Nobody is dispensible. Saya mempercayai kata-kata ini!
Mohd Sayuti Omar (MSO) marah dan mungkin tidak dapat mengawal perasaan apabila memikirkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berdepan dengan perbicaraan mulai esok (8 Julai 2009).
MSO menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO melakukan pakatan busuk untuk menyusahkan Anwar.
Juga Sayuti mengatakan cara ini adalah cara terakhir menyelamatkan kerajaan BN.
Melalui blognya, Sayuti melakarkan:
“Walaupun pihak UBN menafikan mereka tidak terlibat dan tidak ada niat untuk menyusah Anwar dengan pendakwaan itu, tetapi yang jelas apa yang menimpa Anwar adalah satu pakatan busuk.
Ia satu petaka celaka kepada PR. UBN melihat tindakan ke atas Anwar adalah satu-satu cara terakhir bagi UBN menyelamatkan kerajaannya hari ini. Kejayaan memenjarakan Anwar adalah usaha terakhir yang paling penting bagi UBN untuk mengekalkan kuasanya.
Perbicaraan ke aras Anwar itu adalah permulaan untuk menganggu Anwar dan juga PR. Sudah pasti sedikit sebanyak perbicaraan itu akan menganggu tugasan Anwar. Perbicaraan menyebabkan Anwar akan hilang konsentrasi untuk mengatur dan memperkukuhkan PR.
Mungkin semasa sepanjang berlakunya perbicaraan Anwar masih larat lagi untuk memberi tumpuan kepada PR. Hari ini pun jika timbul masalah dalam PR beliaulah yang menjadi penyelesaiannya. Keadaan hari ini meletakkan semua masalah dalam PR dibawah pikulan Anwar.
Ternyata hari ini Anwar masih mampu. Tetapi apa kata kalau nanti Anwar akan dijatuhi hukum penjara 10 hingga 15 tahun. Paling mengejutkan sebaik perbicaraan itu selesai, Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen? Apakah keadaan PR ketika itu?”
Persoalan saya ialah apakah tanpa Anwar pakatan pembangkang tidak boleh bernafas?
Apakah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang terlalu lemah? Apakah Sayuti lebih mempercayai kepimpinan Anwar daripada Hadi walaupun Sayuti orang PAS?
Saya rasa tidak patut Sayuti merendah atau memperlecehkan Hadi dengan cara begitu kerana PAS boleh berdiri sendiri tanpa adanya Parti Keadilan Rakyat dan DAP kalau ia mahu. Masalah dengan PAS ialah ia parti pemalu, tidak yakin dan Islam yang diperjuangkan mengharapkan simpati orang bukan Islam, bukan kepercayaan atau keyakinan mereka kepada Islam itu sendiri.
Dengan kata lain, kalau benar PAS itu parti Islam kenapa tidak yakin dengan Islam itu sendiri. Apakah mereka yang menegakkan Islam sama ada di Mekah dan Madinah atau seluruh ERopah mengharapkan orang bukan Islam membantu mereka?
Saya yakin orang terdahulu – termasuk Rasulullah dan khalifah-khalifah – menegakkan pemerintahan Islam bukan berasaskan gabungan tetapi berasaskan penghormatan dan keyakinan orang bukan Islam terhadap Islam – memeluk dan yakin Islam sebagai pemerintah.
PAS? Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan yang sewaktu dengannya jelas tidak yakin Islam boleh tegak sendiri kerana itu memohon belas kasihan dan pertolongan orang bukan Islam, termasuk mereka yang terang-terangan membenci Islam.
Apalah ertinya bergabung dengan parti bukan Islam yang terang-terang menentang pembentukan negara Islam. Apa maknanya berkawan dengan bukan Islam yang dengan terang dan nyata mengatakan “Langkah Mayat Saya Dahulu Sebelum....”
Sebagai orang jahil dan tidak ‘mengaji agama’ saya ingin bertanya – APAKAH ALLAH MERESTUI KITA BERBAIK-BAIK DENGAN MEREKA YANG TERANG-TERANGAN MEMBENCI DAN MENENTANG ISLAM?
Mungkin juga Allah tidak merestui hubungan PAS dengan sekutunya yang menyebabkan terserlahnya kes seperti di Kedah.
