Saturday, October 12, 2013

PROSES 'ELECTORAL COLLEGE' BERMULA, MESYUARAT PEMILIHAN SAYAP AUMNO BERJALAN LANCAR

Mesyuarat Perwakilan Dan Pemilihan Tiga Sayap Umno Berjalan Lancar

Hari ini bermulalah apa yang dikatakan proses demokrasi dalam UMNO.

Ibu Pejabat UMNO akan menggunakan sistem pemilihan secara 'Electoral College' kali ini sebagai rujukan bagi penambahbaikan untuk proses pemilihan parti akan datang.

Ini merupakan kali pertama anggota akar umbi diberi suara lebih besar dalam pemilihan Umno berikutan pindaan Perlembagaan parti yang dibuat pada 2009 ke arah menjadikan parti itu lebih telus, demokratik serta membasmi gejala politik wang.

Kira-kira 230,000 perwakilan diberi hak memilih pemimpin sayap masing-masing di peringkat bahagian dan pusat berbanding 2,500 perwakilan sebelum ini.

Maklum balas daripada 146,000 anggota perwakilan sayap yang terlibat dalam pemilihan ini pastinya akan memperkukuhkan kedudukan UMNO dan ahli merasa lebih komited kepada parti kerana mereka dibernarkan mengundi secara terus bukan segelintir perwakilan sahaja.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membuang undi di Kepong
Sehingga kini (jam 2 petang) mesyuarat perwakilan dan pemilihan kepimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno dilaporkan berjalan lancar.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh dipetik sebagai berkata: "Saya melihat kaedah serta penyusunan yang dibuat Jawatankuasa Pemilihan Umno bagi melancarkan pemilihan hari ini berjalan dengan baik dan semua prosedur yang diputuskan dari sudut pengagihan kertas undi, peti undi dan tempat mengundi juga diurus dengan baik," katanya kepada pemberita di Alor Gajah, Melaka.

Ab Rauf sebelum itu meninjau perjalanan mesyuarat dan pemilihan Puteri Umno Masjid Tanah di Sekolah Agama JAIM Paya Rumput. "Para perwakilan diharap menjalankan tanggungjawab sebagai anggota parti memilih pucuk pimpinan dengan amanah yang diberikan, maka lakukan yang terbaik untuk parti, agama, bangsa dan negara," katanya.

Beliau berkata calon yang tidak terpilih pula diharap akan menerima keputusan yang dibuat para perwakilan. 

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bermula serentak di 191 bahagian pada 8 pagi ini.

Mesyuarat perwakilan akan ditangguh kemudian untuk memberi laluan kepada proses pemilihan pemimpin di peringkat bahagian dan pusat ketiga-tiga sayap itu.

Ketika proses pengundian itu, setiap perwakilan diberikan dua set kertas undi untuk memilih pemimpin mereka di peringkat bahagian dan pusat

Selepas selesai proses pengundian yang dijangkakan 1 tengah hari tadi, perwakilan akan meneruskan semula mesyuarat mereka sementara proses pengiraan undi dijalankan.

Calon Ketua Puteri, Mas Ermieyanti Samsudin memasukkan kertas undi di Paya Rumput.

Pemilihan kali ini menyaksikan 110,765 perwakilan Wanita, kira-kira 70,000 Pemuda dan kira-kira 50,000 Puteri akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memilih kesinambungan kepimpinan sayap parti itu untuk penggal 2013 hingga 2016.
Bagi pergerakan Pemuda, 94 calon disahkan layak bertanding di peringkat pusat manakala 7,125 calon di peringkat bahagian.

Bagi pergerakan Wanita pula, 51 calon layak bertanding di peringkat pusat dan 6,758 calon di peringkat bahagian. Seramai 35 calon layak bertanding di peringkat pusat dan 4,955 calon di peringkat bahagian pergerakan Puteri.

Ibu pejabat Umno menjangkakan keputusan awal bagi pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat pusat diketahui seawal-awalnya pada pukul 8 malam ini.

