“Orang Islam pula perlu membantah, namun jangan cepat melatah...Penggunaan kalimah Allah itu telah dienakmenkan setiap negeri ...
mereka sengaja mahu melakukan provokasi supaya orang Islam melatah.”
- Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria
Mana-mana pihak selain orang Islam yang berkeras ingin menggunakan kalimah “Allah” perlu memeluk agama Islam.
“Penggunaan kalimah Allah itu telah dienakmenkan setiap negeri ... mereka sengaja mahu melakukan provokasi supaya orang Islam melatah,” tegas Harussani ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Pertikaian mengenai penggunaan kalimah Allah kembali hangat apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam perutusan Krismas baru-baru ini menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) membenarkan penggunaan kalimah itu untuk Bible berbahasa Melayu.
“Kalau nak pakai kalimah Allah, masuk Islam,” tegas Harussani.
Beliau turut menegaskan, sekiranya perkataan Allah itu dibenarkan untuk komuniti bukan Islam, ia bakal mengundang kekeliruan kepada masyarakat Islam.
“Kalau mereka (Kristian) gunakan nanti ada kekeliruan kepada orang Islam. “Orang Kristian jangan sibuk dengan agama Islam, jaga agama mereka sendiri,” katanya lagi.
Harussani bagaimanapun menasihati masyarakat Islam di negara ini agar tidak cepat melatah berhubung perkara itu walaupun menegaskan mereka perlu membantah tuntutan tersebut.
“Orang Islam pula perlu membantah, namun jangan cepat melatah,” tambahnya. Adalah melanggar prinsip perlembagaan untuk menghalang sesiapa menggunakan perkataan “Allah”, katanya hari ini, menegaskan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2010 tidak terpakai kepada bukan Islam.
Dalam satu kenyataan, Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) melalui presidennya Jagir Singh menegaskan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak terpakai untuk orang bukan Islam, dan majlis itu tidak mempunyai bidang kuasa langsung ke atas orang bukan Islam dan tidak boleh mengeluarkan fatwa melarang masyarakat dari menggunakan perkataan tertentu.
Beliau juga menyebut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, yang katanya tidak membenarkan apa-apa sekatan terhadap orang bukan Islam.
“Fatwa adalah nasihat secara semula jadi dan tidak terpakai kepada orang bukan Islam. Selain itu, mana-mana fatwa yang dikeluarkan bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara (perlembagaan persekutuan) menyalahi undang-undang dan tidak sah, “katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencetuskan kegemparan apabila beliau menggesa kerajaan persekutuan untuk membenarkan penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam Bible Kristian versi Bahasa Melayu.
Beliau menegaskan bahawa ini dibenarkan di Sabah dan Sarawak semenjak 50 tahun lalu dan diamalkan di Timur Tengah selama lebih daripada seribu tahun.
Tetapi rakan kongsi DAP, PAS masuk ke dalam gelanggang untuk mempertikaikan panggilan Lim, menegaskan bahawa orang Kristian tidak perlu menggunakan ia di dalam Alkitab kerana ia tidak mencerminkan makna sebenar “Tuhan” dalam teks asal.
PAS juga berkata menggunakan perkataan “Allah” dalam Alkitab akan mengelirukan kedua-dua Kristian dan Muslim.
Di Pulau Pinang, Mufti Negeri Hassan Ahmad memarahi Lim kerana menimbulkan isu ini dan mengingatkan beliau fatwa 2010 yang mengharamkan penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam, bersama-sama dengan 39 lain.
Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh mempertahankan rakan partinya mengingatkan masyarakat Muslim selain Kristian, terdapat juga agama lain menggunakan perkataan “Allah”.
“Di dalam kitab suci Sikh, nama ‘Allah’ disebut sebanyak 37 kali, tidak ada bantahan dari umat Islam berkenaan dengan itu,” kata Karpal memberi contoh.
Jagir juga mengingatkan hari ini keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 terhadap penerbitan Katolik Herald menggunakan perkataan itu di mana ia memutuskan bahawa undang-undang yang menghadkan bukan Islam daripada menggunakan perkataan itu akan menjadi “tidak berperlembagaan”.
Semalam, bekas pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Dr Ismail Ibrahim dilaporkan mengatakan bukan Islam seharusnya berhenti untuk menuntut hak menggunakan perkataan “Allah” oleh kerana perkataan Arab itu hanya fundamental dan eksklusif kepada orang Islam.
“Enough is enough, cukuplah dengan segala dasar yang lain, termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan telah dituntut untuk disamaratakan, diberikan hak sama rata, sama rasa di antara rakyat tanpa mengira sebarang latar belakang sosial, ekonomi dan agama, maka hak dalam menghayati konsep ketuhanan dalam agama ini, janganlah direbutkan, dicabar dan dimanipulasikan begitu rupa.
“Nama Allah, dari sudut falsafah, dari segi takrif dan konsepnya tidak sama dengan ‘Tuhan’, ‘God’, ‘Lord’ dan sebagainya tidak sama dalam penggunaan agama lain,” katanya yang dipetik dari laporan muka depan Sinar Harian semalam.
Kristian di Malaysia berjumlah 9.2 peratus dari penduduk yang berjumlah 28.3 juta orang, dengan kebanyakan di Malaysia Timur menggunakan Bahasa Melayu dan menggunakan Allah sebagai rujukan untuk Tuhan mereka.
Beberapa tahun kebelakangan ini, kedua belah pihak telah bercanggah pendapat berkenaan dengan perkataan “Allah”, dengan umat Islam berpendapat nama tersebut haruslah ekslusif untuk mengatakan Islam ialah agama monoteistik dan Allah merujuk kepada agama untuk orang Islam.
Dari segi undang-undang penggunaan nama Allah kekal tidak dapat diselesaikan, dengan Gereja Katolik masih dihalang dari menggunakan perkataan tersebut dalam akhbar mingguan mereka walaupun mahkamah sudah membenarkannya pada 31 Disember 2009.
Ini kerana Menteri Dalam Negeri memfailkan rayuan pada Januari 2010 untuk menentang keputusan Mahkamah Tinggi, yang sejak hari itu tidak ada tarikh untuk sesi pendengaran.
Tahun lalu, penghantaran kitab Injil Alkitab untuk Bumiputera beragama Kristian, dihalang dan dirampas di pelabuhan, sebelum kerajaan ditekan untuk membenarkan buku tersebut diedarkan.
Sumber The Malaysian Insider