Tuesday, July 19, 2016

SEPATUTNYA DIDESAK KERAJAAN PAS KELANTAN HAPUSKAN BUDAYA HEDONISME...


"Lagu-lagu dangdut serta dikir barat yang menampilkan gadis-gadis seksi dibiarkan menjalar dengan begitu mudah di Kelantan...seolah-olah maksiat dan kemungkaran itu ‘dibenarkan’ oleh kerajaan PAS Kelantan yang kononnya memperjuangkan Islam."

Pemuda PAS semalam  menyuarakan bantahan terhadap penganjuran konsert penyanyi, Selena Gomez yang dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal.

Lajnah Dakwah Pemuda PAS, terkilan kerana pihak berkuasa memberi kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan konsert tersebut yang dijadual berlangsung pada 25 Julai di Stadium Malawati, Shah Alam.

Pengerusinya, Hafez Sabri menyuarakan harapan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menyatakan bantahan secara rasmi bagi menyekat kehadiran penyanyi 'Same Old Love' itu. Sekiranya konsert 'Selena Gomez The Revival Tour' itu diteruskan, ia dipercayai boleh merosakkan akidah, ibadah dan umat Islam khususnya generasi muda, jelasnya.

Tidak dinafikan ada kebenaran kepada apa disuarakan oleh Pemuda PAS ini.


Namun, pada ketika yang sama Pemuda PAS jangan bersikap ‘kuman di seberang lautan boleh nampak tetapi gajah di depan mata mereka boleh terlanggar’ apabila bercakap mengenai isu ‘sisi gelap indutsri muzik’ di negeri berkenaan.

Jangan hanya memperkatakan mengenai kemunculan artis kelahiran Amerika yang sinonim dengan penampilan seksi sahaja  boleh  dianggap mencemarkan kemuliaan Syawal yang masih diraikan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan oleh umat Islam.

Bagaimana dengan ‘dangdut’ dan dikir barat di Kelantan? Ia bukan hanya pada Shawal tetapi sepanjang hari, bulan dan tahun.

Apakah Pemuda PAS, termasuk Pemuda PAS Kelantan ada menegur kerajaan negeri yang memerintah Kelantan sudah kesekian lama mengenai isu sisi gelap industri muzik di Kelantan?

Laporan blog KijangJantan dengan tajuk  Sisi Gelap Industri Muzik Cemarkan ‘Negeri Serambi Mekah’ menggambarkan segala-galanya.

Blog berkenaan mengemukakan beberapa pertanyaan:

1.      Apakah dilakukan oleh pihak berkuasa Kerajaan Negeri  dan kerajaan Pusat untuk membanteras kehadiran lagu-lagu berunsur lucah atau mempunyai dua maksud yang tidak baik di Kelantan? Kerajaan negeri nampaknya hanya berminat dengan pakaian wanita tetapi tanpa sedari budaya lucah sudah diserapkan kepada golongan belia, khususnya remaja sejak lebih sedekad yang lalu.

2.      Apa tindakan kerajaan negeri khususnya Exco yang banyak bercakap mengenai aurat dalam isu dangdut dan dikir barat seksi ini?

3.      Apakah aurat hanya dari segi pakaian terdedah sahaja? Bagaimana dengan aurat melalui suara dan pendengaran? Lebih dahsyat ialah wujudnya  budaya lucah dan pengeksploitan terhadap wanita yang disalurkan melalui lagu dan video yang berleluasa di jual di Kelantan dan Pantai Timur? Ada kerajaan PAS Kelantan ambil kesah?


Blog berkenaan membandingkan sikap  Pemuda PAS Kelantan, dalam isu anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang dikatakan menghina umat Islam yang menyamakan dedak dengan duit raya, beliau lantang menuntut supaya memohon maaf terhadap umat Islam berhubung entri di laman sosial Facebooknya itu.

Namun, perkara mungkar yang berlaku di depan mata, ada di kedai menjual kaset dan video serta pasar-pasar malam di merata negeri berkenaan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan tidak pun mendesak pihak berkuasa kerajaan negeri bertindak.

Isu ini bukan baru, malah sudah lebih satu dekad, namun, di negeri PAS perintah iaitu Kelantan, budaya hedonisme yang merebak sejak bertahun-tahun kebelakangan ini kenapa tidak dibendung?

Lagu-lagu dangdut serta dikir barat yang menampilkan gadis-gadis seksi dibiarkan menjalar dengan begitu mudah dan  tidakpun diberikan perhatian sama ada oleh PAS Pusatt atau PAS Kelantan, khususnya di kalangan pemudanya.

Menghairankan, pada muktamar atau perhimpunan parti PAS di Kelantan, tidak pernah pun kedengaran isu ini dibangkitkan. Seolah-olah maksiat dan kemungkaran itu ‘dibenarkan’ oleh kerajaan PAS Kelantan yang kononnya memperjuangkan Islam.

Memalukan juga apabila video ‘maksiat’ ini dijual beriringan dengan video ceramah agama dan ceramah politik oleh pemimpin PAS Kelantan di kedai-kedai atau di kaki lima atau pasar-pasar malam.

