Saturday, March 15, 2014

BENARKAH PESAWAT MH370 DIRAMPAS, KERAJAAN BUAT PENGUMUMAN TENGAH HARI INI?



Pesawat Malaysia Airlines MH370 dikatakan dirampas.

Satu aporan berita oleh AP yang memetik seorang pegawai kerajaan Malaysia berkata rampasan itu bukan hanya lagi satu teori tetapi ia adalah 'konklusif'.

Bagaimanapun, motifnya belum diketahui.

Laporan agensi berita itu menyebut: "No motive has been established and no demands have been made known, and it is not yet clear where the plane was taken, said the official, who spoke on condition of anonymity because he was not authorized to brief the media.

The official said that hijacking was no longer a theory. "It is conclusive," he said.
  
Malaysiakini, yang turut melaporkan perkara ini yang memetik AP, berkata pegawai tersebut, yang terlibat dalam penyiasatan itu, berkata mereka telah menentukan bahawa salah seorang juruterbang atau orang lain yang mempunyai pengalaman terbang, telah merampas pesawat itu.

Sejauh ini masih tidak jelas ke mana pesawat itu berada.

Teganukini yang memetik laporan Malaysiakini menyebut, spekulasi bertiup kencang bahawa kerajaan Malaysia akan mengumumkan perkara itu dalam sidang akhbar yang dijadual pada 1 tengah hari ini.


Semalam, pada hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak menolak kemungkinan pesawat itu dirampas. "Saya tidak boleh menolak kemungkinan itu," kata beliau yang juga merupakan menteri pertahanan dan menambah kesemua maklumat daripada sumber tidak dinamakan dari Amerika Syarikat (AS) sedang dikaji.

"Terdapat banyak komen daripada sumber tidak dinamakan dari AS. Kita tidak akan keluarkan maklumat yang belum disahkan atau disokong pihak berkuasa yang relevan. Kita juga tidak mahu memberikan komen yang dilaporkan media memetik sumber tidak dinamakan."

Misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 Sabtu lepas bertambah mendebarkan apabila Operasi SAR pesawat yang membawa 239 penumpang itu kini diperluaskan ke sebelah timur Laut China Selatan dan kawasan barat Lautan Hindi, meskipun kemungkinan untuk menyelamat semakin tipis.

Apapun, Hishammuddin menegaskan, kerajaan tidak menoleh ke belakang dalam usaha itu supaya perkembangan baharu dapat disampaikan kepada anggota keluarga yang terlibat.

 "Saya sendiri susah nak berdepan dengan keluarga terlibat, lebih-lebih lagi tiada maklumat dan perkembangan yang boleh dimaklumkan kepada mereka," katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 di Sepang semalam.

Ditanya mengapa kawasan pencarian diperluas, Hishammuddin berkata: "Kami tidak menemui pesawat itu dalam kawasan yang diliputi."

Sebelum ini, operasi SAR memberi tumpuan kepada dua kawasan iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan. Hishammuddin berkata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), yang membantu menganalisis data kasar daripada pihak ketenteraan, memberitahu bahawa Malaysia telah membuat keputusan yang betul untuk memberi tumpuan kepada kedua-dua kawasan itu.

Menjawab soalan mengenai kebanjiran maklumat yang bercanggah mengenai insiden itu sejak hari pertama kejadian, Hishammuddin menegaskan pihak berkuasa Malaysia akan hanya mengeluarkan maklumat yang boleh dipercayai.

"Maklumat (bercanggah) itu bukannya datang daripada kami tetapi daripada spekulasi. Sebab itulah kami mengadakan sidang akhbar setiap hari untuk menyangkalnya," kata beliau.


Sambil memberi contoh mengenai laporan berita berhubung satelit China yang didakwa merakam kemungkinan imej serpihan di Laut China Selatan, beliau berkata perkara itu bukan sahaja disangkal oleh Malaysia malah kerajaan China juga. "(Ia adalah satu) perkembangan normal (untuk memperluaskan kawasan pencarian).

Untuk kawasan berkenaan (yang diliputi kini), kami belum menemui apa-apa, kami meningkatkannya dari semasa ke semasa...buat masa ini, secara harian," kata Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan. Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata pasukan SAR bersama-sama dengan rakan antarabangsa kini menggiatkan pencarian itu di bahagian timur Laut China Selatan serta di Lautan Hindi.

Dalam pada itu, Hishammuddin menyatakan rasa terharunya dengan sokongan padu rakyat Malaysia, selain bantuan daripada pelbagai negara dengan peralatan yang canggih.

"Bagi saya, itu memberi semangat untuk teruskan usaha mencari sehingga dapat maklumkan kepada keluarga perkembangan yang lebih positif," katanya.

Hishammuddin berkata 57 kapal dan 48 pesawat dari 13 negara kini terlibat dalam operasi SAR pesawat itu, yang hilang setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi pada 8 Mac lepas, semasa menuju ke Beijing.

"Keutamaan kami adalah untuk mencari pesawat ini. Kami menggerakkan usaha mencari berdasarkan semua petunjuk dan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa.



