Sebahagian pelajar Malaysia memasuki pesawat TUDM C130 yang memuatkan kira-kira 200 penumpang berlepas dari Lapangan Terbang Cairo pada Sabtu. Foto BERNAMA
Saya sudah sebutkan sebelum ini. Pembangkang sengaja tidak menghargai dan memperkecilkan usaha kerajaan menyelamatkan rakyat dan pelajar Malaysia di Mesir.
Di Lumut semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan pihak pembangkang yang terus menjadikan proses pemindahan pelajar Malaysia dari Mesir sebagai modal politik bagi meraih simpati rakyat.
Beliau berkata pembangkang hanya pandai membuat 'bising' dan mencari kesalahan serta kelemahan kerajaan sepanjang kerja-kerja memindahkan pelajar dari Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, giat dijalankan.
"Peranan mereka hanya setakat itu sahaja, jika pembangkang ikhlas, saya mencabar mereka supaya turut serta membantu menghulurkan sumbangan kepada rakyat Malaysia yang kini terperangkap di Mesir," katanya.
Memang benar apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid kerana di Kelantan, kerajaan negeri hanya akan mengadakan kutipan derma bagi membantu pelajar Mesir hari ini. Ia akan dilakukan di sebuah pusat membeli belah di tengah bandar Kota Bharu.
Beberapa rain rentang menyebut, kutipan itu bagi meringankan beban pelajar berkenaan. Itulah sahaja yang boleh dilakukan kerajaan PAS walaupun sebelum ini mengatakan menyediakan peruntukan bagi tujuan itu.
Ini menggambarkan betapa pembangkang khususnya PAS tidak mampu untuk melakukan perkara yang lebih daripada hanya mengutip derma bagi tujuan ini.
Tidak terbukakah hati mereka untuk duduk berbincang dengan kerajaan Pusat mengatasi masalah bersama ini? Apakah tidak ada anak orang PAS belajar di Kaherah, Iskandariah atau juga Mansura?
Tidakah PAS melihat nyawa dan kemungkinan kehilangan ‘cerdik pandai’ itu sebagai sesuatu yang penting dan sewajarnya berganding bahu dengan usaha kerajaan Pusat semata-mata?
Janganlah terikat dengan kepentingan politik semata-mata dan termakan cakap Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mendakwa kerajaan serta Wiswa Putra lembab bertindak sehingga menimbulkan risiko terhadap nyawa rakyat Malaysia di negara bergolak itu.
Sejak 28 Jan lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar utama Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
Ahmad Zahid berkata pihak pembangkang sepatutnya memberi sumbangan bagi meringankan bebanan warga Malaysia yang terlibat seperti kemudahan tempat tidur, makanan dan tiket penerbangan.
Memang benar pandangan Ahmad Zahid ini kerana apabila timbulnya keadaan seperti ini sepatutnya semua pihak, termasuk rakyat perlu menghulurkan bantuan kepada kerajaan. Setidak-tidaknya kalaupun bukan duit, berikan sokongan moral, bukannya mengkritik kerajaan membabi buta.
Kelmarin tiga buah pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta masing-masing dua buah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Air Asia melakukan sebanyak 12 penerbangan ke Jeddah membawa warga Malaysia keluar dari Mesir.
Kini, tiga pesawat RMAF C-130, dua pesawat MAS B747 dan tiga pesawat AirAsia Airbus membabitkan A320, A330 dan A340 digunakan untuk membawa keluar rakyat Malaysia. Selain itu dua kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Bunga Mas 3 juga sudah dihantar ke Mesir untuk tujuan menyelamat.
Seperti kata Ahmad Zaid: "Itu bukannya satu tugas mudah...ia melibatkan lebih 12,000 rakyat Malaysia. Kita juga terikat dengan pelbagai karenah birokrasi di Mesir," jelasnya.
Soalnya juga, apakah kerajaan mengenakan sebarang tambah terhadap mereka? Bayangkan jika seorang dikenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk pulang, berapakah jumlah semuanya?
Isunya, kadar tambang dalam keadaan sekarang bukan seperti waktu biasa. Pastinya ketika ini jauh lebih mahal.
Pembangkang sewajarnya melihat bagaimana kerjasama erat antara kerajaan dan swasta berganding bahu ketika cemas begini, bukannya asyik menuding jari.
Usaha kerajaan tidak sekadar itu sahaja, malah solat hajat seluruh negara di masjid-masjid diadakan lepas solat Jumaat, kelmarin mendoakan keselamatan rakyat dan pelajar kita.
Harapan ialah operasi memindah keluar semua rakyat Malaysia terutamanya pelajar dari Mesir untuk ditempatkan di pusat transit di Jeddah dapat dilakukan sepenuhnya menjelang esok menyelesaikan pemindahan pelajar menjelang tengah hari esok diharapkan akan melegakan mereka yang terkandas serta keluarga mereka di Malaysia.
Hargai dan bersyukurlah dengan usaha bersungguh-sungguh kerajaan. Jangan jadi rakyat yang hanya tahu mengkritik sebaliknya tidak melakukan apa-apa. Menjadikan modal politik dalam kejadian seperti ini tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya lebih mendatangkan masalah daripada penyelesaian.
Terima kasih kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri yang proaktif dalam usaha ini. Tidak mengapa jika ada pihak memperkecil dan tidak menghargainya. Yang penting rakyat dan pelajar kita selamat dan Allah mengetahui usaha murni ini!
No comments:
Post a Comment