Showing posts with label JAIS. Show all posts
Showing posts with label JAIS. Show all posts

Wednesday, June 4, 2014

'PERCINTAAN SONGSANG' - KENAPA PEMIMPIN, ULAMA UMNO BERDIAM DIRI?

"Isu keruntuhan akidah perlu diangkat kembali dalam masyarakat supaya kepekaan dan keprihatinan semua pihak dapat diberi perhatian...Keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam di negeri-negeri sama-sama berperanan agar setiap individu tidak dipesongkan oleh penyakit akidah."
- AJK Pusat PAS,  Dr Riduan Mohd Nor

Kontrovesi mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap seorang pengantin wanita yang berkahwin mengikut adat Hindu, Ahad lalu mendapat reaksi berbagai.

Pada ketika pemimpin UMNO membisu seribu Bahasa, beberapa pemimpin PAS memuji tindakan JAIS, seorang pemimpin kanan PAS berkata JAIS sepatutnya membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum bertindak.

Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, JAIS wajar membuat pemeriksaan terlebih dahulu, sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut termasuk serbuan kerana ia boleh mencetus perbalahan agama.

"Adalah wajar JAIS ambil tindakan melalui maklumat lengkap dan sahih. Kita tahu serbuan ke atas perkahwinan itu boleh mencetuskan perbalahan agama.

"Jadi keperluan untuk mendapatkan maklumat yang tepat mesti diteliti dengan cermat," katanya.


Sementara itu seorang jawatankuasa kerja PAS mempertahankan operasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas satu majlis perkahwinan mengikut adat Hindu, didakwa melibatkan pengantin wanita yang disyaki penganut Islam.

Riduan Mohd Nor berkata, tindakan tersebut mungkin terpaksa dijalankan oleh JAIS bagi menyelamatkan akidah wanita tersebut. Jelasnya, umat Islam diharamkan berkahwin dengan penganut agama lain dan Islam juga mengharamkan penganutnya keluar dari agama tersebut.

"Tindakan gadis tersebut berkahwin di kuil dengan mengikut segala amalan dan ajaran Hindu dikhuatir akan menjejaskan akidahnya serta melanggar syariat Islam. Perkahwinannya di sisi Islam tidak sah dan akan menyebabkab zuriat yang diperolehi juga tidak sah taraf," kata Riduan lagi dalam satu kenyataan.

Malaysiakini yang memetik laporan Sinar Harian menyebut JAIS menahan pengantin berkenaan, seorang wanita berusia 32 tahun ketika upacara perkakwinan sedang berlangsung bersama pasangannya, seorang lelaki beragama Hindu. Wanita yang lengkap berpakaian pengantin itu ditahan oleh pasukan anggota JAIS di Petaling Jaya pada kira-kira jam 10 pagi.

Beliau seterusnya dibawa ke ibu pejabat pihak berkuasa tersebut untuk siasatan, hari Ahad lalu.

Operasi tersebut dijalankan dengan bantuan anggota polis yang berkawal di luar kawasan majlis tersebut, manakala keluarga mempelai memberi kerjasama baik, lapor akhbar tersebut.

JAIS dilaporkan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.



Peruntukan itu meliputi kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang beragama Islam supaya mengubah keimanan.

Laporan yang memetik satu sumber tidak dinamakan itu menyebut, bapa wanita tersebut yang beragama Hindu sebelum ini menukar agama wanita berkenaan kepada Islam.

“Wanita itu tidak mengetahui bapanya mendaftarkan dia dan tiga adik-beradiknya sebagai beragama Islam. “Wanita itu hanya mengetahui perkara itu selepas saudara terdekat melihat sijil kelahiran (status agama) mereka tercatat agama Islam,” kata sumber berkenaan.

Sumber itu juga menyebut pengantin berkenaan serta adik beradik mereka dibesarkan oleh ibu mengikut ajaran Hindu setelah lelaki berkenaan meninggalkan keluarga berkenaan sejak pengantin wanita itu masih kecil.

