Tuesday, January 20, 2009

TOUCH & GO POLITIK’ SUDAH TIDAK LAKU

Pembedahan politik – mudahnya Tan Sri Muhyiddin Yassin bermadah merujuk kepada faktor kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu, 17 Januari 2009.
Sebaliknya, banyak yang berkata, faktor utama kekalahan BN pada pilihan raya kecil P036 itu kerana faktor calon.

Memanglah banyak sebab kekalahan BN tetapi dalam pilihan raya kecil, faktor calon memainkan peranan besar.

PAS sendiri tidak mahu orang luar Terengganu kerana faktor calon. PAS memilih calonnya kerana ADUN Wakaf Mempelam ini ‘tidak reti kalah’ selama lima penggal.

Apakah pembangunan atau projek khusus dibuat di Wakaf Mempelam? Zero. Tetapi dia pemimpin setempat, pemimpin yang boleh diharap jika ‘sakit-deman’, ‘kenduri-kendara’ serta musim haji. Itu sumbangan calon ini.

Sebalinya bagi calon BN, bukan sekadar ciri-ciri peribadi yang ada pada Datuk Wan Mohd Farid Wan Salleh yang diperkatakan tetapi lebih hebat, bagaimana Wan Salleh digambarkan.
Cara pembangkang ‘membunuh peribadi Wan Farid’ lebih berkesan daripada mengkritik dasar-dasar kerajaan atau menggambarkan kerajaan sebagai zalim dan melakukan pembaziran.

Memburukkan lagi keadaan, awal-awal lagi Tun Dr Mahathir Mohamad melalui blognya menggambarkan Wan Farid sebagai ‘calon paling terburuk ‘ diketengahkan oleh BN.

Kata Dr Mahathir: “UMNO pula tak tahu pilih calon. Yang dipilih ialah bekas Setiausaha Politik Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jelas pilihan calon UMNO tidak memperdulikan sentimen rakyat. Dan calon ini pula terkenal sebagai seorang yang sombong, tidak tahu beramah mesra dengan orang.

Kenyataan sebegini daripada bekas Perdana Menteri dan seseorang yang dihormati oleh pembangkang dan orang UMNO sendiri seperti Dr Mahathir, memberikan kesan besar kepada sokongan terhadap pembangkang. Ia meletakkan UMNO dan BN dalam keadaan tersepit.
Segala usaha ‘membersihkan Wan Farid’ sepanjang kempen tidak banyak berkesan kerana ‘damage has been done’.

Sejak diumumkan sebagai calon, persepsi terhadap Wan Farid ialah beliau sebagai tidak mesra rakyat, tidak pandai bergaul dengan rakyat, lagak ‘bangsawan’ serta banyak lagi.

Tetapi satu hal yang baik ialah Wan Farid berusaha bertemu seramai mungkin – mungkin dia belum ‘jelira’ bila bertemu rakyat. Ini akan mengambil masa.

Inilah masanya Wan Farid perlu bermuhasabah untuk mengenal pasti ‘cara baru’ memujuk pengundi. Lagipun dalam masa 10 hari, apakah boleh dibuat beliau?

Setidak-tidaknya Wan Farid yang dikenali daripada keluarga ‘bangsawan’ berusaha menjadi rakyat biasa!

Muhyiddin pula secara terus terang mengakui bahawa Umno telah kehilangan faktor "penarik" untuk menarik rakyat kepada parti tunjang komponen BN itu.

Beliau yang juga naib presiden Umno berkata, faktor itu perlu dibawa kembali kerana dengan memiliki faktor penarik itu, bermakna rakyat akan tertarik dan memberikan perhatian terhadap perkara baru dan menarik yang disampaikan oleh parti itu.

"Sekarang ini dalam Umno, apakah faktor penarik itu. Tidak ada faktor penarik, kita telah kehilangan faktor penarik yang akan membuatkan rakyat benar-benar mahu mendengar apa yang dikatakan oleh pemimpin," katanya.

Bagi saya apabila sebut faktor penarik ini, jika melihat kepada kemenangan Mohd Abdul Wahid Endut – beliau digambarkan mesra rakyat, mudah turun ke bawah dan sanggup masuk ke pondok UMNO dan bersalam dengan pekerja BN dan UMNO.

Rakyat Terengganu, khususnya Kuala Terengganu tahu Mohd Wahid tidak akan dapat melakukan setanding apa yang ditawarkan oleh Wan Farid tetapi mereka tetap memilih Mohd Wahid kerana faktor ‘mesranya’ dengan rakyat.

Bukan itu sahaja, pemimpin pembangkang dilihat rata-rata ‘mesra rakyat’ dan ini tidak berlaku kepada pemimpin UMNO.

