KESIHATAN RAKYAT DIDAHULUKAN. PENCEGAHAN DIUTAMAKAN.
Saya cukup bimbang dengan kedudukan jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) ketika ini.
Saya bersyukur kepada Allah kerana sehingga ini masih ramai rakyat Malaysia bebas daripadanya tetapi apakah ada jaminan bahawa jangkitan serius tidak akan berlaku?
Memang beberapa langkah sudah diambil seperti pemantauan di pintu masuk utama negara, penutupan sekolah dan sebagainya. Tetapi ternyata ia bukan langkah muktamad menangani wabak sepenuhnya.
Yang pasti penutupan sekolah, universiti menyelamatkan kawasan berkenaan tetapi bukan kawasan perumahan atau kampung yang diduduki oleh pelajar yang terdedah dengan virus itu.
Musim perayaan akan semakin hampir menjelang akhir tahun. Banyak perayaan pelbagai kaum akan berlangsung. Tentunya jika tiada usaha mengawalnya dengan serius, virus akan terus merebak.
Di negara kita sehingga kini, dua wanita warga emas dan seorang lelaki penghidap diabetes adalah antara tujuh korban terbaru akibat Influenza A(H1N1) di negara ini, menjadikan jumlah kematian 51 orang setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata tujuh kematian tersebut berlaku pada 7 Ogos (satu), 10 Ogos (dua) dan empat kematian pada 11 Ogos.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata selesema babi adalah ancaman serius kepada negara.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam meminta orang ramai agar tidak terpedaya dan terkeliru dengan risalah doa pelindung diri daripada jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) yang kini giat disebarkan kepada orang ramai oleh pihak-pihak tertentu.
Pengarahnya, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, risalah yang didakwa disediakan oleh seorang pegawai Bahagian Pendakwah Bebas JAIS itu sebenarnya tiada kaitan dengan pihaknya dan dikhuatiri boleh mengelirukan umat Islam.
Bagi saya dan mungkin sesetengah orang yang melibat wabak ini membimbangkan sedangkan kerajaan seperti ‘sambil lewa’ mendekati persoalan ini.
Apabila masyarakat semakin takut dan bimbang tentang diri, anak-anak dan keluarga sedangkan kerajaan bagaikan ‘tidak boleh diharap’, mereka akan melakukan apa sahaja.
Pada ketika ini ada klinik yang mengiklan vaksin menentang atau melindungi orang ramai – pastinya harganya mahal – kerajaan pula nampaknya hanya menasihat tanpa suatu rancangan menyeluruh.
Bukan semua berkemampuan sedemikian.
Bagi yang berkemampuan, mereka boleh mendapatkan vaksin atau rawatan awal di hospital swasta. Bagaimana pula mereka yang tinggal di kampung dan kawasan pedalaman?
Berapa ramaikah yang akan mati kerana tidak mampu mendapatkan rawatan awal? Apakah kita hanya mahu berserah kepada Allah?
Sebelum ini, sudah ada pihak mengemukakan pertanyaan apakah virus tersebut merupakan ancaman keselamatan negara dan bukan lagi ancaman keselamatan insan (human security) sahaja, bagi saya ia kini ancaman keselamatan negara.
Majlis Keselamatan Negara perlu membuat pendirian segera. Jelas kini kerajaan hendaklah mengisytiharkan ia sebagai ancaman keselamatan negara seperti ancaman dadah.
Ambillah saranan dan amaran bahawa "28,000 rakyat Malaysia dijangka akan mati kerana jangkitan influenza A H1N1 dalam tempoh dua tahun" yang dinyatakan oleh seorang pakar perubatan melalui satu saluran berita popular di Internet ia amat menakutkan.
Penyakit ini bukan untuk yang miskin sahaja tetapi juga yang kaya. Presiden Costa Rica turut dijangkiti penyakit sedemikian. Oscar Arias, 68, yang juga pemenang Hadiah Keamanan Nobel, didapati positif Jumaat lalu, dijangkiti virus itu yang menjadikannya ketua negara pertama yang didapati menghidap selesema babi.