Kenapa boleh diperbuat sedemikian?

Ada pula kanak-kanak yang bersiul-siul lagu berkenaan dan apa yang terfikir di benak mereka sukar kita fikirkan.

Namun jika dilihat video dan didengar CD yang diterbitkan oleh mereka yang mahu mengaut untung dengan mudah, kita akan memahami segala-galanya!

Pada laporan Utusan Malaysia 13 Julai lalu, ada menyebut bahawa industri muzik Kelantan tidak terlepas daripada terpalit kontroversi dengan kehadiran lagu-lagu berunsur lucah atau mempunyai dua maksud yang tidak baik.

Bagaikan barah, penghasilan lagu-lagu tersebut dikatakan bertambah saban tahun.

Malah di YouTube, berlaku lambakan klip-klip video memaparkan wanita seksi Kelantan dengan aksi mengghairahkan. Klip itu bebas ditonton sesiapa sahaja.

Menurut Utusan Malaysia, situasi tersebut sedikit sebanyak mencemarkan nama baik Kelantan yang mendapat jolokan Negeri Serambi Mekah.

Kerana itu, jika Pemuda PAS mahu menggesa kerajaan atau pihak berkuasa untuk mengambil langkah tegas dan sewajarnya dalam meluluskan penganjuran konsert yang dikhuatiri tidak mendatangkan faedah untuk anak muda - tidak terkecuali kerajaan Kelantan.

Jika Pemuda PAS boleh menyeru Kerajaan Pusat, kenapa tidak kepada Kerajaan PAS Kelantan?

Sila rujuk dan peraturan menguat kuasakan Garis Panduan Hiburan atau apa sahaja berkaitan Majlis Agama Islam Kelantan, kerana yang penting bukan dalam konteks konsert sahaja tetapi juga penjualan VCD yang bersepah di Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur.

Konsert hanya sehari dua tetapi VCD dan CD dengan gambar dan senikata lucah boleh diulang-ulang dan boleh berlaku setiap hari, sepanjang hari atau juga setiap jam?

Kenapa tutup sebelah mata?

Takut anak muda marah? Takut hilang undi?

Pemuda PAS sila bantah dan tunjukkan keutamaan dan tanggungjawab anda dalam memastikan tidak wujud unsur-unsur dan gejala hedonisme yang boleh mempengaruhi dan merosakkan generasi muda di Kelantan dan di Malaysia khususnya.

Gejala berbahaya ini jelas bukan sahaja diakibatkan oleh yang diimport dan datang sekali sekala sebaliknya di Kelantan, ia dihasilkan sendiri di dalam negeri oleh sebilangan rakyat di ‘Negeri Serambi Mekah’ yang dibangga-banggakan oleh PAS Kelantan.

Kesannya gejala hedonism ini turut merebak dengan  meluas di Terengganu dan Pahang.


Apakah ia bukan satu dosa???

Saturday, July 16, 2016

PEMUDA JADI PENGECUT KERANA PEMIMPIN UTAMA LAGI PENGECUT?

"Malaysia kini sudah menjadi penakut dalam isu-isu membabitkan nasib dan masa depan umat Islam...tidak ada haluan sendiri. Ucapan pada sidang antarabangsa sudah longlai dan kaku.Inikah ‘pejuang dan panglima’ negara Islam kini? 


Orang Islam yang membunuh tidak kiralah kepada sesama Islam atau ke atas penganut agama lain dihukum dan digelar dengan berbagai nama.

Ada menggelar pengganas, pelampau, pembunuh, malah menyebut mereka sebagai ‘setan’.

Bagaimana dengan penganut agama Buddha yang membunuh beribu-ribu rakyat beragama Islam di Myanmar, Thailand, China dan di beberapa negara lain?

Bagaimana dengan tindakan mereka membakar masjid dan rumah kediaman umat Islam? Bukankah mereka juga setan?

Adakah ‘pelampau Islam’ membakar gereja, kuil atau rumah ibadah lain sewenang-wenangnya seperti mana penganut Buddha membakar masjid?


Kita masih ingat bagaimana golongan muda di negara ini bersuara mengenai isu masjid Babri di India dan beberapa tempat lain, termasuk isu masjid Al-Aqsa. Namun kini? tanyalah diri sendiri.

Malah, perjuangan untuk Rohingya nampaknya banyak dilakukan oleh Barat, malah agensi berita Reuters - yang dilihat pro_Barat - pernah mengemukakan soalan, "Kenapa Tidak Ada Sesiapa Membantu Rohingya?"

Kita sedih dengan sikap negara-negara yang hanya menghukum pelampau Islam tetapi memejamkan mata kepada keganasan terhadap orang Islam,  tidak kiralah di mana juga.

Kita juga kesal kerana negara kita – Malaysia – kini sudah menjadi penakut dalam isu-isu membabitkan nasib dan masa depan umat Islam,  pada ketika pemimpin negara mengakui mereka ‘pejuang dan panglima’ negara Islam.

Malaysia hanya meminta Pertubuhan Islam (OIC) bertindak dalam isu Rohingya tetapi tidak menjadi penggerak atau pembuka langkah sebaliknya hanya mahu menjadi pengikut dan berlinadung di sebalik negara lain.

Kenapa terjadi begini? Apa posture dan strategi dasar luar kita?

Kita antara 34 negara Islam yang menyertai Arab Saudi untuk menentang keganasan Islam dan kerana itu mungkin kita dapat  balasan ‘derma RM2.6 bilion’. Namun apa kesannya?


Siapa yang melakukan pengeboman kononnya menentang ‘keganasan Islam’ di Syria? Ini jawapannya...

Kini seolah-olah negara  tidak ada haluan sendiri dan ikut sahaja apa yang berlaku. Ucapan pada sidang antarabangsa pun sudah longlai dan kaku!

Prioriti Perdana Menteri sendiri terhadap kedudukan kita dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu, OIC, ASEAN, G-15, Pertubuhan Negara Berkecuali (NAM), APEC, ASEM pun sudah kabur.

Malah, dasar luar kita kini ibarat berada dalam jerebu yang ‘tidak berupaya memandang jauh’.

Kenapa kita tiba-tiba menjadi begitu lemah di persada antarabangsa berbanding kita juara ketika isu seperti  Bosnia-Herzegovina suatu ketika dahulu?

Berita Harian 2 September 1992
Kenapa kita tidak lagi berjuang untuk memajukan ekonomi negara Islam dan tidak lagi menjadi juara untuk pertubuhan ekonomi Islam seperti ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri?

Apa jadi dan kesannya  Forum Ekonomi Islam umpamanya perhimpunan WIEF ke 11 di Kuala Lumpur pada tahun lalu. Apa kesannya mengenai usaha memperkukuhkan lembaga kewangan Islam, pengembangan usaha mikro, kecil, dan menengah serta pembiayaan syariah untuk industri kecil dan menengah di negara-negara Islam?

Juga sejak pengunduran Dr Mahathir, apa jadi dengan pergerakan Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D8)?  Cetusan kerajasama ini dibangkitkan oleh Dr Necmettin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki pada satu seminar “Kerjasama Dalam pembangunan” diadakan di Istanbul in pada Oktober 1996. 

Kenapa dan apa masalah dengan Malaysia kini?

Kenapa kita lemah membuat pendirian mengenai nasib umat Islam yang diserang bertalu-talu di Iraq, Syria, Lebanon, Libya, Yemen  serta beberapa negara lain di Afrika, sedangkan kita bukan sahaja membuktikan kita ‘juara negara Islam’ pada 1990-an - bersuara menentang kezaliman Barat pada Perang Teluk misalnya?

Apa sudah jadi dengan dasar luar dan ‘diplomasi politik’ Malaysia di pertubuhan antarabangsa?

Apakah dengan dasar berkecuali bermakna kita boleh berdiam diri? Istilah berkecuali dalam diplomasi antarabangsa ialah kita tidak berpihak tetapi perjuangan menegakkan keadilan menjadi keutamaan perjuangan dan dasar luar kita.

Kita juga sedih dengan peranan yang dimainkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO yang berlebih-lebihan dalam isu tertentu di Malaysia.

Di mana mereka dalam isu antarabangsa? Kenapa Pemuda UMNO di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohd Najib Razak,Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz atau juga ketika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi begitu vocal dalam isu antarabangsa di era mereka?

Malah Biro Antarabangsa Pemuda UMNO dipimpin oleh Nazri Aziz dan Setiausahanya Mustapha Yaakob  dilihat biro yang sangat aktif dalam memperjuangkan isu antarabangsa dan masyarakat antabangsa yang tertindas.

Malah mereka turut bersuara kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Islam di Asia Tengah, selain Asia Barat, di Balkan atau di mana jua.

Juga ada gerakan mengutip derma untuk masyarakat antarabangsa, bukan sahaja Islam di negara-negara yang rakyat mereka ditindas oleh pemerintah. Kini? Pemuda UMNO hanya mengharampkan ‘derma’.

Persoalannya, kenapa Pemuda UMNO sekitar 1980-an dan 1990-an, berani membuat kenyataan dan membuat pelbagai gerakan?

Kenapa mereka berani bertindak menyokong masyarakat antabangsa yang tertindas dan teraninaya?

Tetapi kenapa Pemuda UMNO kini membisu? Apakah kerana pemimpin utama UMNO berdiam diri dengan menunjukkan sikap pengecut, mereka turut menjadi ‘pengecut’?

Beraninya Pemuda UMNO pada 1980-an dan 1990-an kerana ketua mereka juga berani?

Sekawan itek berenang mengikut ketua mereka, jika ketua ke kiri, kekirilah mereka dan jika membelok ke kanan, ke kananlah mereka. Itulah kekuatan Pemuda UMNO sebelum ini tetapi sekarang?

Mohd Fakhrulrazi
Dalam isu Rohingya ini, kita menyokong penuh kenyataan Naib Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang menyeru supaya pertubuhan Buddha di Malaysia  dapat berperanan untuk menyampaikan mesej mahupun tekanan kepada pelampau Buddha di Myanmar untuk menamatkan pembunuhan ke atas umat Islam.

