Thursday, June 18, 2009

KE MANA BERAKHIRNYA PAS?

Beranikah kita katakan “tidak ada apa berlaku dengan PAS’?

PAS OK..yang tidak OK cuma orang UMNO kerana mahu bebaik-baik dan berpakat dengan orang PAS.

Atau yang tidak OK ialah orang DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana bimbang PAS ‘berlembut’ dengan UMNO dan cita-cita menubuhkan kerajaan pembangkang akan tergencat.

Atau yang tidak OK cuma Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Husam Musa kerana menentang kerajaan perpaduan (UG).

Yang pasti, sekarang semua dah berkecamuk dalam PAS. Bukan sahaja Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Mustapa Ali diherdik, dipersenda dan diburuk-burukkan.

Lebih teruk, Nik Aziz dan sekutunya Husam turut menerima padah. Bilakah akan berakhirnya kata-mengata antara pemimpin PAS ini?

Kini ada PAS Kelantan dan PAS Terengganu. Juga ada PAS yang boleh pergi kempen ke Manek Urai dan PAS yang dilarang masuk ke Manek Urai. Yang disapproved sahaja boleh datang ke Manek Urai.

Mungkin kerana PAS tidak OK, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mencadangkan agar satu muktamar khas diadakan bagi membincangkan cadangan Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi pembentukan kerajaan perpaduan kerana ia satu isu yang besar.

"Ini perkara besar dan baru, tidak boleh buat begitu sahaja...kena bawa ke peringkat akar umbi melalui muktamar khas. Bila muktamar khas sudah bersetuju, baru kita boleh laksanakan," katanya.

"Kita tunggu presiden pulang dari luar negara. InsyaAllah, selepas diberikan penerangan, kita bersedia turun padang menjelaskan mengenai perkara itu," kata Harun, yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Apa yang berlaku dalam PAS bukan sekadar desakan Mursyidul Am PAS supaya Nasharuddin melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti kerana menyokong kerajaan perpaduan, tetapi Nasharuddin menerima tekanan lebih jauh.

Ada beberapa blog proPAS, mengatakan Nasharuddin lebih ‘gembira’ tidur di katil empuk di hotel daripada melawat kawasan parlimennya – Bachok.

Malah, ada blog mengatakan Timbalan Presiden PAS itu tidak gemar turun ke kawasannya.
Ada juga yang mengatakan Nasharuddin lebih baik kosongkan sahaja kerusi yang dimenanginya.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau memang terkejut dengan kenyataan yang agak keras oleh Nik Aziz terhadap Nasharuddin.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menganggap ianya adalah satu permulaan perpecahan parti.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Salahudin Ayub pula berkata, mengikut tradisi parti, perkara sedemikian akan diputuskan pada mesyuarat parti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Taib Azamuddin Md Taib pula berkata beliau yakin pemimpin peringkat tertinggi parti itu mampu menyelesaikan perkara tersebut.

Tempias kemarahan terhadap Nasharuddin juga terkena kepada Abdul Hadi apabila penulis Azizi Abdullah mengatakan “Tuan Guru Haji Hadi dilihat sekarang sebagai Presiden yang tidak mempunyai kekuatan politik tetapi hanya berilmu tinggi dalam hal agama. Maka kerana itu beliau sudah diperalat dengan golongan cerdik pandai, yang kononnya dihebuh sekarang sebagai profesional, cerdik pandai. Dengar khabar, kerana angkara ini Pas mungkin mengadakan Muktamar Khas. Bayangkan kerana karenah seorang dua ini seluruh jemaah jadi bercelaru.”

Kata Azizi lagi, kita selalu membuat ukuran dalam politik mestilah ulama maka atas nama ini ditekanlah pula mesti kena walak. Walhal berapa ramai pemimpin yang tidak ulama, tidak Islam yang melakukan kerja politiknya lebih dari ulama.

Kerana itu Azizi berpendapat, jangan salahkan ahli-ahli jika ada tuduhan kegilaan ini adalah kegilaan mahu jadi menteri tidak penuh atau menteri penuh. Apakah Pas beranggapan atau penuh yakin ( bagi yang mahukan Kerajaan Perpaduan) jika berlaku Kerajaan Perpaduan Tuan Guru Hj Hadi akan jadi Timbalan Perdana Menteri? Mustafa Ali mungkin jadi Menteri Dalam Negeri atau lain-lain jadi menteri sepenuh masa?

Ini contoh yang marah kepada Abdul Hadi, Nasharuddin dan Mustafa.

Bagaimana pula dengan yang marah kepada Nik Aziz dan Husam?

