Sunday, March 10, 2013

LEWAT, LIWAT, RM1 JUTA & KONSPIRASI POLITIK - DAKWAAN TIDAK BERKESAN

 “Pendedahan lewat selain kononnya konspirasi akan menyebabkan orang akan tetap tertanya-tanya bagaimana seorang bapa yang turut hadir dalam masjid ketika sumpah laknat dibuat oleh Saiful begitu lambat mengubah pendirian dan cerita mengenai (keburukan) anaknya sendiri?"

Mungkin Nik Aziz antara orang yang boleh tidur nyenyak sekarang. Kenapa? PAS akan menang lagi di Kelantan?

Bukan, tetapi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu amat yakin Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri tanpa sebarang keraguan, khususnya dalam kes liwat.

Anwar dibebaskan pada 9 Januari 2012 dan kes ini kini berada di peringkat rayuan.

Mohd Saiful Bukhari yang mendakwa Anwar meliwatnya sebelum ini membuat sumpah laknat berkaitan kes liwat itu, dengan ditemani bapanya Azlan Mohd Lazim. Nik Aziz amat percaya dakwaan terhadap tuduhan liwat akan diselesaikan satu persatu selepas ini susulan pengakuan bapa Saiful itu.

Azlan mendedahkan bahawa anaknya itu diperalatkan oleh pihak tertentu bagi menjatuhkan Anwar menerusi kes liwat kedua. Namun kenapa lewat sangat pengakuan dibuat dalam kes liwat ini?

Kelmarin bapa Saiful tampil memberi keterangan bahawa kes liwat yang melibatkan anaknya dengan Anwar adalah satu 'konspirasi politik jahat' untuk memburukkan nama pemimpin utama pakatan pembangkang itu. Berikutan ‘pendedahan’ itu.

 

Nik Aziz berkata: "Pendustaan satu masa akan terbongkar, menteri berdusta pun akan terbongkar. Takkan Anwar upah bapa Saiful sedangkan menteri lebih banyak duit dari dia (Anwar). Alhamdullilah semakin hari, nama Anwar semakin bersih sekarang dan insya-ALLAH selepas ini dia akan bebas daripada sebarang tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya."

Demikian tegas Nik Aziz kepada media selepas menghadiri majlis bersama veteran Pas di Jalan Dato Lundang di Kota Bharu, pagi semalam.

Saiful percaya apa yang dilakukan bapanya itu adalah perbuatan sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian masyarakat daripada isu 'pengkhianat negara' berikutan kes pencerobohan pengganas Sulu di Sabah ketika ini.

Memanglah bagi kita, kenyataan Azlan secara tiba-tiba itu adalah sesuatu yang mengejutkan. Kita pastinya tertanyatanya kenapa baru sekarang perkara ini ditimbulkan.

Apakah perbuatan ini sengaja diadakan pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu yang lebih besar berlaku di negara ini, iaitu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sambil Anwar turut dikaitkan?

Pembangkang lupa bahawa jika mereka ‘silap dan salah’ dalam memainkan isu ini, mereka bukan sahaja kantoi tetapi rakyat akan menghukum mereka, khususnya Anwar dengan teruk.
 
Seorang peguam serta kolumnis media tempatan, Syahredzan Johan yang mengatakan pendedahan bapa Saiful itu dilihat tidak akan membawa implikasi undang-undang.

Sebaliknya, ia boleh menjadi "modal politik", oleh kerana Azlan bukan merupakan saksi dalam kes liwat Anwar-Saiful.


Dengan kata lain, tindakan bapanya itu pagi kelmarin tidak akan membawa apa-apa kesan. "Beliau bukan merupakan saksi yang memberi keterangan dalam kes ini. Keterangan semua saksi sudah didengar... kes ini kini di peringkat rayuan. Daripada segi perundangan, ia tidak akan memberi kesan, untuk membantu (defendan kes ini)," katanya.

