Friday, January 2, 2009

ERDOGAN + KLON TEWAS, MOHD WAHID CALON PAS

Kumpulan Erdogan + Klon ternyata tewas. Calon yang ditonjolkan mereka – Dr Syed Azman Syed Nawawi (ADUN Batu Burok) - tidak dipilih oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya ADUN Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut yang ditonjolkan untuk menentang calon BN, Senator Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Hadi mendakwa calon yang menjadi pilihannya ini mendapat restu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ada pendapat mengatakan kenyataan Hadi mengenai sokongan Nik Aziz sebagai mengambil hati dan ‘wayang semata-mata’ kerana PAS Kelantan dikatakan kecewa dengan Hadi yang menolak calon saranan mereka – Dr Azman dan sebelum itu Mohamad Sabu.

PAS Terengganu jelas tetap dengan pendiriannya mahukan calon tempatan daripada kumpulan ulama.

Isu calon di Parlimen Kuala Terengganu dikatakan menyebabkan ‘perang besar’ antara kumpulan muda dan ulama.

Pada mesyuarat penting PAS sebelum ini, ia memakan masa selama lima jam tetapi jawapan yang boleh diberikan oleh Hadi hanyalah “nama calon ada dalam poket saya....”

Selepas usaha kumpulan ulama meletakkan Datuk Mustafa Ali gagal dan Datuk Wan Mutalib Embong pula katanya enggan bertanding, akhirnya calon ketiga mereka - Mohd Wahid - dinamakan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil kawasan P36.

Pengumuman yang dibuat malam semalam bagaimanapun tidak merisau atau membimbangkan lansung kepada calon Barisan Nasional, Wan Farid .

Bagi Wan Farid, siapa pun lawan yang dinamakan untuk menentang beliau, ia tidak akan mengubah pendekatan BN serta falsafah parti untuk mendekati dan membawa mesej pembangunan kepada penduduk Kuala Terengganu.

Katanya BN juga tidak gentar dengan isu-isu yang akan dibawa Pas semasa kempen nanti, kerana ia adalah isu sama yang dibawa parti itu pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Beliau berkata rakyat sendiri sudah dapat membuat penilaian dan memilih wakil BN, Allahyarham Datuk Razali Ismail pada pilihan raya umum itu.

Hadi malam semalam mengumumkan calon PAS di hadapan kira-kira 8,000 penyokong parti itu di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Mohd Wahid dianggap sebagai anak didik Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali kerana kerusi Wakaf Mempelam yang beliau wakili kini adalah kerusi yang dimenangi oleh Mustafa ketika PAS melakukan 'comeback' di Terengganu pada tahun 1982.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana 3 daripadanya dimenangi oleh PAS manakala 1 DUN dimenangni BN (MCA)
DUN-DUN yang dimenangi oleh PAS ialah Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut), Ladang (Tengku Hassan Tnegku Omar), dan Batu Buruk (Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi)
Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen P036 berikutan kematian mengejut penyandangnya, Dato Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Pada PRU ke-12, 8 Mac 2008 lalu Dato' Razali calon BN menang dengan majoriti 628 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf hanya mendapat 685 undi.

Hadi berkata beliau sendiri yang memilih Mohd Wahid, 52, yang menjadi Adun Wakaf Mempelam sejak 1990, dan mendakwa ia mendapat restu Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Menurut Hadi dalam pemilihan calon itu, beliau mendapat pandangan daripada pelbagai pihak termasuk mengadakan isytisyarah (pandangan daripada orang ramai)dan istiqarah (sembahyang dan minta petunjuk).

"Sangat susah pilih calon PAS kerana calon-calon yang diketengahkan semuanya baik-baik... tiada rasuah, tiada politk wang dan tiada penyelewengan politik," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas membuat pengumuman itu, Abdul Hadi berkata Mohd Wahid dipilih berdasarkan kepada ketokohannya sebagai Adun Wakaf Mempelam selama lima penggal.

Katanya sebagai Exco Pembangunan Usahawan dan Belia Negeri semasa PAS memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2003, Mohd Wahid dilihat mampu menarik sokongan pengundi dari setiap lapisan masyarakat.

"Calon kami mempunyai banyak pengalaman sebagai wakil rakyat... tidak pernah kalah dalam lima pilihan raya umum lepas, dan dia menepati kehendak ramai," katanya.

Mohd Wahid merupakan Bendahari Pas Terengganu dan Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu.

Sementara itu Mohd Wahid berkata beliau mempunyai banyak isu yang hendak ditimbulkan semasa berkempen untuk pilihan raya kecil itu nanti.

Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan isu-isu berkenaan buat masa ini.

"Tunggu. Banyak masa lagi untuk berkempen. Bila tiba masanya saya akan kupas satu persatu ikut keperluan semasa," katanya.

Mohd Wahid berkata beliau juga tidak akan menyerang peribadi lawannya ketika berkempen untuk pilihan raya kecil itu.

Mengenai calon Barisan Nasional, Wan Ahmad Farid , yang merupakan pemimpin peringkat nasional, Mohd Wahid berkata kedudukan itu tidak menjamin kemenangan seseorang calon.

Selamat bertanding kepada Mohd Wahid.

Kepada Wan Farid, anda sudah menemui sasaran sebenar!

1 comment: