Thursday, July 23, 2009

WARTAWAN UTUSAN MELAYU UGUT PENGURUSAN?

Selepas dikejutkan dengan wartawan menulis mengenai ‘reban ayam’ menjadi ‘restoran berahi’ Sabtu lalu, kita dikejutkan pula dengan wartawan mahu berarak ke pejabat Perdana Menteri.

Gara-garanya kerana isu pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu NUJ dikenakan tindakan disiplin kerana membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seingat saya inilah kali pertama kejadian seumpama ini jika berlaku tetapi cara main-main ugutan seperti ini tidak baik.

Masyarakat melihat wartawan sebagai kumpulan manusia rasional dan tidak wajar ugut-mengugut dilakukan, apalagi berarak ke pejabat perdana menteri.

Kepada Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak dan timbalannya, Othman Mohamad, tenguk-tenguk perkara ini sebaik mungkin.

Ini kerana semua kita naik bermula dengan wartawan biasa dan pernah menjadi ahli NUJ sebelum ke pangkat eksekutif.

Saya yakin Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin yang pernah menjadi wartawan dan setiausaha akhbar Perdana Menteri mampu menyelesaikan isu ini sebaik-baiknya dengan bantuan Aziz.

Kesatuan itu dilaporkan mengancam berarak ke pejabat perdana menteri jika pengerusinya Amran Ahmad dipecat selepas mengadukan dua kes perbelanjaan syarikat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli majlis eksekutif NUJ itu Wan Syamsul Amly Wan Seadey berkata, mereka "tidak teragak-agak untuk bertindak lebih jauh" jika organisasi media itu terus-menerus "cuba menindas suara pekerja".

"Mula-mula syarikat keluarkan surat tunjuk sebab. Lepas ini mereka akan pecat Amran dan mana-mana ahli yang bersuara lantang membela hak pekerja-pekerja di Utusan Melayu.

"Jika ini berlaku, kami semua membantah sekeras-kerasnya dan mungkin membawa perkara ini ke perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang merupakan presiden Umno," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 17 Julai lalu, Amran dikenakan tindakan disiplin tersebut atas dakwaan "menfitnah" kumpulan media berpengaruh itu susulan tindakannya membuat dua aduan kepada SPRM seperti dilaporkan di Malaysiakini dan Harakahdaily.

Difahamkan, beliau diminta membuat penjelasan bertulis kepada pengurusan Utusan Melayu (M) Berhad selewat-lewatnya Selasa lalu - kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan yang lebih serius diambil terhadapnya.

Bagaimanapun masih belum jelas bentuk-bentuk tindakan tersebut.

Pada 25 Jun lalu, ketua kesatuan wartawan akhbar Umno itu melaporkan perbelanjaan ubahsuaian satu pejabat biro RM46,000 kepada suruhanjaya tersebut.

Sementara dua bulan sebelumnya, NUJ Utusan mengadu kos membeli dua set tiang gol dan jaring penghadang di sebuah kilangnya di Perai, Pulau Pinang yang didakwa "terlalu mahal" RM160,000.

Kesatuan itu mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!.

Kesatuan sekerja itu masih lagi bergelut untuk memeterai perjanjian bersama (CA) penggal 2008 hingga 2011, antaranya, pelarasan gaji sebanyak 10 peratus, kenaikan gaji tahunan RM5, tambahan elaun kenderaan sebanyak RM50 dan pengekalan faedah-faedah lain yang terkandung dalam CA itu.

No comments:

Post a Comment