"Saya percaya agama Buddha tidak bersetuju dengan apa jua bentuk keganasan. Oleh itu, kita minta organisasi berkaitan Buddha di negara ini berkongsi idea dan tampil berperanan. Penganut Buddha di Malaysia contohnya tidak bersikap seperti mereka di Myanmar’ “ katanya.

Beliau yakin rakan-rakan Buddha di negara ini dalam menyumbang idea dan peranan untuk menamatkan kezaliman dan pembunuhan terhadap masyarakat Islam di Myanmar," tambahnya lagi.

Setidak-tidaknya Pemuda AMANAH mempunyai pendirian.
Pemimpin PAS dan pemudanya juga berani dengan mnghadirkan diri diri dalam bantahan di Kedutaan Myanmar semalam.

Pemuda UMNO? Hanya sanggup ‘berperang’ dengan pemimpin DAP dalam negara tetapi tidak dalam isu-isu antarabangsa yang lebih menyeluruh.

Bangkitlah dan lihatlah kepentingan yang lebih luas jika kita mahu dihormati dan mendapat pengiktirafan rakyat.

Jangan berbangga dengan BAJU MERAH digunakan untuk ‘bertelagah’ sesama kita di dalam negara tetapi gunakan BAJU MERAH – warna kebanggaan UMNO itu -  untuk perjuangan isu-isu global.

Kalaupun benci dan marah dengan Dr Mahathir baca dan faham pendapat beliau bahawa:

1.      1. Beliau meramalkan Abad ked-21 adalah abad yang penuh ceria generasi muda yang lebih beretika, berilmu dan memahami roh tamadun dunia.  Bagi generasi muda, kata Dr Mahathir, mereka hendaklah berani merungkai ikatan budaya yang lapuk dan sebaliknya mengamalkan nilai ilmu yang lebih tinggi dan bermanfaat kepada dunia seluruhnya.

2.      2. Generasi muda abad ke-21 mesti memikirkan diri mereka adalah rakyat dunia. Manfaatkan teori dunia tanpa sempadan (lihat Kenichi Ohmae: Borderless World, 1989) dengan menghapuskan prejudis bangsa, politik, ekonomi, agama dan pelbagai lagi.

3.     3.  Generasi muda abad ke-21 mesti mengelakkan diri dan menghalang berlakunya perperangan antara tamadun dunia. Zaman informasi dan teknologi maklumat yang tinggi pada abad ke-21 itu perlu dimanfaatkan secukupnya dan seadil-adilnya supaya tidak ada negara yang akan terpulau. Mereka perlu membina kekuatan diri sendiri dan menjadikan tamadun dunia untuk satu bangsa saja.

Semua ini boleh di dapati jika membaca buku A New Deal for Asia (1999) iaitu sanggahan kepada propaganda ahli sains politik Amerika Syarikat, Samuel P Huntington melalui buku-bukunya, Clash of Civilisation (1993) dan Clash of Civilisation and Remaking of World Order (1996).

Inilah yang dinamakan sebagai ‘point counter point’ atau ‘hujah dengan hujah’ bukan jawapan merapu yang hanya untuk membela atau menyokong seseorang. Jawapan Dr Mahatahir tidak menyokong sesiapa tetapi pendirian intelektualnya.

Jadi kepada pemuda-pemuda di negara ini - masyarakat Islam di negara-negara yang menindas mereka memerlukan sokongan dan perjuangan kita  untuk bersama mereka.

Dan golongan muda, tidak terkecuali Pemuda UMNO, mereka  adalah harapan kita dan harapan mereka!



Thursday, July 14, 2016

JANGAN PERKECIL PERANAN DR MAHATHIR, ‘HUSAM’ DEMI ‘SELAMATKAN MALAYSIA’...


"UMNO dan BN perlu berwibawa untuk membawa reformasi pemikiran dan tindakan politik yang jauh meninggalkan perjuangan mereka yang ‘kecewa’...berjuang untuk rakyat dengan membuktikan siapa ‘yang dekat di hati rakyat dan benar-benar mengambil berat soal rakyat’."

Jangan cepat melatah atau membuat spekulasi awal kalaupun benar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menubuhkan parti baru.

Lihat dan dengar dulu apa kata ‘orang tua itu’. Membuat kenyataan secara pra-pengumuman menunjukkan sikap penakut dan perasaan bimbang dengan berita itu.

Bukan Dr Mahathir yang kata beliau mahu tubuh parti baharu.

Kenyataan datang daripada pengikut setia Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang  mendedahkan bahawa terdapat rancangan untuk menubuhkan sebuah parti baru yang mungkin diterajui oleh bekas perdana menteri itu.

Dengan mengatakan Dr Mahathir perlu menubuhkan sebuah parti baru kerana pembangkang menganggap dirinya sebagai liabiliti, ia tidak membawa apa-apa kesan pun kerana perjuangan Dr Mahathir adalah bagi tujuan ‘Selamatkan Malaysia’.

