Sunday, June 26, 2016

HUKUMAN ‘BUNUH POLITIK’ MUHYIDDIN MENGIKUT PERUNTUKAN ‘KES BERPROFIL TINGGI’?


Di bawah peruntukan mana dalam Perlembagaan UMNO, Presiden dan MT boleh ‘membunuh politik’ seseorang ahli dengan begitu mudah? Apakah masih diguna pakai dalam pemecatan ini berdasarkan ‘kes berprofil tinggi’ dalam kaitan dengan kes disiplin?"


Saya amat bersetuju dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa tindakan memecat Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dibuat kerana soal disiplin dalam parti dan bersekongkol dengan parti pembangkang.

Memang saya akur seperti disarankan oleh Mohamed Khaled dengan menjadikannya sebagai satu ujian yang menguji kesabaran dan kematangan dalam memperjuangkan parti.

Saya juga bersetuju bahawa tonggak bagi mana-mana parti adalah asas disiplin dan yang menguatkan UMNO selama ini soal disiplin.

Mohamed Khaled menjelaskan Muhyiddin yang pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan, yang menjaga mengenai disiplin, faham mengenai ini dan setiap kali mesyuarat Majlis Tertinggi, antara asas untuk memecat ialah bila bersekongkol dengan pembangkang dan secara terang-terangan tidak menyokong calon parti. 

Saya juga bersetuju dengan DDahlan Makmor melalui  Facebooknya menyifatkan pemecatan Muhyiddin bagaikan tiada apa yang berlaku.

Tiada penyokong UMNO turun ke jalan raya atau menuntut Presiden UMNO meletakkan jawatan seperti ketika bekas Timbalan Presiden UMNO, DatukSeri Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO  pada 3 September 1998.

  
Sesuatu yang berbeza ialah pada hari pemecatannya, Anwar hadir pada mesyuarat  MT dengan jawatan sebagai Timbalan Presiden parti. Beliau telah diberi peluang membela diri.

Malah, pada persidangan media pada kira-kira jam 1 pagi (4 September itu),  ia agak luar biasa kerana semua ahli MT hadir untuk menyatakan pendirian mereka secara konsensus iaitu semua ahli MT menyokong keputusan tanpa kecuali.

Dengan kata lain keputusan itu diambil setelah Anwar diberi peluang sepenuhnya untuk memberi penjelasan terhadap tuduhan-tuduhan ke atas dirinya.

Bagaimanapun, pemecatan Muhyiddin berbeza.

Bagaikan peristiwa biasa, hanya  membabitkan pemecatan ahli biasa, bukan Timbalan Presiden parti di kalangan pemimpin dan ahli UMNO di seluruh negara, kecuali UMNO Pagoh.

UMNO Pagoh menyatakan tidak gembira dengan keputusan MT itu. Lantas menyatakan tidak puas hati dan menolak keputusan kerana beberapa sebab.

Ketua Penerangan UMNO Pagoh Hairul Izam Abd Samat bekata mereka menolak keputusan MT UMNO memecat Muhyiddin atas pertimbangan empat perkara.

1.      Dibuat tanpa mengikut prosedur sepatutnya mengikut perlembagaan parti sebaliknya majlis tertinggi dan perlembagaan disalah guna presiden manakala Muhyiddin tidak dipanggil mempertahankan tuduhan ke atasnya;

2.      Muhyiddin dipilih sebagai timbalan presiden dan ketua bahagian oleh ahli UMNO di seluruh dunia dan keputusan MT mengkhianati anggota parti. Beliau terpaksa menggunakan pertubuhan bukan kerajaan untuk meneruskan perjuangan selepas dinafikan haknya melaksanakan tugas sebagai timbalan presiden;

3.      Salah laku presiden UMNO didakwa Muhyiddin berdasarkan laporan berintegriti daripada agensi kerajaan seperti bekas peguam negara, gabenor Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan

4.      Teguran dibuat Muhyiddin demi kepentingan parti dan bukan kepentingan peribadi dan tidak pernah memburuk-burukkan UMNO sebaliknya memastikan parti itu kukuh.

