Tuesday, May 12, 2009

MENCARI KEJERNIHAN POLITIK TERENGGANU

Saya tidak akan menyambung lagi bicara mengenai isu “SMS Ugut Bunuh’ selepas ini kerana ternyata yang dicari polis ialah bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Idris Jusoh).

Sebelum ini banyak pandangan sama ada melalui ulasan atau juga blog mempertikaikan andaian termasuk mempertikaikan penulisan saya apabila ada orang yang menolak andaian awal bahawa yang dicari polis ialah Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

Apapun, harapan saya ialah, Dr Ramzi tidak terbabit dengan sms berkenaan selain Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Wan Ahamad Wan Muda juga dibersihkan nama.

Yang pasti, polis akan meminta kerjasama daripada Jabatan Imigresen serta Interpol bagi mengesan Dr Ramzi yang juga bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Marang pada pilihan raya umum lalu.

Difahamkan, Dr Ramzi masih berkhidmat dengan Idris di Ibu Pejabat MARA, kerana Idris ialah Pengerusi MARA.

Selain itu Dr Ramzi juga sebelum ini adalah pembantu Idris untuk kerja-kerja berkaitan pemulihan UMNO di Ibu Pejabat UMNO.

Bercakap panjang mengenai perkara ini hanya memalukan diri sendiri. Ini kerana sebagai ahli UMNO jika ada ahli UMNO lain membuat kerenah, tempiasnya juga kena ke muka sendiri.
Ironinya, Idris sendiri pun Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Bagaimanapun, seperti saya katakan semalam, kena mahu dikaitkan Dr Ramzi dengan Idris dalam perkara ini?

Sudah sah polis akan mendapatkan waran tangkap terhadapnya kerana gagal tampil bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional, bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis negeri, SAC II Hamzah Mohd Jamil berkata di Kuala Terengganu semalam, sehingga pukul 3 petang bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh itu, masih belum memberikan keterangan walaupun telah diberikan tempoh tiga hari untuk berbuat demikian.

“Sebagaimana yang dimaklumkan dalam sidang media yang lepas, kita memberikan beliau tempoh tiga hari untuk tampil sebelum waran tangkap dikeluarkan dan tempoh itu telah berakhir pada pukul 3 petang ini (semalam)” katanya.

Polis turut meminta keluarga Ramzi serta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kedudukannya, menghubungi balai polis yang berhampiran.

Bernama melaporkan, Ramzi dicari polis kerana beliau merupakan antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung SMS ugutan yang diterima tiga Adun BN iaitu Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) pada malam 13 April lepas.

Peristiwa itu membawa kemelut politik UMNO Terengganu menjadi lebih tegang apabila 10 ADUN termasuk tiga yang menerima SMS itu memboikot sidang DUN Terengganu yang diadakan pada 14 April lalu.

Ramzi merupakan orang kanan bekas Menteri Besar Terengganu, Idris Jusoh, yang kini dimaklumkan menjadi Pegawai Khas kepada Pengerusi Mara.

Idris ‘dianugerahkan’ jawatan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Malaysia (Mara) selepas gagal kembali sebagai Menteri Besar Terengganu apabila pihak istana Terengganu tidak perkenan kepada beliau.

Kini terserahlah kepada polis untuk mencari atau menangkap Dr Ramzi. Yang pasti, beliau diminta tampil untuk membantu siasatan. Dr Ramzi belum dibuktikan bersalah dan jangan cepat menghukum beliau.

Oleh kerana ‘anda belum dibuktikan bersalah’, keluar dan menyerah dirilah Dr Ramzi.
Kehilanganmu menimbulkan banyak persoalan dan orang yang paling kuat terkena tempias ialah Idris serta mereka yang menyokong bekas Menteri Besar Terengganu itu.

Pepatah Melayu ada mengatakan ‘takut kerana salah, berani kerana benar’. Kerana itu beranikanlah diri anda Dr Ramzi untuk ‘membersihkan segala tohmahan terhadap anda, bos anda dan rakan anda’.

Saya doakan segala-galanya selesai dalam tempoh yang singkat agar ‘penyangak sebenar’ dapat ditangkap dan dihukum.

Hanya melaluinya, kejernihan politik Terengganu akan dapat diwujudkan semula!

No comments:

Post a Comment