"Kami bersyukur dengan bantuan diberikan rakan-rakan dan jiran-jiran, yang terus membantu kami dengan berkongsi data dan sumber mereka dalam usaha kami mencari MH370," katanya pada satu sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang petang semalam.

Turut memberi jaminan untuk tidak berputus asa dalam usaha pencarian itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya.

Azharuddin berkata pihaknya akan terus mencari pesawat itu dengan menggunakan apa sahaja kaedah, apatah lagi usaha itu turut menerima bantuan daripada pakar antarabangsa termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ahmad Jauhari pula berkata: "Warga MAS masih tabah untuk menolong waris para penumpang dan anak kapal.

Tak pernah berputus asa dan akan lebihkan pertolongan kepada waris penumpang dan anak kapal." Hishammuddin juga memberi jaminan untuk menjaga kebajikan keluarga penumpang termasuk yang berada di China, di mana beliau berhubung setiap hari dengan para pemimpin China manakala MAS pula menghantar kira-kira 100 pekerjanya ke China untuk tujuan itu.

JANGAN TABUR JANJI BARU JIKA YANG LAMA BELUM DIKOTAKAN….

 

Sepanjang tempoh 25 tahun yang lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang hanya dua kali di menangi Barisan Nasional, iaitu 1995 dan 2004.

Selebihnya sama ada dimenangi oleh DAP, PAS dan juga PKR. Kajang adalah sebuah bandar yang membangun dengan kawasan industri, komersial dan perumahan serta turut mempunyai kampung-kampung tradisi dengan penghuninya aktif dalam bidang pertanian.

Berdasarkan statistik Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk PRU13 pada Mei tahun lepas, pengundi Melayu terdiri daripada 48.48 peratus, Cina (40.46 peratus) dan India (10.15 peratus).

Tidak sampai setahun selepas PRU13 pada 5 Mei tahun lepas, pengundi DUN Kajang perlu sekali lagi membuat keputusan siapa yang mereka pilih sebagai wakil kawasan itu ke Dewan Undangan Negeri Selangor.

PKR sehari selepas kerusi itu dikosongkan wakilnya Lee pada 27 Januari, telah mengumumkan akan menurunkan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga ketua pembangkang sebagai calon parti itu untuk PRK 23 Mac ini.

Bagaimanapun, akibatkan disabitkan kesalahan liwat oleh Mahkamah Anwar tidak layak ertanding dan digantikan dengan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebanyak 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya itu, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.

DUN Kajang pada PRU 1986 dan 1990 dimenangi calon DAP, iaitu Chan Kok Kit (1986) dengan majoriti 1,651 undi dalam pertandingan lima penjuru, dan bekas Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw (1990) mengalahkan calon BN Khoo Chai Hong dengan majoriti 3,911 undi.

BN menang pada PRU 1995 apabila calonnya Choong Tow Chow daripada MCA mengalahkan calon Pas Dr Safie Ibrahim dengan majoriti 7,705 undi, dan pada PRU 1999 kerusi itu menjadi milik Pas apabila calonnya Dr Shafie Abu Bakar menewaskan Choong dengan majoriti tipis 37 undi.

Pada PRU 2004, BN merampas kembali kerusi itu apabila calonnya Datin Paduka Low Lee Leng daripada MCA menewaskan calon PKR, Kim Sin dengan majoriti 2,773 undi.

Sejak dua PRU lepas, pada 2008 dan 2013, DUN Kajang menjadi milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila pada 2008 calonnya Lee Kim Sin mengalahkan penyandang kerusi itu Low Lee daripada MCA dengan majoriti 3,268 undi.

Pada PRU13, Mei lepas, calon PKR Lee Chin Cheh mempertahankan kerusi itu bagi PKR dengan memenanginya majoriti undi 6,824 dalam pertandingan enam penjuru.

Jadi agak aneh apabila Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli terpaksa menimbulkan pelbagai isu seperti menyalahkaan BN dalam mengatasi isu penting yang perlu diatasi di Kajang.


Kenapa sekarang?

Contohnya, Rafizi mendakwa spesifikasi sistem saliran di Kajang yang berusia lebih 20 tahun tidak mampu menahan bencana banjir jika berlaku musim hujan ditimbulkan.

Beliau mengatakan kelemahan perancangan bandar sedia ada yang tidak mengikut perkembangan semasa dari segi pertambahan populasi dan kepesatan pembangunan menggambarkan sistem saliran sedia ada semakin kritikal. "Ini kerana spesifikasi saliran sedia ada dibuat sejak 20-30 tahun lalu, sebelum pertambahan populasi pada kadar yang ada sekarang. Sudah tentu selepas 30 tahun, pembangunan pesat, kapasiti saliran itu menjadi tidak mencukupi," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Utama PKR, di Batu 12 Cheras, kelmarin

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kejadian banjir kilat yang berulang antara 2008, 2011 dan 2012 yang telah menjejaskan pusat bandar Kajang dan beberapa kawasan di sekitar daerah itu.