Lupakan dulu bantahan oleh  UMNO Pagoh kerana pastinya ia akan mempertahankan ketuanya.

Persoalan di sini yang masih belum terjawab ialah mengikut peruntukan mana dalam Perlembagaan UMNO. pemecatan Muhyiddin ini dibuat?


Ketika digantung keahlian, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan pada 3 Mac 2016 lalu bahawa penggantungan Muhyiddin tidak berkaitan dengan Fasal 9.12 Perlembagaan UMNO.

Katanya, Fasal 9.12 Perlembagaan UMNO adalah berkenaan ‘perlucutan jawatan’ mana-mana Ahli Majlis Tertinggi UMNO. ia berbeza dengan penggantungan jawatan yang Muhyiddin.

Penggantungan jawatan Muhyiddin dibuat di bawah kuasa sedia ada dan lebihan (residual powers) MT di dalam Fasal 10.15 yang dibuat demi kesempurnaan perjalanan parti.

“MT UMNO merupakan badan keputusan tertinggi di dalam ketiadaan Perhimpunan Agung Tahunan. Ini jelas di dalam Fasal 9.1 Perlembagaan UMNO. Apa jua keputusan Majlis Tertinggi akan dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung bila tiba masanya. Mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, pertikaian atau keputusan parti tidak boleh dicabar di Mahkamah.

Manakala Seksyen 16 Akta Pertubuhan ialah berkenaan pertikaian sesama ahli atau kalangan ahli. Ia tidak terangkum dalam kes penggantungan jawatan YB Tan Sri Muhyiddin maka saluran yang patut diambil ialah berbentuk dalaman parti sahaja.

Semalam mengulas pemecatannya, Muhyiddin berkata tindakan terhadapnya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan, adalah  bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan.

Penulis pula melihat pemecatan tanpa menyebut peruntukan khusus ini bagaikan keputusan pemimpin dalam filem Hindi dan Tamil terhadap mereka yang tidak berdaya atau daripada kasta yang rendah. Antara dua darjat.

Ia juga bagaikan seorang penjenayah dikenakan hukuman gantung sampai mati berdasarkan tuduhan dan keputusan mandatori yang dibuat oleh seseorang pemimpin negara,  tanpa perlu dibicarakan di mahkamah.

Rasanya UMNO bukan seperti keputusan ketua negara diktator Korea Utara!

Anehnya PAS yang memecat Datuk Husam Musa disertakan dengan surat tunjuk sebab dan membolehkan Husam menjawabnya. Soal keputusan selanjutnya itu urusan parti.

Sekurang-kurangnya ada hitam putih untuk rekod.


Sementara UMNO yang lebih dominan dalam banyak perkara, membunuh ‘politik Muhyiddin’ dengan keputusan sebulat suara MT tetapi samar-samar dalam pertuduhan dan pemecatannya.

Di bawah peruntukan mana dalam Perlembagaan UMNO, Presiden dan MT boleh ‘membunuh politik’ seseorang ahli dengan begitu mudah.

Apakah , peruntukan yang disebut oleh Setiausaha Agong UMNO pada 21 Mei 2016 lalu diguna pakai dalam pemecatan ini, iaitu berdasarkan ‘kes berprofil tinggi’ dalam kaitan dengan kes disiplin?

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini menjelaskan penggantungan jawatan Muhyiddin sebagai timbalan presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir ke Majlis Tertinggi (MT) UMNO berdasarkan ‘kes disiplin’ dan tidak melanggar perlembagaan parti.

Perkara itu diputuskan selepas Lembaga Disiplin menulis surat kepada beliau (Tengku Adnan) bahawa ia 'kes berprofil tinggi' dan memulangkan semula kes tersebut kepada MT untuk tindakan lanjut.

