Sunday, August 2, 2009

NAJIB - BERTEMPIKLAH SAMPAI KE SUBUH…

Nak lumba kereta? Ada Litar Sepang. Nak main bola ada stadium (biarpun ada yang runtuh bumbungnya), hendak berenang, ada pusat akuatiknya (biarpun ada yang bocor setahun selepas di bina), hendak lebih ekslusif, stadium tertutup (terpaksa ditutup kerana ada masalah).

Bagaimana kalau hendak berdemo (demonstrasi dan perhimpunan haram)?

Perdana Menteri kata, kerajaan akan sediakan tempatnya. Asalkan jangan buat kacau di jalanan.

Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata hari ini kerajaan bersedia untuk menyediakan tempat yang bersesuaian kepada mereka yang mahu berhimpun secara aman, seperti di stadium untuk mengelak daripada berhimpun di jalanan.

"Kita boleh bagi mereka stadium, di mana mereka boleh bertempik sampai subuh, tapi janganlah buat kacau di jalanan," kata Najib mengulas perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang di ibu negara semalam.

Perhimpunan itu mendesak kerajaan agar menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap tidak adil.

Selain itu, Najib berkata kerajaan menyerahkan kepada pihak polis sama ada akan mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan haram itu.

Kerajaan menyerahkan kepada polis sama ada mahu mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang - dipercayai 11 orang - yang terlibat dalam perhimpunan haram mendesak dihapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara semalam.

Polis mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keamanan serta ketenteraman awam, dan tidak mahu kejadian semalam berlaku secara berterusan.

"Terpulang kepada pihak berkuasa (untuk mengambil tindakan). Demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang tidak patut diteruskan dan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan," kata beliau dipetik Bernama.

Polis menahan 589 orang selepas mereka terlibat dalam perhimpunan haram itu yang dihadiri oleh kirakira 10,000 termasuk beberapa pemimpin parti pembangkang.

No comments:

Post a Comment