Ketika ditanya sama ada akan memberi kesan kerana boleh diambil telah menghina mahkamah, Syahredzan dari Majlis Peguam berkata, ia bergantung pada pihak kerajaan jika mahu berbuat demikian.

"Dari segi soal menghina mahkamah, saya rasa akan ada sedikit kesan... ia bergantung kepada peguam kerajaan," kata beliau lagi. Menjawab soalan sama ada ini kes pertama seorang bapa, dalam kes ini Azlan, membuat pendedahan sedemikian,

Syahredzan berkata, "dari segi sifat kes ini, saya melihat ini kali pertama." "Tetapi kalau kes-kes melibatkan pengadu dan saksi yang memberi keterangan kemudian mengatakan sebaliknya pernah berlaku," katanya.

Menarik apa yang diperkatakan oleh Syahredzan itu kerana memang bapa Saiful Bukhari bukan saksi dan tidak ada mengena dengan kes yang dibicarakan. Malah, kalau Saiful sendiri yang mendedahkan sedemikian, ia memang akan menguntungkan Anwar.

Namun Saiful dengan tegas mengatakan dia tetap dengan pendiriannya malah mendakwa bapanya yang dipergunakan untuk membersihkan nama Anwar.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian turut berpendapat, jika ada pihak lain mengatakan dakwaan wujud dalang berhubung kes liwat melibatkan Saiful dan Anwar, ia tidak mendatangkan apa-apa kesan.

Sebaliknya, jika dakwaan dibuat Saiful sendiri, ia akan mendapat perhatian rakyat dan boleh dianggap serius kerana melibatkan individu yang menjadi pemusatan dalam kes rayuan ini.

Malah menurut Sivamurugan, jika benar wujud konspirasi seperti yang didakwa, perkara itu akan dimaklumkan oleh anak dan bapa secara bersama.

"Apa dilakukan bapa Saiful (Azlan Mohd Lazim), tidak memberi impak kerana ia dilihat bercanggah dengan pendedahan Saiful. Sukar untuk melihat apakah yang mahu disampaikan oleh Azlan. Jika benar seperti yang didakwa, sudah pasti ia akan didepani bersama, bukan secara sendirian kerana anaknya yang terlibat," katanya.

 Malah, bagi Timbalan Dekan berkenaan, wujud unsur politik apabila sesi pendedahan tersebut turut ditemani orang kuat PKR.

Sivamurugan berkata kenyataan Azlan juga seperti wujud perkara politik kerana pada waktu ini, Anwar berdepan pelbagai cabaran apabila namanya dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Apa pun kita serahkan kepada polis kerana polis akan memanggil Azlan dalam masa terdekat untuk mengambil keterangan berhubung kenyataannya kelmarin.

Sejauh ini PKR menafikan membayar RM1 juta kepada bapa Saiful yang membuat pendedahan mengejutkan kelmarin namun, seorang pemimpin kanan parti itu yang didakwa mendalangi perkembangan itu menegaskan, beliau "bangga" kerana dapat membantu parti dan pemimpinnya.

"Ya, saya mengaku saya terlibat, saya yang menguruskan... saya bangga. Jadi apa isunya? "Sebab saya pemimpin parti, memang saya bangga kerana dapat membantu parti dalam menghadapi situasi seperti ini... bapa Saiful datang jumpa kami, kami menyambut," kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata semalam langkah itu diambil bagi mengenal pasti sebab dan tujuan Azlan membuat keterangan sedemikian.





"Dalam kes itu, Azlan tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah, dan kalau adapun, keterangan yang dia bagi kepada pihak polis adalah keterangan yang tidak jelas. Jadi, keterangan itu tidak bernilai dan tidak boleh diguna pakai," katanya.


