Saturday, October 28, 2017

KENAPA TIDAK DISEBUT RASUAH DAN DADAH PADA BAJET 2018?


Pada pembentangan Bajet 2018 semalam, antara perkara penting yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah Allah Hu Ta'ala menyukai hamba-hambaNya yang terus berikhtiar dengan gigih, merancang masa depan demi kepentingan negara dan ummah seluruhnya.

Memetik Surah Al-A'raf ayat 96, di mana ‘Tuhan akan melimpahkan rezeki dan keberkatan-Nya dari langit serta bumi, selagi penduduk dan rakyatnya beriman lagi bertaqwa’, Najib merujuk kepada usaha menjayakan PE-TUNJANG KELAPAN: MENGIMBANGI PAR EXCELLENCE DUNIAWI DAN PAR EXCELLENCE UKHRAWI.

Menurutnya, Malaysia kini mensasarkan antaranya untuk menjadi ‘High Income Advanced Economy’ pada tahun 2020; nilaian ekonomi dan dagangan semasa menjadi dua trillion ringgit pada tahun 2025 selain menikmati impak dan manfaat IR 4.0 yang mula menampakkan kematangan signifikan pada tahun 2030.

Selain itu, Malaysia perlu menjadi ‘watan yang lebih kompetitif lagi bersifat hampir zero defects pada tahun 2040’ dan ‘ketamadunan unggul di mana negara ini, bakal tersenarai dalam gelanggang kelompok 20 negara termaju lagi terbaik di persada dunia’.

Anehnya dalam mencapai usaha ini yang perlu mengimbangi duniawi dan ikhrawi, Najib dan kerajaan Barisan Nasional (BN) terlupa kepada dua perkara asas yang menjadi sebutan rakyat Malaysia saban hari hari ini.

Dua perkara itu adalah RASUAH dan DADAH.

Jika didengar dan dibaca isi kandungan yang dibentangkan Najib semalam, dua perkara dan perkataan ini ghaib terus daripada mulut beliau, sama ada ia sebagai isu atau peruntukan untuk memeranginya, sekadar secara am menyebut  gejala sosial.

Isunya, dua perkara ini sangat penting sebagai penghalang untuk mencapai tahap ‘par excellence’ yang dimaksudkan. Apa lagi dua perkara sangat berkait rapat dengan kehidupan rakyat dan pemimpin hari ini.


Apakah Najib takut dan bimbang jika disebut RASUAH, walaupun mungkin hanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

Najib dan BN tidak akan ‘membuka jalan’ atau menerima risiko teruk jika menyebut dua perkara ini, malah jeritan KLEPTOKRASI semalam untuk beliau dan Bn sudah membawa erti yang mendalam pada pembentangan Bajet 2018 itu.

Hari ini SPRM menjadi ‘jabatan hebat’ bukan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna dengan bermain di setiap bibir rakyat, dada akhbar dan tv selain media soaial,  walaupun tekanan hidup dan harga barang yang melambung terpaksa didepani rakyat..

Najib jelas mengelak untuk menyebut atau menyatakan apa-apa peruntukan pun untuk suruhanjaya yang begitu penting dan kini ‘menjadi begitu dekat di hati rakyat’.

Sedangkan banyak suara yang dibuat agar kakitangan SPRM ditambah dan bajet tahunannya ditambah dengan kes yang berlambak untuk disiasat dan sedang disiasat sekarang.

Pertengahan September lalu, Pengerusi Pusat Pengajian Polisi Awam Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia, Tan Sri Ramon Navaratnam menegaskan kakitangan SPRM perlu ditambah.


Katanya  cadangan dibuat  atas gesaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad untuk menambah bilangan kakitangan agensi tersebut yang ketika ini hanya mempunyai sebanyak 2,100 orang.

Dari Perlis ke Johor hingga ke Sabah, kes rasuah diperkatakan setiap hari. Malah, Perdana Menteri dan beberapa menteri Kabinet serta penjawat awam turut dituduh melakukan rasuah.

Tidak kurang juga pemimpin pembangkang turut diseret ke lokap dan mahkamah kerana cuba disabitkan dengan salah laku rasuah.

Sekiranya mahu menjadi negara maju, dihormati dan berintegriti, sepatutnya isu rasuah ini ditangani dengan baik. Untuk melakukannya pastilah memerlukan bajet yang besar.

