Thursday, January 1, 2009

DAH MULA DAH...GAMBAR SONGSANG

“Kuala Terengganu sekarang ini basah dengan hujan, tetapi mereka ini nampaknya kekeringan isu,” kata Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh semalam.

Mereka yang dirujukkan Wan Farid adalah pembangkang. Beliau dijangka ditentang calon PAS, Datuk Wan Mutalib Embong serta tiga calon bebas.

Belum pun kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bermula, calon Barisan Nasional (BNh telah ‘diserang’ menerusi laman web dan juga sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, terbaru ialah gambar Timbalan Menteri Dalam Negeri itu yang sedang berkaraoke bersama seorang wanita muda tersebar dalam laman web, sebaik sahaja beliau dinamakan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil 17 Januari depan.

Menyifatkan ada pihak yang sudah mula bermain kotor, Wan Ahmad Farid berkata, pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyerang peribadi beliau perlu berusaha lebih keras.

Ini kerana, katanya, wanita yang sedang menyanyi bersama beliau itu adalah anak saudaranya sendiri dalam majlis perjumpaan keluarga di rumah seorang saudara yang turut dihadiri anggota keluarganya termasuk isteri dan anak-anak beliau, selain ibu bapa anak saudaranya itu.

“Kuala Terengganu sekarang ini basah dengan hujan, tetapi mereka ini nampaknya kekeringan isu. Mungkin ada pihak yang nak menggambarkan saya seorang yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti di lounge, pusat karaoke dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di Kuala Terangganu semalam.

Katanya, bapa kepada anak saudaranya itu turut berada di tempat berkenaan ketika gambar itu diambil.
“Abang saya ada, ayah dia (anak saudara) pun ada di sebelah kanan, tetapi dalam laman web berkenaan, hanya ada gambar saya dan gambar anak saudara saya itu setengah, seolah-olah memberi gambaran yang tersendiri.”

“Ini adalah tindakan berniat jahat, bila gambar itu disiarkan di Internet, banyak pihak yang membuat andaian dengan pelbagai rumusan tentang karakter saya,” katanya.
Selain itu, SMS daripada nombor yang tidak dikenali berbentuk serangan peribadi juga mula tersebar di kalangan pengundi, namun apabila nombor berkenaan dihubungi, telefon berkenaan telah dimatikan.

“Walau apa pun yang dibuat, saya yakin pengundi Kuala Terengganu matang dalam membuat keputusan dan tidak terpengaruh dengan isu yang ditimbulkan. Saya sendiri, tidak akan sekali-kali serang peribadi lawan, walau siapa pun mereka,” katanya.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon dengan 17 Januari ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Setakat ini, hanya BN mengumumkan calon pada pilihan raya kecil itu, manakala Pas yang telah mengesahkan akan bertanding, akan mengumumkan calon mereka, malam esok.

Selain dua calon itu, pilihan raya kecil itu juga dijangka disertai beberapa calon bebas.

1 comment:

  1. Jangan jangan orang dalam UMNO sendiri yg nak merosakkan calon ni.

    Ungku

    ReplyDelete