"Penampilan bersama bekas "musuh" itu - Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh - duduk bersebelahan pada sidang akhbar itu, pasti mempengaruhi emosi tetapi tidak akan cukup untuk mempengaruhi sokongan yang meluas dalam UMNO bagi menggulingkan Najib" - Penganalisis
Pertemuan
beberapa pemimpin UMNO, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh
Hamzah pagi semalam ialah usaha agar
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan, bukan untuk
menjatuhkan kerajaan. Itu kata mereka.
Apa yang
dilakukan pemimpin berkenaan, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin bertujuan untuk menyingkirkan individu yang
memberi masalah kepada negara.
Namun,
keberkesanan pertemuan itu dan langkah-langkah lanjut masih belum dapat
diramalkan – mungkin tidak akan mendatangkan kesan besar kepada kedudukan
Najib.
Selain kecaman mereka terhadap Putrajaya berhubung
penggunaan undang-undang keselamatan baharu terhadap pengkritik kerajaan dan
kebimbangan mereka tentang keadaan negara ini, pemimpin berkenaan juga secara
terbuka mempamerkan satu garis yang jelas dalam menentang kerajaan diterajui
Najib.
Hadir sama
pada majlis berkenaan ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan
bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Ong Tee Keat.
Seorang lagi bekas pemimpin MCA, bekas presiden Tun Dr Ling
Liong Sik, juga menyokong pemimpin tersebut, walaupun beliau tidak hadir di
sidang akhbar itu kerana berada di luar negara.
Ketujuh-tujuh pemimpin itu bersikap kritis terhadap Najib
dan polisinya, termasuk skandal sedia ada yang menyelubungi perdana menteri,
iaitu "wang derma" RM2.6 bilion daripada individu tidak diketahui
dari negara Timur Tengah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Bekas Setiausaha Agong UMNO yang juga bekas menteri Kabinet, Tan Sri Sanusi Junid
berkata mereka mahu Najib berundur tetapi Barisan Nasional (BN) kekal
memerintah negara ini.
Katanya,
dengan situasi sekarang, amat mudah untuk pembangkang menjatuhkan kerajaan dan
Najib.
"Saya
mesti menerangkan sikit. Senario keseluruhan sekarang ini ialah mudah untuk
pembangkang menjatuhkan kerajaan. Dalam kes kami, kami mahu Najib turun tetapi
kami mahu UMNO dan BN menang.
"Jika
kita mahu UMNO dan BN kalah, sangat mudah untuk turunkan Najib. Jadi, kami mahu
UMNO memerintah dan kekal mengetuai negara bersama BN tetapi kita cuma mahu
mengeluarkan orang yang memberi masalah kepada negara," katanya.
Pada
majlis itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa
satu-satunya cara untuk ‘menurunkan’ Perdana Menteri, ialah dengan undi tidak
percaya.
Katanya,
setiap ahli Parlimen perlu mempunyai kebimbangan ketika mereka berada di posisi
untuk membolehkan perubahan kepimpinan di Malaysia dibuat.
Jelasnya,
rasa tidak puas hati terhadap pemimpin atau kerajaan sering berlaku di seluruh
dunia, justeru itu diperuntukkan undi tidak percaya dalam perlembagaan.
“Tapi
sudah tentu banyak perkara yang orang berkuasa boleh lakukan untuk halang ia
daripada berlaku. Seperti ugutan, mendapat sesuatu…kita tak tahu,” katanya.
Namun, bagi
Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah walaupun setiap ahli
Parlimen mempunyai hak untuk mengusulkan supaya undi tidak percaya dibuat bagi
menunjukkan bahawa keyakinan rakyat telah hilang terhadap Najib tetapi langkah
itu tetap mempunyai masalah.
“Hak untuk
kita bawa usul ke Dewan Rakyat seperti undi tidak percaya kerana hilang
keyakinan terhadap kepimpinan atau kerajaan memang ada tetapi ada beberapa
masalah.
“Kita
jelas diberitahu bahawa Speaker Dewan Rakyat berhak menolak apa sahaja usul
kerana ia tak disebut dalam Standing Order yang diguna di Dewan Rakyat,”
katanya yang hadir pada sidang media khas bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir tentang isu semasa dan krisis yang berlaku dalam negara hari ini.
Menurut
beliau, jika usul itu ditolak, terdapat satu lagi cara untuk menunjukkan rakyat
telah hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri tetapi enggan memberitahu
pemberita tentang langkah alternatif itu.
“Jika
awal-awal lagi sebarang usaha untuk mengemukakan usul sedemikian rupa tidak
diizin oleh Speaker, tak akan berhasil usaha kita untuk bawa usul sedemikian
rupa.
“Tapi ada
satu lagi cara lain yang kita kena fikir untuk kepentingan rakyat…apa cara
itu...itu kena cakap di forum berbeza,” katanya.
Bagi
penganalisis, pertemuan semalam itu mengagumkan, tetapi penganalisis tidak yakin ia akan berjaya
mempengaruhi ahli UMNO untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak.
Dr Oh Ei Sun dari Universiti Teknologikal Nanyang Singapura pesimis
perkembangan mutakhir ini boleh mendorong ahli parti menggesa Najib
disingkirkan, sambil menyatakan pemberian politik kekal sebagai salah satu
faktor utama bagi ramai ahli UMNO.
Felo kanan Fakulti Pengajian Antarabangsa universiti
Singapura itu berpendapat kebanyakan daripada pemimpin veteran tersebut tidak
lagi berada dalam arus perdana politik, dan yang ketiga, kebanyakan ahli sudah
menetapkan dalam fikiran mereka siapa akan disokong.
Penganalisis Asrul Hadi Abdullah Sani berkata, penampilan
bersama bekas "musuh" itu - Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh yang
duduk bersebelahan antara satu sama lain pada sidang akhbar itu, pasti
mempengaruhi emosi tetapi tidak akan cukup untuk mempengaruhi sokongan yang
meluas dalam UMNO bagi menggulingkan Najib.
"Ini disebabkan struktur hierarki dalam UMNO sendiri.
Tidak kira apa pendapat ahli akar umbi, jika ketua bahagian berfikir sebaliknya,
suara akar umbi tidak akan membawa sebarang perbezaan," kata penganalisis
BowerGroupAsia itu.
"Dr Mahathir kini tidak lagi mendedahkan apa-apa yang
baru pun dan mula berbunyi seperti 'radio rosak' (mengulang perkara sama
berkali-kali).
"Menariknya, pihak yang kalah paling besar hasil sidang
akhbar itu bukan Najib atau UMNO, tetapi pihak pembangkang sendiri yang gagal
mengambil kesempatan daripadanya akibat ketidakcekapan mereka sendiri,"
katanya.
Pengumpul suara, Ibrahim Suffian
berkata terlalu awal untuk mengatakan ia mungkin mempengaruhi pemimpin lain
tetapi jika anda melihat implikasinya pada jangka masa panjang, ia menunjukkan
mereka yang ingkar dalam UMNO sedang secara terbuka menentang Najib. “Garisannya
nampak jelas," kata beliau.
No comments:
Post a Comment