"Isu keruntuhan akidah perlu diangkat kembali dalam masyarakat supaya kepekaan dan keprihatinan semua pihak dapat diberi perhatian...Keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam di negeri-negeri sama-sama berperanan agar setiap individu tidak dipesongkan oleh penyakit akidah."
- AJK Pusat PAS, Dr Riduan Mohd Nor
Kontrovesi mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap seorang pengantin wanita yang berkahwin mengikut adat Hindu, Ahad lalu mendapat reaksi berbagai.
Pada ketika pemimpin UMNO membisu seribu Bahasa, beberapa pemimpin PAS memuji tindakan JAIS, seorang pemimpin kanan PAS berkata JAIS sepatutnya membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum bertindak.
Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, JAIS wajar membuat pemeriksaan terlebih dahulu, sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut termasuk serbuan kerana ia boleh mencetus perbalahan agama.
"Adalah wajar JAIS ambil tindakan melalui maklumat lengkap dan sahih. Kita tahu serbuan ke atas perkahwinan itu boleh mencetuskan perbalahan agama.
"Jadi keperluan untuk mendapatkan maklumat yang tepat mesti diteliti dengan cermat," katanya.
Sementara itu seorang jawatankuasa kerja PAS mempertahankan operasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas satu majlis perkahwinan mengikut adat Hindu, didakwa melibatkan pengantin wanita yang disyaki penganut Islam.
Riduan Mohd Nor berkata, tindakan tersebut mungkin terpaksa dijalankan oleh JAIS bagi menyelamatkan akidah wanita tersebut. Jelasnya, umat Islam diharamkan berkahwin dengan penganut agama lain dan Islam juga mengharamkan penganutnya keluar dari agama tersebut.
"Tindakan gadis tersebut berkahwin di kuil dengan mengikut segala amalan dan ajaran Hindu dikhuatir akan menjejaskan akidahnya serta melanggar syariat Islam. Perkahwinannya di sisi Islam tidak sah dan akan menyebabkab zuriat yang diperolehi juga tidak sah taraf," kata Riduan lagi dalam satu kenyataan.
Malaysiakini yang memetik laporan Sinar Harian menyebut JAIS menahan pengantin berkenaan, seorang wanita berusia 32 tahun ketika upacara perkakwinan sedang berlangsung bersama pasangannya, seorang lelaki beragama Hindu. Wanita yang lengkap berpakaian pengantin itu ditahan oleh pasukan anggota JAIS di Petaling Jaya pada kira-kira jam 10 pagi.
Beliau seterusnya dibawa ke ibu pejabat pihak berkuasa tersebut untuk siasatan, hari Ahad lalu.
Operasi tersebut dijalankan dengan bantuan anggota polis yang berkawal di luar kawasan majlis tersebut, manakala keluarga mempelai memberi kerjasama baik, lapor akhbar tersebut.
JAIS dilaporkan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.
Peruntukan itu meliputi kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang beragama Islam supaya mengubah keimanan.
Laporan yang memetik satu sumber tidak dinamakan itu menyebut, bapa wanita tersebut yang beragama Hindu sebelum ini menukar agama wanita berkenaan kepada Islam.
“Wanita itu tidak mengetahui bapanya mendaftarkan dia dan tiga adik-beradiknya sebagai beragama Islam. “Wanita itu hanya mengetahui perkara itu selepas saudara terdekat melihat sijil kelahiran (status agama) mereka tercatat agama Islam,” kata sumber berkenaan.
Sumber itu juga menyebut pengantin berkenaan serta adik beradik mereka dibesarkan oleh ibu mengikut ajaran Hindu setelah lelaki berkenaan meninggalkan keluarga berkenaan sejak pengantin wanita itu masih kecil.
Menurut sumber itu lagi, pengantin wanita itu pernah memohon penukaran status agama di Mykad pada tahun 2007 namun tidak berjaya kerana penukaran tersebut memerlukan tandatangan bapanya. Menurut sumber itu, pengantin wanita tersebut melakukan permohonan sekali lagi pada April lalu
Bagi Dzulkefly berkata mana-mana pihak termasuk Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) berhak untuk menyatakan pandangan mereka berhubung kes berkenaan.
“Hindraf boleh kata apa pun, yang pentingnya semua yang memberikan pandangan. "Semua (pihak) mesti memikul tanggungjawab menjaga suasana damai dan sejahtera khususnya bagi umat Islam,” katanya.
Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy dalam kenyataannya semalam antara lainnya mendakwa tindakan JAIS di upacara perkahwinan di sebuah kuil di Petaling Jaya itu mencabul Perlembagaan.