Masih terngiang-ngiang di telinga apabila pada tahun lepas, banyak pihak meminta kerajaan mempertimbang semula peruntukan kewangan untuk SPRM dalam usaha memastikan matlamat negara bebas rasuah dapat dijayakan.
    
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpendapat  fokus pencegahan rasuah perlu diberi perhatian penuh walaupun kerajaan mahu merancakkan pertumbuhan, memastikan pengurusan fiskal secara berhemah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.      


Malah kerajaan digesa mempertimbangkan semula pemotongan dana sebanyak RM35 juta kepada SPRM yang diumumkan  menerusi pembentangan Bajet 2017, tahun lalu,  di mana tiga pihak yang terlibat secara langsung dengan usaha membanteras gejala rasuah di negara ini tampil membuat saranan itu.

Namun, semalam reaksi kepada saranan itu bukan sahaja tidak kedengaran langsung, malah isu sepenting rasuah dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Tahun lalu pihak yang membangkitkan perkara itu ialah  Yayasan Pencegahan Rasuah Malaysia (YPRM), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Transparency International Malaysia (TI-M) dan Presiden TI-M, Datuk Akbar Satar berpendapat, usaha memperkukuhkan SPRM perlu disusuli dengan sokongan padu seluruh pihak termasuk kerajaan.

Caranya ialah mempertimbangkan semula peruntukan kewangan SPRM supaya segala perancangan dapat dilaksanakan secara teratur.

Pada Bajet 2017, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan bagi suruhanjaya berkenaan adalah sebanyak RM216 juta, berbanding dana tahun 2016  sebanyak RM251 juta iaitu kurang RM35 juta.

Tahun ini tidak diketahui sama ada jumlah kekal, ditambah atau dikurangkan.

Apakah sikap dingin dan tidak peduli Najib dan BN ini menggambarkan mereka tidak berminat langsung dengan usaha membanteras rasuah?

Atau apakah mereka turut bimbang dengan siasatan SPRM yang begitu rancank sekarang ini?

Yang nyata sudah berbilion ringgit hasil rasuah dirampas SPRM dalam pelbagai kes yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. Namun apa pulangan  untuk memperkukuhkan suruhanjaya itu?

Mungkin kerana rasuah dilihat begitu berbahaya kepada negara Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) turut mencadangkan kerajaan mengisytiharkan rasuah musuh nombor satu negara sebagai slogan bagi menggantikan dadah.

Hakikatnya rasuah dan isu dadah turut dikaitkan oleh banyak pihak.

Ia apabila dadah boleh dibawa masuk, die­dar dan dijual sewenang-wenangnya kepada orang ramai, khususnya remaja.

Tidakkah ini ada kaitan dengan rasuah dan integriti penguatkuasa?

Kerana itu MCW berpendapat jika mampu meletakkan rasuah sebagai musuh kita yang utama pastinya masalah lain yang berkait seperti dadah yang juga menjadi musuh penting negara akan mudah diatasi.

Memerangi rasuah bukan sekadar penguatkuasaan tetapi juga pendidikan antirasuah. Ini memerlukan perbelanjaan dan pastinya perlu membabitkan sektor awam dan swasta, selain pertubuhan bukan kerajaan.

Kerajaan tidak perlu berangan-angan untuk mencapai tahap PAR EXCELLENCE DUNIAWI dana pa lagi  PAR EXCELLENCE UKHRAWI jika isu rasuah dan dadah tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh.

Yang pasti sikap sambil lewa dan TIDAK PEDULI Najib dan kerajaan kepada dua isu penting ini – RASUAH dan DADAH digambarkan melalui pembentangan Bajet 2018 semalam.

Persoalannya apakah kata-kata bahawa kerajaan ‘berikhtiar dengan gigih, merancang masa depan demi kepentingan negara dan ummah seluruhnya’ hanyalah janji palsu dan halwa telinga semata-mata?


Jika demikian, negara ini dalam kedudukan bahaya akibat terdedah dengan dua ancaman besar  dua gejala ini yang turut diperangangi oleh semua agama, apa lagi agama Islam yang menjadi tunjang kepada pemerintahan Malaysia.

Monday, October 23, 2017

BER’TABAYYUN’ KAH PAS DENGAN ‘MUSUH TRADISI’ UMNO/BN PADA PRU14?