Kenapa Hadi, NIk Aziz dan pemimpin PAS kelu dan bisu dalam isu tindakan Menteri Besar Kedah? Takut PKR dan DAP terasa hati?
Wajarkah kita berdiam diri? Salahkah tindakan Datuk Azizan Razak itu?
Kata Sayuti, kebanyakan masalah yang berlaku dalam pakatan pembangkang akhir-akhir ini adalah bawakan atau jangkitan virus dalaman yang berlaku dalam parti-parti gabungan pakatan itu. Masalah itu lebih bersifat peribadi parti-parti itu bukannya masalah bersama yang sewajarnya ditimbulkan. Pertelingkahan oleh ahli dalaman parti dibawa keluar sehingga menampakkan ianya menjadi masalah pakatan pembangkang.
Jelas di sini, it has nothing to do with Barisan Nasional atau UMNO atau semua parti komponen BN.
Kata Sayuti: “Misalnya apa yang berlaku di Kedah dan di Pulau Pinang. Masalah sebenarnya berlaku dalam DAP yang mendapat tekanan ahli-ahlinya. Kerana kurang bijak dicampur dengan rasa ‘manggak’ (ego) pemimpin DAP menyebabkan masalah itu 'terkobek' ke luar menjadi masalah pakaran pembangkang.”
Sayuti menambah: “ Bila ia sudah terkobek keluar maka dengan mudah pula ianya dieksploitasikan oleh UMNO/BN.”
Persoalannya kalaupun UMNO/BN tidak ambil kesempatan pun, pekong yang terlondeh, akan terlondeh juga.
Bukankah Sayuti sendiri mengakui: “Masalah dalam parti politik tak ubah seperti guni beras yang carik. Mulanya ia carik sedikit saja, tetapi lama kelamaan bila guni itu diangkut dan diangkat menyebabkan ia semakin membekah. Lama kelamaan carik yang sedikit itu akan terus mengoyak guni berkenaan menyebabkan habis beras terburai. Bagaimana pun masalah dalam parti-parti Pakatan Rakyat mungkin masih belum parah dan boleh diatasi dengan semangat oppositionisme – kepembangakan yang tinggi untuk menumbangkan UBN. Mungkin masalah di Kedah dan juga di Pulau Pinang dapat diselesaikan sedikit masa lagi.”
Itulah harapan Sayuti dan tidak harapan UMNO/BN. Bukahkah pembangkang pun bertepuk tangan kalau ada masalah dalam UMNO atau BN. Jadi, apabila ‘terpercik ke muka sendiri’ pandai-pandailah lap. Carilah tisu, tuala atau mungkin ‘kain buruk’ untuk mengesatnya, kalau ikut senikata P Ramlee melalui lagu Tudung Periuk.
Namun, bagi Sayuti, masalah yang besar dan berat dalam pakatan pembangkang kini ialah masalah yang yang dihadapi oleh ketua mereka Anwar. Nasib malang yang menimpa Anwar bakal meletakkan pakatan pembangkang ke dalam keadaan kucar kacir.
Apa yang dituduh konspirasi untuk menghantar Anwar kembali ke penjara kini sudah pun bermula.
Permohonan Anwar untuk mengkalkan pendakwaan kes liwat ke atasnya dikekalkan di Mahkamah Sesyen ditolak leh Mahkamah Rayuan.
Perbicaraanya akan bermula pada 8 Julai 2009 (esok) di Mahkamah Tinggi seperti mana dirancang.
Hakikatnya ramai – termasuk saya – sayang kepada Anwar kerana mengambil masa yang lama bekerja membentuknya menjadi pemimpin terkenal – sejak 1982 hingga 1998 – namun itulah hakikat.
Renungkanlah – Anwar dan rakan-rakannya yang ‘dipungut’ oleh Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Ketua Pemuda UMNO, Menteri, Timbalan Perdana Menteri akhirnya terguling begitu sahaja.
Apakah ia ‘balasan Allah’ atau kejahatan orang lainb yang menjadikan beliau begitu.
Anak muda hari ini menyokong Anwar dengan mengenali Anwar ‘pada ketika ini’ tetapi tidak mengetahui berapa banyak rahsia yang perlu disorokkan demi menaikan Anwar.
