Wednesday, October 22, 2008

SEKAT WARTAWAN CARA ISLAM?




Cara Kerajaan Pas Kelantan melayani wartawan Berita Harian (BH) mungkin boleh dipelajari oleh kerajaan negeri lain di bawah pembangkang.

Apabila sahaja tidak sehaluan, halanglah wartawan sesuatu akhbar itu daripada membuat liputan.

Tidak boleh memberikan pandangan kedua atau mengkritik biarpun apa yang dikatakan itu benar belaka!

Yalah...kerajaan Pas Kelantan dikatakan kerajaan contoh dan sedang dijadikan model oleh kerajaan negeri lain yang dikawal pembangkang.

Jadi apabila tindakan menghalang wartawan membuat liputan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, kerajaan negeri lain seperti Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang pun patut ambil iktibar.

Mungkin tindakan ini cara Islam yang tidak boleh dipertikaikan!

Mengejutkan sekali apabila persidangan DUN Kelantan tidak membenarkan wartawan Berita Harian membuat liputan persidangan hari ini selepas mendapati akhbar itu yang tidak menyiarkan sebarang ralat terhadap apa yang didakwanya sebagai laporan tidak tepat.
Segala-galanya berhubung titah ucapan Sultan Kelantan yang disiarkan kelmarin bertajuk Sultan Murka Kerajaan Pas Gagal Tadbir Kelantan.

Inilah sikap Pas sebenarnya, dalam mereka melaung-laungkan kononnya mereka mengamalkan demokrasi, apabila ada akhbar menegur atau tidak sealiran dengan mereka, membuat liputan pun tidak boleh.

Menghairan sekali kerana dibandingkan dengan akhbar Harakah yang dari muka depan hinggalah ke belakang ‘membelasah’ kerajaan Barisan Nasional dan sesetengahnya memburuk-burukkan ahli politik tertentu, wartawannya masih dibenarkan membuat liputan, termasuk di Parlimen.

Langkah Persidangan DUN Kelantan kali ini mengingatkan saya kepada kekecohan pada sidang DUN tahun lepas apabila wartawan Sinar Harian, turut dijadikan ‘mangsa’.
Ia berkaitan dengan usul memboikot persidangan berkenaan yang membuatkan ada pihak mahu memboikot akhbar berkenaan.

Namun, hari ini Sinar Harian jelas dijadikan alat parti berkenaan untuk menyampaikan maklumat untuk parti dan Kerajaan Pas Negeri Kelantan.
Saya rasa tidak mungkin Parlimen Malaysia mahu belajar daripada Dewan Undangan Negeri Kelantan cara-cara untuk melayani wartawan.

Biarpun beberapa wartawan akhbar, blog atau laman berita internet menghentam Speaker atau juga timbalannya, belum pernah ada sekatan seperti DUN Kelantan itu dilakukan terhadap wartawan.

Sejauh ini sejak saya berdampingan dengan Dewan Rakyat atau Dewan Negara bermula 1984, saya tidak pernah dengar ada wartawan di halang membuat liputan.
TIdak tahulah sebelum itu.

Menurut Speaker Dewan, Mohd Nassuruddin Daud, selepas membaca akhbar BH semalam dan mendapati tiada ralat disiarkan berhubung laporan akhbar itu kelmarin, “Mengikut Perkara 14 Peraturan Dewan saya mengambil keputusan agar wartawan daripada akhbar itu tidak dibenarkan membuat liputan sepanjang dewan bersidang,” katanya.

Beliau menyatakannya pada sidang DUN ketiga (Belanjawan) di Kota Bharu semalam.
Kelmarin Drs Zainuddin Awang Hamat (Pas-Limbongan) mendesak supaya akhbar BH memohon maaf dan wartawannya ditegah daripada membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri ekoran tajuk muka depan akhbar itu yang dianggapnya mencemarkan imej kerajaan dan Sultan Kelantan.

Syor Zainuddin itu disokong beberapa anggota Pas lain, sehingga memaksa Mohd Nassuruddin menenangkan keadaan dan memberi tempoh kepada akhbar itu untuk meminta maaf dalam siarannya esok, atau tindakan sewajarnya akan diambil.

Ekoran kenyataan Mohd Nassuruddin hari ini, wartawan BH Khairul Anuar Abdul Samad diarahkan pihak keselamatan pejabat kerajaan negeri agar meninggalkan kawasan bangunan itu.
Ketika ditemui di luar sidang dewan, Khairul berkata beliau menerima keputusan itu namun tidak berpuas hati dengan keputusan melarang wartawan akhbar berkenaan membuat liputan sepanjang dewan bersidang.

“Selama ini kami membuat liputan mengenai perkara yang perlu dihebahkan oleh kerajaan negeri, dan kami juga melaporkan maklumat yang ingin disampaikan kepada rakyat.

Katanya beliau tiba untuk membuat liputan sidang dewan pada jam 9 pagi dan pihak keselamatan meminta beliau agar tidak berada di dalam bangunan kerajaan negeri mengikut arahan Speaker Dewan.

No comments:

Post a Comment