Thursday, July 9, 2009

ANTARA ISTANA DR KHIR & BANGLO LGE

Pemimpin DAP Selangor bising pasal ‘Istana Dr Khir’ di Selangor dan pemimpin Gerakan bising pasal ‘Banglo LGE’ di Pulau Pinang.

Di Selangor, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo tidak pernah kata beliau akan tinggal di rumah begini dan begitu jika jadi Menteri Besar.

Tetapi Lim Guan Eng (LGE) kata beliau akan bersederhana jika menjadi Ketua Menteri. Apakah ini juga akan membabitkan kediaman rasmi atau tidak rasminya?

DAP tidak boleh melihat bangkai gajah di hadapan tetapi Nampak semut dari jarak yang jauh.

Kerajaan pimpinnnya di Pulau Pinang perlu menjelaskan apakah tindakan LGE itu bersederhana atau berjimat cermat?

Ini bukan persoalan peribadi sedangkan Dr Khir yang sudah pun tidak menjadi Menteri Besar terus digerudi.

Pemuda Gerakan Pulau Pinang semalam mendesak LGE supaya memberikan penjelasan kepada orang ramai berhubung penyewaan banglo mewahnya.

Naib Ketuanya, H’ng Khoon Leng berkata penjelasan itu bersesuaian dengan konsep Cekap, Akuantabiliti dan Telus (CAT) yang diamalkan kerajaan negeri pimpinan Lim itu.

Katanya, tindakan LGE yang tidak mahu mengulas beberapa persoalan yang dibangkitkan Gerakan berhubung perkara itu menunjukkan bahawa beliau cuba mengelak perkara itu.

‘‘Kita semua tahu, dia (Guan Eng) memang suka menyalahkan orang lain, namun alasannya menyalahkan binatang seperti anai-anai, semut api dan musang, kami rasa hanya masalah kecil.

‘‘Saya minta beliau memberi penjelasan secara telus mengapa perlu berpindah ke kediaman mewah itu,’’ ujarnya.

Di Selangor pula isu ‘istana Dr Khir’ hingga ke peringkat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim minta kunci rumah untuk tolong menjual rumah milik Dr Khir .

Mendakwa berbuak dengan Dr Khir di luar dewan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), bermula hari ini, Ng berkata: "Tadi saya minta kunci dengan dia, dia minta saya bagi deposit 10 peratus dahulu. Saya kata pembeli belum tengok macam mana nak bagi deposit," katanya.

Ng berkata, beliau meminta kunci rumah Dr Khir sebagai menyahut cabaran Adun Sungai Panjang itu menjadi ejen hartanah bagi menjual rumah agam dan dua lot tanah milik bekas Menteri Besar itu di Seksyen 7 di Shah Alam yang didakwa Ng bernilai RM24 juta.

Sementara isu Banglo LGE , dilaporkan bahawa belum pun berjaya menyelesaikan kontroversi pengambilalihan tanah di Kampung Buah Pala Ketua Menteri Pulau Pinang itu dibidas lagi.

Kali ini, isu perpindahan beliau dari kediaman rasmi di Seri Teratai ke sebuah banglo mewah di No. 25, Jalan Pinhorn. Tindakannya itu dikatakan mencerminkan sikap pemimpin itu yang ‘cakap tak serupa bikin’.

LGE sebelum ini selalu menekankan bahawa kerajaan negeri pimpinannya akan mengamalkan budaya berjimat cermat dan berbelanja secara sederhana.

LGE diminta berikan alasan sebenar beliau perlu berpindah ke rumah sewa mewah itu.
Tindakan itu perlu dan bersesuaian dengan prinsip cekap, CAT yang sering dilaung-laungkan LGE supaya rakyat mengetahui perkara sebenar.

Alasan LGE bahawa masalah anai-anai, semut api dan musang di Seri Teratai menyebabkan beliau berpindah ke banglo mewah amat mengecewakan kerana kesemuanya itu hanya masalah kecil yang dapat diatasi dengan mudah.

Walaupun kediaman baru Ketua Menteri itu hanya sebuah banglo biasa sebelum ini, namun selepas proses pengubahsuaian, ia sudah menjadi mewah dan dipercayai melibatkan kos ratusan ribu ringgit.

Siapakah yang membayar kos berkenaan. Ketua Menteri itu harus memberi jawapan secepat mungkin dan bukannya mengelak setiap kali ditanya.

Juga ditanya ialah tempoh perjanjian penyewaan, bila pengubahsuaian mula dilakukan, bila pembayaran elaun perumahan beliau bermula dan yang paling utama, bila LGE akan pulang ke Seri Teratai?

Sebagai ketua kerajaan negeri, tindakan Guan Eng cuba menghindarkan publisiti banglo mewah itu amat bertentangan dengan gaya pimpinan biasanya yang suka kepada publisiti.

LGE pernah dibidas mengenai isu kediamannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri April tahun lalu apabila menyatakan akan tinggal di rumah milik keluarganya sebagai langkah berjimat cermat.

Bagaimanapun, beliau berpindah ke Seri Teratai pada 26 Jun tahun lalu.

Pada persidangan itu, Shabudin Yahya (BN-Permatang Berangan) berkata, tindakan Ketua Menteri itu berpindah ke rumah rasmi menyaksikan ia diubah suai dengan kos kira-kira RM122,000 dan ia tidak mencerminkan langkah untuk menjimatkan duit kerajaan.

LGE dalam satu kenyataan dilaporkan berkata beliau tidak perlu menjawab apa yang dibangkitkan kerana ia adalah bersifat peribadi.

Tidakkah itu menunjukkan yang Ketua Menteri itu angkuh, tidak telus serta cuba mengelak dari menjawab soalan-soalan mudah.

“Apa yang kita bangkitkan itu wajar dijawab kerana ia melibatkan prinsip ketelusan dan perbelanjaan awam, adakah rakyat tiada hak untuk mengetahuinya?,” kata H’ng Khoon Leng semalam.

1 comment: