Showing posts with label UMNO Terengganu. Show all posts
Showing posts with label UMNO Terengganu. Show all posts

Monday, November 16, 2015

UMNO TERENGGANU, GLC KINI BOLEH AMBIL TANAH RIZAB MELAYU?


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar (Kuala Terengganu) Azan Ismail sudah menyatakan perkara ini secara terbuka pada ceramah bersama pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) di Marang baru-baru ini.

Malah, beliau mempersoalkan kenapa Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) PAS, termasuk ADUN Rhu Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya membisu mengenai perkara ini.

Juga ADUN PAS lain seolah-olah bersetuju dengan UMNO Terengganu.

Hari ini, beliau menyebutnya lagi pada sidang media yang dibuat oleh Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin di lobi Parlimen mengenai perkara yang sama.

Perkaranya?

Kerajaan negeri Terengganu telah meminda dan mewartakanundang-undang negeri yang membolehkan UMNO Terengganu mengambil alih tanah rizab Melayu.

Menurut ahli parlimen Pakatan Harapan di Parlimen hari ini, pindaan kepada Seksyen 9 Enakmen Tanah Rizab Melayu Terengganu dibuat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Mei lalu.

Sesalinan hansard DUN Terengganu yang dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mempertahankan pindaan itu untuk melindungi kepentingan UMNO.

"Kami mahu lindungi tanah milik UMNO supaya ia kekal di bawah orang Melayu, kerana ahli-ahli UMNO adalah orang Melayu," kata Razif di DUN Terengganu pada 14 Mei lalu.

Selain UMNO Terengganu, pindaan juga membolehkan pemilikan tanah rizab Melayu dipindahkan kepada Perbadanan PR1MA.


Hanipa berkata beliau dan Azan akan mencabar pindaan itu di mahkamah.

"Sebagai seorang peguam, saya tidak pernah melihat undang-undang sebegini," Hanipa.

Beliau diiringi oleh Azan yang mendakwa dirinya adalah wakil rakyat tunggal yang membantah pindaan tersebut.

"Saya cadangkan anda tanya kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengapa sebagai pemimpin pembangkang Terengganu, beliau tidak membantah (pindaan) ini," kata Hanipa.

Azan mengakui beliau khuatir pindaan baru itu akan menyusul ke negeri-negeri lain.

"Saya bimbang dengan undang-undang baru ini, ia akan pendulu bagi membolehkan negeri-negeri lain juga membenarkan pemilikan tanah rizab Melayu dipindahkan kepada parti politik," katanya.

Pada 29 Nov 2014, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan semua menteri besar di bawah Barisan Nasional (BN) menggantikan tanah rizab Melayu yang diambil bagi tujuan pembangunan.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, tanah tersebut bukan sekadar menjadi tanah rizab semata-mata sebaliknya perlu dibangun dan dimajukan.

“Saya minta semua undang-undang yang perlu dipinda dibuat pindaan supaya tanah-tanah rizab Melayu ini boleh dibangunkan dengan nilai yang menguntungkan pemilik-pemiliknya,’’ katanya.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur.

Isu tanah rizab Melayu menjadi perhatian perwakilan dalam perhimpunan itu berikutan pendedahan Utusan Malaysia pada 17 September lalu.

Sunday, January 16, 2011

Ahmad Said Dijangka Umum Saf Kepimpinan UMNO Terengganu Esok

Pada satu majlis santai wartawan daripada media cetak dan elektronik sekitar Kuala Terengganu dengan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Rabu (13 Jan 2011) lalu, antara soalan dikemukakan ialah bilakah saf kepimpinan UMNO Terengganu akan diumumkan?

Pertanyaan itu timbul berikutan pemilihan Menteri Besar , Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO menggantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkuatkuasa 1 Januari 2011 lalu.

Hishamuddin yang menjadi Pengerusi hampir setahun lapan bulan iaitu bermula pada 24 April 2009 melantik Tengku Putera sebagai Setiausaha, Datuk Rahin Mohd.Said (Bendahari) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek sebagai Ketua Penerangan.

Pasukan Ahmad Said ketika mula mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu daripada Datuk Seri Idris Jusoh pada 2008.

Sehingga ini Ahmad Said membisu seribu bahasa. Dia mengunci kemas mulutnya daripada menyebut sebarang nama atau barisan yang bakal menganggotai jawatankuasa perhubungan UMNO yang baru.

Malah, pada dua majlis bersama veteran UMNO Terengganu pada Khamis lalu, iaitu di Dungun dan Kemaman, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu itu tidak pun memberikan isyarat siapa akan dilantik.