Menurut sumber itu lagi, pengantin wanita itu pernah memohon penukaran status agama di Mykad pada tahun 2007 namun tidak berjaya kerana penukaran tersebut memerlukan tandatangan bapanya. Menurut sumber itu, pengantin wanita tersebut melakukan permohonan sekali lagi pada April lalu

Bagi Dzulkefly berkata mana-mana pihak termasuk Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) berhak untuk menyatakan pandangan mereka berhubung kes berkenaan.

“Hindraf boleh kata apa pun, yang pentingnya semua yang memberikan pandangan. "Semua (pihak) mesti memikul tanggungjawab menjaga suasana damai dan sejahtera khususnya bagi umat Islam,” katanya. 

Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy dalam kenyataannya semalam antara lainnya mendakwa tindakan JAIS di upacara perkahwinan di sebuah kuil di Petaling Jaya itu mencabul Perlembagaan.

Waytha mendakwa serbuan itu melanggar hak kebebasan beragama yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan, selain menjejaskan suasana aman dalam majlis perkahwinan itu.

Hindraf menganggap tindakan JAIS ke atas satu majlis perkahwinan mengikut agama Hindu itu disifatkan sebagai satu bentuk pencabulan perlembagaan.

Pengerusinya P Waythamoorthy berkata, operasi melibatkan penahanan pengantin wanita itu juga menunjukkan sikap tidak menghormati sensitiviti orang bukan Islam.

“Serbuan itu menyalahi undang-undang, tidak mengikut perlembagaan dan mengganggu ketenangan suasana dalam masyarakat pada waktu itu. Tindakan JAIS jelas menunjukkan tidak menghormati sensitiviti bukan Islam dan tempat-tempat ibadat mereka.

“Perbuatan ini jelas menunjukan mereka sudah melampaui batas bidang kuasa mereka,” katanya seperti dipetik dari kenyataan medianya.

Waytha mempertikaikan peruntukan undang-undang yang digunakan JAIS ketika menyerbu dan menahan pengantin wanita itu. Katanya, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam) 1988 itu tidak mempunyai kuasa untuk bertindak demikian di tempat beribadat agama Hindu itu.

“Akta ini tidak memberi apa-apa jenis hak pada JAIS untuk menyerang kuil dan menghentikan perkahwinan Hindu daripada berlaku. Akta itu sendiri sudah jelas,” katanya.

Apapun, cuba kita teliti secara mendalam apa yang diebutkan oleh Dr Riduan Mohd Nor, AJK PAS Pusat pada  03 Jun 2014: 


Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis perkahwinan yang dijalankan mengikut adat Hindu di kuil di Petaling Jaya berikutan aduan pengantin perempuan yang dipercayai beragama Islam semalam mengundang pandangan pelbagai pihak.

Tidak kurang yang mengecam, mengutuk tindakan Jais sebagai tidak menghormati hak dan pegangan penganut agama lain. Ada yang marah kerana Jais mengganggu majlis perkahwinan dan budaya masyarakat dan agama Hindu.

Bagi umat Islam, tindakan Jais amat wajar kerana ia berjaya menyelamatkan akidah umat Islam dari terkeluar dari garis Islam.

Serbuan mungkin terpaksa dilakukan setelah mendapat maklumat tepat mengenai keislaman gadis itu bagi ‘membebaskan’ akidah beliau dari terjerumus ke lembah kemusnahan yang lebih parah di kemudian hari.

Menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam berkahwin dengan penganut agama lain tanpa pasangan bukan Islam itu memeluk agama Islam. Islam tidak membenarkan pula penganut Islam menukar agama kepada agama lain kerana ia adalah murtad dan kesalahan paling besar dalam Islam adalah keluar dari agamanya sendiri. Ia jelas difahami oleh penganut mazhab Ahli sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Tindakan gadis terbabit berkahwin di kuil dengan mengikut segala amalan dan ajaran Hindu dikhuatiri akan menjejaskan akidahnya serta melanggar syariat Islam.

Perkahwinannya di sisi Islam tidak sah dan akan menyebabkan zuriat yang diperolehi juga tidak sah taraf. Kes ini menjadi pengajaran betapa seriusnya masalah akidah dan akhlak dalam masyarakat. Kejahilan adalah faktor utama mengapa wanita itu sanggup mengenepikan ajaran agamanya demi meraih ‘cinta sejati’ bersama pasangannya.

Akidah umat boleh dijual beli hanya untuk kelangsungan perkahwinan dan percintaan. Seolah-olah akidah dan syahadah adalah perkara remeh yang boleh disampingkan kerana keperluan dan tuntutan hidup.

Isu keruntuhan akidah perlu diangkat kembali dalam masyarakat supaya kepekaan dan keprihatinan semua pihak dapat diberi perhatian.

Keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam di negeri-negeri sama-sama berperanan agar setiap individu tidak dipesongkan oleh penyakit akidah.

‘Percintaan songsang’ seperti ini boleh dielakkan andai kefahaman dan penghayatan Islam disemai dalam diri setiap individu.

Kajian dan survey terbaharu juga perlu dibuat untuk mengenalpasti sejauh mana ancaman murtad terhadap umat Islam.

Dibimbangi percintaan dan perkahwinan dijadikan sebagai senjata paling ampuh bagi memastikan akidah umat Islam melayang.


Persoalan yang kita mahu tahu ialah apa pendirian pemimpin dan ulama UMNO mengenai isu ini pada ketika pemimpin PAS sudah menyuarakan pendirian mereka, waalaupun wujud perbezaan pendapat?

Tuesday, November 12, 2013

DEMI TEGAKKAN SYIAR ISLAM, POLIS PERLU BURU PEMBUNUH MOHD RAFLI HINGGA KE LUBANG CACING…


Semalam (11 November 2013), di Georgetown, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihati orang ramai agar tidak membuat andaian kes tembak ketua penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) ada kaitan dengan Syiah.

Katanya, tidak ada bukti jelas berhubung perkara itu dan orang ramai harus membiarkan polis menjalankan siasatan terlebih dahulu.

Namun, Polis Pahang percaya kematian Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Allahyarham Mohd Rafli Abdul Malik, 47, yang ditembak kelmarin ( Ahad 10 November 2013), bermotifkan dendam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani (kiri) percaya tiga suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan tersebut mungkin berdendam atau tidak berpuas hati dengan Allahyarham dengan penguatkuasaan yang dijalankan.

Dengan polis tidak menolak kemungkinan kes pembunuhan itu bermotifkan dendam dan rasa tidak puas hati terhadap penguatkuasaan yang dijalankan mangsa, ia menguatkan andaian bahawa ancaman di atas penguatkuasaan yang dijalankan arwah terhadap kes berisiko tinggi menjadi ancaman peribadi terhadapnya. 

Polis Pahang sudah berikrar tidak akan sesekali memberi ruang kepada mereka yang terlibat dan akan memburu suspek hingga ke lubang cacing.

Selain itu polis turut memberi kawalan keselamatan terhadap waris mangsa bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang ancaman daripada pihak yang mungkin berdendam dengan mangsa.

Mengejutkan juga apabila semalam juga (11 November 2013), Ketua Polis Negara mahu seramai 31 pengikut ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ diarahkan menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Kesemua mereka dikehendaki hadir bagi membantu siasatan berhubung kematian Ketua Pegawai Penguat Kuasa jabatan agama itu.yang dilihat lebih cenderung berpunca daripada tugas mangsa membanteras penyelewengan agama dan maksiat.

"Kita akan melihat siasatan dari semua sudut bidang tugas dan pihak-pihak yang pernah terlibat dengan tindakan penguatkuasaan mangsa. Setakat ini polis telah mengerakkan pasukan untuk menemuduga semua yang boleh membantu siasatan termasuk meminta pengikut 'Tuhan Harun' ini tampil membantu siasatan," katanya


Malah, hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Kuantan menyebut, akan membuat keputusan sama ada akan mengeluarkan waran tangkap terhadap 'Tuhan Harun' atau Harun Mat Saad, 47, pada 15 November ini jika beliau gagal memberi kerjasama dalam kes menyebarkan ajaran sesat Februari lepas.

Hakim Syarie, Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie menetapkan tarikh tersebut selepas tertuduh gagal hadir buat kali kedua untuk proses pengurusan kes yang sepatutnya ditetapkan pada 20 Ogos lalu.

