Sunday, July 14, 2013

FAKTOR HUSAM DI KUALA BESUT – MENJANAM DARIPADA MEMENANGKAN PAS…


"Selain tidak menilai sensitiviti bahawa calon yang ditonjolkan oleh PAS itu sebenarnya adalah bekas ahli UMNO, keputusan PAS Pusat sudah membelakangkan kehendak pengundi PAS di Kuala Besut…amat nyata sekali, PAS tidak menyandarkan harapannya kepada calon berpengalaman dan memang mempunyai pengaruh di Kuala Besut."
 

Dalam soal memilih calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, UMNO/Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan berbanding PAS.

Tidak usahlah kita mempertikaikan mengenai kelulusan.

Tidak guna mempunyai calon berkelayakan tinggi tetapi tidak mempedulikan rakyat. Lebih baik mempunyai calon berkelulusan sederhana tetapi ‘mesra rakyat’.

Tetapi UMNO/BN bernasib baik kerana sejak awal-awal lagi, bakal calon yang mahu diketengahkan adalah mereka yang amat berkelayakan, iaitu berlatarbelakangkan agama, birokrat serta profesional.

Namun tidak dengan PAS!

Mereka terkial-kial kononnya menunggu pengumuman UMNO/BN supaya ‘sesuai’ untuk dipadankan sebagai calon. Maksudnya kalau calon UMNO/BN berpendidikan agama, mereka akan meletakkan calon serupa.

Ternyata perkiraan PAS kali ini lain daripada yang diduga. Jika ia benar-benar mahukan kekuatan dan sokongan, sudah PAS ia meletakkan calon berpengalaman dan di kenali ramai.

Namun, kali ini PAS mungkin terdesak kerana wang. PAS melihat faktor ‘kebendaan dan dana’ melebihi perjuangan ‘sucinya’.

Selain tidak menilai sensitiviti bahawa calon yang ditonjolkan oleh PAS itu sebenarnya adalah bekas ahli UMNO, keputusan PAS Pusat sudah membelakangkan kehendak pengundi PAS di Kuala Besut.

Selain itu amat nyata sekali, PAS tidak menyandarkan harapannya kepada calon berpengalaman dan memang mempunyai pengaruh di Kuala Besut.

Mungkin kerana itu, tinjauan yang dibuat mendapati ada kalangan ahli dan penyokong PAS sendiri yang tidak senang dengan keputusan PAS Pusat meletakkan Azlan Jusuh yang dikenali sebagai Che Long.

Memang Azlan anak tempatan, namun kalangan yang mengharapkan bekas ADUN PAS Kuala Besut (1999-2004) diberikan peluang semula, sangat kecewa.

Malah, Nik Zawawi Nik Salleh (kiri) dilihat tidak diiktiraf langsung sumbangan dan penglibatan beliau dalam memperkukuhkan PAS Kuala Besut selama ini. Bukan ‘kacang lupakan kulit tetapi kulit yang tinggalkan kacang’.

Pada PRU 1999, Nik Zawawi Nik Salleh mendapat 4,426 manakala tokoh UMNO Besut yang juga bekas Exco, Wan Zakaria Bin Abd Rahman dari BN mendapat 3,939.

Nik Zawawi mengalahkan calon BN dengan majoriti 487 undi. Akhirnya ada kalangan penyokong PAS beranggapan, UMNO/BN akan memang mudah, ….’kacang jer’ kata mereka.

Jika ingin disingkap sumbangan kedua-dua calon daripada PAS dan UMNO/BN kepada parti di kawasan Kuala Besut, biarpun Che Long adalah Bendahari PAS, kedua-duanya seimbang.

Jika calon UMNO/BN dilihat sebagai pegawai kerajaan yang pernah menabur bakti di kawasan itu, Che Long pula dikatakan tidak membantu dan bekerjasama kepada calon PAS pada PRU 13, Napisah Ismail – menyebabkan Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar menang selesa dengan 2,343 undi majoriti.

Bagi kalangan ahli PAS, ada menggelarkan Che Long sebagai ‘calon cari makan’ dan berdepan dengan kemungkinan sabotaj kumpulan yang mahukan Wan Zawawi serta muslimah PAS yang kecewa dengan tindakannya sebelum ini.

