Saturday, January 16, 2010

BAZAR TOK GURU - PUKUL MENANTU SINDIR MENTUA?

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat geram dan ‘hot’ lagi.
Semalam sekali lagi beliau mengulangi kritikannya terhadap penulis blog yang lebih dianggap sebagai mengumpat daripada memberi ilmu kepada pembaca.

Sebelum ini Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu, menyifatkan penulis blog yang cuba melaga-lagakan pihak tertentu khususnya dalam politik PAS Kelantan sebagai 'blogger celaka'.
Kata Nik Aziz, tulisan blog banyak bersifat mengumpat orang lain dengan pelbagai isu dan meminta rakyat menapis maklumat yang tidak mendatangkan ilmu yang disalurkan oleh penulis dalam blog masing-masing.

"Blogger yang macam ini bukan boleh nak tambah ilmu, kerana banyak dok mengumpat orang. Kalau blogger boleh tambah ilmu tak apa," katanya ketika menyampaikan kuliahnya di Dataran Ilmu.

Apakah Nik Aziz maksudkan penulis blog secara am atau dituju kepada seseorang yang sering mengkritik pentadbiran kerajaan negeri?

Siapakah yang dikritik Nik Aziz?

Atau apakah Nik Aziz menujukan kritikannya kepada blogger yang menjadi budak suruhan Datuk Husam Musa yang mengkritik menantunya – Ariffahmi Ab Rahman terus-terusan.

Jika sebelum ini Kickdeffella mengkritik hebat menantu Nik Aziz itu kerana ‘memecatnya’ dan menuduh berlaku salah tadbir dan rasuah dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), kali ini Ariffahmi terus menjadi sasaran Kickdeffela.

Dalam entrinya pada 14 Januari 2010 (Khamis lalu), Kickdeffela menyebut: “Akibat langsung daripada kepandaian terlampau Almenantunya Nik Abdul Aziz, mesyuarat exco Kerajaan Negeri dalam mesyuaratnya yang lalu telah memutuskan untuk membayar sejumlah RM23 juta ringgit dari wang hasil pendapatan Kerajaan Negeri kepada sebuah syarikat swasta. Pembayaran yang telah dipersetujukan itu adalah bagi menyelamatkan beberapa titik air muka YAB Menteri Besar Kelantan daripada tertumpah akibat dituduh cakap tak serupa bikin,”

Kickdeffela dalam entrinya jelas mendakwa kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian kerana membeli projek kompleks Bazar Tok Guru ekoran berlaku penyelewengan oleh PMBK di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif PMBK itu.

“Urusan ‘Islamik’ MPKB Bandar Raya Islam kepada Sensa Timur ini menimbulkan seribu satu pertanyaan, kebetulan pula di dalam proses Membangun Bersama Islam, seorang mak Datin dari pihak Sensa Timur mempunyai hubungan amat intim dengan Datin Sabariah, isteri Tuan Guru Nik Aziz dan ibu mertua kepada Almenantunya. Apatah lagi abang ipar Almenantunya yang menjolok dirinya sebagai Al Fadhil Nik Abduh Bin Dato’ Nik Abdul Aziz duduk sebagai Ahli Majlis MPKB Bandar Raya Keluarga Islam Pulau Melaka.”

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu semalam mengesahkan kerajaan negeri terpaksa membeli kompleks perniagaan Bazar Tok Guru bernilai RM23 juta itu yang sedang dalam pembinaan daripada pemaju Sensa Timur, kerana masalah teknikal.

Namun, katanya harga bagi pembelian itu yang dibuat menerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) masih dalam peringkat rundingan dengan pihak pemaju.

"Saya hanya boleh mengesahkan bahawa kerajaan negeri terpaksa membeli semula kompleks bazar yang sedang dalam pembinaan itu kerana masalah teknikal...untuk menjaga kepentingan peniaga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Bubur Asyura di Kampung Sri Kemunting, Beah.

Beliau mengulas kenyataan Kickdeffela itu yang mendakwa kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian kerana membeli projek kompleks Bazar Tok Guru ekoran berlaku penyelewengan oleh PMBK di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif, yang juga menantu Nik Aziz.

Walaupun tidak dinyatakan secara khusus siapa blogger berkenaan, namun ternyata sehingga kini, yang banyak membuka pekong mengenai PMBK dan juga Ariffahmi ialah Kickdeffela yang ternyata mempunyai maklumat ‘lengkap’.

