Tuesday, January 19, 2010

KEMELUT KELANTAN - SIAPA CAH KETING SIAPA?

EXCO Kerajaan Kelantan bercakaran sesama sendiri. Apakah ini tanda-tanda bahawa Kerajaan PAS Kelantan akan lingkup pada pilihan raya akan datang?

Goyahnya Kerajaan PAS Kelantan kini bukan kerana ‘serangan UMNO’yang dipimpin oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dilihat ‘lembik’tetapi kerana perbalahan dan ‘Cah Keting’ di kalangan pemimpin PAS Kelantan sendiri.

Pertelingkahan antara Exco Kanan dalam kerajaan Kelantan jelas terpancar dan kedudukan ini sewajarnya digunakan sebaik-baiknya oleh UMNO Kelantan.

Perbalahan demi perbalahan di kalangan pemimpin PAS Kelantan yang sesetengahnya ada menjadi Exco Kerajaan dan pemimpin penting kerajaan negeri sukar disorok lagi.

“Sampah sudah tidak boleh disorok di bawah permaidani lagi”oleh Menteri Besar Kelantan.

Yang jelas, di kalangan Exco kerajaan Kelantan pun ada mainan di kalangan mereka sendiri.

‘Tok Guru’ sebagai Menteri Besar tidak mampu membendung perpecahan yang semakin ketara di kalangan pemimpin PAS Kelantan.

Jelas kini doa mohon dijauhkan amalan 'cah keting' oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak berkesan kerana Cah Keting sesama Exco semakin menonjol.

Akhbar semalam melaporkan Nik Abdul Aziz secara terbuka mengakui wujud budaya 'cah keting' atau cantas-mencantas dalam Pas sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut.

Walaupun tidak menjelaskan secara mendalam sejauhmana seriusnya perkara itu, pada Jumaat lalu selepas kuliah mingguannya Nik Aziz telah membaca doa khusus memohon perlindungan Allah supaya menjauhkan parti itu daripada amalan 'cah keting.'

Cah Keting semakin ketara apabila ada pihak mahu mendedahkan pihak yang lain dalam isu pembelian tingkat bawah Bazar Tok Guru disiasat bagi mengelakkan ada mana-mana pihak "menjadi mangsa permainan".

Malah pendedahan demi pendedahan dirasakan juga mahu Cah Keting Nik Aziz sendiri, selain keluarga Menteri Besar itu sendiri.

Semalam Exco kanan kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa menyokong saranan supaya kebocoran maklumat mesyuarat exco negeri dengan Nik Aziz Nik Mat memulakan siasatan dengan memanggil anggota exco terlebih dahulu.

Ini ekoran maklumat tersebut didedahkan oleh penulis blog Kickdefella Syed Azidi Syed Abdul Aziz, yang diketahui umum pernah rapat dengan Husam. Syed Azidi dilapor mendakwa, projek tersebut, yang merupakan usahasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan syarikat Sensatimur Sdn Bhd, dikatakan rugi kira-kira RM50 juta.

Kelmarin, seorang lagi exco kerajaan tempatan Datuk Takiyuddin Hassan meminta Nik Aziz menyiasat kebocoran maklumat itu, kerana keputusan mesyuarat exco tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Jalan yang paling mudah, rasa saya, ialah Tok Guru (Nik Aziz) memanggil majlis dan dengan menggunakan apa-apa kaedah yang diajar oleh Islam, mencari orangnya. Ia boleh bermula dengan ahli exco sendiri supaya ia (tuduh-menuduh) tidak berpanjangan dan berterusan dalam prasangka (sesama sendiri)," tulisnya lagi.

Husam di blognya itu turut membayangkan maklumat yang didedahkan Syed Azidi bukanlah rahsia kerana perbincangan projek tersebut melibatkan banyak pihak.

"Pertama, ia dibincang oleh jawatankuasa (yang dibentuk kerajaan negeri). Jawatankuasa ini ada ahlinya. Pemaju juga mungkin dijemput untuk berbincang dan persetujuan mereka tentulah perlu.

"(Oleh) kerana itu, mereka mungkin orang paling awal tahu tentang maklumat ini. Wakil PMBK juga mungkin hadir dan wakil ini mungkin pula perlu berbincang dengan rakan sejawatan mereka di PMBK," tulisnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Azidi dilihat mempertahankan Husam kerana menurutnya, beliau "akrab dengan hampir semua barisan exco kerajaan negeri."

"Oleh yang demikian, hampir semua mereka boleh dituduh sebagai suspek yang membocorkan rahsia kerajaan negeri kepada saya, termasuklah YB Datuk Takiyuddin sendiri. Yang jelas, bukan Husam yang memberi maklumat itu kepada saya," tulisnya semalam, dipercayai untuk mempertahankan mantan naib presiden PAS itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pula berkata dalam isu doa Cah Keting ini, Nik Aziz bagaikan tidak bersedia menerima pendedahan yang dibuat individu tertentu berhubung kepincangan perjalanan kerajaan negeri mahupun Pas Kelantan.

Benar juga kata Ibrahim, sebagai pemimpin yang digambarkan telus, sepatutnya Nik Abdul Aziz berdoa supaya tembelang mana-mana pemimpin yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa terus terdedah.

“Janganlah kita lupa bahawa Allah itu Maha Berkuasa, lambat laun akan terdedah juga sesiapa yang menyeleweng,” katanya.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad berkata, doa tersebut menjadi petunjuk kerajaan Kelantan dan Pas di negeri itu mahupun di peringkat Pusat berada dalam keadaan bercelaru. Ia juga mengesahkan berlakunya pergeseran antara tokoh tertentu dalam kerajaan negeri dan Pas walaupun ia cuba disembunyikan.

Beliau memberi contoh hubungan yang dikatakan tidak begitu baik antara Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dengan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

“Begitu juga di peringkat Pusat, Nik Aziz kata lain, (Timbalan Mursyidul Am Pas) Datuk Dr. Haron Din kata lain, (Timbalan Presiden Pas), Nasharuddin Mat Isa pun kena marah dengan Nik Aziz. “Ini menunjukkan kedudukan kerajaan negeri dan Pas itu sendiri daripada segi politiknya amat bercelaru,” katanya.

Sementara itu Pergerakan Pemuda Umno Kelantan hari ini membuat laporan polis meminta siasatan dibuat terhadap pengakuan Menteri Besar semalam berhubung urusniaga pembelian kompleks perniagaan Bazaar Tok Guru di Kota Bharu.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno negeri Che Othman Che Will di Balai Polis Kota Baharu pada kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

"Apakah ada konspirasi di sebalik pembelian balik bazaar itu yang seolah-olah sudah dirancang oleh pihak tertentu untuk mengaut wang kerajaan bagi kepentingan syarikat terlibat," katanya selepas membuat laporan itu hari ini.

.

No comments:

Post a Comment