Selalunya Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan membuat ulasan terhadap sesuatu persoalan. Apalagi jika ia perlu mempertahankan ahli atau pemimpin PAS dalam satu-satu tindakan atau kenyataan mereka.
Bagaimanapun sehingga kini, Nik Aziz enggan mengulas mengenai tindakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Dr Mohd Nizar Jamaluddin menyertai majlis nyalaan lilin di Ipoh bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada seorang anggota Exco Selangor.
Ketika ditanya, Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya mempersoalkan aspek politik mengenai Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Perak.
Nik Abdul Aziz mempersoalkan kesahihan tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir kerana ianya dianggap bertentangan dengan amalan demokrasi.
"Usahkan fatwa Islam, fatwa demokrasipun dia (Zambri) tak pakai....Itulah jawapan saya, saya dah jawablah tu", katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim semalam.
Sementara itu Timbalan Mufti Negeri Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin berkata perhimpunan menyalakan lilin sebagai memperingati si mati bukan amalan keagamaan dan hanya dianggap sebahagian budaya masyarakat bukan Islam.
Berikutan itu, orang Islam yang turut hadir pada perhimpunan seumpama itu, hanya sekadar memberi sokongan moral dan tidak salah di sisi agama.
Beliau menyatakannya mengulas pembabitan orang Islam dalam perhimpunan nyalaan lilin, berikutan kematian kontroversi Setiausaha Politik ahli Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock, sambil menegaskan selagi tindakan itu bukan amalan agama tertentu, ia dibolehkan.
“Lilin bukannya alat keagamaan. Majlis memperingati yang diadakan itu pun tiada unsur-unsur keagamaan. Oleh itu, tidak salah sekiranya rakan-rakan Islam turut hadir memberi sokongan atau penghormatan terakhir,” katanya.
Syeikh Marwazi berkata, penyokong Islam yang hadir kemungkinan sekadar memberi sokongan politik, malah perhimpunan itu juga adalah berlandaskan fahaman politik, dan bukannya keagamaan.
“Mereka yang hadir juga tidak membuat sesuatu yang merujuk kepada perbuatan keagamaan, jika sekadar berdiri bersama lilin, tidak mengapa,” katanya.
Menurutnya, dalam kes ini, isu agama tidak timbul kerana kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“Kehadiran orang Islam di situ hanyalah sebagai menyokong rakan-rakan mereka dalam politik sahaja, dan sekiranya boleh menimbulkan fitnah, eloklah sekiranya mengelak daripada hadir dalam perjumpaan seumpama itu,” katanya.
Malam kelmarin, satu perhimpunan memperingati kematian Beng Hock diadakan oleh pemimpin dan penyokong DAP di Simpang Kuala, di Kedah yang turut dihadiri pemimpin Kerajaan Negeri daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sementara itu, ADUN Titi Serong/Ketua Penerangan PAS Perak, Drs.Khalil Idham Lim dalam kenyataannya yang disiarkan mStar semalam (21 Julai 2009) berkata isu yang sedang dibicarakan ialah mengenai tindakan kami (beliau dan Nizar) berada dalam majlis yang kononnya memperingati kematian Teoh Beng Hock dan memegang lilin dan dikaitkan dengan tindakan kami yang kononnya bercanggah dengan ajaran Islam.
Katanya, berkebetulan sebagai seorang Cina Islam beliau rasa terpanggil untuk menjawab isu tersebutAkhbar Sinar Harian edisi pada hari ini pada perenggan pertama, kedua dan ketiga menyiarkan kenyataan seperti berikut :-
"Tindakan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin memegang lilin semasa menyertai majlis berkabung bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock baru-baru ini, adalah luar budaya Islam
Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid berkata, sebagai pemimpin beragama Islam, Nizar tidak sepatutunya memegang lilin pada acara keagamaan itu, perbuatannya akan mempengaruhi masyarakat Islam kerana beliau adalah seorang pemimpin dan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.
Kita bimbang soal haram atau halal diketepikan semata-mata mahu mengejar kepentingan politik parti tertentu didalam negara ini" Katanya kepada Sinar Harian semalam"
Berikutan dengan itu saya suka untuk mengeluarkan beberapa kenyataan seperti berikut :-
1. Saya menafikan bahawa gambar dan majlis yang didakwa sebagai majlis berkabung bagi memperingati kematian Teoh Beng Huat seperti didakwa pihak diatas. Gambar tersebut dan upucara menyalakan lilin adalah semasa sesi Sidang Media pada jam 11.00pagi 17 Julai, bertempat di wisma DAP Ipoh . Sidang Media tersebut dianjurkan oleh Skretariat Pakatan Rakyat yang dihadiri oleh sekitar 20 ADUN PR dan pimpinan tertinggi parti.
2. Memegang lilin dan Colok bagi orang cina adalah budaya nenek moyang yang sudah turun temurun diamalkan. Kebetulan saya adalah bekas penganut agama Buddha selama 22 tahun sebelum memeluk Islam, saya ingin jelaskan bahawa menyalakan lilin adalah budaya yang diamalkan oleh bangsa kami turun temurun malah ia menjadi amalan kepada penganut Islam di negara China . Sebab itulah jika kita berkunjung dimana-mana mesjid di China kita pasti akan dapat membeli colok yang dijual dimesjid.
Semasa sembahyang Hari Raya Puasa atau Haji, jangan terkejut bila kita menyaksikan kumpulan Imam dan Persatuan Islam serta AJK Mesjid berbaris masuk ke dalam mesjid dengan memegang colok yang dinyalakan sambil mengalunkan takbir hari raya, dan sebelum melangkah masuh ke dewan sembahyang colok itu ditinggalkan di luar (saya ada koleksi gambar mengenai upacara ini).
3. Kami sama-sama memegang lilin sebagai menghormati acara selingan yang diadakan dalam sidang media itu dan bukannya bertafakkur seperti yang diminta. Sebelum ini sudah sekian banyak teman bukan muslim yang menghormati upacara membaca doa dan pelbagai majlis.
4. Saya mempersoakkan kenapa perkara ini diperbesarkan termasuk oleh Bapak Prof kita yang nampaknya berat sebelah dalam menilai perlakukan oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Kenapakah pokok persoalan asal yang lebih besar yakni tindakan menghilangkan nyawa yang merupakan hak Allah tidak dipersoalkan. Sepatutnya soal itu didahulukan dalam perkara ini.
5. Saya takut nanti pihak berkenaan nampak berani berkokok dalam masa lain melibatkan pemimpin UMNO senyap dan, "punggung penuh dengan najis".
6. Banyak lagi tindakan dan perlakukan pemimpin UMNO yang mengaku beragama Islam wajib ditegur oleh Bapak Prof. Kenapa hanya berdiam diri. Paling besar dalam persoalan upucara di Tugu negara yang telah difatwakan.
7. Saya berharap penjelasan ini meredakan suasana resah yang segaja menimbulkan firnah kepada kami serta tidak mustahil mengelirukan ahli PAS dan penyokong pakatan Rakyat.
Sementara itu, PAS menyerahkan kepada Dewan Ulama untuk mengeluarkan fatwa atau hukuman terhadap tindakan Mohd Nizar yang menyertai majlis nyalaan lilin di Ipon bagi memperingati kematian Teoh.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaacob berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan sebarang kenyataan dan membiarkan Dewan Ulama PAS untuk kemukakan sebarang pandangan.
"Kita serah sahaja kepada Dewan Ulama PAS untuk tentukan," katanya kepada selepas merasmikan majlis pecah tanah projek fasa kedua di Rantau Panjang semalam.
No comments:
Post a Comment