Kes ini menarik kerana bukan sahaja pertelingkahan Saiful - Anwar tetapi kini Saiful-Azlan ( bapanya) selain kemasukan secara langsung Johari Abdul yang mungkin mengheret perbicaraannya lebih panjang. Sebenarnya lebih lama perbicaraan dijalankan, akan lebih banyak lagi pendedahan keburukan Anwar.

Sedangkan Anwar seboleh-bolehnya mahu kes rayuan ini diselesaikan segera dan dia berada di pihak yang ‘benar’ bagi meyakinkan pemimpin pembangkang khususnya daripada PAS bahawa beliau bersih daripada liwat.

Namun pendedahan lewat selain kononnya konspirasi akan menyebabkan orang akan tetap tertanya-tanya bagaimana seorang bapa yang turut hadir dalam masjid ketika sumpah laknat dibuat oleh anaknya begitu lambat dan boleh mengubah pendirian dan cerita mengenai keburukan anaknya sendiri?

Thursday, March 7, 2013

'SETIAP TITIK DARAH MEREKA ADALAH SUCI BUAT KAMI' - NUR MISUARI

 Tidak Faham…

Bukan sahaja tidak faham kenapa penceroboh enggan meninggalkan Kampung Tanduo dan pulang ke Filipina untuk mengelakkan pertumpahan darah, tetapi pada pada ketika Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) tidak mahu terlibat dalam konfrontasi antara penceroboh bersenjata Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia di timur Sabah, Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pula sebaliknya.

Nur Misuari berbincang dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi dan pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari kelmarin turut memberi amaran kepada pihak berkuasa Malaysia supaya tidak membunuh para pengikut Sultan Jamalul Kiram III di Kampung Tanduo, Sabah, lapor portal berita ABS-CBNnews.com semalam.

Misuari turut menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak mengapa-apakan adik Jamalul Kiram, Raja Muda Agbimuddin.

"Sejurus anda berbuat demikian ia sama dengan mengisytihar perang terhadap orang kami dan MNLF. Ia menjadi tugas untuk kami melindungi orang kami. Setiap titik darah mereka adalah suci buat kami,' tambah Misuari.

Misuari bagaimanapun menafikan beliau merupakan dalang dalam kejadian pencerobohan para pengikut Jamalul Kiram di Sabah.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa kali melanjutkan tempoh akhir kepada pengganas terbabit untuk pulang ke Filipina.

Bagaimanapun, usaha Najib untuk mengelak berlakunya pertumpahan darah itu tidak dihiraukan kumpulan berkenaan dan mereka terus menduduki Kampung Tanduo.

 Lebih malang, mereka memulakan pertempuran. Pastinya tindakan itu mendapat reaksi daripada pihak keselamatan.

Pengerusi MILF, Al-Haj Murad Ebrahim hari ini member jaminan - MILF - kumpulan pemberontak terbesar di Filipina itu tidak terlibat dalam konfrontasi berkenaan.

Katanya, masalah antara kumpulan pengganas itu dengan pasukan keselamatan Malaysia di Lahad Datu dan Semporna perlu diselesaikan Kuala Lumpur dan Manila.

"Masalah di sana ialah antara kerajaan Malaysia dan Filipina.

Kami serah kepada mereka untuk menyelesaikannya. Orang kami tidak terlibat dengan pencerobohan itu. Kami tak mahu terlibat dalam perkara ini, kami tak mahu menyulitkan lagi keadaan," katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif melalui telefon dari kubunya di Kem Darapanan di Sultan Kudarat, Maguindanao, selatan Filipina semalam.


Sementara laporan AFP yang dipetik oleh Malaysiakini pula mengatakan pejuang dari MNLF Filipina, menuju ke Sabah untuk mengukuhkan kedudukan pengikut Sultan Sulu yang berjuang menentang pasukan keselamatan Malaysia, dakwa seorang pemimpin mereka semalam.

 "Ramai telah meloloskan diri daripada pasukan keselamatan. Mereka sudah mahir dengan kawasan tersebut kerana mereka dilatih di sana pada masa lalu," kata Muhajab Hashim, pengerusi Majlis Perintah Islam MNLF .