Mengulas kedudukan anggota Jawatankuasa Bahagian Bukit Katil Haron Abdullah yang namanya terdapat dalam senarai calon layak bertanding merebut jawatan ketua bahagian walaupun telah menarik diri, Ab Rauf berkata ibu pejabat Umno belum menerima surat penarikan diri calon berkenaan.

"Ibu pejabat hanya dimaklumkan menerusi siaran akhbar, saya akan cuba dapatkan maklumat lanjut dari badan perhubungan Umno negeri...kita (Umno) akan lihat dari sudut kesahihan penarikan diri, kalau berlaku dalam tempoh yang dibenarkan, kita akan berikan pertimbangan khas," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Melaka Tan Sri Ahmad Nordin Md Amin dilaporkan berkata pihaknya telah mengesahkan penarikan diri Haron menerusi surat makluman berhubung perkara terbabit yang dihantar ke Ibu pejabat Umno pada 24 Sept.

Thursday, October 10, 2013

BANTAI MB & EXCO - HUSAM KECEWA ATAU DIKECEWAKAN…

 "Jangan sampai saya dedahkan banyak perkara lagi di dewan ini." - Husam Musa
Membaca laporan mengenai sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sejak beberapa hari ini, terutamanya semalam, mengingatkan saya kepada kejadian Ahli Dewan Undangan (ADUN) Paloh yang kini ketua pembangkang Datuk Nozula Mat Diah mahu menyepak salah seorang ADUN PAS akhir November 2007.

Nozula marah kerana Exco ketika itu, Zulkifli Mamat bagai mempermainkan beliau dan tidak menjawab soalan yang ditanya.

Saya ada pada sidang berkenaan kerana ketika itu menjadi penyelidik kepada UMNO Kelantan, khususnya untuk Tan Sri Annuar Musa (ketika itu Datuk Seri) yang menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dan Ketua Pembangkang di DUN Kelantan.

Semalam perkara yang seakan sama berlaku kepada ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang pada suatu peringkat kerana tidak berpuas hati dengan jawapan anggota Exco kemudiannya bangun sambil berkata: "Jangan sampai saya dedahkan banyak perkara lagi di dewan ini".

Ia bukan sekadar pernyataan tidak puas hati tetapi pada peringkat mengugut tetapi tidaklah sampai ke peringkat seperti Norzulah mahu menyepak ADUN PAS.


Kejadian PAS lawan PAS ini meningatkan saya kepada kejadian pada sidang DUN Terengganu pada 2009 dan 2010 apabila beberapa ADUN UMNO ‘bertembung’ dengan Menteri Besar Terengganu yang turut membabit 'ugutan'.

Jika di DUN Kelantan semalam Husam mengugut dengan kata-kata tetapi di DUN Terengganu berlaku ‘SMS Ugut Bunuh’ yang kesanya berlarutan hingga har ini.

Bagi saya, kini masanya Kerajaan PAS Kelantan pula yang berdepan dengan masalah menjaga ADUN mereka seperti yang berlaku di Terengganu pada 2009 dan 2010.

Puncanya besarnya adalah kerana pelantikan Menteri Besar baru, Datuk Ahmad Yakob seperti juga kes di Terengganu apabila Datuk Seri Ahmad Said dilantik menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

Perasaan tidak puas hati dilemparkan ke khalayak politik dengan alasan ‘sayangkan parti dan kerajaan’ tanpa menjaga air muka Menteri Besar yang baru dilantik.

Seperti kata Husam di luar dewan bahawa segala tegurannya adalah kerana sayangkan Kelantan dan mahu melihat negeri itu jauh lebih maju. "Kerajaan baharu ini masih jauh lagi dan apa yang saya sebutkan ini bukanlah salah kepimpinan," katanya.

