Thursday, September 16, 2010

BOLEHKAH DIBUKTIKAN INI SEMUA?

Bahagian Pertama: Inspektor Sab vs Datuk Peguam Kaya Raya

Anggota polis dari unit forensik mendulang serpihan tulang atau barangan lain yang dibuang ke dalam sungai Panchau oleh suspek pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga individu lain dekat Tanjung Sepat. - Foto Berita Harian

Polis mengatakan pihaknya hampir selesai membuat siasatan. Banyak sudah ‘penemuan’ dibuat bagi mendakwa suspek yang berusia 41 tahun serta adik dan mereka yang dikatakan terbabit dengan pembunuhan itu.

Meneliti kes ini, ia semacam yang terdapat dalam filem Tamil dan Hindi iaitu orang kaya melakukan pembunuhan tetapi menggunakan orang suruhannya untuk membunuh. Sudah pasti ‘Inspektor Sab’ sukar membuktikannya.

Ini adalah cabaran kepada polis khususnya Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar dan pasukannya selain Pejabat Peguam Negara juga perlu menyediakan kertas pendakwaan yang lengkap agar peguambela atau pasukan mereka sukar untuk ‘menyelamatkan’ peguam bergelar Datuk ini.

Laporan ada menyebut bahawa peguam bergelar Datuk disyaki sebagai dalang yang mengarahkan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Difahamkan, peguam terbabit mengarahkan sekurang-kurangnya tiga lelaki dipercayai pekerjanya, membunuh keempat-empat mangsa di sebuah rumah tinggal dalam ladang kelapa sawit di Sungai Gadung yang dipercayai miliknya.

Jenayah keji itu dilakukan selepas Sosilawati bersama tiga rakannya itu berdepan sendiri dengan peguam berkenaan berkaitan urusan penukaran hak milik pembelian tanah bernilai RM25 juta.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Isnin lalu, polis mengesahkan suspek dalam kes kehilangan jutawan itu mengaku membawa semua mangsa ke sebuah ladang, sebelum mereka dipukul mati dan mayatnya dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di Kuala Langat.

Ini bermakna dalam kes ini, ‘Inspektor Sab’ akan melawan orang kaya, berpengaruh dan latar belakangnya seorang peguam. Dia bukan macam Mona Fendi – bomoh dan penyanyi!.

Semua pihak akan wujudkan keadilan akhirnya dan jika berjaya pun dalam kes ini, mungkin hanya di akhir cerita selepas 'Inspektor Sab' bernyanyi keliling bukit dan menukar pelbagai jenis baju. ‘Inspektor Sab’ akan menghadapi pelbagai dugaan, cemuhan dan penyiksaan sebelum berjaya membuktikan orang kaya itu ada kaitan dengan pembunuhan.

Dalam konteks pembunuhan jutawan kosmetik Sosilalawati dan tiga lagi rakannya, siapakah ‘Inspektor Sab’ di pihak polis dan pendakwa kerajaan?

Amaran awal kepada pendakwa jika menurut laporan Berita Harian ialah, sebagai pengamal undang-undang, suspek mahir dalam prosedur berkaitan pemilikan harta, selain licik menyembunyikan aset daripada dikesan pihak berkuasa jika kegiatan jenayahnya terbongkar.

“Kebanyakan harta bukan atas namanya, sebaliknya menggunakan nama proksi paling dipercayainya termasuk kenalan rapat dan ahli keluarganya. Suspek memang membuat persediaan awal dengan mengambil kira segala kemungkinan, termasuk jika kegiatan jenayahnya terbongkar,” kata sumber yang pernah bekerja dengan suspek.

Daripada kumpulan peguam bergelar Datuk yang menjadi suspek itu, ada seorang yang dikatakan pembunuh ‘hati kering’. Persoalannya, apakah yang seorang ini akan menjadi ‘kambing hitam’ kepada lima lagi suspek yang lain?

Atau dengan kata lain, individu ini akan menjadi ‘pesalah pertama’ dan diikuti dengan ‘pesalah lain’ atau akhirnya dia seorang sahaja akan dipersalahkan?

Laporan terbaru menyebut, polis kini sedang memburu seorang pemuda berusia 19 tahun yang dikatakan bertanggungjawab mengerat mayat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain sebelum mereka dibakar.

Sumber berkata, suspek itu juga dikatakan terbabit dalam pembunuhan seorang wanita bernama T Selvi, 44, yang juga isteri kepada pemilik bengkel di hadapan rumahnya, tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata semalam, pihaknya setakat ini percaya pekerja-pekerja kepada seorang lelaki bergelar Datuk terlibat secara langsung dalam pembunuhan empat mangsa itu.

"Kita percaya mereka (pembunuh) adalah pekerja seorang lelaki bergelar Datuk yang ditahan," kata beliau kepada Kosmo! semalam.

Keempat-empat individu tersebut dipercayai telah dibunuh di dalam stor milik peguam berkenaan yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Persoalan pertama ialah, apakah peguam ini akan ‘terlepas’ kerana awal-awal lagi jelas ‘dia tidak membunuh’ tetapi mungkin ‘mengarahkan’ atau hanya ‘terbabit’ tetapi hakikatnya orang lain yang melakukannya?