Blog Lawi Ayam (http://lawi-ayam.blogspot.com) bertanya, apakah Nik Aziz berang kerana kerajaan perpaduan atau anak didiknya – Datuk Husam Musa kalah pada pemilihan parti baru-baru ini?

Apakah Nik Aziz jenis yang tidak boleh menerima kenyataan bahawa majoriti perwakilan PAS tidak dapat menerima Husam?

Kenapa tidak tanya Mohd Sayuti Omar kenapa Husam kalah. Jangan tanya penyokong atau pengampu Husam untuk tahu sebab sebenar.

Atau juga Nik Aziz merasakan pengaruhnya dalam PAS semakin mengecil?

Atau juga Nik Aziz merasakan dia sudah hilang pengaruh kerana sokongan kuat kepada kem Datuk Seri Abdul Hadi Awang + Nasharuddin + Datuk Mustapa Ali?

Kenyataan mengejut Nik Aziz itu turut menyifatkan Nasharuddin sebagai membuat sampah yang mengotorkan PAS dan menegaskan bahawa kerajaan perpaduan adalah boneka UMNO.

Ramli Abdul Halim (Kapak Jangak) berkata, macam mana seorang yang menang jawatan tanpa tentangan dan orangnya yang menang dalam pertandingan mahu dinyahkan dari parti dan kerusi Ahli Parlimen oleh orang yang hanya dapat satu pencalonan untuk menentang presiden dan calon-calon yang pronya semuanya kalah, boleh mahu jadi lebih berkuasa.

Katanya: “Teori dan undang-undang rimba mana yang mahu dipakai. Nak pongoh, nak bengken bukan tak boleh, nak tunjuk ek'oh pun bukan tak boleh tetapi biarlah pongoh, bengkeng dan ek'oh sakan hanelah kita biar profesional dan bersesuaian dengan keadaan dan ketika. Agaknya Mohamad Nizar Jamaluddin yang menampakkan ciri-ciri kurang bertamadun pun kerana menteladani tokoh dari Kelantan yang disangka 'BEGHES BELAKA' kerana lebih berpengalaman dalam membentuk kerajaan dan memulihara kemenangan tetapi hakikatnya adalah 'REBEH' dan kualitinya semakin EXPIRED.”

Bermula dengan ALLAH PUN MENCARUT, TUHAN PUN SAMSENG, SANGGUP BEKERJSAMA DENGAN SYAITAN membawa kepada isu KERAJAAN PERPADUAN, nampak ada bibit-bibit kesongsangan bagi destinasi politik Tok Guru sehingga boleh berlaku percanggahan secara terbuka antara beliau dan Presiden dan kalangan yang sealiran pemikiran politiknya, kata Ramli

“Saya tidak dapat meramalkan KUASA KERAMAT apa yang beliau ada bagi memulihkan kembali retak menunggu belah PAS gara-gara penentangan dan prejudis mengkkhizir butanya terhadap gagasan kerajaan perpaduan yang seolah-olah kerajaan perpaduan itu lebih bahaya dari peluru berpandu atau bom pintar berangkai.”

Mohd Sayuti Omar (MSO) yang selama ini dianggap rapat dengan Nik Aziz turut terkejut beruk kerana menurutnya, “...ia satu kenyataan yang kurang manis dan sungguh malang sekali yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang tua bertaraf separuh wali berjawatan Mursyidul Am Pas. Kenyataan begitu sangat beremosi. Cara itu ialah tidak bijaksana dan berhemah sama sekali dan 'berkadas' dengan usianya. Mengenang aksi Tok Guruku itu lakunya tidak ubah seperti tindakan seorang bapak menghalau anaknya keluar rumah kerana anaknya dikatakan nak bernikah dengan gadis yang tidak disukainya. Tindakan itu selalunya dilakukan oleh orang-orang zaman dulu yang kurang ilmu diplomasi dan rendah pula ilmu siasahnya.”

Menurut Sayuti: “ Nik Aziz nampak langsung tidak menghormati kepada perwakilan Pas yang memberi mandat kepada Nasharudin dalam muktamar lalu...Media juga melaporkan Tok Guruku itu sebagai berkata, Pas Kelantan kesal kerana beri peluang kepada Nasharudin bertanding di Bachok dan menganggap Nasharudin sebagai sampah yang menyusahkan. Kenapa begitu sekali? Apakah tidak ada tindakan lain yang lebih lunak yang boleh dilakukan Nik Aziz selain meluahkan kata-kata itu?”