Berbalik kepada sidang DUN Kelantan yang memasuki hari ketiga semalam, suasana tegang apabila Husam, bekas anggota Exco kanan yang pernah suatu ketika diramalkan akan menjadi Menteri Besar bertegang urat dengan beberapa anggota Exco negeri ketika sesi penggulungan

Husam yang terkenal kerana melakukan persediaan (kerja rumah) sejak beliau menjadi Ahli Parlimen lagi sebenarnya tidak berpuas hati dalam beberapa perkara:

1. Beliau memohon penjelasan kerajaan negeri mengenai pemberian kawasan balak seluas 3500 ekar di hutan simpan Chabang Tongkat Hulu Sat Machang;

2. Husam membidas tindakan kerajaan negeri terhadap kepincangan pengurusan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB);

3. Penamatan kontrak syarikat Korea Selatan untuk pembinaan Lebuh Raya Rakyat; dan

4. Hukum syariah di negeri itu. 

Mengenai kenaikan tarif air, Husam berkata, jika AKSB diurus dengan lebih amanah, kenaikan itu sepatutnya boleh dielak.

Yang nyata AKSB sebenarnya telah gagal meningkatkan kualiti bekalan air di Kelantan walaupun beberapa loji air utama telah dinaik taraf. Husam memberi contoh naik taraf Loji Rawatan Air Jeli bertujuan mencapai 10 juta liter (JLH) air sehari dengan kos RM21 juta, namun hanya mencapai 6.6 JLH.

"Naik taraf loji rawatan air Bukit Remah, Tanah Merah dengan kos RM16.4 juta bagi meningkatkan pengeluaran kepada 42 JLH tetapi pencapaian 36.6 JLH. Naik taraf loji rawatan air Pintu Geng membabitkan kos RM52 juta dengan sasaran 30 JLH namun dengan kos sebesar itu hanya mengeluarkan 12.5 JLH. Demikian juga beberapa loji yang lain," katanya.

Untuk mengurangkan kebocoran paip, AKSB membelanjakan RM130 juta setakat Julai tahun ini, namun kadar air tanpa hasil masih 52 peratus, bererti gagal sama sekali, katanya. Bekas anggota Exco itu kemudiannya mahu satu lawatan kesemua Loji Rawatan Air diadakan segera bagi membuktikan kebenaran dakwaannya.

Husam turut meminta agar AKSB diaudit oleh satu badan bebas.

Menyentuh isu pembalakan itu, Husam kelmarin meminta kerajaan negeri tidak meluluskanpermohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutansimpan berkenaan.

Ini kerana menurutnya, ketika Kelantan diteraju Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, satu keputusan sudah dicapai agar semua permohonan baharu di kawasan hutan simpan itu mesti ditolak.

"Seingat saya, kata Tok Guru (Nik Abdul Aziz), Hutan Ulu Sat dan Cabang Tongkat adalah paru-paru untuk mengeluarkan udara segar dan bersih bagi penduduk Kelantan. Biarlah ia kekal untuk anak cucu kita," kata Husam yang juga bekasPengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan.

Husam mendakwa syarikat berkenaan bakal menerima kawasan tersebut tanpa membuat sebarang tender.

"Ia sangat meragukan sekali. Seingat saya, semasa pentadbiran YAB Tok Guru dahulu, tidak ada kawasan seluas itu diberikan kepada mana-mana individu. Adakah hanya dengan permohanan ringkas dua muka surat, serta-merta permohonan ini akan ditimbangkan?," katanya.

Mengenai kelulusan mengambil balak di hutan simpan kekal Hulu Sat itu, Ahmad Yakob menjelaskan kelulusan belum diberikan kepada mana-mana pihak dan berkemungkinan ia tidak akan diluluskan kerana di kawasan berkenaan terdapat tadahan air serta kaya dengan kepelbagaian hayat.

Dilaporkan, pada satu ketika Husam kelihatan berang apabila beberapa anggota Exco berkenaan menafikan berlakunya penyelewengan dan salah tadbir.

Anggota Exco berkenaan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Mohd Nassuruddin Daud. Hanifa dan Mohd Nassuruddin mendakwa segala keputusan menimbulkan dakwaan Husam itu telah dijelaskan dalam beberapa mesyuarat yang turut sama menjemput Husam menyertainya.

Mereka menyifatkan segala dakwaan Husam itu sangat serius dan tidak benar sama sekali.

"Yang Berhormat Salor (Husam) tidak hadir dalam mesyuarat bersama Ahli Yang Berhormat dalam beberapa mesyuarat itu," kata Hanifa sewaktu penggulungan itu.

