Tuesday, March 12, 2013

KISAH ANWAR INTIM DENGAN ‘ANAK IKAN’, HADI, KARPAL & WAN AZIZAH KENAPA DIAM?


Kecoh cerita ‘Anak Ikan Anwar’ dikejar pengawal Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kerana cemburu - belum berakhir atau tamat!

Hubungan intim apa yang menyebabkan Wan Azizah begitu cemburu?

Sandiwara, komplot atau konspirasi lagi selePAS kisah Mohd Saiful Bukhari Azlan?

Wan Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh jawab dan ‘bersihkan Anwar’ segera.


Saman saja Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Mohd Fareez Kamal Intidzam! Ini kerana Mohd Fareez berkali-kali mengulangi kata-kata yang terkandung dalam satu suratnya bahawa Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah Anwar amat cemburu akan hubungan rapatnya dengan Anwar.

Kekecohan ini timbul apabila Mohd Fareez membuat laporan polis dengan mendakwa diri serta keluarganya kini diancam bahaya.

Ancaman itu dipercayai datang daripada kumpulan yang menyokong Wan Aziziah selepas pendedahan tentang satu surat bertarikh 3 Mac lalu yang diutuskan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Surat yang ditulis tangan itu antara lain mendakwa bahawa Mohd Fareez ‘rapat’ dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kononnya menyebabkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah Anwar berasa cemburu akan hubungan mereka.

Dalam surat itu, Mohd Fareez mendakwa Anwar melantiknya sebagai Pegawai Diplomat Sulit Antarabangsa sejak tahun 2008 kerana hubungan yang rapat tersebut. Selain itu, beliau juga merupakan bekas Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Surat yang dihantar kepada Presiden PAS itu bertujuan mahu meminta campur tangan Hadi agar menasihati Wan Azizah supaya berundur daripada parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. Pengunduran Wan Azizah dikatakan dapat menyelamatkan PKR dalam pilihan raya daripada sikap negatif Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah Anwar.

Mohd Fareez mendakwa kemuncak ancaman bahaya yang diterimanya berlaku sejak 48 jam 10 Mac lalu apabila sekumpulan orang telah bertindak memburunya sehingga ke bilik hotel.

"Perkara ini berlaku sebaik sahaja surat yang saya utuskan kepada Abdul Hadi itu didedahkan. Saya percaya mereka yang memburu saya ini merupakan penyokong atau mungkin juga orang suruhan Presiden. Jadi isunya hari ini saya mahu menuntut jaminan keselamatan buat diri saya dan keluarga," katanya.

Ditanya sejauh mana benarnya dakwaan ancaman bahaya sedang menimpanya sekeluarga, beliau berkata, pihak media sendiri melihat bagaimana pihaknya terpaksa ke balai polis hari ini untuk meminta pertolongan. "Berhubung isu sejauh mana tahap bahaya yang menanti saya telah dijelaskan kepada polis. Alhamdulillah polis telah menerima laporan saya," katanya.

Beliau mengakui tidak tinggal di rumahnya ketika ini.

Difahamkan, Mohd Fareez telah memberikan segala maklumat yang diklasifikasikan sebagai sulit kepada pihak polis berhubung kesnya itu. “Kemuncaknya semalam (malam 9 Mac 2013) apabila saya telah diserbu di hotel penginapan," katanya ketika menjawab sama ada beliau telah dikasari atau tidak oleh kumpulan terbabit.

Mohd. Fareez masih ahli PKR sejak 2008 dan sehingga hari ini belum menerima apa-apa notis pemecatan daripada parti atau unit tindakan disiplin parti.

Sama ada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mengetahuinya membuat laporan polis pada hari berkenaan, beliau berkata: "Ini adalah tanggungjawab saya kepada keluarga. Jadi saya rasa tidak perlu untuk beritahu dia atau macam mana."

Selain sebagai Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Mohd. Fareez juga merupakan Pegawai Diplomasi Antarabangsa PKR.

Ditanya selama mana beliau mengenali Anwar dan adakah Ketua Pembangkang itu tahu tentang isu yang dibangkitkan itu, Mohd. Fareez berkata: "Awak tanyalah Anwar."

