Saturday, April 17, 2010

ISU APCO CABAR BN, UMNO & NAJIB

Melihat kepada jumlah borang penamaan calon yang dijual semalam, berkemungkinan pilihan raya kecil Hulu Selangor akan ditandingi lebih daripada tiga calon.

Atau mungkin ia akan mengulangi keadaan seperti pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau tahun lepas apabila 13 calon Bebas, seorang calon BN dan seorang PKR.

Semalam sebanyak 37 borang penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor terjual.Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengesahkan semalam.

Borang-borang itu dibeli oleh ejen-ejen parti politik daripada Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Bebas.

SPR berharap calon pilihan raya kecil di Hulu Selangor tidak seramai seperti di Bukit Selambau.
Ada kemungkinan ajen-ejen parti membeli lebih daripada satu borang sebagai persediaan jika borang rosak atau tersilap isi. "Tidak semestinya jumlah borang sama dengan jumlah calon,” kata Abdul Aziz.

Deposit untuk pencalonan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang berlangsung hari ini juga diterima daripada seorang calon Bebas dan juga BN.

Sehingga semalam BN mengumumkan Ketua Penerangan MIC P. Kalamanathan sebagai calonnya pada pilihan raya kecil di Hulu Selangor manakala PKR mencalonkan Datuk Zaid Ibrahim.

Sekiranya ramai calon yang bertanding, isu-isu yang dikemukakan akan bertambah hangat kerana selain isu nasional, ia juga akan membabitkan isu tempatan dan dalaman MIC sendiri.

Melihat kepada kenyataan-kenyataan politik sehingga ini, MIC semakin tertekan kerana diharap menang kali ini. Pakatan pembangkang khususnya PKR lebih releks dan mendapat sokongan padu PAS yang sudah memulakan ‘kempen pilihan raya’ dengan demonstrasi aman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam menegaskan MIC yang sekali lagi diberi kepercayaan bertanding bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, perlu menang dalam pilihan raya kecil di situ 25 April ini.

MIC membawa maruah BN dan ia perlu membuktikan yang ia sebuah parti nasional yang berkhidmat bukan saja untuk masyarakat India tetapi juga untuk semua kaum.

Dengan mesej jelas Najib berkata beliau memutuskan P Kamalanathan (sebagai calon BN) adalah untuk memenuhi kehendak pengundi tempatan. Ia bermakna apa pandangan rakyat mengenai calon yang sesuai menjadi wakil parlimen tetap diutamakan.

Walaupun bunyinya berseloroh apabila Najib mengatakan "Ini yang menjadi perhitungan pertama kerana kawasan Hulu Selangor ini kawasan BN. Kita pinjamkan kepada PKR sementara waktu. Sudah sampai masanya tempoh pinjaman ini ditamatkan dan kembali kepada BN. Sebab itu kita mesti letak calon yang boleh menang," tetapi hakikatnya MIC mesti kerja kuat.

Di bahu MIC ini tergalas harapan dan maruah BN yang kini diserang habis-habisan khususnya berkaitan 1Malaysia yang dikaitkan kerjasama dengan Yahudi.

Penilaian rakyat terhadap BN kini bukan sekadar peranannya dalam memenuhi hasrat rakyat tetapi dengan mengaitkan 1Malaysia dengan Apco Worldwide, BN kini berdepan dengan serangan terhadap identity dan kredibiliti parti dan pemimpin khususnya UMNO.

Dengan kata lain, MIC bukan sahaja perlu mempertahankan BN tetapi juga rakan komponennya UMNO dan Perdana Menteri.

Serangan terhadap BN ini banyak dilakukan oleh PAS dan siri perhimpunan secara aman sudah dimulakan di Ipoh di pecan Kulim-Bandar Baru dan di Kampung Baru dan saya yakin ketika kempen pilihan raya berjalan, ia akan berlaku lagi di tempat lain.

Perhimpunan diadakan mudah sahaja matlamatnya. Mendesak kerajaan menamatkan kontrak syarikat perunding perhubungan media, Apco Worldwide yang didakwanya terbabit dengan ciptaan gagasan 1Malaysia yang menyerupai gagasan One Israel.

Laungan "Undur Apco" dan "Hancur Israel" turut bergema di perkarangan masjid Kampung Baru, di Kuala Lumpur semalam.

PAS berusaha merosakkan imej BN bukan sekadar kontrak antara kerajaan dan Apco serta Asiasoft Malaysia sebagai penasihat dan perunding. Pembangkang menggunakan isu ini kononnya Malaysia tidak ikhlas membantu Palestin menentang Israel.

Perhimpunan damai itu sempat menuduh ahli UMNO sebagai pengkhianat bangsa dan juga Islam kerana pembabitan mereka dengan syarikat yang berkaitan dengan Israel.

Lebih jauh mereka mengatakan kerajaan sanggup mengeluarkan wang RM77 juta untuk mengagung-agungkan Najib. Sedangkan wang sebanyak itu boleh digunakan untuk membina rumah, membekalkan bekalan air paip serta elektrik kepada ribuan rakyat miskin di negara ini.

Pemimpin muda pembangkang dengan berani mengatakan pembaziran wang rakyat itu sepatutnya dibayar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan wangnya sendiri.

Kesemua ini adalah tuduhan berat yang pastinya akan menjadi isu di Hulu Selangor apalagi dalam konteks isu Palestin ia bukan isu umat Islam semata-mata tetapi ia isu membabitkan agama-agama lain juga.

Apa yang mencabar MIC kini ialah selain menjadi ‘hero’ kepada BN ia juga perlu memastikan kemenangan pada pilihan raya kecil ini supaya ia kekal relevan dalam konteks politik nasional.

Dan dengan perisytharan calon BN sendiri – Kamalanathan - bahawa dia calon 1Malaysia, apa juga serangan terhadap konsep atau slogan itu, beliau bertanggungjawab mempertahan dan menegakkanya.

Pilihan raya ini juga akan ‘menguji’ kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, bahawa semua 72 cawangan MIC di Hulu Selangor akan menyokong calon BN itu sambil parti komponen BN juga memberi kerjasama terbaik kepada MIC dalam usaha untuk merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Namun, lebih penting bak kata Najib yang juga Pengerusi BN, kemenangan calon BN daripada MIC itu penting bagi membolehkan parti berkenaan terus dilihat sebagai sebuah parti nasional, yang bukan sahaja mewakili kaum India tetapi juga kaum-kaum lain.

Hakikatnya, MIC benar-benar tertekan dan kekalahan parti itu yang mewakili BN mungkin mendatangkan kesan besar terhadap kedudukan parti itu di masa depan, sama ada dalam konteks survivalnya, mahupun kedudukannya dalam BN!

2 comments:

  1. Salam, orang islam wajib undi islam,kafir tetap kafir,dan haram diberi undi,

    ReplyDelete
  2. salam ,siapa yang untung.dalam PR Ulu Selangor Melayu ,India Dan China,sekolah china dapat 3 juta, orang kita apa dapat,renung2kan lah

    ReplyDelete