Tambahnya, jika Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diberi peluang pada PRK DUN Kajang, 23 Mac ini, masalah banjir kilat itu akan diberi perhatian, sesuai dengan peruntukan ADUN untuk menaik taraf sistem saliran yang kritikal. Persoalannya apa dibuat dengan peruntukan ADUN 2008 yang lalu?

Kenapa dipersalahkan BN dan hanya mahu melakukannya dengan peruntukan akan datang?

"Perbelanjaan untuk naik taraf infrastruktur itu tinggi, sebab itu masalah banjir kita tidak spesifik kerana perlu mengikut kemampuan ADUN, “ katanya..


"Saya yakin jika calon kita diberi peluang menjadi ADUN, saya yakin beliau akan mengenal pasti 2-3 kawasan kritikal untuk dinaik taraf kemudahannya," katanya lagi.

Amat jelas Rafizi tidak melihat sejarah siapa ADUN di kawasan berkenaan sejak 25 tahun yang lalu. Seperti saya sebutkan di atas, bagi parti yang mengawal DUN Kajang untuk tempoh 10 tahun, umpamanya DAP dari 1986 hingga 1995, dan antara 2008 hingga 2014 di bawah PKR, sepatutnya mendekati isu ini secara jujur. Antara 1995 hingga 2003, DUN Kajang bertukar tangan iaiu antara MCA, PAS dan MCA, sekali lagi menyebabkan putus kesinambungannya.

Apapun, semua ADUN yang pernah memang di Kajang  sewajarnya turut bertanggungjawab ‘menjawab’ apa yang diperkatakan oleh Rafizi itu.

Berbanding MCA yang menerajui Kajang selama dua penggal, pembangkang selama lima penggal antara DAP, PAS dan PKR, apakah sumbangan mereka?

Calon PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kelmarin menyeru kepada pengundi Kajang supaya bersamanya untuk melakukan perubahan pada negara.

Jelasnya sudah tiba masanya untuk BN berehat daripada arena politik tanah air, justeru langkah pengundi Kajang ialah dengan memberi kemenangan kepadanya ini sekaligus memberi 'signal' kepada BN bahawa parti itu sudah tidak diterima lagi.

Beliau menawarkan empat teras utama iaitu mahu memastikan Kajang tidak lagi berhadapan dengan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk menerusi Pelan Trafik Bandar Kajang 2018. "... melantik jururunding trafik bebas untuk menilai dan mengkaji penyelesaian kepada kesesakan lalu lintas di bandar Kajang," ujarnya.

Tonggak utama manifesto yang digariskan PKR di PRK N25 Kajang ialah memastikan kadar jenayah dan kawalan keselamatan di kawasan ini dapat dipertingkatkan. "Teras ketiga ialah membangunkan anak muda dan usahawan kecil dengan mewujudkan Pusat Khidmat Kerja bagi menganjurkan program-program khusus untuk latihan pekerjaan dan nasihat kerjaya kepada golongan muda, selain meningkatkan peluang orang muda untuk menceburi perniagaan melalui program latihan keusahawanan percuma dan penyediaan kiosk-kiosk moden untuk peniaga kecil. "Teras terakhir ialah meningkatkan pembangunan dan penyelenggaran bandar iaitu dengan meningkatkan prestasi kutipan sampah dengan mengusahakan tapak pelupusan sampah dan sisa pepejal yang baharu yang mesra alam bagi memendekkan jangka waktu kutipan sampah, selain memperkenalkan kaunter aduan bergerak wakil rakyat di kawasan perumahan pada setiap bulan bagi memudahkan rakyat setempat tampil membuat aduan," jelasnya ketika melancarkan manifesto di Pusat Gerakan Utama PKR, di Bangunan Mat Saman, di Kajang.
 
Kerana itu tidak pelik sekiranya Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong mencabar kerajaan negeri yang memasuki penggal kedua supaya menyediakan kemudahan infrastuktur yang sempurna bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Kajang yang semakin kritikal.

Beliau memandang serius terhadap sikap 'lepas tangan' kerajaan negeri yang gagal menambah baik lalu lintas sedia ada hingga boleh melumpuhkan bandar Kajang pada waktu puncak.

"Pakatan Rakyat harus insaf bahawa masalah kesesakan lalu lintas adalah satu masalah sangat serius. Kenapa kerajaan boleh gunakan dana rakyat untuk bina jejambat i-City tetapi di sini (Kajang) mereka tidak beri apa-apa sedangkan isu rakyat perlu diutamakan?," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi, di Sungai Chua, di Kajang, kelmarin.

Biarpun MCA tewas pada PRU13 lalu, namun Kerajaan Persekutuan masih menjalankan tanggungjawab mereka dengan membawa masuk projek Projek Laluan 1 Transit Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang yang dijadualkan siap menjelang 2018. Jangan pula projek MRT k itu diputarbelit oleh pembangkang sebagai projek mereka sedangkan ia atas belas ihsan kerajaan negeri," katanya.

