Pada
pembentangan Bajet 2018 semalam, antara perkara penting yang disebut oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah Allah Hu Ta'ala menyukai
hamba-hambaNya yang terus berikhtiar dengan gigih, merancang masa depan demi
kepentingan negara dan ummah seluruhnya.
Memetik
Surah Al-A'raf ayat 96, di mana ‘Tuhan akan melimpahkan rezeki dan
keberkatan-Nya dari langit serta bumi, selagi penduduk dan rakyatnya beriman
lagi bertaqwa’, Najib merujuk kepada usaha menjayakan PE-TUNJANG KELAPAN:
MENGIMBANGI PAR EXCELLENCE DUNIAWI DAN PAR EXCELLENCE UKHRAWI.
Menurutnya,
Malaysia kini mensasarkan antaranya untuk menjadi ‘High Income Advanced
Economy’ pada tahun 2020; nilaian ekonomi dan dagangan semasa menjadi dua
trillion ringgit pada tahun 2025 selain menikmati impak dan manfaat IR 4.0 yang
mula menampakkan kematangan signifikan pada tahun 2030.
Selain
itu, Malaysia perlu menjadi ‘watan yang lebih kompetitif lagi bersifat hampir
zero defects pada tahun 2040’ dan ‘ketamadunan unggul di mana negara ini, bakal
tersenarai dalam gelanggang kelompok 20 negara termaju lagi terbaik di persada
dunia’.
Anehnya
dalam mencapai usaha ini yang perlu mengimbangi duniawi dan ikhrawi, Najib dan
kerajaan Barisan Nasional (BN) terlupa kepada dua perkara asas yang menjadi
sebutan rakyat Malaysia saban hari hari ini.
Dua
perkara itu adalah RASUAH dan DADAH.
Jika
didengar dan dibaca isi kandungan yang dibentangkan Najib semalam, dua perkara
dan perkataan ini ghaib terus daripada mulut beliau, sama ada ia sebagai isu
atau peruntukan untuk memeranginya, sekadar secara am menyebut gejala sosial.
Isunya,
dua perkara ini sangat penting sebagai penghalang untuk mencapai tahap ‘par
excellence’ yang dimaksudkan. Apa lagi dua perkara sangat berkait rapat dengan
kehidupan rakyat dan pemimpin hari ini.
Apakah
Najib takut dan bimbang jika disebut RASUAH, walaupun mungkin hanya Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?
Najib
dan BN tidak akan ‘membuka jalan’ atau menerima risiko teruk jika menyebut dua
perkara ini, malah jeritan KLEPTOKRASI semalam untuk beliau dan Bn sudah
membawa erti yang mendalam pada pembentangan Bajet 2018 itu.
Hari
ini SPRM menjadi ‘jabatan hebat’ bukan seperti Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Pengguna dengan bermain di setiap bibir rakyat, dada akhbar dan tv
selain media soaial, walaupun tekanan
hidup dan harga barang yang melambung terpaksa didepani rakyat..
Najib
jelas mengelak untuk menyebut atau menyatakan apa-apa peruntukan pun untuk suruhanjaya
yang begitu penting dan kini ‘menjadi begitu dekat di hati rakyat’.
Sedangkan
banyak suara yang dibuat agar kakitangan SPRM ditambah dan bajet tahunannya
ditambah dengan kes yang berlambak untuk disiasat dan sedang disiasat sekarang.
Pertengahan
September lalu, Pengerusi Pusat Pengajian Polisi Awam Institut Strategi dan
Kepemimpinan Asia, Tan Sri Ramon Navaratnam menegaskan kakitangan SPRM perlu
ditambah.
Katanya
cadangan dibuat atas gesaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri
Dzulkifli Ahmad untuk menambah bilangan kakitangan agensi tersebut yang ketika
ini hanya mempunyai sebanyak 2,100 orang.
Dari
Perlis ke Johor hingga ke Sabah, kes rasuah diperkatakan setiap hari. Malah,
Perdana Menteri dan beberapa menteri Kabinet serta penjawat awam turut dituduh
melakukan rasuah.
Tidak
kurang juga pemimpin pembangkang turut diseret ke lokap dan mahkamah kerana
cuba disabitkan dengan salah laku rasuah.
Sekiranya
mahu menjadi negara maju, dihormati dan berintegriti, sepatutnya isu rasuah ini
ditangani dengan baik. Untuk melakukannya pastilah memerlukan bajet yang besar.