Waytha mendakwa serbuan itu melanggar hak kebebasan beragama yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan, selain menjejaskan suasana aman dalam majlis perkahwinan itu.
Hindraf menganggap tindakan JAIS ke atas satu majlis perkahwinan mengikut agama Hindu itu disifatkan sebagai satu bentuk pencabulan perlembagaan.
Pengerusinya P Waythamoorthy berkata, operasi melibatkan penahanan pengantin wanita itu juga menunjukkan sikap tidak menghormati sensitiviti orang bukan Islam.
“Serbuan itu menyalahi undang-undang, tidak mengikut perlembagaan dan mengganggu ketenangan suasana dalam masyarakat pada waktu itu. Tindakan JAIS jelas menunjukkan tidak menghormati sensitiviti bukan Islam dan tempat-tempat ibadat mereka.
“Perbuatan ini jelas menunjukan mereka sudah melampaui batas bidang kuasa mereka,” katanya seperti dipetik dari kenyataan medianya.
Waytha mempertikaikan peruntukan undang-undang yang digunakan JAIS ketika menyerbu dan menahan pengantin wanita itu. Katanya, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam) 1988 itu tidak mempunyai kuasa untuk bertindak demikian di tempat beribadat agama Hindu itu.
“Akta ini tidak memberi apa-apa jenis hak pada JAIS untuk menyerang kuil dan menghentikan perkahwinan Hindu daripada berlaku. Akta itu sendiri sudah jelas,” katanya.
Apapun, cuba kita teliti secara mendalam apa yang diebutkan oleh Dr Riduan Mohd Nor, AJK PAS Pusat pada 03 Jun 2014:
Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis perkahwinan yang dijalankan mengikut adat Hindu di kuil di Petaling Jaya berikutan aduan pengantin perempuan yang dipercayai beragama Islam semalam mengundang pandangan pelbagai pihak.
Tidak kurang yang mengecam, mengutuk tindakan Jais sebagai tidak menghormati hak dan pegangan penganut agama lain. Ada yang marah kerana Jais mengganggu majlis perkahwinan dan budaya masyarakat dan agama Hindu.
Bagi umat Islam, tindakan Jais amat wajar kerana ia berjaya menyelamatkan akidah umat Islam dari terkeluar dari garis Islam.
Serbuan mungkin terpaksa dilakukan setelah mendapat maklumat tepat mengenai keislaman gadis itu bagi ‘membebaskan’ akidah beliau dari terjerumus ke lembah kemusnahan yang lebih parah di kemudian hari.
Menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam berkahwin dengan penganut agama lain tanpa pasangan bukan Islam itu memeluk agama Islam. Islam tidak membenarkan pula penganut Islam menukar agama kepada agama lain kerana ia adalah murtad dan kesalahan paling besar dalam Islam adalah keluar dari agamanya sendiri. Ia jelas difahami oleh penganut mazhab Ahli sunnah Wal Jamaah di negara ini.
Tindakan gadis terbabit berkahwin di kuil dengan mengikut segala amalan dan ajaran Hindu dikhuatiri akan menjejaskan akidahnya serta melanggar syariat Islam.
Perkahwinannya di sisi Islam tidak sah dan akan menyebabkan zuriat yang diperolehi juga tidak sah taraf. Kes ini menjadi pengajaran betapa seriusnya masalah akidah dan akhlak dalam masyarakat. Kejahilan adalah faktor utama mengapa wanita itu sanggup mengenepikan ajaran agamanya demi meraih ‘cinta sejati’ bersama pasangannya.
Akidah umat boleh dijual beli hanya untuk kelangsungan perkahwinan dan percintaan. Seolah-olah akidah dan syahadah adalah perkara remeh yang boleh disampingkan kerana keperluan dan tuntutan hidup.
Isu keruntuhan akidah perlu diangkat kembali dalam masyarakat supaya kepekaan dan keprihatinan semua pihak dapat diberi perhatian.
Keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam di negeri-negeri sama-sama berperanan agar setiap individu tidak dipesongkan oleh penyakit akidah.
‘Percintaan songsang’ seperti ini boleh dielakkan andai kefahaman dan penghayatan Islam disemai dalam diri setiap individu.
Kajian dan survey terbaharu juga perlu dibuat untuk mengenalpasti sejauh mana ancaman murtad terhadap umat Islam.
Dibimbangi percintaan dan perkahwinan dijadikan sebagai senjata paling ampuh bagi memastikan akidah umat Islam melayang.
Persoalan yang kita mahu tahu ialah apa pendirian pemimpin dan ulama UMNO mengenai isu ini pada ketika pemimpin PAS sudah menyuarakan pendirian mereka, waalaupun wujud perbezaan pendapat?