Apapun, kita juga mahu tahu apa itu selamatkan Malaysia. Selamat daripada apa dan siapa? Bukan sekadar isu rasuh dan penyelewengan, juga bukan sekadar kempen Anti-Najib.

Yang penting apa perjuangan parti itu untuk membanteras jenayah, tembak-menembak,  keamanan negara dan sebagainya. Bagaimana dengan dasar luar kita, ke arah mana?


Semalam Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyambut baik langkah itu kerana ia cara yang sah untuk menentang kerajaan secara demokrasi> Namun,  anggota Majlis Tertinggi UMNO itu yakin parti baru itu akan mencatatkan prestasi lebih teruk daripada bekas parti serpihan Umno Semangat 46.

Ini berdasarkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil berkembar bulan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Maknanya, tubuhlah parti apa pun, ia tidak akan mengguris UMNO atau BN sedikit pun.

Namun, beberapa persoalan boleh dilihat dalam penubuhan parti baru ini (jika benar berlaku).

Pertama,  siapa menjadi tulang belakangnya

Ramai mengatakan ia berkisar sekitar 3M - Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz.

Namun, mungkin daripada 3M itu ia menjadi ‘HUSAM’, iaitu Datuk Husam Musa, Datuk Seri Shafie Afdal serta 3M yang akan menjadi tulang belakang parti baharu itu.

Malah, Tun Dr Mahathir mungkin akan membawa mereka yang berpengaruh seperti bekas Menteri Pengangkutan. Tun Dr Ling Liong Sik.

Walaupun Nazri secara berseloroh tetapi memperkecilkan keupayaan pemimpin berkenaan dengan mengatakan:  “Muhyiddin akan jadi timbalan, Mukhriz sebagai ketua pemuda, (bekas Ketua Wanita Umno) Rafidah Aziz sebagai ketua wanita dan Khairuddin jadi budak bancuh teh, ” pengaruh mereka tetap ada.

DR Ling mungkin masih berpengaruh di kalangan masyarakat Cina.

Kedua, kemasukan pemimpin parti tradisi, termasuk PKR

Mungkin juga akan ada pemimpin dari parti UMNO, PAS dan parti-parti lain, tidak terkecuali, PKR akan tertarik dengan gerakan Dr Mahathir ini.

Memang benar parti baru ini akan menjadi ‘rumah baru’ kepada mereka yang ‘marahkan UMNO’ tetapi tidakkah ini akan merugikan BN dalam konteks mendapatkan undi dalam pilihan raya?

Kenapa tidak ada usaha untuk ‘memujuk’ mereka agar undi tidak hilang?

UMNO boleh berbangga dan bermegah mempunyai tiga juta ahli tetapi bagaimana dengan undi untuk BN?

Kalaupun mereka menyertai parti baru ini, yang nyata mereka akan tetap bersama berjuang dalam Pakatan Harapan yang akan menjadi semakin membesar hasil gabungan parti baru yang akan ditubuhkan ini.

Pada ketika pemimpin UMNO mengatakan pembangkang sedang menghadapi masalah, mereka juga perlu ‘lihat cermin’ dalam BN sendiri.

Husam Musa...tidak berminat?
Jangan perkecilkan pengaruh Husam, bukan sahaja di Kelantan tetapi di kalangan ‘golongan muda’.

Di pihak UMNO dan BN, basih banyak isu yang perlu diselesaikan antara parti, termasuk dalam isu ‘pemberontakan ketua cawangan UMNO’ kesan pemecatan Muhyiddin, Mukhriz dan Shafie, selain isu RUU 355, kuasa autonomi Sarawak serta pembahagian kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

UMNO juga berdepan dengan krisis sendiri seperti berlaku di Terengganu, selain perlu memantapkan kedudukannya di Kedah, Pahang, Perak dan Sabah.

Ketika ini yang dilihat sedikit tenang ialah di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Sokongan NGO Kepada ‘Selamatkan Malaysia’

Mungkin mereka tidak menyertai parti baru ini atas apa juga alasan. Namun jika mereka menyokong dan bersimpati dengan gerakan Dr Mahathir dan kumpulan ‘HUSAM’ itu, akan menyebabkan keadaan yang tidak baik untuk UMNO/BN

Perlu diingat bahawa NGO terdiri daripada kumpulan pekerja, belia, pelajar institusi pengajian tinggi, kumpulan anak seni, penulis, penggerak masyarakat, wanita, puteri dan pemuda serta agamawan adalah kumpulan yang merasakan mereka juga perlu layanan baik.

Sejauh ini UMNO dan BN dilihat tidak mendekati golongan ini dan mereka dibiarkan ‘bertaburan’. Sedangkan mereka adalah tenaga penggerak penting masyarakat dan kumpulan ‘pengundi muda’.

Suara mereka bagaikan tidak didengari oleh UMNO dan Barisan Nasional. Bagaimana jika mereka menyokong parti baru ini dalam pilihan raya?

Kumpulan Majoriti Senyap dan Maklumat Internet

UMNO dan BN mengharapkan media arus perdana dan cyber-trooper mereka untuk memenangkan hati rakyat.