Ada pihak mengatakan kelambatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, mengumumkannya kerana ‘ada masalah’ memilih Ketua Penerangan dan Bendahari.

Ada pula yang mengatakan beberapa pihak cuba melobi Ahmad Said untuk mendapatkan jawatan Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu menggantikan Tengku Putera.

Jawapan yang diberikan oleh Tengku Puteri pada majlis minum petang Bicara Bersama Media, anjuran Unit Komunikasi Negeri (UKOM) di sebuah hotel di Kuala Terengganu ialah semua Ketua UMNO bahagian di negeri itu memberi mandat kepada kepimpinan parti untuk memilih saf kepimpinan UMNO Terengganu yang baru.

“UMNO Terengganu yakin Menteri Besar akan mendapat kerjasama penuh daripada semua ketua bahagian dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam usaha memantapkan lagi parti.

“Selepas ini, kita (UMNO Terengganu) akan memperkemaskan lagi jentera parti dan melakukan gerak kerja bagi menambah sokongan pengundi kepada parti,” tambahnya.
Tengku Putera berkata, UMNO Terengganu makin bertenaga dalam melaksanakan gerak kerja, berikutan pelantikan Menteri Besar sebagi teraju utama parti.

Saya melihat Ahmad Said cuba membentuk satu barisan yang mantap dan bertenaga ‘sekembali semula beliau’ memimpin UMNO Terengganu.

Berikutan itu, Menteri Besar itu cuba mengenal pasti calon terbaik dan tidak mahu dilabelkan sebagai kemimpinan lemah dan kurang bertenaga.

Perkara lain pastinya beliau mahu supaya nama yang akan diajukan kepada Perdana Menteri dirahsiakan dahulu dan adalah baik mendapat persetujuan barulah diumumkan.
Namun, seperti biasa ada pihak yang melobi pelbagai cara untuk dilantik ke dalam saf ini.

Tengah hari esok dikatakan ada majlis yang dijangka akan berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya yang sudah pasti akan dihadiri oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian, termasuklah Ketua Umno bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad yang telahpun dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Menurut sebuah blog di Terengganu, amat sukar kali ini untuk diramalkan siapa pula akan dilantik. Namun begitu beberapa nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak berjawatan utama di bahagian disebut-sebut.

Sebenarnya jawatan-jawatan itu bukanlah ‘mahkota’ tetapi suatu amanah yang perlu dipikul dengan komited dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada parti dan kepimpinan.

“Setia” dan “Usaha” adalah suatu jawatan yang akan menjadi nadi penggerak penting, sebab itu dalam institusi kerajaan Pejabat Setiausaha Kerajaan adalah nadi segalanya.

Malah jika Ahmad Said mahu memantapkan pentadbiran parti, Setiausahanya perlulah seseorang yang kuat bekerja dan proaktif setiap masa, bukan berharap kepada kesetiaan semata-mata.

Bendahari pula bukan sahaja mampu mencri sumber, menyimpan wang dan membelanjakannya secara berhemah, tetapi mestilah seorang yang mampu bersama-sama memastikan ‘tabung’ Umno Terengganu mampu menampung pentadbiran dan operasinya, lebih-lebih lagi menjelang Pilihanraya Umno, PRU 13.

Manakala Penerangan adalah nadi penting dalam sesebuah organiasi parti, jika lumpuh di peringkat ini, maka parti akan dilihat dan dikatakan lumpuh; sedangkan di pihak lawan operasi penerangan begitu hebat sekali.

“Kita tidak boleh ketinggalan dan tidur di masa pihak pembangkang menyerang kita dengan hebatnya,” kata orang-orang Umno yang bersemangat tinggi untuk melihat Umno Terengganu cemerlang.

Mereka berharap dengan kehadiran Ahmad Said selaku Pengerusi Umno dan Menteri Besar dan barisan kepimpinan dan pegawai parti yang bakal dilantik, mampu menggerak dan meneruskan kembali pemerkasaan kegiatan penerangan, turun padang menemui rakyat dan ahli-ahli serta penyokong, selain memperkukuhkan Umno.

Hanya melaluinya impian PAS untuk menggantikan UMNO menjadi angan-angan kosong dan mimpi di siang hari yang berterusan.

Jika pada 2004 dan 2008 Datuk Idris Jusoh berjaya melakukannya, pada pilihan raya umum akan datang, Ahmad Said pula yang akan memimpin UMNO mencipta kejayaannya!