Pemimpin pembangkang memang kaki puterbelit kerana mereka boleh menuduh kerajaan BN tidak menunaikan janji pilihan raya, sebaliknya mereka sendiri melakukannya termasuk mengenakan caj cukai pintu dan lesen perniagaan yang tinggi. "Dulu kata tidak akan naik cukai pintu, saya hairan mereka gunakan DBKL sebagai contoh untuk belasah BN. Kenapa mereka membisu soal kenaikan lesen, dari 46 hingga 500 peratus pada masa ini. Mereka tidak memikirkan soal hidup orang susah dengan menaikkan kadar lesen sewenang-wenangnya?" katanya lagi.

Melihat kepada sumbangan pembangkang sejauh ini kepada penduduk di Kajang dan dengan tawaran-tawaran terbaru itu, pengundi di kawasan berkenaan seharusnya tidak terpedaya dengan janji manifesto baharu pakatan pembangkang itu.

Ini kerana pada ketika janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, belum mampu ditunaikan, mereka mempersembahkan pula janji baru.

Seperti ditegaskan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kelmarin bahawa janji baharu itu sekadar 'umpan' bagi memperdaya pengundi untuk memilih Dr Wan Azizah yang dipertaruhkan bagi menggantikan suaminya pada pilihan raya kecil, 23 Mac ini.


Sebaliknya, pengundi perlu mencuba pula apa yang dapat dilakukan oleh calon BN Datuk Paduka Chew Mei Fun yang berdisiplin, mempunyai komitmen tinggi dan boleh memberi tumpuan sepenuhnya untuk membela pengundi Kajang.

"Chew boleh menjadi jambatan antara rakyat dan Putrajaya...Chew tak perlu fikir mengenai Permatang Pauh, PKR atau nasib suaminyaa, sebaliknya dia boleh memberi tumpuan kepada rakyat di sini," katanya.

Pada ketika pembangkang meminta pengundi ‘merehatkan’ BN, pengundi juga boleh memastikan pembangkang menerima pengajaran berguna sekiranya melakukan tindakan atau agenda mengosongkan kerusi dimenangi merea pada sesuatu pilihan raya.

Pembangkang wajar ditolak jika menjadikan pilihan raya hanya untuk keuntungan politik sebaliknya tidak menunaikan janji mereka, apa lagi jika terus meneruskan menuding jari kepada kerajaan yang sudah terbukti ‘mendahulukan rakyat’ dalam semua perkara.

Wednesday, March 12, 2014

MISTERI MH370 - APABILA SESETENGAH MAKLUMAT BOLEH DIBERITAHU, SESETENGAH TIDAK...


Seluruh dunia sedang memerhatikan Malaysia.

Demikian tegas Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dalam fecebooknya kelmarin. Keluarga dan rakan-rakan 227 penumpang dan 12 anak kapal juga memerhatikan setiap langkah diambil pihak berkuasa.

Pakar pnerbangan mengatakan tidak mungkin pesawat yang mempunyai sayap selebar 200 kaki terhempas atau hilang di udara begitu sahaja.

Sebarang langkah yang silap akan menghilangkan keyakinan dan kepercayaan mereka bahawa Malaysia bersungguh-sungguh dalam misi mencari dan menyelamat ini.

Perdana Menteri hari ini menegaskan beliau amat memahami perasaan keluarga penumpang dan krew pesawat berkenaan. Mereka jelas tidak berpuas hati melainkan mereka mendapat perkhabaran yang tepat tentang nasib orang tersayang.

"Keluarga yang terlibat juga perlu sedar ini satu kejadian yang tak diduga sama sekali dan kita kena faham bahawa segala usaha sedang dilakukan dan secara bersungguh-sungguh. Macam mana pun sebagai orang Islam, kita kena terima hakikat bahawa Allah yang menetukan segala-galanya. Ujian Allah ini, ketika kita sedang senang dan mewah pun diuji, ketika kita menghadapi musibah atau balapun kita diuji," katanya.

Datuk Seri Najib Razak turut mengajak rakyat Malaysia bersatu hati dan bersama-sama menyokong segala usaha habis-habisan yang sedang dilakukan untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak Sabtu.


Najib mengingatkan bahawa bagi umat Islam, mereka diajar supaya menerima hakikat bahawa Allah menentukan segala-galanya, dan perlu menerima qada dan qadar Ilahi.

"Kita perlu menghadapi ujian besar Allah ini dengan penuh ketenangan, kita mesti berusaha sedaya upaya kita, dengan segala kemampuan dan kekuatan yang ada pada kita. Ini yang sedang diusahakan habis-habisan oleh kerajaan," katanya. Najib berkata walaupun dengan segala kecanggihan teknologi yang ada, akhirnya umat Islam perlu menerima bahawa mereka hanyalah manusia biasa yang lemah dan kerdil.

"Sememangnya pesawat Boeing 777 antara yang paling canggih yang ada track record amat baik. Kita mempunyai segala pengalaman dalam pengendalian pesawat ini, tapi akhirnya kita kena terimalah, kita ni manusia biasa (yang) lemah dan kerdil, kepada Allah juga kita berserah," katanya.