Pemimpin UMNO hanya berharap kepada faktor pembangunan dan tawaran-tawaran projek sebagai penarik hati. Bukan ini tidak baik tetapi kesannya kini semakin berkurangan.
Saya bersetuju dengan Muhyiddin bahawa tidak dapat tidak, pasti ada kelemahan dalam mana-mana pilihanraya kecil walaupun jentera parti bekerja keras siang dan malam. Tetapi mungkin ada isyarat yang perlu diberi perhatian dengan serius.

Kata Muhyiddin, apa yang penting, tegasnya, ialah Umno dan BN menangani isu persepsi tertentu yang bermain di benak pemikiran pengundi.

Yang bermain di benar pemikiran pengundi ialah calon UMNO tidak mesra rakyat. Tanyalah pendapat orang Kuala Terengganu yang mengundi pembangkang dan UMNO sendiri.

Seperti saya katakan di atas, saya tidak menyalahkan Wan Farid. Dia sudah berusaha. Malah, walaupun Pengerusi BN Terengganu yang juga Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berusaha membantu Wan Farid hingga ke peringkat ada yang bertanya “Siapa bertanding – Wan Farid atau Ahmad Said?” , imej Wan Farid yang dicalarkan sudah tidak boleh diperbaiki lagi.

Sepatutnya kita jangan asyik mengatakan ia berlaku kerana putar-belit pembangkang seperti yang disebutkan oleh Muhyiddin. Lihatlah dalam diri kita apa yang tidak kena dengan kita.
Melihat kepada Muhyiddin sendiri, apakah beliau mesra rakyat? Apakah beliau boleh disamakan ciri-ciri ‘mesra rakyat’ yang ada pada Mohd Wahid ?

Banyak penyokong UMNO merasakan Muhyiddin sendiri pun hanya mesra seketika dan ‘tidak pernah mahu ingat’ orang yang pernah bersalam dengannya.

Malah pekerja kempennya pada 1995 dan 2004 ada yang mendakwa Muhyiddin tidak lagi mengenali mereka walaupun merekalah yang ke sana ke sini membawa Muhyiddin bertemu pemimpin UMNO untuk mengundinya pada pemilihan tahun-tahun tersebut.

Apakah pemimpin UMNO seperti Muhyiddin adalah kalangan yang hanya berharap kepada jawatan dan pengumuman projek kerajaan semata-mata untuk menawan hati rakyat?
Apakah ‘mesra rakyat’ tidak penting?

Jika faktor ini tidak diambil berat oleh pemimpin UMNO, akan lebih ramai pemimpin UMNO akan menerima nasib seperti Wan Farid dengan gambaran-gambaran bahawa mereka ‘tidak jelira’ apabila turun bertemu rakyat.

Hakikatnya ‘touch & go’ politik tidak lagi laku untuk dijual kepada rakyat. Contohnya di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Orang kebanyakan memilih ‘mesra rakyat’ - pemimpin yang ‘mudah kiro’ bukan yang jenis mengumumkan peruntukan semata-mata!

4 comments:

  1. Pemimpin dahulu selepas 10 tahun jadi ketua bahagian bari dilantik jadi wakil rakyat. Sekarang semua nya short cut. Bila keluar U rasa besar kepala anggap org kampung semua kolot dan dunggu ini lah padahnya.
    Puting Wan Farid is a very big mistake. Wan Farid kena bertanding di Kuala Lumpur atau Putrajaya, dia boleh tunjuk taring dia.

    ReplyDelete
  2. betul tu....

    wakil rakyat kena sepenuh masa bukan part time lover.

    wakil rakyat kena geramkan rakyat... bukan rakyat geramkan dia..hahahaha

    ReplyDelete
  3. anak muda masih sukakan politik..
    kalau tidak, takkan mereka suka berbincang politik :-)










    Jom Sertai ‘UMNO Baru’ Dengan ‘Faizal’ :-)
    http://Forum1Malaysia.blogspot.com
    Terengganu Tetap Kubu Kuat Barisan Nasional
    http://pro-faizal.blogspot.com
    Idea Bernas Vs Loya Buruk ;-)
    http://TeamPemudaUMNO.blogspot.com

    Laman Blog Baru >> http://Blog1Malaysia.blogspot.com

    ReplyDelete
  4. Calon di KT tak salah sapa-sapa, yang salahnya pengundi tak mahu keluar mengundi, kerja kuat lah bagi 16,000 yang masih hidup tu keluar mengundi, pas dan bn kena buat pos mortem tentang perkara ini. Kut-kut mereka tak ada kesedaran politik. Org cerdik lagi bagus jadi pemimpin, tak kan nak pilih yang tak cerdik macam kita, setakat cakap cerdik kita pulak daripada PM. Calon BN tu memang okey, calon PAS pun kira okey jugak, sapa-sapa menang tu memang janji azali lagi. Kalau bergaduh nanti hancur negara kita bang, oi.

    ReplyDelete