Kita kini tertanya-tanya siapakah peguam atau pasukan peguam manakah yang akan menggendalikan kes ini bagi pihak Datuk berkenaan. Ini memang menarik kerana sudah tentu Datuk yang kaya raya ini akan ‘membelanjakan’ apa sahaja untuk membela dirinya.

Ada spekulasi bahawa kumpulan peguam diketuai Karpal Singh akan mengambil kes ini bagi pihak peguam bergelar Datuk itu. Sejauh mana kebenaran belum dapat dipastikan.

Yang pasti jika benar peguam bergelar Datuk berkenaan berani melakukan ‘pembunuhan’, pastinya dia juga sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan dirinya demi ‘maruah, harta dan empayarnya’.

Apabila disebut harta, Datuk ini memang kaya. Ada pihak-pihak yang sedang mencari kesahihan bagaimana peguam ini mendapat gelaran Datuk. Dari negeri manakah dia mendapat gelaran Datuk. Sejauh ini Kelantan sudah menafikan pemberian gelaran berkenaan.

Persoalannya apakah ia Datuk anugerah atau Datuk yang ‘dibeli’ atau peguam ini sendiri-sendiri memakai gelaran Datuk.

Apakah dalam isu gelaran ini juga berlaku penipuan dan ‘pembelian’?. Jika pembelian, berapa pula gelaran itu dibeli?

Laporan hari ini menyebut, peguam bergelar 'Datuk' itu dipercayai mengeluarkan RM180,000 bagi membeli gelaran tersebut.

Siasatan polis di setiap negeri bagi menjejaki pihak yang mengurniakan gelaran Datuk kepada suspek berusia 41 tahun itu gagal menemui sebarang petunjuk, kata sumber.

Sumber mendakwa, pihak yang 'menjual' gelaran itu kepada suspek berjanji bahawa namanya akan termasuk dalam senarai penerima gelaran Datuk. Dikatakan bahawa ahli perniagaan berkenaan memberitahu suspek bahawa dia boleh menggunakan gelaran tersebut berikutan penyenaraian namanya itu.

Sumber mendedahkan, polis juga sedang menjejaki ahli perniagaan terbabit.

Ternyata, seorang lagi yang menjadi buruan polis ini tidak akan boleh tidur malam!

Bersambung di Bahagian Kedua

4 comments:

  1. salam.....

    sendiri melakukan pembunuhan pasti tidak...tetapi boleh didakwa bersubahat membunuh..dikelasifikasikan dia sebagai mastermind
    terhadap semua aktiviti jenayah yg dilakukan.

    bukti fizikal contoh..harta yg dimiliki,tempat, lokasi dan urusniaga terdahulu dan terbaru dllnya...

    pastinya jenayah telah berlaku dan dilakukan...
    berkait rapat.

    ReplyDelete
  2. Godfather India Malaysia..

    Terpengaruh dgn filem Mafia..Kononnya Micheal Corleone yg ada banyak pelindung, politik, membela orang susah dan membunuh sesuka hati untuk merampas bisnes..& terlepas dari undang2 kerana BIJAKSANA..



    atau jadi Sujay Dutt..yg mendakwa zaman dulu Raja bunuh orang jadi kaya & senang lenang.

    itu semua filem...ini zaman moden.Penjenayah mesti dihukum mati..jika tidak ramai lagi akan dibunuh..

    ReplyDelete
  3. Salam
    Liciknya si peguam ini bukan sahaja mencabar Undang-undang Malaysia . Malah mempermainkan nya . si penjenayah ini tak layak berada di dunia ini.

    Sepatutnya Bar Counsil dapat mengenal pasti dari awal lagi hal ini.

    Kita tidak boleh menyalahkan Pihak Polis dalam hal ini kerana si penjenayah tahu perihal undang-undang dan beliau bertindak mempermainkan undang-undang Negara ini . Persoalannya kini ada kah ada lagi peguam sedemikian di luar sana yang sentiasa mempermainkan undang-undang yang masih bebas sedangkan hakikatnya penjenayah yang amat bahaya .

    Umpama bidalan Bersembunyi di tempat yang terang

    ReplyDelete
  4. Kita sering mengambil sikap 'sudah terhantuk baru tengadah'. Apabila peristiwa menyayat hati berlaku, setiap komen mahu menyalahkan pihak-pihak tertentu.

    Ada yang kata polis tidak cekap tidak bertindak lebih awal kepada kes-kes orang hilang sebelum ini. Ada juga mengatakan 'Majlis Peguam' patut lebih dahulu tahu 'perangai pelik' ahlinya.

    Yang sebenarnya barangkali silap kita juga kerana terlalu percaya kepada orng-orang tertentu sehingga ke tahap yang tidak terfikirkan. Perkara melibatkan jutaan ringgit macam buat main-main sahaja.

    Apapun, takziah kepada 4 famili yang tentu mendalam kesedihan mereka. Al-fatehah!

    ReplyDelete