Saturday, June 13, 2009

H1N1 - RAKYAT MALAYSIA JANGAN PANIK

sumber BERITA HARIAN

Rakyat diminta tidak panik dengan perkembangan terbaru wabak Influenza A (H1N1) ketika Kementerian Kesihatan memberi jaminan semua langkah perlu, sudah dan akan diambil bagi memastikan penularan H1N1 terkawal.

Pada masa sama, Majlis Keselamatan Negara juga digerakkan bagi menyelaras program pencegahan, kawalan, mempertingkatkan kegiatan pemantauan, pencegahan dan kawalan seperti yang ditetapkan dalam NIPPP.
Semalam kerajaan Kerajaan mengaktifkan Pelan Kesiapsiagaan Menghadapi Pandemik Influenza Kebangsaan (NIPPP) dan Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian bagi menangani Influenza A (H1N1) selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan virus itu sebagai pandemik dan meningkatkan paras amarannya kepada tahap enam, kelmarin.
Kementerian Kesihatan juga akan memperketatkan lagi pemeriksaan di pintu masuk negara ini bagi memastikan penularannya disekat seawal mungkin.

"Kita akan pastikan pemeriksaan ketat kerana kita mahu pencegahan awal... jika sudah terlepas sukar bagi kita untuk cari dan berhubung dengan pembawa,” katanya Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam.

Katanya, berikutan itu, Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian yang turut disertai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan bermesyuarat minggu depan bagi berbincang, mencari jalan penyelesaian dan merangka pelan tindakan.

“Tumpuan kita adalah kepada program pencegahan, pemantauan dan pengawasan secara menyeluruh di seluruh negara bagi memastikan ia tidak menjadi masalah serius di Malaysia.

“Perbincangan termasuk aspek teknikal supaya tindakan diambil nanti berkesan untuk menyekat penularan wabak itu ke negara ini... termasuk pemeriksaan saringan kepada penduduk atau pelancongan yang keluar masuk negara,” katanya di Alor Star, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata NIPPP yang diwujudkan pada 2005 sudah sedia untuk menghadapi situasi wabak berpenyakit di negara ini.

Katanya, WHO meningkatkan tahap amaran kepada fasa enam berikutan pertambahan kes membabitkan penularan tempatan iaitu di 22 negara berbanding 74 negara yang mencatatkan kes H1N1.

Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana setakat ini tidak ada penularan tempatan dan semua 11 kes positif yang direkod di Malaysia setakat ini adalah kes import.

"Jika penularan tempatan berlaku di negara ini, kementerian terpaksa melaksanakan tindakan sekatan pergerakan seperti penutupan sekolah, institusi, membatalkan perjumpaan awam termasuk majlis perkahwinan bagi membanteras penularan H1N1.

"Oleh itu, orang ramai perlu mematuhi langkah pencegahan disarankan, termasuk memakai topeng muka bagi mereka yang batuk dan selesema, sentiasa membasuh tangan, memastikan kebersihan tandas awam dan menangguhkan lawatan ke luar negara," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Ramlee Rahmat.

Sementara itu, beliau berkata sehingga jam 9 pagi semalam tiada kes baru disahkan dan jumlah kes positif H1N1 di negara ini masih kekal 11.

Daripada jumlah itu, tujuh kes sudah tamat menjalani rawatan, empat masih dirawat iaitu masing-masing satu di Hospital Sungai Buluh dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan dua lagi di Hospital Pulau Pinang manakala jumlah terkumpul kes disiasat kerana simptom H1N1 ialah 616 kes iaitu 11 yang disahkan positif, 596 negatif dan sembilan kes masih menunggu keputusan.

Dalam pada itu, Dr Ismail berkata dua daripada kontak kes ke-11 yang dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang sudah disahkan negatif H1N1.

Beliau berkata, setakat jam 8 pagi semalam, WHO melaporkan jumlah terkumpul kes H1N1 di seluruh dunia ialah 28,820 kes dengan 144 kematian daripada 74 negara.

No comments:

Post a Comment