Dalam suratnya, Mohd Fareez menyatakan hanya Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang layak memimpin parti dan bukannya Wan Azizah demi kecemerlangan pakatan pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

"Saya percaya surat ini telah menimbulkan rasa kurang senang dan kemarahan kepada pihak tertentu terutamanya kepada penyokong parti dan Presiden sendiri.

Seperti yang saya nyatakan dalam surat itu juga, Puan Presiden sendiri iaitu Wan Azizah sangat cemburu dengan hubungan rapat antara saya dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya di ibu pejabat Polis Dang Wangi kelmarin (10 Mac 2013).

Surat yang diutuskan kepada Abdul Hadi itu turut diberi salinan kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ditanya pula bagaimana beliau syak yang melakukan perbuatan itu adalah orang suruhan Presiden PKR sedangkan tidak pernah menerima sebarang ugutan dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya, Mohd. Fareez berkata: "Saya telah berada di dalam parti dan saya tahu bagaimana mereka mahu serang hendap seseorang. Saya kenal bagaimana kerja mereka."

Berikutan itu, Wan Azizah diminta menjelaskan kandungan surat yang dibangkitkan oleh Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Ampang, Mohd. Fareez Kamal baru-baru ini.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, sebagai presiden parti yang 'berkuasa', Wan Azizah tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri dan membiarkan perkara itu terus diperkatakan ahli parti berkenaan.

"Kalau surat itu satu pembohongan, Wan Azizah harus tampil menafikannya kerana menjadi tanggungjawab beliau berbuat demikian. Seterusnya, saya mencabar Wan Azizah supaya mengheret Mohd. Fareez ke Jawatankuasa Disiplin parti kerana telah memburukkan parti," katanya kepada Utusan Malaysia di Pulau Pinang, semalam.

Yang nyata, tindakan Mohd. Fareez membuat laporan polis berhubung keselamatannya semalam merupakan gambaran jelas wujud keretakan serius dalam kepimpinan PKR.

Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, tindakan Mohd. Fareez itu juga membuktikan terdapat pertembungan antara Presiden PKR dengan Timbalannya, Azmin Ali.

"Selama ini mereka cuba menyorok krisis dalaman parti antara kem Wan Azizah dengan kem Azmin, namun menerusi pendedahan terbaharu ini, saya tidak fikir mereka boleh menutupnya lagi.

Dengan pelbagai masalah dalam PKR, pembahagian kerusi dalam pakatan pembangkang membabitkan DAP dan PAS PAStinya lebih kalut dan penuh dengan kepincangan," katanya.

Sunday, March 10, 2013

LEWAT, LIWAT, RM1 JUTA & KONSPIRASI POLITIK - DAKWAAN TIDAK BERKESAN

 “Pendedahan lewat selain kononnya konspirasi akan menyebabkan orang akan tetap tertanya-tanya bagaimana seorang bapa yang turut hadir dalam masjid ketika sumpah laknat dibuat oleh Saiful begitu lambat mengubah pendirian dan cerita mengenai (keburukan) anaknya sendiri?"

Mungkin Nik Aziz antara orang yang boleh tidur nyenyak sekarang. Kenapa? PAS akan menang lagi di Kelantan?

Bukan, tetapi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu amat yakin Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri tanpa sebarang keraguan, khususnya dalam kes liwat.

Anwar dibebaskan pada 9 Januari 2012 dan kes ini kini berada di peringkat rayuan.

Mohd Saiful Bukhari yang mendakwa Anwar meliwatnya sebelum ini membuat sumpah laknat berkaitan kes liwat itu, dengan ditemani bapanya Azlan Mohd Lazim. Nik Aziz amat percaya dakwaan terhadap tuduhan liwat akan diselesaikan satu persatu selepas ini susulan pengakuan bapa Saiful itu.

Azlan mendedahkan bahawa anaknya itu diperalatkan oleh pihak tertentu bagi menjatuhkan Anwar menerusi kes liwat kedua. Namun kenapa lewat sangat pengakuan dibuat dalam kes liwat ini?

