Monday, March 15, 2010

LU PIKIRLAH SENDIRI…

Jika sms ‘YB tak sayang nyawa’ kali pertama pada 14 April tahun lalu mengemparkan politik Terengganu, sms gelombang kedua baru-baru ini berhubung kedudukan Menteri Besar Terengganu tidak kurang juga kesannya.

Cuma sms gelombang kedua ini dalam keadaan politik Terengganu yang semakin terkawal.
Kenapa saya katakan demikian?

Pada ketika sms ‘ugut bunuh’ dihantar kepada ADUN supaya tidak hadir sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas, kemelut politik Terengganu berada pada peringkat kritikal.

Di sinilah wujudnya ‘Geng 10’ secara jelas yang menuduh bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar menjadi ‘dalang’ yang menghantar sms itu.

Bagaimanapun, oleh kerana ia menjadi kes polis dan kini kes mahkamah – terpulanglah kepada mahkamah menentukannya.

Namun pada sms gelombang kedua yang dihantar kepada pemimpin politik dan pentadbiran negeri yang masih ‘panas’ (saya tidak menerima sms ini), ternyata politik Terengganu tidak lagi ‘panas’ sehebat ketika sms ugut bunuh dibuat.

‘Geng 10’ sudah berpecah dan sms terbaru itu lebih kepada rasa tidak puas hati saki baki mereka yang tetap mahukan Datuk Ahmad Said diturunkan.

Pada ketika ini selain yang sudah kembali ke pangkuan Ahmad Said, saki baki ‘Geng 10’ yang ada pun masing-masing macam syok sendiri untuk mengganti Ahmad Said dan ada di kalangan mereka dikatakan ‘sudah menempah baju’ untuk menduduki Tingkat 16 Wisma Darul Iman.

Jadi apabila Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta orang ramai supaya tidak melayan sebarang spekulasi melalui SMS berhubung kedudukan Menteri Besar Terengganu yang tersebar dengan meluas sejak akhir-akhir ini, banyak persoalan bermain di kepala.

1. Apakah sms sebegini dianggap ‘tidak menggugat kestabilan politik dan pentadbiran Terengganu’?

Persoalannya – jika menggugat, apakah polis bertindak mengesan siapa penghantarnya? Susahkah menjejaki punca penghantarnya? Polis Malaysia antara yang paling cekap di dunia.

2. Apakah budaya sms sebegini mahu dibiarkan berleluasa dan menjadi satu daripada budaya penyebaran maklumat politik di negara kita? Apakah tidak ada kemungkinan sms seperti di Terengganu ini akan menjadi budaya politik negeri lain yang dikuasai UMNO?

Persoalannya – apakah kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dan UMNO mahu budaya ini akan memburuk-burukkan pemimpin UMNO yang lain pula?

3. Jika Hishamuddin merasakan atau tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pihak yang sengaja mahu melaga-lagakan Umno Perhubungan Terengganu dan menggugat keharmonian badan itu, ia tidak mungkin dilakukan oleh pemimpin pembangkang.

Persoalannya – kenapa tidak ada kenyataan yang UMNO Pusat atau Negeri akan mengambil tindakan? Kenapa Hishamuddin bagaikan membiarkan sahaja ‘kerja gila’ seperti ini berterusan apabila hanya menasihatkan supaya rakyat dan media tidak mempedulikannya?
4. Jika Hishamuddin merasakan ia dilakukan individu tertentu, kenapa dibiarkan individu berkenaan ‘berleluasa’. Tidakkah ini akan mewujudkan prasangka sesama ahli UMNO?

Persoalanya – satu tindakan tegas atau kawalan khusus perlu dikenakan untuk keharmonian UMNO Terengganu khususnya. Hishamuddin akan dilihat berkesan jika mampu mengatasi persoalan ini.

Hishamuddin mengakui: "Sejak saya turun ke Terengganu, saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mendengar cerita dari kedua-dua pihak (dalam UMNO) dan pembangkang mengenai kedudukan Menteri Besar. Ia bukan datang dari puak-puak dalam Umno negeri, tetapi saya tidak tolak kemungkinan ia dilakukan oleh individu tertentu.”

