Monday, March 1, 2010

PKR MAKIN BERCELARU?


Datuk Seri Mohd Najib Razak (kanan) diberikan penerangan oleh Yang DiPertua Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah (dua kanan) dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Mohamad Hasan di majlis Perjumpaan Kepimpinan Tertinggi PSSGM. — Bernama

Selepas dilanda gelora awal bulan ini ekoran tindakan ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohd Hashim meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kini ada lagi orang penting PKR yang lompat parti.

Makin bercelaru nampaknya parti itu dan keyakinan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terhakis walaupun beliau dibela oleh parti yang mendokong pakatan pembangkang seperti PAS dan DAP.

Bekas timbalan ketua menteri I Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin dari PKR yang meletakkan jawatannya April tahun lalu, menyertai UMNO semalam.

Kelmarin, media melaporkan 77 ahli Pemuda PKR dari kawasan parlimen ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - Permatang Pauh - keluar parti dan menyertai UMNO.

Antara mereka, menurut laporan tersebut, ialah timbalan ketua AMK cawangan Guar Jering, Fakhrul Che Umar dan bendahari cawangan yang sama, Hesabudin Md Isa.

Keputusan Fairus menyertai UMNO diumumkan selepas menghadiri Perjumpaan Kepimpinan Tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Bersama Perdana Menteri Malaysia yang turut dihadiri Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu Fairus dengan berpakaian ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong menyambut ketibaan Najib, yang juga Presiden UMNO, di lobi hotel tempat berlangsungnya majlis itu.

Fairus menyertai UMNO kira-kira dua minggu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan beliau antara lapan kes berprofil tinggi bebas tuduhan rasuah.

Beliau pernah disiasat kerana dakwaan rasuah melibatkan syarikat kuari di Seberang Perai.

Fairus, 33, meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti berkuat kuasa 16 April tahun lalu.

Fairus keputusan melepas jawatan Adun bagi membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pascasiswazah dan sekali gus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.

Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Pulau Pinang.

Fairus dalam ucapannya pada majlis itu berkata, beliau membuat keputusan selepas mengambil kira perkembangan sepanjang tiga bulan lalu khususnya selepas tercetusnya isu kalimah “Allah”.

Beliau mendakwa pendirian yang dibuat oleh PKR, salah satu komponen Pakatan Rakyat, amat mendukacitakan dan tidak menyenangkan kerana bertentangan dengan perjuangan parti.

“Saya akhirnya mendapat petunjuk yang sangat jelas dan saya dengan ini atas prinsip mempertahankan agama dan kepentingan rakyat, hari ini saya membuat pengisytiharan untuk keluar PKR dan menyertai UMNO,” katanya yang menyampaikan ucapan khas sebelum Najib mula berucap.

Najib dalam ucapannya pula berkata atas nama Presiden UMNO beliau menyambut penyertaan Fairus, yang menurutnya telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR ke dalam UMNO.

“Oleh itu atas nama Presiden UMNO, anak muda bernama Fairus akan diterima dengan senang hati (ke dalam UMNO) kerana saya tahu beliau mengambil keputusan atas soal prinsip, atas nama perjuangan... mahu menjadi anggota UMNO.

“Oleh itu kita kena jaga beliau dengan baik, beliau boleh memainkan peranan kepada parti, bangsa dan agama,” katanya.

Pada majlis ini Fairus juga menandatangani borang menyertai ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong dan UMNO secara rasmi.

Sementara Fakhrul dilaporkan berkata, selepas dua tahun memerintah, pergeseran antara parti-parti komponen Pakatan semakin parah.

"Bolehkan anda bayangkan sekiranya Pakatan menguasai kerajaan pusat?" Fakhrul dilaporkan berkata semalam, dalam satu majlis yang turut dihadiri pengerusi UMNO negeri itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Fakhrul dilaporkan berkata, AMK tidak menerima sebarang peruntukan daripada PKR untuk menganjurkan majlis untuk rakyat.

Hesabudin pula berkata, Pakatan telah mengabaikan kebajikan rakyat dan ekonomi kerana sibuk bertelagah sesama mereka.

Hesabudin dan Fakhrul menyerahkan borang permohonan menyertai UMNO bersama yang lainnya kepada ketua UMNO cawangan Guar Jering, Saiful Hassan.

Ahmad Zahid pula dilaporkan berkata di majlis tersebut bahawa anggota sayap Pemuda PKR itu kini telah menyedari bahawa Anwar tidak lagi 'relevan'.

Katanya, mereka sebelum ini menyokong Anwar kerana percayakan bahawa perjuangannya adalah untuk Islam dan hak orang Melayu.

Bagaimanapun, katanya, mereka kini sedar bahawa ketua umum PKR itu telah mengelirukan mereka.

No comments:

Post a Comment