Husam bagaimanapun menafikan perkara itu sebaliknya berkata walaupun ketiadaannya, wakil dirinya telah hadir namun perkara berkenaan tidak diperbincangkan.

Husam yang kecewa dengan serangan itu beberapa kali bangun untuk mempertahankan kenyataannya itu.

Pertelingkahan antara ADUN PAS dengan Exco PAS ini sangat menarik kerana sebelum ini seboleh-bolehnya Exco PAS dan ADUN cuba menutup ‘kelemahan’ dan ‘salah laku’ antara mereka.

Malah, bukan sekadar yang ditimbulkan Husam itu sahaja.


Banyak persoalan lain yang wajar dijawab oleh Kerajaan Kelantan. Ini termasuk peruntukan pembinaan lebuh raya dan stadium serta peruntukan untuk menjayakan projek kambing jamnapari dan padi organik.

Husam kecewa apabila kerajaan negeri yang baharu ini menamatkan kontrak dengan kontraktor dari Korea Selatan untuk membina Lebuh Raya Rakyat yang diasaskan olehnya kira-kira dua tahun lepas.

"Kerajaan baharu tidak boleh dengan mudah memutuskan hubungan dengan kotraktor yang dikira berkebolehan yang telah dipilih lebih awal dan datang dengan cadangan baharu yang pada hemat saya meragukan," katanya.

Seperti disebutkan di atas, yang paling sensitif dan banyak diperkatakan ialah tentang kenaikan tarif air sehingga 39% mengikut tahap tertentu penggunaan air, yang tidak diumumkan.

Persoalannya betulkan tarif air naik? Kalau betul naik, kenapa tidak diumumkan?

Hairan juga kenapa Husam boleh melenting begitu rupa sedangkan kerajaan PAS yang memerintah sekarang hanya berusia lima bulan lima hari ( Tarikh Pilihan Raya Umum ialah 5 Mei 2013).

Bukanlah Ahmad Yakob memerintah Kelantan dengan mengambil alih ‘legasi Nik Aziz' yang lebih 20 tahun memerintah Kelantan?

Juga bukankah Ahmad Yakob menyusun dan mengubahsuai dasar-dasar yang kebanyakkan dirangka oleh Husam sendiri yang berselindung di sebalik ‘jubah Nik Aziz’ sejak berdekad lalu?

Kalau ditakdirkan baru-baru ini Husam menjadi Menteri Besar, apakah beberapa perkara ini dilondehkan sedemikian rupa?

Sidang masih diteruskan hari ini dan apakah mungkin akan terus panas seperti kelmarin dan semalam?

Tuesday, October 8, 2013

DAP MELAKA SEMAKIN PARAH...GARA-GARA ISRID HARON DIPUJI

Leong San....letak jawatan.
Hari ini anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong daripada DAP Goh Leong San meletakkan jawatan ketua pembangkang negeri.

Selain beliau, ADUN Bachang Lim Jak Wong turut meletakkan jawatan sebagai ketua whip pembangkang sebagai tanda sokongan terhadap langkah Goh. Lim menjelaskan, beliau juga tidak dapat bekerjasasama dengan ADUN DAP lain.

Leong San membuat keputusan itu ekoran kekesalannya terhadap tindakan rakan-rakan dalam parti yang mempersoalkan pujiannya terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron baru-baru ini.


Wakil rakyat yang dikatakan tidak berpuas hati itu ialah Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Lai Kuen Ban (Kota Laksamana). Leong San  mendakwa situasi memaksanya meletakkan jawatan kerana tidak lagi dapat mewakili pembangkang.

ADUN Duyong itu mendakwa, dua wakil rakyat itu - yang beliau tidak menamakannya - berpunca daripada ucapan usul terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Berita Harian pada 3 Oktober lalu.

Laporan menyebut Leong San yang menjadi  ADUN Duyong sejak 1995 itu menyifatkan Idris berpengetahuan luas, banyak membaca dan sistematik

Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi dan pengerusi UMNO Melaka mempunyai misi amat jelas membangunkan rakyat dan negeri itu selaras dengan wawasan Melaka Maju Fasa Kedua.