Kelmarin bapa Saiful tampil memberi keterangan bahawa kes liwat yang melibatkan anaknya dengan Anwar adalah satu 'konspirasi politik jahat' untuk memburukkan nama pemimpin utama pakatan pembangkang itu. Berikutan ‘pendedahan’ itu.

 

Nik Aziz berkata: "Pendustaan satu masa akan terbongkar, menteri berdusta pun akan terbongkar. Takkan Anwar upah bapa Saiful sedangkan menteri lebih banyak duit dari dia (Anwar). Alhamdullilah semakin hari, nama Anwar semakin bersih sekarang dan insya-ALLAH selepas ini dia akan bebas daripada sebarang tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya."

Demikian tegas Nik Aziz kepada media selepas menghadiri majlis bersama veteran Pas di Jalan Dato Lundang di Kota Bharu, pagi semalam.

Saiful percaya apa yang dilakukan bapanya itu adalah perbuatan sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian masyarakat daripada isu 'pengkhianat negara' berikutan kes pencerobohan pengganas Sulu di Sabah ketika ini.

Memanglah bagi kita, kenyataan Azlan secara tiba-tiba itu adalah sesuatu yang mengejutkan. Kita pastinya tertanyatanya kenapa baru sekarang perkara ini ditimbulkan.

Apakah perbuatan ini sengaja diadakan pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu yang lebih besar berlaku di negara ini, iaitu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sambil Anwar turut dikaitkan?

Pembangkang lupa bahawa jika mereka ‘silap dan salah’ dalam memainkan isu ini, mereka bukan sahaja kantoi tetapi rakyat akan menghukum mereka, khususnya Anwar dengan teruk.
 
Seorang peguam serta kolumnis media tempatan, Syahredzan Johan yang mengatakan pendedahan bapa Saiful itu dilihat tidak akan membawa implikasi undang-undang.

Sebaliknya, ia boleh menjadi "modal politik", oleh kerana Azlan bukan merupakan saksi dalam kes liwat Anwar-Saiful.


Dengan kata lain, tindakan bapanya itu pagi kelmarin tidak akan membawa apa-apa kesan. "Beliau bukan merupakan saksi yang memberi keterangan dalam kes ini. Keterangan semua saksi sudah didengar... kes ini kini di peringkat rayuan. Daripada segi perundangan, ia tidak akan memberi kesan, untuk membantu (defendan kes ini)," katanya.

Ketika ditanya sama ada akan memberi kesan kerana boleh diambil telah menghina mahkamah, Syahredzan dari Majlis Peguam berkata, ia bergantung pada pihak kerajaan jika mahu berbuat demikian.

"Dari segi soal menghina mahkamah, saya rasa akan ada sedikit kesan... ia bergantung kepada peguam kerajaan," kata beliau lagi. Menjawab soalan sama ada ini kes pertama seorang bapa, dalam kes ini Azlan, membuat pendedahan sedemikian,

Syahredzan berkata, "dari segi sifat kes ini, saya melihat ini kali pertama." "Tetapi kalau kes-kes melibatkan pengadu dan saksi yang memberi keterangan kemudian mengatakan sebaliknya pernah berlaku," katanya.

Menarik apa yang diperkatakan oleh Syahredzan itu kerana memang bapa Saiful Bukhari bukan saksi dan tidak ada mengena dengan kes yang dibicarakan. Malah, kalau Saiful sendiri yang mendedahkan sedemikian, ia memang akan menguntungkan Anwar.

Namun Saiful dengan tegas mengatakan dia tetap dengan pendiriannya malah mendakwa bapanya yang dipergunakan untuk membersihkan nama Anwar.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian turut berpendapat, jika ada pihak lain mengatakan dakwaan wujud dalang berhubung kes liwat melibatkan Saiful dan Anwar, ia tidak mendatangkan apa-apa kesan.