Najib menegaskan bahawa kerajaan dengan bantuan sembilan buah negara dan berbekalkan peralatan yang canggih, bertungkus-lumus dalam usaha mengesan pesawat berkenaan. "Kerajaan lakukan segala-galanya (termasuk) tambah aset, pesawat dan kapal dengan peralatan canggih, dengan sonar dan sebagainya dan mudah-mudahan saya yakin Insya-Allah lambat laun kita akan jumpa juga.

"Soal bila, tapi dalam keadaan sekarang kita terpaksa banyak bersabar dan berdoa," katanya.


Sejauh ini amat nyata Malaysia berdepan dengan kesukaran untuk menjelaskan kepada negara-negara lain bagaimana mereka akhirnya dapat mengesan pesawat MH370 berpatah balik dan dapat dikesan sehingga 2.40 pagi pada Sabtu, iaitu waktu sama semasa MAS mengatakan buat kali pertama mengenai kehilangan pesawat itu. Apa yang pasti, nyawa 239 orang masih dalam bahaya sehingga ia ditemui.

Masa terus terbuang sehingga Malaysia bekerjasama dan mengikut nasihat Beijing untuk memberitahu apa yang mereka tahu tentang pesawat MH370. Ada laporan mengatakan kesabaran semua pihak kini sudah semakin menipis dengan percanggahan pelbagai maklumat berkenaan kehilangan pesawat MH370.

Menurut laporan itu mood rakyat Malaysia sekarang berubah daripada bersabar dalam misi pencarian MH370 yang membawa 239 penumpang kepada berasa malu dan marah kerana percanggahan maklumat tentang penumpang, bagasi dan maklumat disembunyikan mengenai kedudukan terakhir pesawat yang diketahui.

Apakah ini menggambarkan ada maklumat disembunyikan?

Persoalan juga kenapakah  percanggahan maklumat yang berlaku? Ataranya:

1. Ada lima penumpang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 777-200ER untuk ke Beijing awal pagi Sabtu tetapi bagasi mereka dipunggah masuk kerana tidak muncul untuk menaiki pesawat.

Sehingga Isnin, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengatakan ia berlaku dan bagasi dipunggah masuk dan melepasi pemeriksaan keselamatan. Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengatakan ia tidak berlaku dan MAS kemudiannya mengesahkannya pada sebelah petang. Mengapa pegawai-pegawai MAS tidak memberikan penjelasan serta merta semasa Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman mendedahkan perkara itu sebelum ini?

2. Pendedahan kemungkinan pesawat penumpang itu mungkin berpatah balik dan terbang ke Selat Melaka apabila hilang daripada radar?

Ada pihak bertanya mengapa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengambil masa begitu lama untuk berkongsi maklumat dengan pasukan mencari dan menyelamat serta orang awam? Maklumat disembunyikan ini menyebabkan semua pihak mencari MH370 di tempat yang salah. Penyembunyian maklumat menyebabkan orang ramai tertanya-tanya akan langkah janggal untuk mencari di Lautan Andaman, Selat Melaka dan kawasan sempadan antara Malaysia dan Thailand.


Semalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan mereka tidak menerima sebarang maklumat mengenai isyarat berpatah balik Boeing 777-200ER sebagaimana yang dikatakan oleh TUDM. Sehingga semalam Vietnam mengatakan akan menambah lebih banyak kapal dalam misi mencari dan menyelamat intensif untuk mencari pesawat MH370.

3. Terdapat pula misteri dua warga Iran yang menggunakan pasport curi warga Itali dan Austria bagi perjalanan ke Eropah melalui Beijing.

 Polis antarabangsa Interpol mengatakan kedua-dua lelaki itu menggunakan pasport asal ketika meninggalkan Iran untuk ke Malaysia sebelum menggunakan pasport curi dan menaiki pesawat MH370 untuk ke Beijing pada 8 Mac. Imigresen Malaysia mengatakan kedua-dua lelaki itu menggunakan pasport curi untuk memasuki Malaysia pada 28 Februari. Namun, Interpol pula mengatakan mereka masuk ke Malaysia menggunakan pasport Iran. Siapa yang betul? Apakah pertukaran pasport itu berlaku di atas pesawat?

4. Pendapat orang awam, khususya rakyat Kelantan dan Terengganu kini turut diberikan perhatian.

Seorang petani yang berasal dari Tumpat, Kelantan mendakwa terlihat sebuah pesawat terbang rendah sekitar jam 2 pagi pada hari pesawat MH370 dilaporkan hilang, demikian lapor Astro Awani. Ibrahim Konok mendakwa beliau melihat kesan kebakaran pada ekor sebuah pesawat selama lima minit semasa berada di ruang angkasa sewaktu dia menanam lada di ladang semaian terbuka. “Pakcik pun melilau tengok atas ni nampak api keluar (hak) dekat belakang sekali. Di ekor dia tu. Nampak pelik kapal terbang tu. Ia terus terbang ke laut. Ke Pantai Tujuh. Pakcik tengok sampai habis rokok sebatang di tangan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Ibrahim, 59, turut mendakwa terlihat lambang Malaysia Airlines (MAS) di ekor pesawat sebelum hilang daripada penglihatan kira-kira lima minit kemudian. Mendengar tentang berita kehilangan pesawat MAS itu, Ibrahim membuat laporan polis pada hari berikutnya.


