Thursday, October 13, 2016

MALAYSIA SEBUAH NEGARA ‘RASUAH’ DIPIMPIN OLEH PEMIMPIN ISLAM RASUAH?

 
Selama mana lagikah kita mahu membiarkan untuk menanggung malu dengan perbuatan pihak berkuasa dan institusi  antarabangsa – sama ada syarikat atau bank – mencemarkan nama negara di peringkat antarabangsa?

Apakah pemimpin kita, khususnya Perdana Menteri terpaksa buat ‘bukan tebal’ dengan tuduhan dan nista yang merendah-rendah maruah rakyat dan negara?

Tidak malukah kita daripada sebuah negara yang mendapat pelbagai pujian, termasuk sebuah negara Islam yang ekonominya berkembang pesat kini digelar sebuah negara ‘rasuah’?

Tidak malukah pemimpin kita yang selama ini diagung-agungkan sebagai pemimpin berwibawa kini disebut diperingkat antarabangsa sebagai ‘pemimpin rasuah’?

Apakah ‘damage control’ yang dilakukan oleh pemimpin dan kerajaan untuk menghilangkan calar ini?

Apa langkahnya dan berapa lama lagi?

Sebagai rakyat, kita wajib bertanya untuk mengetahui, apa lagi kerajaan yang memerintah sekarang adalah kerajaan yang dilantik secara demokrasi oleh rakyat.


Rakyat wajar diberitahu apa tindakan kerajaan apabila Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland mulai semalam sudah memulakan prosiding jenayah terhadap Falcon Private Bank (Falcon) kerana gagal menghalang kesalahan berkaitan dengan penyelewengan dana firma pelaburan negara 1Malaysia Development Bank (1MDB).

Jangan kerana 1MDB sebagai entiti perniagaan, ia tidak ada kena mengena dengan rakyat. Ini kerana ia ada kaitan secara terus dengan Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri.

OAG membuat keputusan memulakan prosiding adalah berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh siasatan dalam kes 1MDB dan isu-isu yang dibangkitkan dalam keputusan Finma dari awal bukan ini (Oktober 2016).

Tindakan itu dibuat kerana OAG mengesyaki kekurangan seliaan dalam organisasi dalaman Falcon Private Bank dan dipercayai akibat kekurangan ini, bank itu tidak dapat menghalang pelakuan kesalahan itu yang kini disiasat dalam prosiding jenayah yang berkaitan dengan 1MDB.

Pendedahan oleh Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland atau Swiss Financial Market Supervisory Authority (Finma) kelmarin bahawa kira-kira AS$ 3.8 bilion dana berkaitan 1MDB disalurkan melalui Falcon Private Bank menimbulkan banyak pertanyaan.

Malah, menurut Finma, dana itu termasuk melalui urusniaga AS$681 juta dan pembayaran balik AS$620 juta enam bulan kemudian.

Pihak berkuasa kewangan itu memang tidak memberikan butirannya tetapi jumlah itu dikatakan  sepadan dengan AS$ 681 juta yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tindakan pihak berkuasa Switzerland yang memaparkan urusniaga yang dipersoalkan terhadap Falcon dengan sendirinya  menjadikan "derma Arab" RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri menjadi tumpuan semula.

Memang tiada butiran sejauh ini bagaimana AS$681 juta itu berakhir dan bila urusniaga itu dilakukan.

Tetapi Jumlah itu dirujuk sebagai RM2.6 bilion berdasarkan kadar pertukaran ketika itu  sepadan dengan "derma" yang disalurkan ke akaun bank Najib pada tahun 2013.

Finma turut mendakwa Falcon melakukan "pelanggaran serius" peraturan pengubahan wang haram dalam urusannya dengan "seorang ahli perniagaan muda Malaysia yang mempunyai kaitan dengan individu tertentu kerajaan Malaysia".


Ia tidak menamakan "ahli perniagaan muda" itu, namun spekulasi mengenai orang muda itu banyak ditujukan kepada Jho Low yang dikatakan rapat dengan keluarga Najib.