Mungkin, mereka berjaya di dua PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Mereka berjaya kerana tumpuan 100 peratus dan yang menentang pula PAS dan parti yang baru mahu bertapak, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Namun pada pilihan raya umum nanti, masing-masing pihak menjaga kawasan masing-masing dan pandai-pandailah ‘membawa diri’.

Tidak jelas sejauh mana kumpulan ‘majoriti senyap’ di dua kawasan Parlimen itu, namun pada pilihan raya umum akan datang, kumpulan ini dijangka bangkit untuk menyatakan ‘pendirian mereka’

Tidak semestinya semuanya menentang kerajaan tetapi kemungkinan membantah terghadap isu-isu penting negara yang diperkatakan seperti penyelewengan, rasuah, salah laku dalam pentadbiran kerajaan Pusat dan negeri akan menjadi faktor yang menguntungkan pembangkang.

Bagaimana jika mereka – kalaupun tidak mengundi pembangkang tetapi tidak mkeluar mengundi menyokong kerajaan?

Berjuang melalui gagasan Pakatan Harapan


Memang sukar sebuah parti baharu bergerak memandangkan kini sudah ada parti yang asasnya berlandaskan kaum dan agama.

Kita perhatikan kedudukan kini dalam konteks parti politik di Malaysia:

1.      UMNO – berlandaskan bangsa Melayu dan Islam (terbuka untuk Bumiputera di Semenanjung dan Sabah), ditolak untuk berkembang di Sarawak;
2.      PAS – berlandaskan Islam dan Melayu (terbuka untuk sokongan bukan-Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP));
3.      PKR – parti pelbagai kaum dan tidak merujuk kepada perjuangan agama tertentu;
4.      DAP – mendakwa untuk pelbagai bangsa tetapi majority bukan-Melayu;
5.      MCA – parti untuk orang Cina;
6.      MIC – parti untuk orang India;
7.      PBB – berbagai kaum pribumi Sarawak dan tidak terikat kepada Islam;
8.      AMANAH – serpihan PAS untuk Melayu –Islam.

Namun jalan tetap terbuka untuk parti baharu ini menawarkan alternatif sebagai parti berbagai kaum dengan menekankan kepada Islam progresif.

Bukan Melayu dan bukan Islam tidak akan bimbang kepada pendekatan ini jika parti benar-benar berjuang untuk melindungi ‘orang bukan Islam’ bukan mengeluarkan fatwa yang boleh meragukan rakyat bukan di negara ini.

Yang penting ialah parti ini menghormati dan menjaga kepentingan bukan-Melayu dan bukan-Islam bukan memperjuangkan Islam secara yang radikal atau tidak mengamalkan ‘kesederhanaan Islam yang tulen’.

Walaupun ada pihak mengatakan banyak parti sudah lingkup kerana tidak dapat melawan UMNO umpamanya parti Semangat 46 yang pernah dianggap terkuat pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tokoh yang amat kuat masa beliau jadi timbalan perdana menteri menubuhkan tubuhkan PKR, kes kali ini berlainan sekali.

‘Selamatkan Malaysia’ Jadi Gagasan

Kali ini UMNO bukan berdepan dengan isu pembangunan, kronisme, perbezaan kaum dan pendapat atau reformasi tetapi isu penyelewengan, salah laku dan rasuah selain ke mana Malaysia akan di bawa di masa hadapan.

Dengan kata lain, masa depan bagaimana untuk generasi Malaysia akan datang.

Ini menjadi satu persaingan yang sengit dan UMNO serta BN perlu bersedia melawannya.

UMNO dan BN tidak perlu gentar tetapi gerakan ini  tetap menjadi ancaman.

Masa kurang dua tahun ini perlu digunakan oleh UMNO untuk memperkuatkan kedudukannya dan meminimumkan seboleh mungkin segala persepsi buruk rakyat terhadapnya.

‘Perang BN melawan pembangkang’ jangan lagi berasaskan kononnya pemimpin pembangkang menjadikan fitnah, tuduhan atau kritikan palsu sebagai modal.

Fakta hendaklah dibalas dengan fakta dan hujah menentang dan mempengaruhi hujah.


Jangan bandingkan parti baru yang mungkin ditubuhkan oleh Dr Mahathir ini seperti AMANAH.

Semalam Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di kementeriannya berkata “...dalam negara kita bebas masing-masing nak tubuh parti, tubuhlah. Sedangkan Mat Sabu pun rasa layak dia tubuh parti dia.”

Jangan perkecilkan kemampuan parti lain kerana kita tidak tahu apa kan belaku dalam tepoh dua tahun ini.

Yang nyata perjuangan parti baru itu mirip perjuangan gerakan Selamatkan Malaysia – bukan sekadar untuk ‘menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak’  tetapi melaksanakan pembaharuan institusi dan perjuangan kea rah masyarakat yang lebih progresif, termasuk dalam konteks Islam.

UMNO dan BN mampu melawan ‘badai’ ini dengan syarat pemimpinnya tidak dihanyutkan oleh sikap selesa dan terlalu yakin.