Jadinya Anwar seperti sekarang bukan kerana kemampuannya 100 peratus.
Anwar yang dulunya berbaju putih cangkuk menjadi seorang yang glamour dengan baju batik dan sut yang bertukar bagaikan jutawan ketika menjadi Menteri Kewangan. Apakah ia berlaku dengan sendiri?
Anwar mendapat liputan meluas melalui akhbar dan tv. Siapa menaikkan Datuk Ahmad Nazri Abdullah, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Johan Jaafar, Datuk Ahmad Talib, Yunus Said dan ramai lagi.
Pada ketika yang sama, mana kawan-kawan rapat Anwar dalam ABIM? Yang tinggal mungkin Datuk Kamaruddin Jaafar dan beberapa yang lain.
Jadi dalam konteks ini, Anwar kena berani berdepan. Kali ini beliau perlu mencari ‘team baru’ yang akan mempertahankannya di mahkamah.
Jika dulu pada peringkat awal tuduhan kononnya Anwar ‘melakukan seks luar tabii’ dipertahankan oleh Tun Dr Mahathir, kali ini tanpa konspirasi atau ada konspirasi, Anwar kena membuktikan ‘siapa dirinya’.
Saya pernah dimarahi dan bertengkar panjang dengan Datuk Seri Najib Razak di pejabatnya pada 1998 ketika beliau Menteri Pelajaran mengenai kes Anwar ini. Yang tahu perkara ini ialah Datuk Tengku Sharifuddin – Setiauaha Akhbar Najib yang tetap setia dengan Najib sampai sekarang.
Najib mahu menyaman saya di mahkamah kerana kolum saya dalam akhbar Watan mempersoalkan ‘siapa yang membela Najib, Megat Junid, Aziz Samsuddin’ dalam kes berkaitan tuduhan terhadap Anwar ini yang pada ketika Tun Dr Mahathir begitu membela Anwar berkaitan surat Umi Hafilda.
Apapun itu cerita sedekad lalu. Zaman berubah, Najib kini Perdana Menteri.
Tiada siapa mahu menjatuh atau menganianya Anwar. Jika orang lain sayang kepadanya, saya juga sayang kepadanya.
Saya yakin Datuk Seri Zahid Hamidi juga sayang kepada Anwar, begitulah juga mereka yang lain dalam Kabinet sekarang.
Persoalannya, apakah kerana kita sayang, kita merelakan segala-galanya?
Ditakdirkan dia bersalah, maka terimalah. Bukan kita, bukan saya atau Tun Dr Mahathir, Najib, Zahid atau yang lain mahu menganiayanya.
Yang menganianya dirinya mungkin Anwar sendiri.
Dan ditakdirkan pakatan pembangkang juga rebah, ia tidak mampu dikawal sesiapa.
Anwar yang menegakkan pakatan pembangkang dan jika dia tersungkur, akan tersungkurlah pakatan pembangkang.
Kecuali jika pemimpin seperti Hadi atau Lim Kit Siang bersedia meneruskan perjuangan Anwar, aka nada sedikit cahaya di hujung terowong untuk pembangkang.
Bagi saya tetap mengharapkan PAS berdiri sendiri dan benar-benar menjadi parti yang memperjuangkan Islam bukan kerana ada pemimpinnya mahu cepat menjadi menteri atau timbalan perdana menteri.
Hanya Allah yang Maha Mengetahui!
Bukan MSO seorang sahaja yang tidak yakin dengan kekuatan PAS, malah presidennya pun bersikap acuh tak acuh, hari ini kata perpaduan tetapi keesokannya sudah bertukar jadi sesumpah.Kalau MSO nak ulas dan kaitkan UBN dengan kes DSAI, rasanya isu ini dah basi dan DSAI bukannya satu sebab untuk Najib bubarkan parlimen. Itu politik MSO dan Abdul Hadi Awang, POLITIK PENAKUT.
ReplyDeletesaya setuju dgn sdr ,tiada siapa pun yang menganiayai Anwar melainkan dia sendiri yang lakukan untuk dirinya.
ReplyDeletekenyataan sayuti di dalam blog nya nampak sgt tulisanya pertahankan anwar dan terus mengulangi episod lama iaitu konspirasi .