Abd Wahid turut menangguhkan sebutan semula kes berkenaan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Pada 24 April lalu Harun mengaku tidak bersalah terhadap 11 pertuduhan berkaitan penyebaran ajaran sesat, risalah dan buku-buku berkaitan ajaran tersebut.

Dia didakwa menyebar ajaran tersebut dengan mengaku dirinya sebagai Tuhan Harun atau Tuhan 2013 di sebuah premis di Lorong Pandan Damai, dekat Kuantan antara Februari hingga 4 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan jenayah tersebut di bawah Seksyen 162 (1) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang boleh membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Abdul Wahid Md Ali kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 bersama dua penjamin. Kesemua pengikut ajaran itu sebelum ini telah diarahkan untuk menyerah diri apabila beberapa pengikut dan ketua ajaran itu ditahan JAIP, sekitar tahun ini.

Persoalannya ialah dalam Ketua Polis Negara mengatakan tidak ada bukti jelas tetapi beliau meminta pengikut ‘Tuhan Harun’ menyerah diri. Apa kaitannya?

Beberapa perkembangan sejak awal April lalu, ternyata amat berkait rapat dengan Allahyarham Raffli. 

Harun pernah ditangkap tetapi kemudian diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin.
Antara kes besar yang dikendalikan oleh Raffli yang mati ditembak kelmarin ialah kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun , dimana ketua ajaran sesat ini Harun Mat Saad yang dituduh terlibat juga dalam kes penipuan deposit sebanyak RM 40 juta.

Ada mengatakan sehingga beratus-ratus juta ringgit, termasuk melibatkan pelabur dari negara Brunei.

Elok diperhatikan kes-kes yang melihat Raffli.

KES 1: Allahyarham banyak terlibat dengan kerja-kerja membanteras maksiat di Pahang, khususnya di Kuantan. Malah pada Januari 2010 lagi, dilaporkan Allahyarham Rafli mengadakan pemeriksaan terhadap 20 hotel bajet di Kuantan.

Tindakan beliau banyak mendapat liputan media luar apabila seolah-olah tindakannya mengganggu ‘kegembiraan’ dan ‘kedamaian’ yang cuba didapatkan oleh pihak-pihak tertentu umpamanya pada malam perayaan tahun baru.


Malah, dilaporkan, beberapa pihak, khususnya pengusaha pusat hiburan dan hotel bajet tidak berpuas hati dengan tindakan yang dijalankan oleh Raffli.

Ini bermakna Raflie menerusi operasi-operasi yang dijalankannya bersama-sama dengan PDRM, mendatangkan masalah kepada ketua-ketua kongsi gelap yang menguasai industri hiburan serta maksiat di seluruh Pahang.

KES 2 : Pada 12 Mei 2013, Allahyarham Raflie telah membuat sidang akhbar berhubung pemburuan seorang ketua ajaran sesat, HARUN MAT SAAD dan anak-anak serta isteri ketiganya serta 12 orang pengikutnya setelah mereka gagal tampil di mahkamah untuk dibicarakan.

Harun dalam menyebar ajaran tersebut mengaku dirinya sebagai Tuhan Harun atau Tuhan 2013 di sebuah premis di Lorong Pandan Damai, antara Februari lalu hingga 4 April lalu.

Pada 16 Mei , Jabatan Agama Islam Pahang mendapat perintah Mahkamah Syariah Pahang dan bersetuju mengeluarkan waran tangkap bagi memburu 12 pengikut ajaran sesat Tuhan Harun atau turut dikenali sebagai Tuhan 2013.

Allahyarham Rafli yang menjadi Ketua Penguat Kuasa JAIP berkata, mereka diburu dalam lingkungan umur di antara 12 hingga 41 tahun termasuk isteri ketiganya, Shuzliana Mokhtarudin, 29, dan empat anak-anaknya iaitu Mahni Harun 12, Saufi, 18, Lukman, 20 dan Muhammad, 21.

Kemudian pada 29 Mei 2013, selepas didakwa menyebarkan ajaran sesat dan mengaku sebagai tuhan, Harun Mat Saad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kota Bharu pada hari tersebut atas dua tuduhan menerima deposit secara haram sebanyak RM40 juta daripada beberapa buah syarikat dan orang ramai.

Ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' itu didakwa membantu dalam pengurusan dua syarikat untuk menerima deposit bermula dari September 2006 sehingga Mac 2008.

Harun, 47, yang bertindak sebagai penasihat syarikat Business Time Dina Sdn. Bhd., dan Pan Pheonix Dina Sdn. Bhd., mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Yusuff Yunus.

KES 3 : Pada 28 September 2013, laporan menyebut, Pahang mencatatkan kes pertama tangkapan berkaitan fahaman Syiah apabila seorang imam dipercayai pengikut ajaran itu ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di kuarters kakitangan ladang Risda Pekoti Timur, Muadzam Shah semalam.

Raffli yang mengetuai gerakan tangkapan berkenaan, berkata imam berumur 64 tahun itu disyaki mengamalkan ajaran itu sejak enam tahun lalu.

“Warga emas yang sudah menjadi imam berdaftar lebih 20 tahun itu tidak menyebarkan fahaman itu sebaliknya diamalkan secara individu,” katanya. Raffli berkata, siasatan awal juga mendapati keluarga imam berkenaan juga tidak terlibat dengan fahaman Syiah. “Kita percaya dia mempunyai rakan-rakan dan pernah hadir secara berkala ke beberapa pertemuan di beberapa tempat di antaranya Gombak dan Segamat.” 


Ketika serbuan, seorang anak lelaki imam berkenaan yang berumur 32 tahun yang kebetulan berada di rumah tersebut turut diminta untuk membantu siasatan.

Lelaki itu berdepan kemungkinan tuduhan mengikut Seksyen 165 dan Seksyen 170 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun. Beberapa minggu lalu,

Allahyarham dilaporkan mengetuai pasukan penguatkuasa agama menggempur sarang Syiah di Keratong dan dilaporkan berjaya.

Tidak sahaja sarang Syiah dimusnahkan, bahan-bahan bercetak untuk disebarkan, turut dimusnahkan.

Penggempuran yang dilakukan oleh Raflie telah menyebabkan Syiah sukar bergerak dan bernafas di Pahang.  
Amat nyata, Allahyarham Raflie sedang mengendalikan sekurang-kurangnya tiga kes besar melibatkan kes TUHAN HARUN, SYIAH, dan OPERASI KELAB MALAM.

Hari ini, Polis Pahang tidak menolak kemungkinan pengikut kumpulan 'Tuhan Harun' atau ajaran sesat lain terlibat dalam kes pembunuhan Raffli.


Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Ab Ghani meminta pengikut kumpulan itu atau kumpulan ajaran sesat lain yang mempunyai maklumat berkaitan kes tembak itu tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Polis juga akan menyiasat kes itu daripada aspek lain dan sama ada suspek terlibat masih berada di dalam negeri atau tidak.

Sehingga kini belum ada pengikut 'Tuhan Harun' atau kumpulan ajaran sesat lain tampil di balai polis memberi kerjasama," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Polis Pahang hari ini mengedarkan fotofit lelaki yang disyaki terlibat dalam kes itu dan meminta orang ramai yang terjumpa lelaki menyerupai fotofit itu supaya menghubungi polis.


Sharifudin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi balai polis Kuantan di talian 09-5132222, bilik gerakan IPD Kuantan (09-5142999), Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuantan, Deputi Superintendan Zakaria Abu Kassim (019-3822020) dan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Zukri Muhammad (013-9764999).

Polis pastinya memerlukan kerjasama orang awam untuk bantu polis kesan pelaku pembunuhan itu.

Dengan polis sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam di setiap negeri bagi memastikan pengikut fahaman Syiah tidak menjadi golongan pelampau dan akhirnya militant, orang ramai perlu menghulurkan tangan persahabatan dengan polis memerangi ajaran berkenaan.

Banyak pihak kini khuatir penyelewengan fahaman agama akan membawa kepada kewujudan kumpulan militan di negara ini demi mempertahankan ketaksuban kepada pegangan mereka sehingga mengambil tindakan drastik seperti membunuh.

Yang pasti kita tidak mahu kes seperti yang menimpa Raffli berulang dan sebarang kegiatan ekstremisme agama di negara ini perlu dibendung dan dihapuskan.

