Saturday, March 20, 2010

BEKAS MP UMNO MAHU SATUKAN MELAYU

Tahniah kepada bekas Wakil Rakyat Umno kerana menubuhkan sebuah persatuan untuk satukan Melayu.

Yang menariknya mengenai persatuan ini ialah, ia mempunyai dua jenis keahlian iaitu ahli biasa (untuk mantan wakil rakyat) dan ahli bersekutu.

Ahli biasa terdiri dari mantan wakil rakyat, mantan Ahli Parlimen, mantan senator dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO. Untuk ahli bersekutu pula, persatuan akan menawarkan kepada mana-mana individu yang kita rasa layak seperti cendekiawan dan tokoh-tokoh pemimpin Melayu.

Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat UMNO (Pakku) ditubuhkan bertujuan memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dalam ekonomi, pendidikan, agama dan bahasa selari dengan perjuangan UMNO.

Presidennya Tan Sri Adam Kadir, berkata Pakku yang didaftarkan pada 14 Disember 2009 itu akan mempertahankan hak asasi bangsa Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Pakku diwujudkan bagi mempertahankan kesucian Islam dan hak keistimewaan kaum bumiputera selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagi pertubuhan itu, perjuangan bagi memartabatkan golongan bumiputera khususnya Melayu merangkumi aspek politik, ekonomi, pendidikan dan sosial tanpa mempertikaikan hak kaum lain.

“Pertubuhan ini lahir atas kesedaran kami sebagai bekas wakil rakyat UMNO bahawa masyarakat Melayu kini memerlukan pembelaan kerana ditekan dari pelbagai sudut. Oleh itu, dalam hal yang berkait dengan Islam dan hak keistimewaan Melayu, kami akan lantang mempertahankannya selain pada masa yang sama membantu UMNO menjadi lebih kuat,’’ jelasnya.

Ia juga akan menggiatkan usaha menyatukan bangsa Melayu dan menggunakan 'dewan tertinggi' menggantikan istilah jawatan kuasa tertinggi.

"Kita telah mengadakan mesyuarat agung pertama dan saya dipilih selaku Presiden, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin sebagai naib presiden satu dan Thamrin Tun Ghaffar Baba sebagai naib presiden dua.

"Enam orang ahli dewan tertinggi adalah Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Sabaruddin Chik, Datuk Mokhtar Hashim, Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed, Aziz Yassin dan Datuk Dr Afiffudin Omar," kata Adam.

Beliau berkata, untuk mesyuarat tertinggi akan datang, beliau dan ahli dewan tertinggi lain akan memutuskan jawatan setiausaha agung serta membincangkan beberapa isu yang diberi fokus utama berkaitan bangsa Melayu.

1 comment:

  1. " Seseorang akan sangat dihormati apabila
    melakukan pekerjaan untuk kesejahteraan masyarakat
    sekitarnya " ~ Mahatma Ghandi

    ReplyDelete