Sebaliknya, jika dakwaan dibuat Saiful sendiri, ia akan mendapat perhatian rakyat dan boleh dianggap serius kerana melibatkan individu yang menjadi pemusatan dalam kes rayuan ini.

Malah menurut Sivamurugan, jika benar wujud konspirasi seperti yang didakwa, perkara itu akan dimaklumkan oleh anak dan bapa secara bersama.

"Apa dilakukan bapa Saiful (Azlan Mohd Lazim), tidak memberi impak kerana ia dilihat bercanggah dengan pendedahan Saiful. Sukar untuk melihat apakah yang mahu disampaikan oleh Azlan. Jika benar seperti yang didakwa, sudah pasti ia akan didepani bersama, bukan secara sendirian kerana anaknya yang terlibat," katanya.

 Malah, bagi Timbalan Dekan berkenaan, wujud unsur politik apabila sesi pendedahan tersebut turut ditemani orang kuat PKR.

Sivamurugan berkata kenyataan Azlan juga seperti wujud perkara politik kerana pada waktu ini, Anwar berdepan pelbagai cabaran apabila namanya dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Apa pun kita serahkan kepada polis kerana polis akan memanggil Azlan dalam masa terdekat untuk mengambil keterangan berhubung kenyataannya kelmarin.

Sejauh ini PKR menafikan membayar RM1 juta kepada bapa Saiful yang membuat pendedahan mengejutkan kelmarin namun, seorang pemimpin kanan parti itu yang didakwa mendalangi perkembangan itu menegaskan, beliau "bangga" kerana dapat membantu parti dan pemimpinnya.

"Ya, saya mengaku saya terlibat, saya yang menguruskan... saya bangga. Jadi apa isunya? "Sebab saya pemimpin parti, memang saya bangga kerana dapat membantu parti dalam menghadapi situasi seperti ini... bapa Saiful datang jumpa kami, kami menyambut," kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata semalam langkah itu diambil bagi mengenal pasti sebab dan tujuan Azlan membuat keterangan sedemikian.





"Dalam kes itu, Azlan tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah, dan kalau adapun, keterangan yang dia bagi kepada pihak polis adalah keterangan yang tidak jelas. Jadi, keterangan itu tidak bernilai dan tidak boleh diguna pakai," katanya.


Kes ini menarik kerana bukan sahaja pertelingkahan Saiful - Anwar tetapi kini Saiful-Azlan ( bapanya) selain kemasukan secara langsung Johari Abdul yang mungkin mengheret perbicaraannya lebih panjang. Sebenarnya lebih lama perbicaraan dijalankan, akan lebih banyak lagi pendedahan keburukan Anwar.

Sedangkan Anwar seboleh-bolehnya mahu kes rayuan ini diselesaikan segera dan dia berada di pihak yang ‘benar’ bagi meyakinkan pemimpin pembangkang khususnya daripada PAS bahawa beliau bersih daripada liwat.

Namun pendedahan lewat selain kononnya konspirasi akan menyebabkan orang akan tetap tertanya-tanya bagaimana seorang bapa yang turut hadir dalam masjid ketika sumpah laknat dibuat oleh anaknya begitu lambat dan boleh mengubah pendirian dan cerita mengenai keburukan anaknya sendiri?

Thursday, March 7, 2013

'SETIAP TITIK DARAH MEREKA ADALAH SUCI BUAT KAMI' - NUR MISUARI

 Tidak Faham…

Bukan sahaja tidak faham kenapa penceroboh enggan meninggalkan Kampung Tanduo dan pulang ke Filipina untuk mengelakkan pertumpahan darah, tetapi pada pada ketika Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) tidak mahu terlibat dalam konfrontasi antara penceroboh bersenjata Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia di timur Sabah, Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pula sebaliknya.

Nur Misuari berbincang dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi dan pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari kelmarin turut memberi amaran kepada pihak berkuasa Malaysia supaya tidak membunuh para pengikut Sultan Jamalul Kiram III di Kampung Tanduo, Sabah, lapor portal berita ABS-CBNnews.com semalam.

Misuari turut menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak mengapa-apakan adik Jamalul Kiram, Raja Muda Agbimuddin.