Tuesday, November 6, 2012

HIDUPKAN SEMULA AL-ARQAM – ANWAR ADA, BADROLAMIN TIDAK BIMBANG


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrolamin Bahron akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Gombak Barat di Kuang pada 20 Disember depan.

Kesalahanya?

Dia ditahan pada konsert khas yang dipercayai cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam di Bandar Country Homes, Rawang pada malam 1 November lalu Badrolamin dan 15 yang lain ditahan kerana kesemua mereka menghadiri dan meraikan majlis sambutan ulang tahun pengasas kumpulan ajaran sesat Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau Abuya disifatkan sebagai individu yang menyokong dan membantu kumpulan tersebut.

Badrolamin disyaki menyokong dan membantu kumpulan al-Arqam yang telah diharamkan dengan menghadiri program ulang tahun Keputeraan Abuya ke-75 yang dikaburi dengan sambutan majlis sebuah syarikat Al-Ikhwan

Melalui risalah yang diedarkan yang bertajuk "Abuya Terus Memimpin Walaupun Ghaib" telah menunjukkan kesalahan dari segi syariah.

Badrolamin tidak bimbang atau risau kerana Presiden Parti Keadilan Rakyat yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menawarkan sokongan dan sedia membela beliau jika Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenakan tuduhan ke atasnya berhubung kemunculannya pada satu majlis anjuran bekas pengikut al-Arqam di Rawang, Khamis lalu.

Semangat Badrolamin bagaikan kembali pulih selepas Anwar ada memberi pesanan kepadanya melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) sehari selepas ditahan pihak Jais.

“Anwar ada memberi SMS kepada saya selepas ditahan. Beliau sempat memberi pesanan kepada saya supaya sentiasa bertenang dan tidak terlalu risau atas siasatan yang dijalankan pihak Jais.” “Setakat ini, tidak ada sebarang keputusan oleh pihak Jais dan saya masih menunggu keputusan. Jika terpaksa dibawa ke muka pengadilan Anwar sedia membantu saya, tidak apa yang perlu dirisaukan,” ujarnya seperti dipetik Sinar Harian Online hari ini.

Sehari selepas ditahan, Badrolamin menafikan terlibat dalam acara tersebut dan hanya datang semata-mata mahu membawa keluarganya menikmati lagu nasyid yang disajikan kepada tetamu malam itu.

Bagaimanapun, menurut JAIS, siasatan yang dilakukan pada 30 dan 31 Oktober lalu telah mendapati wujudnya perkara-perkara yang dilarang dalam fatwa sebagaimana terkandung dalam Fatwa Negeri Selangor yang dibuat pada 9 Ogos 1995.

Antara aktiviti-aktiviti sosial yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan pegangan al-Arqam, wujudnya perbuatan mengadakan persembahan dan kebudayaan yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan pegangannya, cara ulang tahun Keputeraan Abuya Ke-75 dengan slogan "Abuya terus memimpin walaupun ghaib", ada perbuatan mengedar buku, majalah, risalah yang memaparkan wajah-wajah Abuya dan ajarannya serta tanda-tanda lain yang dikaitkan al-Arqam.


Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin (gambar atas) berkata, berdasarkan siasatan di bawah Seksyen 12 (c) itu, kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu melanggar fatwa mufti.

Badrolamin dikaitkan dengan Al-Arqam, yang diharamkan pada 1994, dengan menghadiri Majlis Ulang Tahun ke-12 Global Ikhwan Sdn Bhd sempena ulang tahun kelahiran ke-75 bekas pengasasnya, Ashaari Muhammad.

Marzuki berkata, Badrolamin ditahan, pada Khamis lalu, kerana beliau disyaki menyokong dan membantu kumpulan ajaran sesat al-Arqam dengan memunculkan diri pada majlis tersebut.

Menurutnya seramai 16 orang telah ditahan termasuk Badrolamin di bawah Seksyen 12 (C) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, yang boleh disabitkan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Persoalan yang timbul ialah Badrolamin yang rapat dengan Anwar adalah pengikut kumpulan al-Arqam malah menghidupkan gerakan itu dengan berselindung di bawah nama Global Ikhwan, satu rangkaian perniagaan dan jika Anwar mahu membelanya, apakah Anwar bersekongkol dan tahu kegiatan yang dilakukan Badrolamin?