"Di Dewan yang mulia ini, saya memuji kebijaksanaan dan kematangan Ketua Menteri baru yang dapat menerima pandangan dan cadangan pihak kerajaan atau pembangkang.

"Dengan kefasihan berbahasa Inggeris, Arab dan Jepun, saya penuh yakin Melaka di bawah kepemimpinan Idris akan mencapai wawasannya tercapai,"Leong San dipetik sebagai berkata.

Monday, October 7, 2013

PENYELEWENGAN DANA DAP - ORANG MELAKA, TUNGGU APA LAGI?

Leong Sun( dua dari kanan) mendapat kritikan hebat...
Apabila Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San mengugut untuk mendedahkan perbuatan salah laku beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, ia membuktikan ada perbuatan sedemikian dalam parti berkenaan.

Benar sekali parti itu kini berdepan kemelut perpecahan di Melaka tetapi ia bukan yang sesuatu yang mahu tahu atau ambil peduli.

Tetapi yang penting ialah pengakuan Leong San yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong pada 4 Oktober lalu ialah berlaku perbuatan salah laku beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

Kini sah sudah bahawa DAP yang sering menuduh kerajaan khususnya Barisan Nasional (BN) ‘tidak bersih’ sebenarnya tindakannya untuk menutup kelemahannya sendiri.

Yang pasti hasil kenyataan Leong San itu, berlakunya penyelewengan berkaitan dengan dana parti itu. 

Walaupun Leong San mendedahkan perkara itu sebagai reaksi kerana beliau semakin hilang sabar dengan pemimpin Pusat DAP kerana campur tangan dalam hal ehwal parti itu di Melaka tetapi amat nyata, perbuatan itu pastinya berlaku bukan sahaja di Melaka.

Malah ugutan Pengerusi DAP Melaka bahawa beliau akan mendedahkan beberapa dokumen penting berhubung pemilihan calon dalam PRU-13 lalu jika pucuk pimpinan parti itu masih gagal menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi sekarang, membuktikan parti itu juga tidak demokratik kerana ada ‘campur tangan’ pihak tertentu dalam parti berkenaan.

""Saya bersedia membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika pemimpin Pusat parti gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi…Saya tidak akan bertolak ansur lagi dan akan mendedahkan sesuatu jika ada pihak yang terus mendesak saya untuk melepaskan jawatan tanpa alasan yang konkrit," katanya dalam sidang akhbar di Melaka 4 Oktober lalu.

Jadi orang Melaka tak kan mahu berdiam diri.

Ambillah tindakan yang sesuai untuk membolehkan SPRM menyiasat mengenai penyelewengan dengan dana DAP Melaka berkenaan.

Dedahkan sifat dan amalan buruk pemimpin DAP biar orang Cina Melaka tahu bahawa parti yang mereka sokong atau beri undi pada pilihan raya umum lalu sebenarnya tidak bersih.

Jika berdiam diri bermakna kita membenarkan amalan penyelewengan selain membiarkan DAP mencaci BN berterusan sedangkan mereka lebih teruk seperti didedahkan oleh Leong San itu.

Kita tidak peduli DAP negeri itu hendak berpecah kepada dua atau berapa pun.

Kita juga tidak peduli dengan beberapa ADUN tidak menghormati Pengerusi negeri dan Jawatankuasa Perhubungan parti kerana tiada usaha pucuk pimpinan untuk memulihkannya.

Dengan mendedahkan penyelewengan itu juga kita membantu ADUN berkenaan yang kini dikritik hebat ekoran kenyataannya memuji pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Idris Haron dalam sidang DUN kelmarin.

Leong San patut dibantu daripada terus menjadi bahan kritikan ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong dan ADUN Kota Laksamana, Lai Keun Ban.

Badan Bukan Kerajaan, UMNO serta pihak-pihak tertentu sewajarnya tidak melepaskan peluang yang terdedah ini apalagi yang mendedahkannya pemimpin kuat DAP di Melaka sendiri.