Tuesday, September 14, 2010

ENGGAN PULANGKAN WANG PUNCA SOSILAWATI DIBUNUH?

SALAH seorang suspek pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dibawa ke sebuah jambatan di Sungai Kachong untuk mencari bukti yang dibuang ke sungai tersebut, di Tanjung Sepat, Banting, 13 Sept 2010. - Utusan

Gara-gara gagal mendapatkan sebidang tanah untuk jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, kemudian enggan pula memulangkan wang yang sudah diserahkan, peguam yang diharapkan itu 'berpaling tadah' dan disyaki melakukan pembunuh kejam.

Kini pelbagai teori wujud mengenai kenapa Sosilawati dibunuh dan kemana hilangnya wang bagi pembelian tanah di Pulau Pinang.

Ada laporan sebelum ini mengatakan wang sebanyak RM5 juta itu sudah ditukar kepada jongkong emas. Namun pertanyaan ialah ke mana lesapnya wang berkenaan?

Laporan Utusan Malaysia hari ini meyebut, desakan meminta supaya suspek utama iaitu peguam bergelar Datuk mengembalikan wang miliknya dipercayai menjadi punca Sosilawati dan tiga lelaki bersamanya dibunuh dengan kejam.

Akibat dihantui rasa tamak, suspek yang berusia 41 tahun itu dikatakan enggan memulangkan wang tersebut dan hilang sifat kemanusiaan sehingga tergamak membunuh keempat-empat mangsa.

Utusan Malaysia difahamkan, Sosilawati telah menggunakan khidmat firma guaman suspek untuk mengemukakan tender tawaran untuk membeli sebidang tanah di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan tanah terbabit dipercayai gagal menyebabkan Sosilawati menuntut supaya wang miliknya berjumlah jutaan ringgit yang sudah diserahkan kepada suspek dipulangkan.

Menurut sumber, berikutan desakan oleh jutawan kosmetik itu, suspek akhirnya mengatur pertemuan dengan Sosilawati di pejabatnya di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu kononnya untuk memulangkan wang milik mangsa.

Namun, bagi memastikan dirinya tidak ditipu, Sosilawati dikatakan membawa bersama pemandu yang juga pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, untuk menemaninya berjumpa dengan suspek.

Difahamkan, suspek yang mungkin tidak menyangka Sosilawati membawa ramai pembantu kemudian mengajak kesemua mangsa pergi ke ladang miliknya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting untuk berbincang di situ kerana kononnya pejabat guamannya sudah ditutup.

Sebaik sahaja tiba di ladang yang terlindung itu, semua mangsa telah ditahan sebelum dibunuh oleh suspek bersama beberapa konco-konconya yang kini turut ditahan oleh polis.

Setakat ini, Utusan Malaysia diberitahu, polis sudah pergi ke rumah dan pejabat suspek untuk melakukan siasatan terhadap dokumen yang dimilikinya termasuk beberapa buku cek yang ditemui di pejabat guamannya.

Polis juga menyiasat kemungkinan aset mencecah jutaan ringgit dimiliki peguam berkenaan yang ditahan polis itu adalah hasil pengubahan wang haram.

Satu sumber berkata, daripada semakan kedudukan kewangan peguam itu, latar belakang peguam berkenaan mencurigakan.

"Jika terbukti ada penglibatan, dia seorang bijak kerana mampu menyembunyikan kegiatan itu di sebalik pengaruhnya.

"Malah penglibatannya itu juga terselindung kerana dia mempunyai perniagaan termasuk mengusahakan ladang ternakan ayam di Ladang Gadong, Tanjung Sepat," kata sumber itu yang ditanya mengenai perkembangan awal siasatan aset peguam berkenaan.

Polis juga menyiasat kemungkinan kehilangan empat ahli perniagaan termasuk seorang saudagar batu permata warga India turut mempunyai kaitan dengan lapan lelaki yang ditahan berkaitan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya.

Tiga rakyat tempatan yang hilang itu membabitkan seorang lelaki Melayu manakala dua lagi lelaki berketurunan India.

Polis menyiasat sama ada kehilangan tiga warga tempatan itu berlaku ketika mereka melakukan urusan perniagaan dengan peguam berkenaan yang dikenali sebagai Datuk K. Patmanaban yang ditahan reman kelmarin.

Sumber itu berkata, saudagar batu permata bernama Alla Kantan Muthu Raja, 34, dari Chennai, India dipercayai hilang semasa dia melakukan urusniaga di Banting.

Kehilangan empat mangsa itu dilaporkan secara berasingan antara April dan Mei lalu.
Sejak itu tidak ada apa-apa petunjuk mengenai kedudukan keempat-empat mangsa itu.

Laporan Bernama pula menyebut pasukan penyelam Polis Marin semalam meneruskan operasi mencari bahan-bahan bukti untuk siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain di Sungai Kanchong Laut di Sepang.

Sungai itu terletak di Kampung Endah, kira-kira dua kilometer dari Ladang Gadong Tanjung Sepat di mana Sosilawati dan tiga lagi dipercayai dibunuh dan dibakar di ladang ternakan ayam di situ.

Operasi mencari bahan bukti itu bermula kira-kira 4.30 petang samalam dan berakhir pada jam 7 malam semalam. Anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyertai operasi itu.

Seorang suspek lelaki dilihat dibawa ke atas jambatan sungai itu bagi menunjukkan di mana dia mencampakkan sesuatu dari atas jambatan berkenaan.

Semasa operasi itu dijalankan, kelihatan beberapa anggota Unit Forensik sedang membelek satu bungkusan plastik yang berisi seutas jam tangan.

Sumber: Utusan Malaysia, Bernama, Kosmo & Berita Harian

No comments:

Post a Comment