Selain pernah bekerja di situ, Kickdeffela mungkin mendapat sumber maklumat daripada orang tertentu yang bencikan Ariffahmi.

Atau apakah ‘serangan berterusan’ Kickdeffela ini juga bertujuan ‘menghakis imej Tok Guru”?
Ironinya, Kickdeffela yang diketahui ‘orang kuat’ Husam terus menerus mengecam Ariffahmi dan tempiasnya kepada Nik Aziz.

Apakah Nik Aziz tidak terasa bahawa ada ‘tangan ghaib’ yang cuba mencemar imej dan menjatuhkannya dengan serangan-serangan berkenaan?

Atau apakah perbuatan membaling batu sembunyi tangan ini bertujuan ‘memaksa Nik Aziz’ supaya cepat-cepat letak jawatan?

Baca entri berikut untuk mengetahui apa sebenarnya yang dikatakan oleh Kickdeffela mengenai Ariffahmi:

Rakyat Kelantan Kehilangan RM50 Juta Angkara Almenantunya Nik Aziz Bernama Ariffahmi
Oleh Kickdeffela (14 Januari 2010)

Akibat langsung daripada kepandaian terlampau Almenantunya Nik Abdul Aziz, mesyuarat exco Kerajaan Negeri dalam mesyuaratnya yang lalu telah memutuskan untuk membayar sejumlah RM23 juta ringgit dari wang hasil pendapatan Kerajaan Negeri kepada sebuah syarikat swasta.

Pembayaran yang telah dipersetujukan itu adalah bagi menyelamatkan beberapa titik air muka YAB Menteri Besar Kelantan daripada tertumpah akibat dituduh cakap tak serupa bikin.

Pada 6hb Mac 2008, iaitu dua hari sebelum pilihanraya umum ke 12, YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan telah menandatangani satu perjanjian persefahaman (MOU) bagi pihak Perbadanan Menteri Besar Kelantan dengan 2 buah persatuan perniaga dan penjaja di sekitar Kota Bharu.

Di antara lain, kandungan MOU itu menjanjikan bahawa Projek Bazaar Tok Guru yang akan dimajukan oleh PMBK adalah sebuah projek tidak berorientasikan keuntungan. Ia lebih kepada hasrat murni MB untuk melihat para penjaja dari pasar lambak arked UDA dan peniaga pasar lama MPKB mendapat tempat baru yang lebih selesa untuk meniaga.

Tetapi, seperti yang didedahkan didalam blog ini sebelum ini, Almenantunya Nik Abdul Aziz yang bernama Abdul Ariffahmi Ab Rahman telah dengan penuh rendah diri memperhambakan harta kerajaan kepada pemaju swasta bernama Sensa Timur Sdn Bhd.

Ariffahmi yang memakai gelaran Ir. tanpa ditauliahkan untuk menurunkan tandatangan sebagai seorang jurutera profesional telah masuk ke dalam rundingan dengan Sensa Timur Sdn Bhd bagi memajukan sebidang tanah Kerajaan Negeri di Jalan Sultan Ibrahim iaitu tapak lama Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Tanah seluas 5.9 ekar itu pada asalnya dirancang untuk dimajukan sendiri oleh PMBK bagi pembinaan Hotel dan Servis Apartmen Madinatul Raudhah.

Di dalam perjanjian yang amat bijaksana oleh Almenantunya Nik Abdul Aziz, seluas 1.5 ekar diperuntukan untuk pembinaan Bazaar Tok Guru. Baki 4.4 ekar yang bernilai hampir RM30 juta pula dipindah milik selama 99 tahun kepada Sensa Timur Sdn Bhd sebaik sahaja Bazar Tok Guru disiapkan oleh Sensa Timur. Apa yang PMBK dapat daripada perjanjian itu, hanyalah tingkat 2 dan 3 bangunan Bazar Tok Guru itupun selepas PMBK membayar balik sepenuhnya pinjaman RM5.5 juta yang Almenantunya yang bijaksana pinjam bagi PMBK dari pemaju Sensa Timur itu.

PMBK dan Kerajaan Negeri tidak akan mendapat apa-apa keuntungan daripada sebarang aktiviti pembangunan di tanah seluas 4.4 ekar tersebut selama hampir satu abad.

