Saturday, October 15, 2016

FALCON, BANK SWITZERLAND YANG MULANYA ANGKUH & SOMBONG – AKHINYA?

 

Siasatan terhadap pihak luar - institusi dan bank tertentu dan kaitannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) - mungkin bermula tiga atau empat tahun lalu.

Jangan ingat apabila ia sudah lama, siasatan khususnya oleh pihak antarabangsa, terhenti begitu sahaja.

Jika melibatkan kepada kepentingan maruah sesebuah negara dan terjejasnya perniagaan, khususnya sebagai pusat kewangan antarabangsa, negara luar tidak akan memberi muka kepada sesiapa.

Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura sejauh ini. Kenapa  mereka bertindak?

Itu belum lagi negara lain yang tidak kurang membabitkan 10 negara di dunia.

Untuk membersihkan nama mereka sebagai pusat kewangan antarabangsa yang boleh dipercayai dan diyakini namun kini tercalar kerana isu pengubahan wang haram, pihak berkuasa di negara berkenaan akan berbuat apa sahaja..

Walau angkuh mengatakan tidak akan ada apa-apa atau tidak terjejas dan sebagainya, pengajaran sudah kita dapati daripada kes Falcon Private Bank Ltd (Falcon) cawangan Singapura.

Bencana yang menimpa Falcon perlu diambil iktibar. Sebelum ini perkara sama berlaku kepada Bank BSI, juga dari Switzerland.


Jangan anggap apabila siasatan antarabangsa dilakukan, ia adalah berkaitan soal luar negara semata-mata dan bolehlah kita tuduh mereka sengaja mahu memalu atau campur tangan dalam negara kita. Juga ia sebagai  gerakan ‘konspirasai terhadap pemimpin dan pemerintah negara ini’.

Kita dimaksudkan di sini ialah negara, kerajaan, pemimpin dan juga rakyat.

Jangan sampai kita ditahap 'meludah ke langit dan jatuhnya ke muka kita sendiri.

Lihat sahaja kepada apa yang terjadi kepada Falcon di Singapura.

Reuters melaporkan pada Mac lalu (12 Mac 2016), pengurusan tinggi bank itu mulanya dengan angkuh dan sombong apabila pada awal Mac lalu mengatakan tidak melihat apa-apa kesan pada perniagaan mereka susulan publisiti berkaitan siasatan terhadap aktiviti dana kekayaan negara iaitu 1MDB.

Malah Ketua Eksekutif bank Switzerland Eduardo Leemann (gambar kiri) ketika itu, berkata 9 Mac lalu, beliau tidak melihat ada kesan terhadap perniagaan bank itu susulan publisiti sekitar siasatan itu.

Leeman kini digantikan dalam apa yang dikatakan sesuatu mengejutkan oleh bekas Eksekutif CreditSuisse Walter Berchtold sebagai Ketua Eksekutif mulai 1 September lalu.

The Wall Street Journal tahun lalu melaporkan penyiasat mengesan hampir AS$700 juta dari akaun di Falcon di Singapura itu dipindahkan ke akaun-akaun di Malaysia.

Mereka mendakwa akaun berkenaan milik Perdana Menteri Malaysia.

Falcon, milik dana kekayaan negara Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Zurich, dikatakan memberikan bekerjasama dengan pihak berkuasa Singapura bagi tujuan membersihkan namanya.

Dana Malaysia 1MDB ini turut disiasat oleh beberapa pihak berkuasa di pelbagai negara, termasuk Singapura, New Zealand, Switzerland dan Amerika Syarikat.


Bercakap dalam majlis pembukaan pejabat Falcon di Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai untuk pengurusan aset dan kekayaannya bagi pelanggan-pelanggan di Timur Tengah, Eropah Timur dan tempat-tempat lain, Leeman menegaskan pihaknya ‘mematuhi kawal setiap selia’.

“Kami sedang berhubung dengan pengawal selia di seluruh dunia secara berterusan,” kata Leemann.

“Sebarang isu kawal selia yang timbul kami 100 peratus bekerjasama,” tegasnya.


Selepas lima bulan disiasat, diumumkan di Singapuran pada 17 Ogos lalu bahawa  Falcon dihalang daripada  menceburi perniagaan baru dalam Singapura oleh bank pusat tempatan dan pengawal selia kewangan.

Laporan akhbar Swiss, Finanz und Wirtschaft  memetik dapatan maklumat yang diperolehinya oleh seorang jurucakap  mengatakan: "Adalah menjadi dasar untuk MAS tidak mengulas mengenai urusan penyeliaan dengan institusi kewangan tertentu".

Laporan akhbar Finanz und Wirtschaft  tidak pula menyebut jika bank-bank lain turut dihalang daripada menjalankan perniagaan baru di Singapura.

Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland atau Swiss Financial Market Supervisory Authority (FINMA) enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Menurut jurucakap FINMA, ia menjalankan kerjasama secara erat dengan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dan pihak berkuasa penyeliaan lain dalam siasatan ke atas 1MDB dan telah membuka prosiding penguatkuasaan terhadap lima bank, salah satu daripadanya bercanggah dengan bank BSI dari Switzerland.

Falcon yang merupakan salah sebuah bank yang disiasat oleh MAS atas kemungkinan ketidak patuhan peraturan anti pengubahan wang haram dalam urusniaga pengendalian yang melibatkan 1MDB, sebelum  itu berkata, pihaknya sedang memberi kerjasama kepada penyiasat Singapura.

Bukan setakat itu sahaja kerana pada 11 Oktober lalu, MAS menarik balik status bank perdagangan Falcon Private Bank Ltd cawangan negara itu susulan kaitannya dengan aliran dana berkaitan 1MDB.

Ibu Pejabat FINMA
MAS mengumumkan perkara itu susulan “kegagalan serius kawalan antipengubahan wang haram (AML) dan pengurusan tidak betul oleh pengurusan kanan di ibu pejabat di Switzerland, dan juta cawangan Singapura”.

Kenyataan itu menambah: “MAS juga mengenakan denda kewangan pada DBS Bank Ltd (DBS) dan UBS AG, cawangan Singapura (UBS) kerana melanggar keperluan AML MAS.”

Tindakan itu diambil susulan pemeriksaan terhadap aliran dana berkaitan 1MDB melalui ketiga-tiga bank itu antara Mac 2013 dan Mei 2015.

Apa maknanya ini? Bermakna bahawa selepas apa yang menimpa Falcon ini, akan ada lagi ‘bala lain’ yang akan menimpa.

Siapa tidak pasti tetapi yang melakukan kesilapan, berjaga-jagalah!

FINMA kelmarin turut mendedahkan, kira-kira AS$ 3.8 bilion dana berkaitan 1MDB disalurkan melalui Falcon dan dana itu termasuk melalui urusniaga AS$681 juta dan pembayaran balik AS$620 juta enam bulan kemudian.

Pihak berkuasa kewangan itu tidak memberikan butirannya tetapi jumlah itu dilapokan sepadan dengan AS$ 681 juta yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dirujuk sebagai RM2.6 bilion berdasarkan kadar pertukaran ketika itu apabila perkara berkenaan didedahkan pada Julai tahun lalu.


Perdana Menteri menafikan dakwaan dengan menyebut ia adalah "derma dari Arab" dan AS$620 juta daripada wang itu kemudiannya dikembalikan. Malah Pejabat Peguam Negara Malaysia sudah ‘membersihkan Najib’ dalam isu ini.

MAS kini terus bekerjasama dengan pelbagai badan antarabangsa, terutamanya Finma. Falcon menjadi bank kedua ditutup, selepas bank Switerzerland BSI, di tengah-tengah dakwaan skandal 1MDB itu.

Selain itu, FINMA  turut mengenakan sekatan ke atas Falcon kerana melanggar secara serius "peraturan pengubahan wang haram berhubung cara ia mengendalikan dana yang dikaitkan 1MDB turut mengarahkan Falcon  menyerahkan lebih 2.5 juta franc Swiss (RM10.55 juta) dalam apa yang badan pemantau itu mendakwa sebagai keuntungan haram.

Sudah jatuh ditimpa tangga, tidak cukup dengan itu, Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland kelmarin (12 Oktober 2015) akan  memulakan prosiding jenayah terhadap Falcon.

Diulangi, prosiding jenayah kerana gagal menghalang kesalahan berkaitan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Keputusan memulakan prosiding dikatakan  berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh siasatan dalam kes 1MDB dan isu-isu yang dibangkitkan dalam keputusan FINMA dari awal Oktober 2016.

OAG mengesyaki kekurangan seliaan dalam organisasi dalaman Falcon dan bank berkenaan tidak dapat menghalang pelakuan kesalahan.

Seperti disebut di atas, siasatan sedang berjalan oleh banyak negara luar dan maklumat yang sedang dikumpulkan kelihatannya semakin jelas.

Kini tunggu sahaja apa yang akan berlaku selepas ini.

Hakikatkan semakin banyak yang terdedah dan semakin gementarlah mereka seperti yang disebut oleh FINMA sebagai pihak yang melanggar secara serius "peraturan pengubahan wang haram berhubung cara ia mengendalikan dana yang dikaitkan 1MDB.

Cumanya apakah rakyat kita akan terpalit dan akan didakwa seperti pendakwaan dua pegawai Bank BSI di Singapura akhir bulan ini?

No comments:

Post a Comment