Jentera partinya, termasuk tentera siber memerlukan pendekatan pengisian baru.
.
Dengan kedudukan entiti baru ini  berjuang untuk rakyat, seperti juga UMNO dan BN, masing-masing perlu membuktikan siapa ‘yang dekat di hati rakyat dan benar-benar mengambil berat soal rakyat’.

Selain itu yang penting, UMNO dan BN perlu berwibawa untuk membawa reformasi pemikiran dan tindakan politik yang jauh meninggalkan perjuangan kalangan mereka yang ‘kecewa’.


Apa pun, semuanya ditentukan dengan pengumuman jam 3 petang ini di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Tuesday, July 12, 2016

PENGKRITIK 1MDB, NAJIB KECEWA APABILA ‘BALA BESAR 11 JULAI’ TIDAK MENJADI?


Semalam 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) menyatakan persetujuannya terhadap permintaan timbang tara (RFA) yang difailkan oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar).

Ramai yang menunggu kes ini kerana ia dianggap `BALA BESAR’ sedang menanti kerajaan Malaysia, Kementerian Kewangan serta Perdana Menteri Malaysia.

Namun, ternyata BALA BESAR  itu tidak jadi 'membadai' dan lebih malang kepada penunggunya, bala itu ghaib entah ke mana.

Kesian sungguh kepada mereka yang berharap kes di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London ini boleh mendatangkan masalah segera kepada 1MDB dan kerajaan Barisan Nasional (BN)

Perdana Menteri boleh tidur lena, pengurusan 1MDB boleh tidur nyenyak dan pemimpin UMNO dan BN boleh meraya sakan. Tidak perlu risau!

Tidak ada apa yang akan 'membadai' dari London, sekurang-kurangnya untuk beberapa ketika terdekat ini.


Cerita selepas ini letak di belakang, tunggu tba masanya. Bak kata pepatah Inggeris, 'I'll cross that bridge when I come to it.'

Walaupun demikian, kes ini sedikit sebanyak mencalarkkan maruah 1MDB dan kerajaan kerana ia disifatkan sebagai ‘tingkah laku kerajaan dan MOF yang memburukkan lagi skandal peniuan yang kini disiasat oleh pelbagai pihak antarabangsa.

IPIC bertindak berikutan kegagalan 1MDB dan MOF dalam menjalankan tanggungjawab mereka, melangsaikan tunggakan atau mengemukakan cadangan yang boleh diterima telah menyebabkan IPIC tiada pilihan alternatif selain meneruskan tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion menerusi timbang tara.

Kegagalan 1MDB dan MOF untuk menjalankan obligasi kontrak di bawah Lembaran Terma Terikat (BTS) seperti yang dinyatakan dalam pengumuman IPIC GMTN Limited pada 10 Jun 2015 (RNS Nombor 7064P), dikaitkan dengan pelbagai tuduhan salah laku dan penyelewengan 1MDB di serata dunia.

Pengkritik 1MDB melihat kes ini sebagai tambahan kepada masalah dan kemungkinan-kemungkinan beban yang akan ditanggung oleh kerajaan dan rakyat negara ini, apa lagi sekiranya IPIC menang dalam tempoh 18 bulan dari sekarang.

Contohnya, PAS mahu kerajaan menjelaskan bagaimana ia bercadang membayar AS$6.5 bilion sekiranya 1MDB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF) gagal dalam kes timbang tara antarabangsa yang dikemukakan terhadap mereka oleh IPIC itu.

“Apakah rakyat yang juga akan disembelih nanti menggunakan kenaikan cukai, pengenalan cukai baru serta GST terhadap pembelian petrol dan pembayaran tol, yang dijangka akan dinaikkan selepas Hari Raya?” soal Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) dalam satu kenyataan media.

Memandangkan kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan pertikaian melalui RFA dengan merujuk kepada Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London, , langkah seterusnya ialah membuat persediaan untuk mesyuarat pengurusan kes  pada September.

IPIC dijangka akan mendaftar  kenyataan tuntutannya dan 1MDB pula kenyataan pembelaan diri,  sebelum kes dibicarakan, dijangka pertengahan tahun hadapan (2017).

Keadaan ini sudah pasti akan ‘mengecewakan’ pihak yang ingin melihat 1MDB berdepan dengan tuntutan besar dalam tempoh terdekat.

IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS (Aabar) mengemukakan permintaan timbang tara (RFA) kepada Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London pada 14 Jun lalu berhubung tuntutannya melibatkan lebih AS$6.5 bilion daripada 1MDB dan kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF).

RFA dilaporkan amat prihatin terhadap kegagalan 1MDB dan MOF untuk menjalankan obligasi kontrak itu.

Demikian menurut IPIC dalam kenyataan yang dihantar kepada Bursa Saham London, 14 Jun lalu.

IPIC bertindak berikutan kegagalan 1MDB dan MOF dalam menjalankan tanggungjawab mereka, melangsaikan tunggakan atau mengemukakan cadangan yang boleh diterima melalui tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion menerusi timbang tara.