Katanya lagi: “...kalau Nik Aziz panggil Nasharudin dan minta supaya dia serahkan jawatan timbalan presiden PAS kepada orang baju petak-petak merah, Nasharudin akan akur. Siapalah Nasharudin hendak menderhaka kepada Tok Guru. Tetapi kenapa Nik Aziz tidak berbuat begitu? Kenapa menyimpan marah dalam sekam? Walaupun beliau mengatakan kemarahan itu tidak ada kena mengena dengan kekalahan anak ayam didiknya itu, tetapi seluruh orang tahu. Itik ayam pun tahu apa yang berlaku.”

Sayuti member amaran, dalam posting sebelum ini saya sudah berikan ingatan, jangan sampai Pas ada dua mazhab- "Mahzab Haji Hadi" dan "Mazhab Nik Aziz". Nampaknya apa yang saya bimbangkan itu sudah nak menjadi. Benih sudah mulai nak tumbuh.

Kerana itu Sayuti mengajak ahli dan penyokong PAS supaya ramai-ramailah solat hajat minta selamatkan PAS. “Berdoa dan bermunajatlah. Sebab kalau tidak kena gaya Pas mungkin akan berpecah dua. Mungkin satu lagi parti baru serpihan dari Pas akan wujud!”

Selanjutnya Sayuti dengan beraninya menyebut: “Dan sekiranya difikirkan perlu, boleh dipertimbangkan permintaan Mursyidul Am Pas itu. Iya kalau orang sudah tidak sukakan kita, tunggu apa lagi. Sekiranya saya jadi Nasharudin saya akan serahkan surat mengosongkan kerusi parlimen Bachok kepada Nik Aziz. Sedarlah diri kita hanya menumpang belas kasihan di bumi orang. Nasharudin hanya dagang Pak Malau! Bila orang benci maka kita kena tahu bila masa kita perlu keluar dari rumah itu... semua orang memukul dan mengodam kita. Kerusi timbalan presiden mungkin tidak perlu dikosongkan kerana kerusi itu ditentukan oleh ahli Pas. Apa yang perlu diingat kuasa memilih dalam parti antara ahli biasa di cawangan Kampung Tok Naga, Kuala Terengganu sama saja dengan undi seorang Mursyidul Am Pas.”

Persoalan sekarang ialah, apakah Muktamar Khas boleh menyelesaikan ‘perang ini’? Bagaimana sekiranya ‘Mazhab Nik Aziz’ terus menyerang.

Apakah mazhab itu akan termakan umpan Azizi yang mengatakan “kerana karenah seorang dua ini seluruh jemaah jadi bercelaru” dan serangan tidak akan berhenti kerana ‘Mazhab Haji Hadi’ pun kuat juga.

Bagaimana jikaNasharuddin membuat keputusan ‘gila habis’ dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok?

Atau kalau susah sangat, serahkan juga jawatan itu kepada Husam – habis cerita!

2 comments:

  1. depa dengan islam sendiri x mau berkerjasama denga kapir nak pula...

    anakmelayu30.blogspot.com
    support plzzz

    ReplyDelete
  2. 1. ambo berasa pelik sekarang ini kerana ramai benar orang PAS dah jadi asabiyyah.fanatik tak tentu pasal.kata kuat ugama, belajar kitab tapi sayang tak turut ilmu yang ada.duduk ralik dengar hak pemimpin kata jah, walaupun belum tentu lagi ianya kena dengan apa yang kitab kata. Islam suruh bersatu padu semua umat Islam tapi puak kita nampaknya duduk nak berbalah jah sari dua nih.

    2. kalu ada orang tegur mula melenting selalu padahal orang tegur tu ikut nas Quran dan Hadith.Islam tidak kenal tok guru atau tok jahil, kalau salah, salahlah.tapi kesalahan tok guru lebih berat lagi dari tok jahil sebab tok guru tahu, tapi tok jahil ni tak tahu.nama dah jahil..

    3. ambo minta sangat-sangat supaya tok-tok guru hak sebenar tampil dalam masyrakat untuk beri penjelasan mengenai isu-isu yang timbul.duduk di mana tok guru pondok sungai durian, pasir tumbuh, lubuk tapah, berangan, pondok moden dan lain-lain?mereka ni lah yang layak bermuzakarah kerana benar-benar tok guru yang mengajar kitab, ada anak murid, dan anak murid khatam kitab dengan mereka.bukan hak baca dua tiga patah ayat Quran atau Hadith atas state, atau hak mitak orang suruh panggil tok guru kepadanya.wallahua'lam.

    ReplyDelete