Apakah sebagai  setiausaha agung, beliau membawa apa yang telah ditulis kepadanya oleh Lembaga Disiplin sebagai rujukan untuk  Majlis Tertinggi dalam membuat keputusan semalam?

"Oleh kerana Lembaga Disiplin sendiri tidak mahu mengambil keputusan atas alasan 'kes berprofil tinggi' ... tak kan kita nak diamkan. Jadi, sebagai setiausaha agung saya cuma boleh bawa kepada MT untuk tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita pada 21 Mei lalu.

Sebelum ini  Muhyiddin menyifatkan  keputusan membawa kes itu kepada MT UMNO sebagai melanggar prosedur tatatertib dan perlembagaan parti.

Dengan precedent oleh MT dan keputusan Lembaga Disiplin ini, amat nyata UMNO kini ada kes ‘profil tinggi’ dan ‘profil rendah’ dalam menentukan kedudukan seseorang ahli, sama ada untuk dipecat atau digantung.

Apa pula ukuran atau kriteria bagi ‘profil rendah’? Untuk ahli biasa, Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan?

Apakah keputusan memecat Mukhriz sebagai ‘kes berprofil rendah’?

Sila jelaskan perbezaannya.

Tengku Adnan membalas kenyataan Muhyiddin baru-baru ini dengan mengatakan Perlembagaan UMNO jelas menyatakan bahawa MT berhak untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Majlis Tertinggi. Malah, ia juga boleh membuat keputusan-keputusan selain daripada apa yang tertera dalam tataetika parti dan perlembagaan.

Tambahnya, UMNO sebagai sebuah parti berstrukutur akan sentiasa memastikan tindakan yang diambil adalah mengikut aturan sedia ada.

Memulanglan paku buah keras, Tengku Adnan seperti Khaled mengatakan, sebagai bekas timbalan presiden UMNO, beliau yakin Muhyiddin faham dan tahu tindakan tersebut sama sekali tidak melanggar mana-mana peraturan.

Muhyiddin menyifatkan keputusan MT itu kerana UMNO yang ada pada hari ini bukan lagi UMNO yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya.

“Mereka yang melakukan perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti,” tegasnya.

Selagi tidak jelas peruntukan apa pemecatan Muhyiddin ini dan UMNO tidak dapat menjawab dengan nyata, tuduhan Muhyiddin bahawa mereka yang menguasai UMNO boleh melakukan apa sahaja terhadap ahlinya,  tanda tanya akan berterusan.

UMNO juga perlu bersedia dengan berbagai serangan daripada berbagai sudut, lebih-lebih lagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

Ada mengatakan Muhyiddin tidak sehebat Anwar. Namun kini dua pemimpin ‘Team Wawasan – Muhyiddin dan Tan Sri Muhamad Mohd Taib – sudah berada di luar UMNO sementara mentor team berkenaan, Anwar istiqamah dengan perjuangannya.,

Tidak berkesan? Tunggu dan lihat.

Juga, walaupun ‘sambutan’ terhadap pemecatannya tidak sehebat Anwar, namun Muhyiddin sudah berikrar : “...jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan.

“Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala, “ tegasnya.

Kita tunggu apa langkah Muhyiddin seterusnya dan apakah UMNO dapat bertahan dengan  ‘perjuangan Muhyiddin’ itu.

Lagipun Muhyiddin kini bebas sebebas-bebasnya untuk bersama pasukan Tun Dr Mahathir Mohamad berjuang demi menegakkan kebenaran dan  “ menentang pemimpin UMNO yang korupdan menyeleweng.”


1 comment:

  1. Bela diri buang masa je..masa itu emas..Kalo banyak bergambo2 dengan musuh parti duduk sebaris pula tu..kalau bagi bela diri keputusan tetap sama kena buang juga..patutnya muhyiddin protes dengan keluar umno..tapi tak buat sebab dia masih main politik kotor. .biar kena buang baru dapat raih simpati...very low politics

    ReplyDelete