Tuntutan itu akan ditentukan oleh tribunal timbang tara yang akan terdiri daripada tiga orang penimbangtara menurut Lembaran Terma Terikat dan peraturan-peraturan LCIA .

Pada 11 Jun lalu, berlegar mesej melalui WhatsApp kononnya masalah terdekat dan paling memeningkan Perdana Menteri ialah di mana mahu dicari AS$6.5 bilion .

Ia bagi menjelaskan tuntutan IPIC itu jika (sekiranya) keputusan Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London tidak memihak kepada 1MDB.

Kata mesej itu lagi: “Tak macam mahkamah perundangan biasa di mana peguam boleh cari akal untuk memanjangkan tempoh perbicaraan sehingga bertahun, prosiding LCIA lebih pantas dan keputusannya muktamad, tanpa boleh dirayu.”

Katanya lagi: “Yang terbaru, LCIA telah memutuskan bahawa TARIKH AKHIR bagi 1MDB mengemukakan maklum balas kepada tuntutan terebut ialah pada 11 Julai 2016 (Raya ke 5). Jika penghukuman LCIA tidak memihak kepada 1MDB dan kalau taka da duit nak bayar dalam tempoh ditetapkan, bukan sahaja 1MDB  yang diisytiharkan MUFLIS tetapi juga MOF.”

Pesanan khas mesej berkenaan berbunyi, “Malang sekali Bank Negara cumaa boleh cetak Ringgit Malaysia tetapi tak boleh cetak Dolar Amerika. Dan malang juga keputusan PRK K Kangsar dan Sungai Besar tak beri apa-apa kelebihan kepada Najib menyelesaikan BALA yang bakal tiba ini.”

Hakikat yang terpaksa ditelah oleh pengkritik 1MDB dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak ialah, kes ini bergantung kepada sejauh mana ia akan menyulitkan atau memudaahkan pihak kerajaan memandangkan proses timbang tara ini dijangka akan berlangsung berbulan-bulan atau mungkin bertahun-tahun.

Jadi kepada yang berharap untuk mengetahui dengan cepat kemungkinan kerugian, bebaan atau jumlah pembayaran yang terpaksa dibuat oleh 1MDB, mereka kenalah  bersabar atau tidak payah berfikir langsung, terlalu lama dan membuang masa memikirkannya’.
 
Seperti saya katakan sebelum ini, rakyat Malaysia yang menyokong kerajaan dan yakin dengan keupayaan dan ‘bersihnya 1MDB’ mereka tidak perlu risau.

Tiada apa akan berlaku pada 11 Julai, “Don’t Worry…”

Menurut MahkamahTimbangtara Antarabangsa London, lebih 70 peratus kes-kes lalu akan mengambil masa tidak kurang setahun setengah (18 bulan) untuk diselesaikan.

Sementara menunggu kes ini dibicarakan, 1MDB mengatakan pihak terus memenuhi komitmen untuk membuktikan pengkritiknya salah, apabila pada bulan lalu, 1MDB membayar RM1.579 juta kupon faedah bagi sukuk RM2.4 bilion Bandar Malaysia yang matang pada 2024.

Pembayaran itu merupakan pembayaran faedah kedua yang dibuat oleh 1MDB sejak pertikaiannya dengan IPIC.

Pembayaran pertama pada Mei apabila 1MDB membuat pembayaran kupon berjadual berjumlah RM143.75 juta bagi Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) RM5 bilion pada 5.75 peratus yang matang pada 2039.

Kedua-dua bayaran itu menunjukkan bahawa syarikat mempunyai kecairan yang mencukupi untuk membuat bayaran faedah dan memenuhi obligasi hutang semasanya walaupun terdapat kritikan.

Semalam juga, 1MDB berkata, syarikat itu yakin tentang kedudukan undang-undangnya dan telah mengemukakan maklum balas formal dan kukuh kepada RFA menerusi penasihat undang-undang, Weil Gotshal & Manges (Weil Gotshal).

Pada pertengahan bulan lalu, 1MDB telah melantik Weil Gotshal sejajar dengan penerimaan RFA itu dari Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London bertarikh 13 Jun 2016.

"Weil Gotshal terkenal di seluruh dunia, firma guaman bertaraf paling tinggi dengan kepakaran, antara lainnya, dalam tindakan undang-undang antarabangsa," kata 1MDB.

Susulan pelantikan tersebut, 1MDB sebelum ini berjanji akan menfailkan maklum balas yang kukuh kepada RFA, pada atau sebelum tarikh akhir 11 Julai 2016, seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.


1MDB turut menegaskan walau apa pun pertikaian dengan IPIC, ia akan terus melaksanakan pelan rasionalisasi dan masih mampu memenuhi tuntutan hutang semasanya.

Juga, dalam tempoh agak panjang ini, 1MDB dan kerajaan mungkin akan mencari /jalan selamat' untuk mngelakkan isu ini menjadi bahan kempen ke arah pilihan raya umum yang dijangka akan berlaku dalam tempoh yang hampir sama dengan kemungkinan perbicaraan timbang tara ini.