Sementara lapan penduduk di Kampung Pantai Seberang Marang di Marang mendakwa mendengar bunyi dentuman yang kuat pada pagi Sabtu lalu datang dari timur laut Pulau Kapas, kemungkinan ada kaitan dengan pesawat MAS MH370 yang hilang. Berikutan itu mereka membuat laporan di ibu pejabat polis Daerah Marang kira-kira pukul 10.30 pagi semalam. Alias Salleh, 36, berkata pada pukul 1.20 pagi berkenaan ketika beliau bersama tujuh lagi rakannya sedang bersantai duduk di bangku kira-kira 400 meter dari pantai Marang, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat seperti kipas kapal terbang.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Yusri Mohd Yusof, 34, berkata bunyi yang kuat dan agak pelik itu pada awalnya disangkakan fenomena tsunami. Mohd Yusri turut mendakwa beberapa kawannya termasuk pemancing dan nelayan turut mendengar bunyi aneh berkenaan dari arah pantai.

Tidak diketahui sejauh mana kerajaan atau pihak berkuasa menggunakan ‘maklumat rakyat’ ini untuk dijadikan petunjuk.

China turu menggunakan lebih banyak sumber dan 10 statelit untuk memantau kawasan tersebut bagi mencari pesawat penumpang yang membawa dua pertiga warganegaranya.

Adakah satu perkara yang tidak munasabah jika China marah dan meminta Putrajaya untuk lebih terbuka dengan maklumat pesawat MH370 yang hilang? Adakah ia sesuatu yang mengejutkan jika Vietnam meminta perkara sama?

4. Kita juga tidak dimaklumkan hingga kini, ‘apa jadi’ dengan berita kononnya keluarga penumpang diminta bersiap sedia untuk diterbangkan ke satu destinasi yang tidak diumumkan.

Diterbangkan ke mana? Yang pasti cuma keluarga penumbang China diterbangkan ke sini.

Persoalannya, apakah kita akan disogokkan dengan lebih banyak percanggahan maklumat atau mungkini maklumat disembunyikan dan akan terbongkar tidak lama lagi?

Juga pertanyaan ialah apakah kerajaan dan agensi terbabit tidak memberitahu sesetengah maklumat kepada awam, sebaliknya mungkin kepada keluarga penumpang?

Apakah benar telahan Clive Kessler, Profesor Emeritus Sosiologi dan Anthropologi di University New South Wales di Sydney yang mengataka, “Kerajaan Malaysia cuba menyorok kebenaran dalam pencarian pesawat MAS yang hilang.”

Kata Prof berkenaan pentadbiran Najib menghantar mesej bahawa rakyat perlu membenarkan kerajaan supaya ‘kerajaan memberitahu rakyat apa yang mereka ingin tahu, bila mereka perlu mngetahuinya dan tidak mungkin sebelumnya (sebelum kerajaan beritahu).

Selain itu, apakah kita perlu terus menunggu dan tertanya-tanya selama lebih 24 jam sebab-sebab perluasan misi mencari dan menyelamat di pantai Sumatera dan Lautan Andaman hanya kerana kenyataan Ketua Pengarah DCA, Azharuddin mengatakan: “Ada sesetengah perkara saya boleh beritahu anda dan ada sesetengah perkara tidak boleh.”


Lebih penting lagi apakah penangguhkan perkongsian maklumat ini akan menyebabkan misi mencari dan menyelamat 239 penumpang dalam pesawat MH370 yang sudah hilang lebih 100 jam sekarang menjadi lebih sukar?

Atau kita mematuhi `saja seruan Perdana Menteri supaya "Kita kena bersama-sama dengan segala usaha yang dilakukan kerajaan, bersatu hati dan berdoa," kata perdana menteri ketika ditemubual stesen televisyen AlHijrah hari ini.

“Mudah-mudahan Insya-Allah apa yang kita harapkan sesuatu pengetahuan yang boleh menutup isu ini sama sekali akan dapat kita kesan tidak berapa lama lagi," katanya dengan harapan seperti juga pencari dan penyelamaat, keluarga penumpang pesawat MH370 dan rakyat Malaysia amnya.

Sumber - Pelbagai

Tuesday, March 11, 2014

MAJLIS PEGUAM TOLONG BERITAHU ANWAR MEMANG MELAKUKAN LIWAT

Baca dulu kemudian fikir.


Terang lagi bersuluh bahawa ‘liwat’ dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kata Majlis Peguam, “apa yang jelas merupakan hubungan seks suka sama suka antara dua orang dewasa”.

Selain itu Majlis Peguam mendakwa: “Anwar melakukannya atas dasar kerelaan mangsa.”
 