Jangan lupa, Jho Low adalah antara mereka yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung dakwaan penyelewengan berkaitan dengan dana 1MDB.


Selain laporan antarabangsa, laporan tempatan turut memainkan isu tindakan Finma, dan arahan pihak berkuasa Singapura khususnya dalam isu RM3.5 juta dalam bentuk tunai dimasukkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri pada sekitar Februari dan Mac, 2015.

Adalah dilaporkan, akaun berkenaan diuruskan oleh bekas Pengarah Urusan, SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil. Beliau juga adalah penandatangan untuk akaun berkenaan, dakwa Sarawak Report dalam e-mel.

 Perdana Menteri sudah menyatakan wang RM2.6 bilion itu adalah "derma dari Arab" dan AS$620 juta daripada wang itu kemudiannya dikembalikan.

Persoalannya ialah rakyat menunggu untuk mengetahui apakah desakan dan spekluasi dari pihak luar dan dalam negara  yang terbaru ini memang tidak benar. Dengan kata lain ia bohong semata-mata?

Persoalan ini memerlukan jawapan malah dengan tindakan Finma mengenakan sekatan ke atas Falcon selepas bank itu secara "serius melanggar" peraturan pengubahan wang haram berhubung cara ia mengendalikan dana yang dikaitkan dengan 1MDB, lagilah banyak persoalan yang bermain di kepala.


Finma turut mengarahkan Falcon, milik Abu Dhabi International Petroleum Investment Co (IPIC) yang berpangkalan di Zurich supaya menyerahkan lebih 2.5 juta franc Swiss (RM10.55 juta) dalam apa yang badan pemantau itu mendakwa sebagai keuntungan haram.

Apakah arahan itu dibuat tanpa sebarang bukti? Sudah pasti ada bukti yang cukup dan ia bukan arahan sewenang-wenangnya.

Malah Finma turut memulakan prosiding penguatkuasaan terhadap dua bekas eksekutif Falcon, tetapi belum menyatakan nama mereka.

Kelmarin  Singapura mengarahkan Falcon untuk menghentikan operasinya di bandar raya itu.

PihakBerkuasa Kewangan Singapura (MAS) turut mendenda pemberi pinjaman tempatan DBS Bank dan UBS AG berhubung kesilapan dalam tindakan besar-besaran ke atas entiti yang berurusan dengan 1MDB.

Kejadian terbaru ini sama ada di Singapura atau di Switzerland benar-benar ‘menghina’ rakyat dan negara kita.

Bila timbulnya persoalan seperti ini pemimpin dan kerajaan tidak boleh mendiamkan diri.


Serangan semakin hebat oleh pertubuhan antarabangsa dan rangkaian media tetapi kita seperti sudah ‘kalah dalam pertempuran’.

Jika benar, kenapa takut dilambung ombak?

Apakah kita  tidak mahu membersihkan imej kita yang sedang tercalar.

Pengurusan 1MDB tidak payahlah menjawab soalan seperti ini di kampus hanya dengan pelajar. Rakyat atau orang awam mahu mengetahui kebenaran mengenainya.

Apakah kita mahu maruah bangsa dan negara kita terus dihina dengan gelaran negara rasuah yang dipimpin oleh pemimpin Islam yang rasuah?

3 comments:

  1. Bodoh...cina perbodohkan melayu....melayu sendiri provok keburukkan 1MDB padahal melayu yg sembang kat kedai kopi sekumit pun tak tau pasai 1MDB... kejayaan 1MDB diburukkan dengan penipuan dan tohmahan cina dan melayu yg mahu cepat merebut kenikmatan kejayaan 1MDB...

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Biarlah pihak luar tu menyiasat sampai habis dulu dan mendakwa yg bersalah barulah kita bising.
    ABDAP...sy setuju dgn anda. Melayu yg anti najib dan gomen ni lah yg sbnrnya mkn dedak selama 22 tahun hingga keliru perjuangan melayu.

    ReplyDelete