"Sejurus anda berbuat demikian ia sama dengan mengisytihar perang terhadap orang kami dan MNLF. Ia menjadi tugas untuk kami melindungi orang kami. Setiap titik darah mereka adalah suci buat kami,' tambah Misuari.

Misuari bagaimanapun menafikan beliau merupakan dalang dalam kejadian pencerobohan para pengikut Jamalul Kiram di Sabah.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa kali melanjutkan tempoh akhir kepada pengganas terbabit untuk pulang ke Filipina.

Bagaimanapun, usaha Najib untuk mengelak berlakunya pertumpahan darah itu tidak dihiraukan kumpulan berkenaan dan mereka terus menduduki Kampung Tanduo.

 Lebih malang, mereka memulakan pertempuran. Pastinya tindakan itu mendapat reaksi daripada pihak keselamatan.

Pengerusi MILF, Al-Haj Murad Ebrahim hari ini member jaminan - MILF - kumpulan pemberontak terbesar di Filipina itu tidak terlibat dalam konfrontasi berkenaan.

Katanya, masalah antara kumpulan pengganas itu dengan pasukan keselamatan Malaysia di Lahad Datu dan Semporna perlu diselesaikan Kuala Lumpur dan Manila.

"Masalah di sana ialah antara kerajaan Malaysia dan Filipina.

Kami serah kepada mereka untuk menyelesaikannya. Orang kami tidak terlibat dengan pencerobohan itu. Kami tak mahu terlibat dalam perkara ini, kami tak mahu menyulitkan lagi keadaan," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif melalui telefon dari kubunya di Kem Darapanan di Sultan Kudarat, Maguindanao, selatan Filipina semalam.


Sementara laporan AFP yang dipetik oleh Malaysiakini pula mengatakan pejuang dari MNLF Filipina, menuju ke Sabah untuk mengukuhkan kedudukan pengikut Sultan Sulu yang berjuang menentang pasukan keselamatan Malaysia, dakwa seorang pemimpin mereka semalam.

 "Ramai telah meloloskan diri daripada pasukan keselamatan. Mereka sudah mahir dengan kawasan tersebut kerana mereka dilatih di sana pada masa lalu," kata Muhajab Hashim, pengerusi Majlis Perintah Islam MNLF .

“Kami menjangka lebih ramai daripada mereka akan menyertai (pertempuran) walaupun jika arahan rasmi kita adalah supaya mereka mengelak pergi ke sana," katanya.

Beliau tidak pasti berapa ramai pejuang MNLF telah berjaya melepasi kawalan tentera laut Filipina dan Malaysia, tetapi berkata sebelum ini, "ribuan" telah menyatakan hasrat mereka untuk menyertai kira-kira 200 pengikut kesultanan Sulu, yang diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram.

Majlis Perintah Islam MNLF menyelia semua pasukan tentera MNLF, untuk melucutkan senjata sebagai sebahagian daripada perjanjian damai 1996 tetapi tidak dipatuhi sepenuhnya.

Hashim berkata walaupun pemimpin MNLF tidak secara rasmi mengarahkan pengikut mereka belayar ke Malaysia, tetapi mereka menyokong penuh usaha Sultan Sulu menuntut Sabah.

"Pejuang MNLF taat kepada sultan, kita adalah pengikut. Jadi ia lebih daripada satu pakatan," katanya. "Kami menentang keras serangan terhadap saudara kami dari Sulu."

Setelah rundingan yang diadakan selama tiga minggu menemui kegagalan, apabila pasukan keselamatan Malaysia diserang hendap kumpulan pengganas itu dalam dua insiden, Malaysia semalam mengambil tindakan ofensif menggunakan jet pejuang dan tentera yang menggunakan kereta perisai untuk menggempur Kampung Tanduo, Lahad Datu, yang menjadi tempat persembunyian mereka.

Lapan anggota polis terkorban dalam dua insiden serang hendap itu - dua di Lahad Datu dan enam di Semporna - manakala di pihak pengganas, 18 orang terbunuh.