Apabila dipersoalkan oleh seorang exco kewarasan untuk masuk perjanjian dengan Sensa Timur, Almenantunya berkata ia adalah kerana Sensa Timur telah bersetuju untuk menderma bagi sekolah Tok Guru di Pulau Melaka. Sekolah tersebut diuruskan oleh anak-anak lelaki Nik Aziz.

Antara punca kecurigaan di dalam pemberian kontrak kepada Sensa Timur ialah kerana sebelum ini Sensa Timur telah membina Bazar Tengku Anis yang menghadapi banyak rungutan daripada peniaga.

Diantara alasan mengapa peniaga tidak mahu berpindah ke situ ialah kerana ruang niaga yang amat sempit. Akibatnya, Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam terpaksa mengambil tindakan ‘Islamik’ dengan satu aksi ‘bail out’ berjumlah lebih kurang RM18 juta kepada Sensa Timur berserta pemberian tapak dan bangunan Pasar Lama MPKB di tengah-tengah bandar kepada Sensa Timur dengan hanya berharga RM3.8 juta sahaja.

Urusan ‘Islamik’ MPKB Bandar Raya Islam kepada Sensa Timur ini menimbulkan seribu satu pertanyaan, kebetulan pula di dalam proses Membangun Bersama Islam, seorang mak Datin dari pihak Sensa Timur mempunyai hubungan amat intim dengan Datin Sabariah, isteri Tuan Guru Nik Aziz dan ibu mertua kepada Almenantunya. Apatah lagi abang ipar Almenantunya yang menjolok dirinya sebagai Al Fadhil Nik Abduh Bin Dato’ Nik Abdul Aziz duduk sebagai Ahli Majlis MPKB Bandar Raya Keluarga Islam Pulau Melaka.

Di dalam waktu yang sama, Al Fadhil abang ipar ini yang juga ahli lembaga pengarah sebuah lagi agensi milik Kerajaan Negeri telah memindah nombor pendaftaran PAS 17 miliknya dari SUV CRV ke sebuah MPV bernilai lebih kurang RM240,000. Al Fadhil juga dilaporkan baru membeli rumah kedai bernilai RM500,000 di Rantau Panjang.

Sebelum Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah bersetuju untuk memberikan tingkat 1 (tingkat bawah) Bazar Tok Guru sebagai tempat penempatan semula para penjaja dan peniaga yang akan berpindah ke situ dari tapak lama mereka di Arked UDA dan Pasar Lama MPKB. Apabila Almenantunya membuat perjanjian yang bijaksana yang berorientasikan keuntungan maha besar sebagai hantaran kasih sayang kepada Bapa Mertuanya, para peniaga ini telah diarahkan membeli ruang niaga di tingkat 2 dan 3 sahaja.

Tingkat bawah telah Almenantunya berikan kepada Sensa Timur dan termaktub di dalam perjanjian.

Membangun Bersama Islam mesti cakap serupa bikin. Jadi para exco terpaksa bertungkus lumus mencari penyelesaian terbaik bagi menyelamatkan air muka Tok Guru yang masih beranggapan Almenantunya adalah lelaki muda terhebat di Kelantan. Kemelut ini akhirnya terhumban ke atas bahu YB Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yacob.

MB berhadapan dengan tindakan saman oleh Sensa Timur jika ianya bertindak dengan tidak menghormati perjanjian PMBK dengan Sensa Timur. Almenantunya pula sudah mengambil deposit dari pihak-pihak yang diberi diskaun membeli ruang niaga di tingkat 2 dan 3 Bazar Tok Guru. Akhirnya Kerajaan PAS Kelantan yang dilantik oleh rakyat untuk membela rakyat terpaksalah mengambil RM23 juta dari kantung kecil Perbendaharaan Negeri untuk membayar pampasan kepada Sensa Timur Sdn Bhd.

Maka akan larilah bajet sebanyak RM23 yang sepatutnya digunakan untuk faedah rakyat yang mengundi dalam Pilihanraya Umum ke 12 lalu.

Kerajaan Negeri akan kehilangan hampir RM50 juta. Hampir RM30 juta ialah kehilangan dari hasil pemberian tanah Kerajaan Negeri kepada Sensa Timur dan RM23 juta kerana menebus maruah Tok Guru dengan mengambil balik tingkat bawah Bazar Tok Guru. Ini adalah jasa besar Almenantunya Nik Aziz yang bernama Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Siakap Senohong
Gelama Ikan Duri
Menantu kaki bohong
Namanya Ariffahmi.

No comments:

Post a Comment