Thursday, May 12, 2016

UMNO TIDAK DIBENCI TETAPI YANG RASUAH, SALAH LAKU & ANGKUH JADI SASARAN...


Buruk sangatkah imej UMNO yang dipaparkan oleh wartawan internet?

Jika demikian, kenapa membiarkan ia berterusan?

Bukankah UMNO memiliki ‘panglima perang’, tentera siber, facebookers dan pelbagai jentera siber lain untuk mempertahankan UMNO?

Naib Presiden UMNO,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semalam, 87 peratus daripada maklumat "kumpulan wartawan Internet" itu membuat tulisan begitu hanya untuk mempengaruhi masyarakat.

Tujuannya adalah untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap UMNO.

“Apabila pemikiran sudah dipengaruhi, ia menimbulkan persepsi. Apabila persepsi tidak diuruskan, ia akan menyebabkan pembuat keputusan membuat keputusan berdasarkan pengaruh,” katanya.


Namun, menurut Dr Ahmad Zahid, soal kredibiliti sesuatu maklumat daripada media sosial termasuk portal berita, kini sudah mula dipertikaikan.

“Kita tahu berita mereka berdasarkan agenda media dan kita tahu agenda mereka tidak difahami ramai orang,” katanya.

Jika tahu semuanya, eloklah sekiranya UMNO memberikan penjelasan. Namun kenapa persepsi tidak dapat dihapuskan?

Benar sekali kata-kata Dr Ahmad Zahid bahawa UMNO  tidak 'sekotor' dakwaan sesetengah pengguna Internet atau wartawan atas talian.

Rasanya dalam isu UMNO diserang ini, ia mempunyai pelbagai bidang dan tafsiran.

“Umno tidak sekotor sebagaimana persepsi tulisan wartawan yang (menulis secara) tidak beretika di luar media konvensional seperti dalam Facebook, WhatsApp, YouTube serta Telegram," kata Dr Ahmad Zahid dalam temu bual bersama BH sempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO.

Temu bual itu disiarkan semalam.

Hakikatnya UMNO tidak diserang secara parti.

Masyarakat Malaysia tahu, termasuk wartawan siber bahawa UMNO banyak menyumbang kebaikan kepada negara.

Namun, pendapat Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri bahawa 'wartawan Internet' tidak mempunyai asas untuk menuduh atau membuat pandangan dengan sewenang-wenangnya mengenai parti berkenaan sehingga membawa tanggapan negatif umum, boleh dipersoalkan.

Bagaimana dengan tiga perkara berikut?.

1.  Sesetengah pemimpin UMNO diserang kerana moral dan tingkahlaku mereka yang tidak menyenangkan rakyat dalam isu-isu tertentu;

2.  Sesetengah pemimpin UMNO ‘yang bodoh’ sudah pasti mendedahkan diri mereka untuk diserang khususnya yang cuba mempertahankan seseorang, walaupun sudah diketahui umum orang berkenaan ada masalah moral, kepimpinan, pentadbiran atau menyusahkan rakyat;

3.  Ada sesetengah pemimpin UMNO yang mengeluarkan kenyataan ‘bodoh’ yang menyebabkan rakyat merasa dihina hanya kerana mahu melepaskan tanggungjawabnya atau kerana kononnya mempertahankan pemimpin serta kerajaan; dan

4.  Sesetengah pemimpin UMNO yang ternyata terpalit dengan pelbagai salah laku rasuah, salah guna kuasa, samseng dan tidak sensitif dengan kehendak rakyat.

Jadi, apa pilihan yang wartawan siber ada?

Menurut anggota parlimen Barisan Nasional (BN) Bagan Datoh itu, pengguna Internet dan sesetengah wartawan atas talian cuma mengeluarkan pendapat masing-masing dan ia kemudian mewujudkan pengikut.

Selepas itu persepsi berkenaan disebarkan dan menurut Dr Ahmad Zahid, "memang mudah" untuk seseorang menyatakan pendapat tanpa berasaskan penulisan beretika dalam bidang kewartawanan.

Benarkah wartawan dalam talian tidak terlatih dan tidak beretika dalam bidang kewartawanan?

Belum tentu. Mungkin ada tetapi tidak semuanya.

Sewajarnya Naib Presiden UMNO yang kini menjadi Timbalan Perdana Menteri melihat ‘serangan’ dalam pelbagai konteks.

Ada yang memberikan pendapat berbeza mengenai UMNO dan kepimpinan. Mereka ini tetap sayangkan UMNO.

Ada yang nampak ‘garang’ mengkritik UMNO tetapi hakikatnya tidak terlintas pun di hati mereka mahu meninggalkan UMNO namun disebabkan meluat dengasesetengah pemimpin dan keadaan yang berlaku, mereka menulis dan menyatakan pendapat.

Ada yang menghentam terus menerus UMNO dan sanggup meninggalkan parti. Namun kes seperti ini perlu juga diselidiki.

Apa yang tidak kena dengan mereka? Apakah pemimpin UMNO mendekati mereka ini untuk mengetahui kenapa mereka ‘marah’ kepada UMNO?

Apakah mereka ini tidak penting lagi kepada UMNO?

Dr Ahmad Zahid kena ingat bahawa soal penting bukan ‘penentangan’ terhadap UMNO dan pemimpinnya,  tetapi apakah mereka mengundi UMNO ketika pilihan raya?

Belum tentu yang menyokong dan menjadi ‘langau’ bertaburan di sektar pemimpin UMNO itu mengundi UMNO dan BN.

Dengan usia 70 tahun, UMNO dan pemimpinnya perlu matang.

Jangan melihat kritikan dan ‘second opinion’ terhadap sesuatu isu membabitkan UMNO sebagai sikap membenci UMNO seratus peratus oleh seseorang. Selagi ada yang bercakap mengkritik, memberi pendapat lain atau mengusulkan sesuatu yang ‘walaupun sukar diterima’, ia menandakan masih ada yang sayangkan UMNO.

Namun apabila mereka ini berdiam diri atau sudah tidak pedulikan UMNO, keadaan itu ditahap bahaya.

Dalam keadaan sedemikian, mereka mungkin sudah melupakan UMNO dan tidak lagi mengundi UMNO dan BN pada pilihan raya.

Jadi jangan menganggap yang mengkritik UMNO atau sesetengah pemimpin itu sebagai yang itdk sayangkan UMNO.


Lebih baik bersuara daripada diam. Sekurang-kurang mereka berhujah, bukannya taat membabi buta!!!

No comments:

Post a Comment