Malah, Badrolamin yang juga rapat dengan pemimpin PAS ternyata menimbulkan tanda tanya apakah pemimpin PAS tidak tahu mengenai gerakan Badrolamin atau ‘memejamkan mata berkawan dengan pengamal ajaran sesat?”

Apakah PAS sanggup menerima sesiapa sahaja, termasuk mereka yang mahu memulihkan AQl-Arqam hanya kerana demi kuasa dan perjuangan ke Putrajaya?

Kita tidak tahu berapa ramai lagi ahli PKR yang menjadi pengikut Al-Arqam tetapi dengan tertangkapnya Badrolamin, sudah sah PKR diresapi Al Arqam.

 Malah mungkin dalam PAS sendiri pun ada pengikut Al-Arqam tetapi PAS terpaksa buat tidak tahu hanya kerana memerlukan sokongan.

Badrolamin kini dibebaskan dengan bon jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh perbicaraan lanjut di mahkamah, 20 Disember nanti.

Friday, August 5, 2011

JAIS PERTAHAN TINDAKAN, KHALID SAMAD GANYANG DR HASSAN...

"Tindakan JAIS adalah satu tindakan yang tidak beretika dan perlu menerima hukuman yang berat. Inilah hasil didikan penjajah dan pentarbiayahan songsang selama ini...” - Pemimpin PAS

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempertahankan tindakannya melakukan serbuan pada majlis makan malam Gereja Methodist Damansara Utama Rabu lalu pada ketika Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mahukan tindakan tegas terhadap Exco agama Islam Kerajaan Negeri Datuk Dr Hassan Ali.

JAIS berharap isu serbuan berkenaan tidak dipolemikkan kerana ia dibuat demi menjaga kepentingan umat Islam dan jika perkara ini tidak dikontroversikan, tiada sebarang tangkapan sebaliknya hanya pemeriksaan.

JAIS akan mengeluarkan laporan penuh mengenai serbuan tersebut selepas siasatan terhadap 12 orang Islam yang menghadiri majlis berkenaan selesai.

Pengarah JAIS, Marzuki Hussin berkata, pihaknya akan sediakan laporan nanti selepas siasatan selesai. Siasatan terhadap 12 orang berkenaan akan diteruskan.

Beliau mengulas mengenai gesaan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar JAIS mengemukakan laporan penuh kepada kerajaan negeri berhubung serbuan pihak berkuasa agama itu.

Abdul Khalid yang melahirkan kekesalannya berhubung insiden itu menyatakan kerajaan negeri memandang serius mengenai perkara itu dan mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada perbincangan dan dialog mengenai keharmonian dan toleransi di kalangan rakyat pelbagai agama selain menghargai usaha meningkatkan kefahaman di antara satu sama lain.

Kelmarin (Rabu) penguatkuasa JAIS menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, kelihatan seseorang sedang berucap diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan cubaan memurtadkan umat Islam. Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Sementara itu menurut blog sungai rapat online mengatakan Khalid Samad terus menjauhkan kepimpinan Pas Selangor daripada kenyataan Dr Hassan yang mempertahankan tindakan JAIS sambil berkata majlis makan malam muhibah Gereja Methodist Damansara Utara bertujuan memurtadkan sekumpulan orang Islam.

Khalid Samad menegaskan pandangan Hasan yang dikeluarkan petang semalam adalah menyeleweng daripada Islam dan bukan pendirian Pas Selangor, sekali gus memperlihatkan perpecahan yang mendalam dalam hubungan kepimpinan parti itu di peringkat negeri itu.

“Apakah penganut Kristian tidak boleh menggunakan kalimah al-Quran dan doa? Ini bukan pendirian Pas. Ia pendirian beliau sebagai Exco yang tidak bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama,” katanya.

Sehubungan itu Khalid Samad selaku Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor akan mengesyorkan Datuk Dr. Hassan Ali dikenakan tindakan yang keras di atas perbuatannya itu.

