Sunday, May 1, 2016

AHMAD RAZIF - SULTAN MIZAN, NAJIB SEPAKAT SEBAGAI MENTERI BESAR


“Move on” Ahmad Razif Abdul Rahman!

Harap tiada lagi spekulasi dan andaian. Sah sudah beliau terus kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan hari ini perkara itu diputuskan selepas beliau mengadakan pertemuan sulit dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Semalam saya menghadap Sultan Mizan berhubung isu kedudukan menteri besar Terengganu, dan hasil kesimpulan pertemuan ini, kami mencapai kata sepakat untuk meneruskan Ahmad Raziff sebagai menteri besar.

"Saya harap selepas ini tiada lagi timbul sebarang persoalan dan andaian mengenai kedudukan beliau," kata Najib.

Jelasnya, tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan pentadbiran dan pembangunan berjalan lancar di Terengganu.

Najib bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai pertemuan beliau dengan Sultan Mizan pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, hari ini.

"Isu itu telah diselesaikan," kata Najib dan berharap pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kedudukan Ahmad Razif selepas semua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya ditarik balik berkuatkuasa 22 April lalu.

"Maka dengan pengumuman ini, saya berharap tiada lagi sebarang persoalan dan andaian mengenai kedudukan beliau (Ahmad Razif), saya anggap isu kepimpinan negeri ini selesai," katanya.

Ditanya mengenai pelucutan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, Najib berkata:" itu hak sultan (Sultan Mizan), (saya) tak masuk campur, itu dalam Perlembagaan dan kuasa sultan".

Sultan Mizan sebelum ini melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, berkuat kuasa pada 22 April lalu.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu pada 25 April lepas.

Perdana Menteri kemudian memutuskan untuk menghadap Sultan Terengganu bagi membincangkan mengenai kedudukan Ahmad Razif sebagai menteri besar susulan kontroversi itu. 

Sebelum ini, Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.


Ahmad Razif mengatakan sebelum ini, beliau mengakui reda dan pasrah anugerah kebesaran negeri yang dikurniakan kepadanya ditarik balik.

Malahan, dengan apa yang berlaku beliau bertekad untuk terus membuktikan taat setia kepada Sultan Mizan.

Beliau juga berkata, kepentingan rakyat Terengganu akan terus menjadi keutamaan selagi masih memegang jawatan.

"Saya reda dan pasrah dengan apa yang berlaku dan amat memahami bahawa ini adalah hak mutlak Tuanku di dalam mengurniakan anugerah atau penarikan balik anugerah itu.

"Yang penting kita mesti mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sebagai rakyat, pemimpin yang taat dan setia kepada raja dan negara," katanya.

No comments:

Post a Comment