Operasi sebelum Subuh (kelmarin) dikenali sebagai 'Op Daulat' itu mencapai matlamatnya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.


Operasi membanteras pengganas melibatkan lebih 2,000 anggota polis dan tentera itu kini diteruskan.

Diminta memberi pandangan tentang tindakan kumpulan berkenaan menceroboh timur Sabah, Al-Haj Murad berkata beliau tidak boleh memberi ulasan, sejajar dengan pendirian barisan itu yang tidak mahu campur tangan dalam isu berkenaan.

Bagaimanapun beliau berharap kerajaan Malaysia dan pihak pengganas dapat menyelesaikan perkara itu secara aman.

Pembantu 'sultan' berkata di Manila bahawa kumpulan Azzimudie terselamat daripada serangan, termasuk serangan udara.

MNLF diasaskan pada tahun 1960-an oleh Nur Misuari yang memperjuangkan untuk wilayah Islam di Mindanao dan pernah mendapat sokongan dari Malaysia.

Mengenai laporan pejuang Barisan MNLF bersiap sedia untuk membantu dan menyertai kumpulan pengganas itu, Al-Haj Murad berkata beliau tidak tahu menahu tentang perkara itu kerana ia melibatkan kumpulan lain.

Ditanya sama ada perjajiian damai antara pihaknya dan kerajaan Filipina, yang ditaja Malaysia, terjejas akibat pencerobohan di Sabah, beliau berkata perkara itu tidak timbul.

"Proses damai antara MILF dan kerajaan Filipina ialah perkara berasingan dan tidak akan tergendala kerana kejadian di Sabah itu. Proses damai ini sedang diteruskan," katanya.

Beliau berkata anggota pasukan perunding MILF dan kerajaan Filipina dijangka bertemu di Kuala Lumpur untuk mengadakan rundingan pusingan akhir mereka pada minggu terakhir bulan ini.

MILF dan kerajaan Filipina menandatangani perjanjian rangka kerja bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak sekian lama antara kedua-duanya yang mengakibatkan beribu-ribu nyawa melayang dan menyebabkan wilayah Mindanao yang kaya dengan sumber asli, tidak dapat dibangunkan.

Perjanjian rangka kerja antara MILF dan Manila itu ditaja Malaysia dan ditandatangani di Istana Malacanang pada 15 Oktober lalu dengan disaksikan Najib dan rakan sejawatan beliau Presiden Benigno Aquino III.

Sunday, February 10, 2013

PAS - SEBUAH HIKAYAT PARTI SESAT DALAM PERJUANGAN AKIBAT PEMIMPINNYA ‘SESAT’!

Dua wajah bakal Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang. Layakkah mereka?
Wajahkah kita bererdanamenterikan seorang yang takut dan terus berdiam diri mengatakan sikapnya mengenai kalimah Allah selepas Majlis Syura PAS menentang penggunaannya oleh bukan Islam?

 Juga wajarkah kita berperdanamenterikan seseorang yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu banyak kontroversi dan isu peribadi hingga ke tahap ‘kronik’?

Isunya bukan sekadar sama ada Majlis Syura bincang idea Anwar jadi Perdana Menteri atau tidak. Isunya ialah apakah orang dilanda pelbagai kontroversi dan belum bersih sepenuhnya daripada skandal ‘seks’ dan tuduhan ‘meliwat’ serta tidak jelas pendirian Islamnya, layak dilantik Perdana Menteri?

Nik Aziz anggap Nik Aziz Tidak Layak Jadi Perdana Menteri, sebaliknya Anwar lebih layak?
Di Kota Baru hari ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan laporan media mengatakan Majlis Syura menolak idea Anwar dilantik sebagai perdana menteri sekiranya menguasai Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13(PRU-13) sebagai dakwaan mengarut.

Menteri Besar Kelantan turut menyalahkan UMNO yang dikatakan sengaja mencipta isu berkenaan sedangkan Majlis Syura yang dipengerusikannya tidak pernah membincangkan hal tersebut.