Apakah penyokong PAS bersedia menerima UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14)  seperti disarankan oleh pemimpin atasan parti itu?

Dalam kedudukan perbezaan dua parti itu yang amat  jelas - selain perbezaan pendapat yang ketara antara pemimpin PAS Pusat dengan pemimpin PAS Negeri -  tidakkah penyokong PAS di bawah akan menjadi keliru?

Juga apakah pemimpin UMNO/BN boleh melupakan berbagai ‘hukuman’ yang dikenakan oleh pemimpin PAS sebelum ini seperti ‘kafir’, ‘toghut’ dan sebagainya yang jelas bersifat tidak Islamik?

Apakah AMANAT HADI boleh dilupakan begitu sahaja hanya kerana mahu berbaik-baik demi kerusi pilihan raya dan perkongsian kuasa politik?

Penyokong PAS yang selama ini diajar membenci dan menolak UMNO kini semakin dipujuk agar bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang.

Isunya bersediakah mereka?

Walaupun tidak menyertai BN,  PAS diharapkan dapat berkongsi kuasa dengan BN seperti yang pernah berlaku beberapa tahun ketika BN mula ditubuhkan pada 1973.

Persoalannya, bagaimana reaksi pemimpin PAS di negeri-negeri apabila pemimpin tertinggi mereka memujuk supaya ‘berpakat’ dengan UMNO sama ada melalui ‘tahaluf’ mahupun 'tabayyun',

Apakah dua perkataan itu akan menghalalkan hubungan PAS dan UMNO selain BN yang selama ini dianggap sebagai ‘parti kafir’  gara-gara  BN mengiktiraf dan mengamalkan perlembagaan ‘toghut’ dan bukan Islam?

Juga dengan usaha mewujudkan hubungan PAS yang menyifatkan mereka ‘100 peratus Islam’ dengan UMNO ‘yang separuh masak Islamnya’ yang diusahakan untuk cuba dibolehkan, apakah segala-galanya kini menjadi ‘halal’?

Malah apakah penyokong bawahan PAS perlu menelannya bulat-bulat walaupun sukar dan pahit?


Semalam Pengerusi Lembaga Penasihat PAS Datuk Mustafa Ali meminta barisan kepimpinan PAS berhenti main 'tarik tali' dan menilai kembali tawaran kerjasama UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

Biarpun beliau tidak menyebut bersetuju dengan pelawaan UMNO itu namun permintaan atau kesediaan untuk berbicang demi kerjasama itu sangat penting kerana ia alternatif terbaik kepada PAS.

Usaha itu dipercayai  akan mmbolehkan PAS memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Apakah kedudukan ini akan mambawa keuntungan kpada PAS di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah yang menjadi ‘pusat kuasa PAS’?

Apakah dua parti itu akan berkongsi kuasa sekiranya mampu mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan parti AMANAH, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta DAP/

Bagaimana pula kedudukan PAS di Selangor? Apakah ia akan meninggalkan kerjasama dengan PKR dan DAP pada PRU14?

Di Selangor jelas sekali usaha ini masih samar-samar dan beranikah PAS mengumumkan ia akan bekerjsama dengan UMNO/BN untuk menjatuhkan kerajaan sekarang?

Apakah pemimpin PAS Selangor akan ‘termakan umpan ini’ selepas mengecapi kuasa bersama-sama PKR dan DAP sejak 2013 lalu?

Mustafa nampaknya bersetuju dengan usul Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa awal bulan ini apabila mengatakan adalah  wajar menyambut cadangan kerjasama itu kerana ia bukan mengajak PAS untuk menyertai UMNO.

Bagi beliau perbincangan UMNO dan PAS adalah untuk kepentingan masa depan negara walaupun tiada kata putus mengenainya.

Berkaitan pandangan Mustafa ini, walaupun pandangan daripada PAS Kedah belum jelas tetapi pemimpin utama PAS Kelantan dan Terengganu bagaikan sudah  menyatakan pendirian mereka mengenai UMNO.


Di Setiu kelmarin, Timbalan PesuruhJaya 1 PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat mengatakan PAS sudah bersedia menghadapi musuh tradisi mereka iaitu BN - pada PRU14.

Tanpa menyebut parti lain, termasuk AMANAH, beliau nampaknya begitu fokus kepada BN dan pastinya UMNO yang hampir seeratus peratus di negeri itu.MCA hanya bertanding di satu kerusi Dewan Undangan Negeri sahaja iaitu di DUN Bandar.