Nak kata apa lagi? Selain Majlis Peguam, Karpal Singh turut mengakui perbuatan terkutuk itu. Karpal Singh cuma mempertikaikan kenapa Saiful tidak lari…

Dengan bukti sebegini, apakah orang Islam, khususnya dalam PAS masih tetap mengatakan ‘liwat’ tidak berlaku?

Banyak pihak menunjukkan simpati kepada Anwar seolah-olah boleh melupakan perbuatan terkutuk itu demi politik, menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) serta menjayakan hasrat untuk merebut Putrajaya.

Apakah orang sebegini layak untuk menjadi Perdana Menteri? Tun Dr Mahathir Mohamad sampai sekarang istiqamah dengan kenyataannya bahawa ‘orang sebegini tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri’.

Ada bekas pemimpin UMNO mengatakan cara menghukum Anwar akan memberikan kesan kepada politik dan pentadbiran negara yang akan menjadikan Barisan Nasional (BN) ditolak oleh rakyat.

Persoalannya, apakah sistem perundangan di negara kita ‘teruk sangat’ sehingga menjatuhkan hukuman sesuka hati?

Apakah pemimpin berkenaan merasakan mahkamah di Malaysia berpihak kepada UMNO dan BN, sedangkan banyak kes membabitkan saman oleh pembangkang dimenangi oleh mereka. Apa yang tidak kena dengan bekas pemimpin UMNO ini?

Apakah dia yakin Anwar tidak bersalah?

Pada Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, ketika kejadian berumur 23 tahun, di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.


Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas mendapati beliau bersalah.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan memerintahkan Anwar membayar ikat jamin RM10,000. Hakim Balia memutuskan hakim perbicaraan terkhilaf dalam penghakimannya bahawa integriti sampel DNA telah tercemar.

Walau Anwar mungkin melakukan ‘liwat’ secara sukarela (seperti didakwa Majlis Peguam dan Karpal) atau secara paksa seperti diputuskan oleh mahkamah yang didakwa oleh Saiful, liwat sudah dilakukan oleh Anwar.

Saya menyebut ini berdasarkan fakta yang disebut oleh Majlis Peguam dan Karpal. Menurut Karpal, “Saiful tidak lari ke unit kondominium bertentangan dengan tempat untuk menyelamatkan diri.” Karpal menyifatkan Saiful seperti seekor kambing yang menurut sahaja semua arahan daripada Anwar dan merelakan dirinya diliwat."

Ulasan menarik mengenai isu Saiful tidak lari ini bukan baru malah sudah disebut Karpal berkali-kali. Analisis menarik mengenai perkara ini dibuat melalui blog anwaraidc yang saya petik sebahagian daripadanya:

Isu ini diperkatakan oleh AIDC pada 07 Januari 2012 yang memetik dua penulis pro Pakatan Rakyat menyalahkan Karpal Singh kerana menggunakan hujah ‘suka sama suka’ sebagai perisai utama untuk mempertahankan Anwar.

Menurut AIDC:

"...shalehudin.blogspot.com, blog pro PAS keliru kenapakah Karpal akhirnya menumpukan terhadap hujah-hujah yang mengesahkan kepada kejadian liwat itu benar-benar berlaku dengan menekankan aspek elemen suka sama suka. 

“Sebagai seorang peguam kanan yang berpengalaman, penulis tidak rasa YB Karpal Singh mempunyai masalah untuk menggulung kes fitnah yang membabitkan Datuk Seri Anwar tanpa dalam masa yang sama, menimbulkan persoalan-persoalan yang boleh merosakkan dan menghancurkan karier politik Anwar di masa hadapan. “Justeru, penulis tidak faham kenapa dalam penggulungan kesnya semalam (sebelum Timbalan Pendakwaraya mengambil tempat), Karpal lebih banyak menimbulkan hujah-hujah yang menjurus kepada kejadian liwat itu benar-benar berlaku tapi atas kapasiti suka sama suka, bukan secara paksa seperti yang didakwa Saiful. 

Sementara itu, Azman Ariffin dari laman suarapakatanrakyat.com mengakui penggulungan kes liwat II tidak begitu baik. “Komen-komen Karpal kepada media bila ditanya mengenai kes ini juga menunjukkan yang dia sudah putus asa. Sikap ini dapat dilihat dari tindakan Karpal menyerahkan penggulungan kepada dua peguam junior iaitu Sankara Nair dan Ram Karpal secara bergilir dan tidak melakukannya sendiri sehingga akhir sepertimana sepatutnya.

“Akibatnya, hujah penggulungan dilihat tidak konsisten dalam menyatakan pembelaan. Malah, kita juga amat terkejut apabila Karpal seolah-olah cuba menggambarkan yang kejadian liwat itu berlaku secara suka sama suka“, katanya. Selain itu, kenyataan Karpal sendiri turut mengukuhkan kejadian liwat itu berlaku apabila tidak mempertikaikan tentang kewujudan bahan pelincir KY Jelly dan mengesahkan keterangan ‘makan karipap’ dan ‘minum kopi’. 