“Itu mengarut, tak ada apa, UMNO suka buat fitnah, benda tak ada apa-apa lagi, dia tak tahu dosa pahala, bila manusia tolak agama ia tidak dapat mengawal mereka,” katanya pagi semalam.

Reaksi Nik Aziz mengatakan UMNO buat fitnah perkara biasa walaupun kenyataan itu dibuat oleh seseorang yang bukan UMNO dan kebetulan ‘tidak suka kepada PAS dan Anwar’.

Bagi Nik Aziz siapa saja yang menentang PAS adalah UMNO dan yang ‘jahat’ itu UMNO.. Nik Aziz berang dengan laporan Mingguan Malaysia semalam yang menyebut “tercetusnya khabar bahawa Majlis Syura Ulama PAS menolak Anwar bagi menduduki jawatan berkenaan.’

Jahat sangatkah UMNO?

Kenapa Nik Aziz beria-ia mempertahankan Anwar untuk jadi Perdana Menteri dan bukan pemimpin PAS sendiri?

Mingguan Malaysia hari ini ada menyebut, menurut sumber, ‘walaupun kesahihan mengenai pendirian majlis syura itu masih belum dipastikan namun ia didakwa dibuat dalam satu perbincangan tertutup melibatkan beberapa ahli majlis berkenaan.’

Nik Aziz seolah-olah tidak sedar bahawa sebahagian besar pemimpin dan ahli parti itu, sememangnya tidak mahu Anwar yang juga Ketua pembangkang menjadi Perdana Menteri.

Dalam muktamar PAS lalu ada ahli PAS secara terbuka menyatakan sokongan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menduduki jawatan nombor satu negara tersebut.

Sebelum ini, ketika Muktamar Tahunan PAS Ke-58 di Kota Bharu, wakil Dewan Ulama, Hairul Nizam mahu Hadi menjadi Perdana Menteri dan bukannya pemimpin pembangkang yang lain.

Kenyataan beliau itu kemudiannya disokong oleh beberapa lagi pemimpin PAS yang turut berada dalam majlis syura.

Malahan ketika masih di dalam PAS, bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Dr. Hasan Ali pernah menyatakan secara terbuka bahawa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Apakah Nik Aziz tidak yakin keupayaan pemimpin PAS sendiri jadi Perdana Menteri?

Nik Aziz menolak Hadi mentah-mentah dalam soal menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang pilihan raya?

Aneh sungguh sikap Nik Aziz kerana menolak kemampuan Presidennya sendiri.

Pemimpin jenis apakah ini dan kepimpinan apa ada pada PAS apabila pemimpin bawahan tidak yakin dengan Presidennya sendiri?

Khamis lalu, menurut Mingguan Malaysia, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa, rakan-rakannya di dalam PAS memberitahu, penolakan Majlis Syura Ulama PAS terhadap Anwar semakin kuat.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku ekoran percanggahan pendirian kepimpinan pembangkang dengan majlis itu dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Atau apakah penolakan Nik Aziz itu ada kaitan dengan kebimbangannya sendiri bahawa 'kekuatan' PAS untuk menentukan siapakah bakal menjadi Perdana Menteri pembangkang akan menghadapi kesukaran kerana parti itu bukanlah dominan dalam kerjasama dengan PKR dan DAP?

Dan kalaupun Nik Aziz dan PAS tidak bersetuju dengan Anwar, namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana DAP dikatakan tetap menyokong penuh Anwar menjadi Perdana Menteri.

Hakikat yang perlu ditelan PAS kini ialah, ia parti tidak ke mana-mana. Tidak ke tengah atau ke tepi kerana berundur daripada pakatan pembangkang pun rugi dan berada dalam pakatan pembangkang pun rugi.

Itulah nasib sebuah parti yang pemimpinnya tidak tahu memilih atau menilai arah perjuangannya.

Ia juga menggambarkan sebuah parti yang diterajui oleh pemimpin yang ‘sesat dalam perjuangan’ yang akhirnya menyesatkan pemimpinnya untuk memilih arah atau arah tuju yang benar dalam menegakkan Islam dan syiarnya!