Malah, Che Long yang dikatakan rapat dan banyak membantu Naib Presiden PAS, Husam Musa terpilih kerana ‘wincable’ bukan faktor kemungkinan kemenangan atau winnable.

Kita tidak hairan beliau terpilih dan kita tidak hairan kenapa Husam dilantik sebagai Pengarah PRK Kuala Besut. Che Long menjalankan perniagaannya dan banyak tertumpu di Kota Bharu dan pastinya orang yang paling ‘berpengaruh di Kelantan’ sebelum ini, Husam mempunyai hubungan erat dengan beliau.

Bagi Che Long, politik perkara kedua kerana baginya perniagaannya lebih penting. Malah, dia mungkin tidak meyangka akan dipilih sebagai calon. Memandangkan Nik Zawawi adalah daripada kalangan ulama, Husam yang dikenali daripada kumpulan Erdogan tidak akan memilih bekas ADUN Kuala Besut itu.

Soal pengaruh, pengalaman dan sokongan tidak dihiraukan oleh Husam. Yang penting ialah PAS perlu bergerak dan berbelanja untuk PRK ini. Siapa yang akan membantu PAS pada PRK ini?

Tidak ada sesiapa lagi kerana PKR dan DAP hanya menjadi ‘nasi tambah’ sahaja. PASlah yang perlu mengeluarkan duit dari poketnya.

Kalau letak Ustaz Zawawi, sudah PASti kontong tidak penuh tetapi dengan meletakkan Che Long, dia perlu bekerjasama rapat dengan Husam untuk menjamin kemenangan.

Jika kalah, Husam juga akan terkial-kial pada pemilihan Parti PAS nanti. Kalau menang, Husam akan kembali naik tocang selePAS digugurkan daripada Exco Kerajaan Kelantan.

Menghairankan apabila Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Wahid Endut mengatakan PAS Terengganu bersetuju menyerahkan kepada Husam untuk mengepalai jentera PAS bagi PRK Kuala Besut setelah pengumuman dibuat mengatakan Timbalan Pesuruhjaya PAS, Satiful Bahri Mamat sepatutnya mengetuainya.


Malah, Satiful dan pembantunya Hanafiah Mat seolah-olah diketepikan dan cita-cita dua pemimpin PAS ini untuk menunjukkan kebolehan 'tergolek di tepi jalan'. Belum berjuang sudah dikantoikan!

Berlainan dengan UMNO/BN, awal-awal sudah diumumkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin iaitu Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO dilantik sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Idris Jusoh, iaitu Ketua Bahagian UMNO Besut sebagai timbalannya.

Ternyata bahawa dalam PRK Kuala Besut ini, PAS tersilap memilih calon, selain terpaksa melantik pula Husam yang dilihat politiknya semakin menjunam, yang banyak membawa kelebihan kepada UMNO/BN. PRK ini juga menjelaskan lagi peranan kroni dalam PAS apabila Che Long mendapat tempat berbanding Wan Zawawi yang dilihat mampu memberikan saingan lebih sengit kepada calon UMNO/BN.

Kita tidak dapat meramalkan sejauh mana ‘kepentingan kroni’ akan berterusan dalam parti itu tetapi yang nyata melalui PRK Kuala Besut ini, sesiapa yang ada ‘cable’ dengan pemimpin PAS Pusat berpeluang menjadi calon. Faktor kedua ialah dia mesti loaded kerana PAS dalam keadaan tertentu terdesak untuk menubuhkan tabung khususnya untuk PRK.

Tidak hairanlah jika PAS - sambil berkempen – sempat mengumpul dana untuk PRK walaupun hakikatnya bagi PRK ini, Che Long mampu untuk menyediakan peruntukan selepas mendapat ruang dan peluang berniaga di Kelantan yang berkemungkinan besar melalui bantuan dan pertolongan Husam.

Jika pemimpin PAS mengatakan PKR Kuala Besut adalah ‘talian hayat UMNO/BN Terengganu’, di pihak Husam, PRK Kuala Besut adalah ‘talian hayat karier politiknya’.

Sejauh ini perananya dilihat ‘menjahanamkan politik PAS Kuala Besut’ dan PAS yang dijangka tewas terus akan menjadi mala petaka kepada karier politiknya yang kini sedang menjunam selepas kalah di Parlimen Putrajaya dan terpelanting daripada barisan Exco Kerajaan PAS Kelantan.

No comments:

Post a Comment