Antara hujah yang digunakan ialah Saiful punya banyak peluang untuk keluar dari bilik tidur itu sebelum dakwaan liwat itu dilakukan dan beliau memilih untuk tidak berbuat demikian. Karpal langsung tidak mempertikaikan tarikh, masa dan tempat kejadian iaitu di unit 1151 walaupun cuba menimbulkan keraguan terhadap unit tersebut sebelumnya. Karpal juga tidak mempertikaikan dakwaan mengenai kewujudan KY Jelly dan bahawa Saiful makan karipap serta minum kopi selepas kejadian. 

Hujah-hujah yang disediakan Karpal juga, tidak terdapat satu pun yang menerangkan bagaimana konspirasi dilakukan sehingga membolehkan DNA Anwar dijumpai di dalam dubur Saiful. Malah, nasihat Karpal untuk membiarkan bela diri dilakukan dari kandang tertuduh yang tidak boleh disoal-balas juga jelas adalah satu nasihat yang salah.

AIDCNews 5 Januari (2012) mendedahkan ‘strategi mengunakan hujah suka sama suka’ telah dimulakan Anwar sejak 7 Ogos 2008, ketika kes ini mula-mula disebut di mahkamah seksyen, Jalan Duta Kuala Lumpur. Strategi Anwar itu turut disokong oleh orang kanannya, Azmin Ali.

Ketika Anwar membangkitkan ‘hujah suka sama suka’ itu, Karpal Singh masih belum menjadi peguam Anwar, sebaliknya Ketua Peguam Bela Anwar diketuai oleh Sulaiman Abdullah. Apabila Sulaiman Abdullah meletak jawatan sebagai Ketua Peguam Bela Anwar pada 14 Julai 2009, Karpal Singh dilantik Anwar untuk menjadi Ketua Peguam Belanya yang baru.”

Dengan pendedahan oleh Majlis Peguam dan Karpal sendiri, kita memang sukar untuk menolak bahawa Anwar tidak melakukan perbuatan terkutuk itu.

Selebihnya terserah kepada Allah yang mengetahui segala-galanya untuk menghukum atau membebaskan Anwar. Yang pasti Saiful sudah mengaku dan memohon keampunan Allah di depan Kaabah.

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, jalan terbaik untuk Anwar bukan ‘menegakkan benang yang basah’ di mahkamah.

Namun Anwar tetap dengan caranya.

Kali ini tanpa berlengah, bukan seperti perbuatannya sebelum ini 'melengah-lengahkan perbiaraan', semalam Anwar dilaporkan membayar wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Ketua pembangkang itu menandatangani dokumen ikat jamin di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam.

Anwar, bersama-sama penjaminnya, ketua staf di ibu pejabat PKR Ibrahim Yaacob menemui Darmafikri di biliknya dan urusan itu selesai pada 12.45 tengah hari semalam. Turut hadir abang Anwar, Rosli Ibrahim.

Sementara itu, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar berkata pihak pembelaan mempunyai 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan sebaik menerima alasan penghakiman daripada Mahkamah Rayuan.

Walau apa jua keputusan terhadap rayuannya, Anwar yang sudah terpalit dengan ‘dosa liwat’ ini tidak boleh mengubah kesilapan dan kekhilafannya.


Jika menang pun di mahkamah pada rayuannya, dia sudah dibuktikan oleh Majlis Peguam dan Karpal bahawa memang berlaku liwat antara Anwar dan Saiful.

Soal paksa atau sukarela hanyalah akademik, selebihnya perbuatan terkutuk itu sudah berlaku dan Anwar sewajarnya mengakui dan memohon keampunan secara yang diredhai Allah.

Sewajarnya pemimpin PAS terutamanya Presiden Haji Abdul Hadi Awang tidak mengambil keputusan mahkamah untuk memberikan sokongan kepada Anwar secara berterusan.

Kenyataan Majlis Peguam dan Karpal (kalaupun bukan Islam) sewajarnya dijadikan panduan untuk merenung dan menilai di mana dan siapa Anwar sebenarnya.

Dengan menyatakan kesal dan kecewa dengan keputusan bolehkan dijadikan ‘simpati politik’, namun yang perlu dan sewajarnya dilakukan ialah merujuk kembali kepada Dewan Ulamak PAS serta ‘Tok Guru’ yang ada dalam PAS mengenai tingkah laku Anwar ini.


Jika berterusan menyokong membuta tuli terhadap Anwar yang 'disahkan melakukan liwat' oleh Majlis Peguam dan Karpal, pemimpin PAS tidak akan dihormati.

Kelak PAS akan dilihat sebagai parti yang turut menyokong liberalisme dan perbuatan ‘liwat’ oleh pemimpin parti  sekutunya.

Sudah pasti dengan sikap dan pendirian sedemikian, PAS akan menerima bala kekalahan demi kekalahan kerana bersekutu dengan pihak-pihak yang ‘memboleh dan menghalalkan’ seks bebas serta liwat tanpa batas!