Tuesday, March 24, 2009

BUKIT GANTANG – MEDAN HASUT RAKYAT?

Pilihan raya kecil adalah untuk memilih atau mengganti pemimpin.

Jika ia medan untuk menghasut dan menabur fitnah, baik tidak ada pilihan raya.

Jika pilih raya kecil boleh membawa kepada perpecahan dan kebencian di kalangan rakyat kerana hasutan pemimpin, adalah wajar diambil tindakan bersesuaian mencegah kejadian itu daripada berlaku.

Amat bahaya jika perbuatan berterusan menghasut rakyat membenci Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menjelang pilihan raya kecil Bukit Gantang.

Kalaupun pembangkang sudah mengenal pasti calon mereka, iaitu bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, sebagai calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini, perbuatan sedemikian akan mengeruhkan lagi keadaan di Perak.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan calon berkenaan di padang Taman Kota Jaya, Simpang malam semalam.

Cara mempertahankan kerusi dengan mencemar dan mencemuh orang lain adalah perbuatan melampau, apalagi jika poster dan risalah sudah dipasang di kawasan Parlimen berkenaan sedangkan penamaan calon pun belum.

Kelmarin, Ketua UMNO bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin meminta pakatan pembangkang berhenti menghasut rakyat membenci Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menjelang pilihan raya kecil tersebut.

Katanya, pada masa ini, banyak risalah serta kain rentang menghina Sultan dan Mufti Perak dipasang sekitar kawasan Parlimen berkenaan.

Berikuatan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kesal dengan tindakan pakatan pembangkang yang didakwa sudah ghairah berkempen sedangkan majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang belum lagi diadakan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, sebarang bentuk kempen seperti penyebaran risalah serta kain rentang yang mempunyai kata-kata menghina dan menghasut sepatutnya tidak boleh dilakukan sebelum penamaan calon pada 29 Mac ini.

''Gantung bendera pun sebenarnya tidak boleh lagi, kalau sudah penamaan calon barulah boleh berkempen. Pada masa itu kempenlah sepuas-puasnya sehingga tengah malam 6 April ini.

''Bagi saya Majlis Perbandaran Taiping (MPT) kena ambil tindakan kerana perbuatan menggantung poster dan bendera mesti mendapat kebenaran terlebih dahulu, jadi kalau sudah ada yang pasang bendera atau poster maknanya ia dipasang secara haram," katanya.
Apakah MPT tidak peka atau sengaja membiarkan ia dilakukan?

Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pasir Panjang turut menyeru kepada pengundi agar menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai kesempatan untuk membuktikan bahawa seluruh rakyat terus menyokong pakatan pembangkang.

Katanya, niat berkenaan harus diterjemahkan melalui undi kepada PAS sebagai lambang bahawa itulah kehendak sebenar rakyat di Perak.

Dalam pada itu, Abdul Hadi pula berkata, pengundi di Bukit Gantang bukan sahaja diamanahkan untuk memilih pemimpin tetapi juga untuk menyampaikan mesej kepada Barisan Nasional (BN) bahawa mereka tetap bersama pakatan pembangkang.

Katanya, jika pada pilihan raya umum lalu pengundi telah memilih calon PAS maka sokongan berkenaan perlu diteruskan supaya pakatan pembangkang dapat memikul amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

Apapun, kita akan melihat gelagat sebenar Mohamad Nizar serta PAS pada pilihan raya kecil kali ini dan bagaimana pakatan pembangkang menunjukkan ‘belang mereka’.

No comments:

Post a Comment