sehingga 24 di bandar raya ini, dijangka tidak dibenarkan menjual minuman keras.
Salahuddin berkata, penjelasan itu penting supaya tidak timbul salah faham dan kekeliruan mengenai maksud sebenar desakan itu.

Katanya, untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai perkara itu beliau akan bertemu dengan Hasan dalam waktu terdekat bagi mendengar sendiri dalam konteks apakah desakan itu dibuat.

"PAS juga perlu dapat penjelasan dalam konteks apa dia cakap. Ini penting supaya tidak timbul salah faham daripada kenyataan yang dikeluarkannya," katanya kepada Bernama.

Menghairankan, seorang lagi pemimpin PAS yang selalu becot, Datuk Mahfuz Omar pula enggan mengulas mengenai tindakan Hassan Ali.

Dalam soal-soal berkaitan arak seperti ini, Mahfuz melarikan diri.

Baginya yang penting ialah Menteri Besar Selangor itu jangan terasa hati. Sebab itu beliau mengatakan terpulang kepada Khalid untuk menangani isu itu kerana ia berada di bawah bidang kuasa beliau sebagai Menteri Besar.

Mahfuz lari daripada persoalan sebenar apabila berkata, PAS pusat tidak akan campur tangan kerana soal pelantikan seseorang exco dan keputusan mengenai portfolio yang dipegang terletak di bawah bidang kuasa Menteri Besar.

"Saya tak nak komen sama ada betul atau tidak tindakan itu.

Semua portfolio di bawah bidang kuasa Menteri Besar dan terpulang kepadanya untuk membuat keputusan tetapi bagi isu seperti mencampuri urusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu dibawa berbincang sesama rakan Pakatan Rakyat supaya tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari, "katanya menggambarkan betapa pemimpin PAS ini melihat kuasa lebih penting daripada isu arak berkenaan.