Di Malaysia, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan lima anakanda baginda dimasukkan ke hospital selepas disahkan dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1) dan kini semakin pulih.
Kita doakan mereka yang sedang dirawat akan pulih dan Allah menjauhi kita daripada wabak ini.
Oleh kerana ia boleh dibendung, kerajaan perlu menyedarkan rakyat agar mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap virus ini.
Yang menyedihkan sejauh ini mereka yang tidak langsung mempunyai kemampuan ke luar negeri paling ramai mengidapnya. Dan kini jelas, kes bukan lagi berpunca daripada virus import.
Berapa lamakah lagi kerajaan akan melakukan pengisytiharan darurat untuk membendungnya. Apakah kita perlu menunggu kepada angka tertentu umpamanya 100, 200 atau 500 yang mati kerananya?
Walaupun ada pihak cuba menafikan wabak ini mendatangkan kesan atau implikasi kepada ekonomi negara seperti sektor perkhidmatan dan perlancongan, jelas jika keadaan semakin tidak terkawal, industri pelancongan tempatan juga akan merosot.
Saya mencadangkan supaya kerajaan dan Kementerian Kesihatan melaksanakan usaha membendungkan wabak ini bukan kerana kepentingan politik (termasuk kenyataan politik) tetapi melihatnya sebagai kepentingan awam, keselamatan dengan kepentingan negara.
Saya amat yakin pada ketika ini, Menteri, Timbmulai bimbang untuk turun ke hospital atau klinik yang merawat penyakit berkenaan untuk membuat lawatan atau pemeriksaan.
Selain itu, kerajaan perlu mencari jalan supaya rakyat mendapat perkhidmatan memuaskan di hospital kerajaan seperti klinik swasta dalam konteks mendaptkan vaksin atau kemudahan khidmat yang lain dengan caj yang berpatutan.
Pemakaian topeng muka hendaklah dianggap wajib dan bekalannya mencukupi. Kerajaan perlu bertindak jika ada topeng muka dijual dengan harga yang tinggi.
Kerana itu saya merayu dan memohon kepada Kementerian Kesihatan agar cara mengawal untuk meminimumkan penyebaran penyakit ini bukan sekadar kempen membasuh tangan dengan bersih dan memakai penutup muka sahaja.
Saya bersetuju dengan pandangan supaya dilakukan pengesanan awal dengan ujian throat swab untuk semua pesakit yang suhunya melebihi 38 darjah celsius disertai simptom-simptom batuk/selesema/sakit tekak walaupun baru tiga hari demam.
Ini kerana pesakit yang positif H1N1 akan menjadi penyebar virus pada hari pertama i dia demam.
Kerajaan perlu sediakan peruntukan segera untuk mengesan lebih awal influenza A H1N1 ini agar rawatan (antiviral) dapat diberi lebih awal, dengan itu dapat mengurangkan penyebarannya dan kurangkanlah perbelanjaan negara dalam hal-hal yang kurang penting seperti majlis-majlis keraian atau yang berbentuk hiburan.
Tidak ada gunanya mengumumkan siapa yang mati atau sebab-sebab mereka dijangkiti kerana mereka ada beberapa risiko sama ada diabetes, tekan darah tinggi, penyakit jantung, imuniti rendah atau penyakit kongenital.
Apapun, harga mencegah lebih murah daripada harga merawat.
Sebelum lebih ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa, tumpukanlah kepada wabak ini ketika ini daripada melayani ‘wabak politik’ yang tidak ada penghujungnya.
Jika wabak sudah tidak boleh dikawal, dengan orang-orang politik pun boleh mati.
Mereka sewajarnya mati jika tidak menendahkan wabak ini namun rakyat yang tidak berdosa dan menjadi pengundi seharusnya dijaga.
Silap haribulan, penyakit selesma babi ini akan menjadi isu pilihan raya.
Pada ketika itu doa pelindung diri untuk orang politik sudah tidak berguna lagi.
Apabila ini berlaku, pada ketika itu orang politik termasuk Menteri dan anggota Kabinet bukan sekadar bingung dengan selesma babi ini tetapi akan menjadi GILA BABI.
No comments:
Post a Comment