Biarpun Hishamuddin mengatakan ia tidak akan menentukan jatuh bangunnya UMNO Negeri Terengganu tetapi jika dibiarkan ia akan menjadi barah dan individu bersifat ‘duri dalam daging’ akan semakin besar kepala.

Persoalan sering ditanya: “Kenapa Hishamuddin membenarkan individu seperti ini terus wujud dan bermaharajalela”.

Memang Hishammuddin wajar mengatakan berkata sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, beliau hanya mengiktiraf mereka yang diterima rakyat, menjalankan kerja bersunggguh-sungguh dan menolak politik sempit seperti politik peribadi dan bahagian.

Namun, jika merekan yang berbudaya ‘menyebar fitnah palsu’ dan ‘mementingkan politik sempit’, usahanya untuk menyatukan UMNO Terengganu akan menempuh jalan sukar.

Menyekat media tidak terpengaruh? Itu kerja sia-sia kerana semakin ia menjadi berita dan cakap-cakap, semakin menjadi bahan beritalah perkara atau subjek itu!

Kata Hishamuddin: "Kenapa nak percaya SMS sedangkan media berdepan dengan MB hari-hari, kalau MB meletakkan jawatan, beliau tidak akan berada bersama kita hari ini. Jangan terikut-ikut dengan mereka yang sengaja nak memperalatkan media dan media jangan benarkan mereka memperkudakan (media) supaya kita berlaga.”

Tahu tak apa. Ahmad Said bukan sahaja berdepan dengan cabaran membangunkan negeri tetapi dengan adanya sms seperti ini akan menganggu kerja-kerjanya untuk rakyat.

Persoalan lain ialah jika kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri terus membiarkan sms liar dan jahat berkeliaran tanpa kawalan, orang akan melihat kelemahan kepimpinan bukan di bahu Ahmad Said tetapi Hishamuddin.

Dan bagi Hishamuddin pula, jika amaran demi amaran dan kenyataan bahawa politik Terengganu ‘kembali aman’ dibuat tetapi sms, berita angin serta pelbagai terus tersebar untuk mengancam perpaduan UMNO berterusan – kenyataan dan peryataannya politiknya tidak akan ke mana-mana.

Kenyataan dan nasihat itu tidak ke mana-mana dan orang akan mengatakan tidak jauh dari ‘menepuk air di dulang – akan terpercik ke muka sendiri’.

Lu pikirlah sendiri…

1 comment:

  1. Kenapa pula sms sedemikian akan mengganggu Ahmad Said menjalankan tugas sebagai MB? Di mana rasionalnya? Jika sms memfitnah Ahmad Said melakukan penyelewengan dan korupsi ia mungkin sesuatu yang perlu disiasat kerana adanya unsur jenayah. Ini sms nak letak jawatan saja.

    Apakah 'MB terhebat abad ini' gusar dengan sms sebegitu? Berapa ramaikah yang percaya sms sedemikian? Apa logik untuk orang ramai mempercayai sms sebegitu?

    Tiada siapa akan percaya ada seseorang MB nak letak jawatan yang sandang jika tiada isu yang boleh memberi tekanan kepada seseorang MB untuk berbuat demikian. Tiada sesiapa yang waras dan bercita-cita tinggi akan melepaskan tampuk kuasa jika tidak perlu untuk berbuat demikian.

    Mengapa cuba menggambarkan busut sebagai gunung? Ada agenda tersembunyi sebenarnya apabila mempersoalkan reaksi dan tindakan Hishamudin dalam menangani perkara ini. Mempersoalkan kredibiliti Hishamudin menerajui UMNO Terengganu, mungkin? Usaha untuk mengembalikan Ahmad Said sebagai Ketua Perhubungan Terengganu? Terengganu satu-satunya negeri di mana, 'orang luar' menjadi ketua perhubungan walaupun UMNO menubuhkan kerajaan. Ini satu tamparan hebat terhadap kredibiliti Ahmad Said sebagai pemimin nombor satu di Terengganu. Jika Ahmad Said kembali jadi Ketua Perhubungan, UMNO Terengganu akan lebih baik keadaannya?

    ReplyDelete