Selain itu beberapa pemimpin Pas Selangor yang pro- Khalid Samad seperti Khairuddin Othman terus 'mencincang lumat' Hassan Ali tanpa usul periksa asalkan Dr Hassan dilihat bersalah dalam isu gereja demi menjaga hati sahabat sebantal mereka DAP.

Beberapa pemimpin PAS bercakap dalam sidang media di pejabat Khalid Samad di Shah Alam hari ini, Islam tidak membenarkan sama sekali umat Islam memasuki gereja walaupun apa pun yang mereka lakukan.

Kata pemimpin PAS berkenaan: "Tindakan JAIS adalah satu tindakan yang tidak beretika dan perlu menerima hukuman yang berat". Inilah hasil didikan penjajah dan pentarbiayahan songsang selama ini....

Friday, July 3, 2009

TIDAK BERASASKAN FAKTA – NORMAN & MEMEY TERANIANYA?

Bagaimana Jabatan Agama Islam Selangor (JAIs) boleh bertindak hanya melalui hearsay?

Memang baik mengaku salah namun tidakkan ini menggambarkan keputusan dan tindakan dibuat tidak cermat?

Tidakkah tindakan itu boleh menjejaskan imej seseorang? Tidak kiralah dia seorang celebrity atau orang biasa.

Lebih memburukkan serbuan dibuat hanya berdasarkan maklumat dengar cakap daripada pengadu yang dibuat melalui panggilan.

Siapakah pemanggil itu dan bolehkan dipercayai hanya melalui panggilan telefon?

Juga, apakah hanya mendakwa di Mahkamah Syariah bagi setiap kes yang disyaki khalwat jalan terbaik?

Menurut laporan mStar yang memetik Bernama hari ini melaporkan bahawa Mahkamah Syariah Gombak Timur, diberitahu bahawa pertuduhan berkhalwat terhadap pasangan pelakon Norman Hakim dan Memey tahun lalu adalah salah dan tidak berasaskan fakta.

Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIs), Abdul Rahman Lai Abdullah dalam keterangannya sebagai sebagai saksi pertama pendakwaan bagi kes itu, mengakui pertuduhan itu tidak betul kerana Norman tidak ditemui pada 3 pagi dalam premis yang sama seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

Sebaliknya, menurut Abdul Rahman, pelakon itu ditemui dan ditahan ketika berada dalam premis di tingkat atas dari tempat Memey ditemui, yang merupakan sebuah premis berlainan dan mempunyai alamat yang berlainanan.

"Saya tidak nampak manamana lelaki semasa (saya) masuk ke dalam rumah (premis dalam kertas pertuduhan) dan saya juga tidak nampak manamana lelaki semasa memeriksa tingkat bawah dan ruang udara di tingkat atas rumah," kata Abdul Rahman ketika disoal balas oleh peguambela Fakhrul Azman Abu Hassan.

Pada 20 Jan lepas, Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkhalwat dengan Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi, 21, di pejabat beralamat 41A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, pada 3 pagi 30 Okt 2008.

Bagi kesalahan itu Norman dibicarakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey didakwa mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama.

Dalam sesi soal balas itu lagi, Abdul Rahman juga bersetuju dengan cadangan peguambela bahawa pemeriksaan oleh pegawai penguatkuasa agama pada malam kejadian adalah berdasarkan maklumat dengar cakap daripada pengadu yang dibuat melalui panggilan telefon.

Fakhrul: "Bagaimana kamu tahu bahawa dalam premis itu ada orang yang didakwa salah, lelaki (Norman) dan wanita (Memey) ini?"

Abdul Rahman: "Dari maklumat yang diterima dari pengadu."

Fakhrul: "Setuju atau tidak saya katakan bahawa pemeriksaan premis adalah berdasarkan dengar cakap atau hearsay daripada pengadu sahaja?"

Abdul Rahman: "Betul."

Saksi itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguambela bahawa maklumat yang diberikan pengadu yang mendakwa Norman dan Memey berada dalam premis beralamat 41A itu adalah salah kerana Norman sebenarnya tidak berada pada pukul 2.40 pagi dalam premis yang dinyatakan.

"Saya tidak boleh kata maklumat itu tidak betul kerana saya belum selesai membuat pemeriksaan lagi ketika itu," katanya.

Perbicaraan disambung 31 Julai.