Saturday, April 3, 2010

CALON TENTUKAN KEMENANGAN DI HULU SELANGOR?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan menetapkan 17 April sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dan 25 April sebagai hari pengundian.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor dimenangi calon wanita dari UMNO, Halimathon Saadiah, pada pilihan raya umum 1955, pilihan raya persekutuan yang pertama sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Pada pilihan raya umum 1959, kerusi diserahkan kepada MCA sehingga 1982 sebelum diberikan kepada MIC mulai 1986 hingga kini.

Tidakkah ini cukup membayangkan betapa persefahaman antara UMNO, MCA dan MIC terjalin erat sebelum ini?

Dan jika UMNO memohon untuk mendapatkan kembali kerusi berkenaan, apakah ia tidak wajar?

Bagaimanapun, kalau UMNO benar-benar mahu meletakkan calonnya di Hulu Selangor, dia mestilah calon bersih – dilihat bersih dan tidak dikaitkan dengan sebarang kes sama ada rasuah atau skandal.

Berilah kepada yang memperjuangkan nasib masyarakat Hulu Selangor, bukan kerana dia orang terkenal atau bekas pembesar negeri.

Kemenangan kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya lalu adalah kerana beliau bukan orang asing di situ. Beliau adalah bekas Timbalan Menteri Besar selain pernah menjawat jawatan penting UMNO ketika berkhidmat di bahagian berkenaan.

Maknanya, beliau memang disayangi dan kalaupun sudah menyertai PKR ketika itu ‘orang lama dan penyokongnya’ masih ada. Undi kepada beliau lebih kepada undi kerana sayangkan beliau melebihi BN pada pilihan raya umum lalu.

Kini bagaimana? Apakah pengundi di Hulu Selangor tetap sayang kepada bekas Ahli Parlimen dari MIC, Datuk G Palanivel?

Sejauh ini MIC Hulu Selangor menyatakan sokongan sebulat suara untuk Palanivel dan
Ketua Penerangan bahagian itu, Raily Muniandy berkata, kesemua ketua cawangan MIC di bahagian itu akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kemenangan Palanivel dengan majoriti besar.

Timbalan Presiden MIC itu dikatakan banyak membantu rakyat sepanjang menjadi Ahli Parlimen kawasan itu selama tiga penggal.

Hakikatnya, pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan pada 25 April depan mendatangkan kekhuatiran kepada banyak pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kekhuatirannya adalah mengenai pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi menawan kembali kerusi itu.

Dr Mahathir mahukan calon yang sesuai dan boleh diterima oleh penduduk kawasan itu. "Saya fikir memang penting parti kerajaan mencapai kemenangan tetapi kalau letak calon yang tidak boleh diterima penduduk tempatan, saya khuatir (calon) akan ditolak," katanya.

Yang penting juga , dia mestilah orang tempatan yang memahami masalah penduduk dan mudah didekati.

Ini penting bukan sahaja menjaga imej UMNO tetapi juga Barisan Nasional (BN) dan akan menjadi ukuran kekuatan BN kali ini.

Dalam suasana pembangkang kini ‘porak peranda’, BN jangan ambil mudah dalam konteks calon, bimbang kalah dan akan melemahkan lagi semangat BN.

UMNO bahagian Hulu Selangor sudahpun menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendesak supaya kerusi parlimen kawasan itu dikembalikan kepada Umno.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Najib yang juga presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional (BN) pada 30 Mac lalu.
Memorandum itu tidak mencadangkan calon tertentu dipilih bertanding dalam pilihan raya itu.

Apapun, cakap-cakap di Hulu Selangor ada menyebut nama-nama seperti bekas menteri besar Tan Sri Muhammad Muhd Taib; ketua Wanita bahagian, Rosni Sahar dan setiausaha Umno bahagian, Nazri Dahlan. Selain itu ada juga yang berminat dengan Datuk Zainal Abidin Sakom.

Yang kurang menarik ialah ada kumpulan yang sudah melobi secara terang-terangan dengan meletakkan kain rentang yang menyokong agar Muhammad yang juga bekas menteri kabinet, dicalonkan bertanding di parlimen tersebut.

Kain rentang itu dinaikkan di persimpangan jalan masuk ke Kampung Sungai Buaya dalam DUN Batang Kali.

Kain rentang yang sama juga turut ditemui digantung di jalan utama Kuala Kubu Bharu menuju ke Rawang.

Naib ketua UMNO bahagian Hulu Selangor, Datuk Adnan Buyong menjelaskan memorandum itu dipersetujui 54 pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung persekutuan (JKKP) di Hulu Selangor, yang antaranya ketua UMNO cawangan.

Difahamkan, dalam memorandum itu, UMNO Hulu Selangor menyuarakan tentang sejarah kerusi tersebut, perasaan dan harapan (akar umbi) supaya kerusi itu dikembalikan kepada UMNO.

Ada berita mengatakan bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Ramli Abd Rahman, meminta supaya kerusi Parlimen Hulu Selangor dikembalikan ke pangkuan Umno selepas hampir 51 tahun "diserahkan" kepada MCA dan MIC.

Beliau berkata, permintaan ahli Umno di kawasan berkenaan sepatutnya diterima pucuk pimpinan setelah hampir 10 penggal mereka bersabar dan beralah dalam isu itu.

Ramli yang juga bekas exco Selangor dan bekas Adun Kalumpang, turut mencadangkan bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Muhamad Taib, sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil itu.

Kesemua tiga kerusi DUN dalam parlimen Hulu Selangor - Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno) dikuasai oleh BN.

PKR dikatakan akan meletakkan calon Melayu bertanding di kawasan itu

No comments:

Post a Comment