Malah beliau begitu yakin akan meperolehi kemenangan berdasarkan isyarat yang telah ditunjukkan pada Fastaqim 2.0 khususnya sokongan golongan anak muda.

Satipul  yang juga ADUN Paka yakin tsunami perubahan yang di lakukkan oleh pengundi Melayu dan Muslim akan memberi kejayaan yang besar kepada PAS khususnya di Terengganu, untuk kembali ke Wisma Darul Iman dan memerintah negeri.

Kenyataan ini jelas bertentangan dengan apa yang diucapkan oleh Mustafa, malah pandangannya itu amat nyata tidak aka nada perkongsian kuasa antara mereka.

PAS Terengganu sangat mengidamkan kerusi Menteri Besar dan jika berkongsi kuasa dengan UMNO, peluang mereka menduduki kerusi MB sukar untuk berlaku.

Mahu tidak mahi, akan berlaku pertandingan tiga penjuru di Terengganu.

Menariknya Pula pada satu ceramah di Panchor dekat Kota Bharu kelmarin, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggariskan  perbezaan yang nyata antara PAS dan UMNO.

Menurutnya PAS ditubuhkan bukan semata-mata untuk menjadi kerjaan, tetapi juga memperbetulkan apa yang salah berdasarkan konsep amar makruf nahi mungkar.

Dengan menyifat dan sering mengulangi bahawa UMNO sebagai parti yang tidak mengamalkan konsep sedemikian, apakah PAS Kelanan boleh bertabayyun dengan UMNO?

Leebih teruk, Mohd Amar turut menempelak UMNO sebagai gagal membela Melayu dan Islam.

Menurutnya,  UMNO sering mengatakan negara semakin kaya dan UMNO semakin kuat, tapi anak-anak yang masuk universiti tidak lagi percuma sebaliknya terpaksa berhutang.
Malah Naib Presiden PAS itu mengatakan dengan Jelas bahawa dasar UMNO  mentadbir negara menyebabkan orang Melayu terpaksa bergantung kepada kerajaan dalam semua perkara.

Malah bagi beliau, dasar pentadbiran UMNO-BN adalah punca mengapa rakyat terpaksa bergantung pada BR1M, dan pelbagai bantuan yang lain.

Mohd Amar menyalahkan pemimpin negara dan dengar sendirinya UMNO yang menjadi punca terbesar mengapa rakyat susah walaupun Malaysia kaya dengan pelbagai hasil.

Selain itu dengan mengatakan pemimpin UMNO yang kini mentadbir dan menguruskan pentadbiran mengamalkan salah guna kuasa, pecah amanah, khianat dan tidak bertanggungjawab sanggup bertabayyun dengan UMNO?.

Mohd Amar malah berjanji untuk menghapuskan GST jika diberi peluang mentadbir negara selain menolak dakwaan UMNO-BN bahawa negara tidak boleh hidup tanpa GST.
.
Berdasarkan apa yang disebut oleh dua pemimpin Pantai Timur ini, apakah tabayyun PAS-UMNO sukar untuk berlaku.

Namun persoalannya, apakah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan ‘memaksa’ mereka ini menerima cita-cita beliau untuk PAS dan BN/UMNO berkongsi kuasa.

Persoalan lain ialah apakah PAS begitu yakin akan dapat memenangi banyak kerusi sehingga BN/UMNO tertarik untuk berkongsi kuasa dengannya?

Dengan ramalan bahawa jika PAS bekerjasama dengan UMNO penyokong dan pengundi akar umbinya akan menolak PAS, pemimpin parti itu tidak ada pilihan lain selain bertarung sendirian pada PRU14.

Hanya selepas keputusan PRU14 barulah mereka perlu memikirkan mengenai kerjasama ini.

Namun risikonya tetap ada iaitu sekiranya pembangkang kalah teruk dan UMNO serta PAS mendapat keputusan yang hampir seimbang.

Tetapi sekiranya selepas PRU14, sekiranya UMNO tumbang teruk, apakah PAS masih mahu bertabayyun serta bekerjsama dengannya?

Dan begitu jugalah sebaliknya, jika PAS kalah teruk, apakah BN/UMNO masih menagih kerjasama dengan PAS?