Masih
terngiang-ngiang di telinga apabila pada tahun lepas, banyak pihak meminta
kerajaan mempertimbang semula
peruntukan kewangan untuk SPRM dalam usaha memastikan matlamat negara bebas
rasuah dapat dijayakan.
Lembaga Penasihat
Pencegahan Rasuah (LPPR) berpendapat fokus pencegahan rasuah perlu diberi perhatian
penuh walaupun kerajaan mahu merancakkan pertumbuhan, memastikan pengurusan
fiskal secara berhemah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Malah
kerajaan digesa mempertimbangkan semula pemotongan dana sebanyak RM35 juta
kepada SPRM yang diumumkan menerusi
pembentangan Bajet 2017, tahun lalu, di
mana tiga pihak yang terlibat secara langsung dengan usaha membanteras gejala
rasuah di negara ini tampil membuat saranan itu.
Namun,
semalam reaksi kepada saranan itu bukan sahaja tidak kedengaran langsung, malah
isu sepenting rasuah dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Tahun
lalu pihak yang membangkitkan perkara itu ialah Yayasan Pencegahan Rasuah Malaysia (YPRM),
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Transparency International
Malaysia (TI-M) dan Presiden TI-M, Datuk Akbar Satar berpendapat, usaha
memperkukuhkan SPRM perlu disusuli dengan sokongan padu seluruh pihak termasuk
kerajaan.
Caranya
ialah mempertimbangkan semula peruntukan kewangan SPRM supaya segala
perancangan dapat dilaksanakan secara teratur.
Pada
Bajet 2017, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan
bagi suruhanjaya berkenaan adalah sebanyak RM216 juta, berbanding dana tahun 2016
sebanyak RM251 juta iaitu kurang RM35
juta.
Tahun
ini tidak diketahui sama ada jumlah kekal, ditambah atau dikurangkan.
Apakah
sikap dingin dan tidak peduli Najib dan BN ini menggambarkan mereka tidak
berminat langsung dengan usaha membanteras rasuah?
Atau
apakah mereka turut bimbang dengan siasatan SPRM yang begitu rancank sekarang
ini?
Yang
nyata sudah berbilion ringgit hasil rasuah dirampas SPRM dalam pelbagai kes
yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. Namun apa pulangan untuk memperkukuhkan suruhanjaya itu?
Mungkin
kerana rasuah dilihat begitu berbahaya kepada negara Presiden Pemerhati Rasuah
Malaysia (MCW) turut mencadangkan kerajaan mengisytiharkan rasuah musuh nombor
satu negara sebagai slogan bagi menggantikan dadah.
Hakikatnya
rasuah dan isu dadah turut dikaitkan oleh banyak pihak.
Ia
apabila dadah boleh dibawa masuk, diedar dan dijual sewenang-wenangnya kepada
orang ramai, khususnya remaja.
Tidakkah
ini ada kaitan dengan rasuah dan integriti penguatkuasa?
Kerana
itu MCW berpendapat jika mampu meletakkan rasuah sebagai musuh kita yang utama
pastinya masalah lain yang berkait seperti dadah yang juga menjadi musuh
penting negara akan mudah diatasi.
Memerangi
rasuah bukan sekadar penguatkuasaan tetapi juga pendidikan antirasuah. Ini
memerlukan perbelanjaan dan pastinya perlu membabitkan sektor awam dan swasta,
selain pertubuhan bukan kerajaan.
Kerajaan
tidak perlu berangan-angan untuk mencapai tahap PAR EXCELLENCE DUNIAWI dana pa lagi
PAR EXCELLENCE UKHRAWI jika isu rasuah
dan dadah tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh.
Yang
pasti sikap sambil lewa dan TIDAK PEDULI Najib dan kerajaan kepada dua isu
penting ini – RASUAH dan DADAH digambarkan melalui pembentangan Bajet 2018
semalam.
Persoalannya
apakah kata-kata bahawa kerajaan ‘berikhtiar dengan gigih, merancang masa depan
demi kepentingan negara dan ummah seluruhnya’ hanyalah janji palsu dan halwa
telinga semata-mata?
Jika
demikian, negara ini dalam kedudukan bahaya akibat terdedah dengan dua ancaman
besar dua gejala ini yang turut
diperangangi oleh semua agama, apa lagi agama Islam yang menjadi tunjang kepada
pemerintahan Malaysia.
No comments:
Post a Comment