“Kami menjangka lebih ramai daripada mereka akan menyertai (pertempuran) walaupun jika arahan rasmi kita adalah supaya mereka mengelak pergi ke sana," katanya.

Beliau tidak pasti berapa ramai pejuang MNLF telah berjaya melepasi kawalan tentera laut Filipina dan Malaysia, tetapi berkata sebelum ini, "ribuan" telah menyatakan hasrat mereka untuk menyertai kira-kira 200 pengikut kesultanan Sulu, yang diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram.

Majlis Perintah Islam MNLF menyelia semua pasukan tentera MNLF, untuk melucutkan senjata sebagai sebahagian daripada perjanjian damai 1996 tetapi tidak dipatuhi sepenuhnya.

Hashim berkata walaupun pemimpin MNLF tidak secara rasmi mengarahkan pengikut mereka belayar ke Malaysia, tetapi mereka menyokong penuh usaha Sultan Sulu menuntut Sabah.

"Pejuang MNLF taat kepada sultan, kita adalah pengikut. Jadi ia lebih daripada satu pakatan," katanya. "Kami menentang keras serangan terhadap saudara kami dari Sulu."

Setelah rundingan yang diadakan selama tiga minggu menemui kegagalan, apabila pasukan keselamatan Malaysia diserang hendap kumpulan pengganas itu dalam dua insiden, Malaysia semalam mengambil tindakan ofensif menggunakan jet pejuang dan tentera yang menggunakan kereta perisai untuk menggempur Kampung Tanduo, Lahad Datu, yang menjadi tempat persembunyian mereka.

Lapan anggota polis terkorban dalam dua insiden serang hendap itu - dua di Lahad Datu dan enam di Semporna - manakala di pihak pengganas, 18 orang terbunuh.


Operasi sebelum Subuh (kelmarin) dikenali sebagai 'Op Daulat' itu mencapai matlamatnya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.


Operasi membanteras pengganas melibatkan lebih 2,000 anggota polis dan tentera itu kini diteruskan.

Diminta memberi pandangan tentang tindakan kumpulan berkenaan menceroboh timur Sabah, Al-Haj Murad berkata beliau tidak boleh memberi ulasan, sejajar dengan pendirian barisan itu yang tidak mahu campur tangan dalam isu berkenaan.

Bagaimanapun beliau berharap kerajaan Malaysia dan pihak pengganas dapat menyelesaikan perkara itu secara aman.

Pembantu 'sultan' berkata di Manila bahawa kumpulan Azzimudie terselamat daripada serangan, termasuk serangan udara.

MNLF diasaskan pada tahun 1960-an oleh Nur Misuari yang memperjuangkan untuk wilayah Islam di Mindanao dan pernah mendapat sokongan dari Malaysia.

Mengenai laporan pejuang Barisan MNLF bersiap sedia untuk membantu dan menyertai kumpulan pengganas itu, Al-Haj Murad berkata beliau tidak tahu menahu tentang perkara itu kerana ia melibatkan kumpulan lain.

Ditanya sama ada perjajiian damai antara pihaknya dan kerajaan Filipina, yang ditaja Malaysia, terjejas akibat pencerobohan di Sabah, beliau berkata perkara itu tidak timbul.

"Proses damai antara MILF dan kerajaan Filipina ialah perkara berasingan dan tidak akan tergendala kerana kejadian di Sabah itu. Proses damai ini sedang diteruskan," katanya.

Beliau berkata anggota pasukan perunding MILF dan kerajaan Filipina dijangka bertemu di Kuala Lumpur untuk mengadakan rundingan pusingan akhir mereka pada minggu terakhir bulan ini.

MILF dan kerajaan Filipina menandatangani perjanjian rangka kerja bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak sekian lama antara kedua-duanya yang mengakibatkan beribu-ribu nyawa melayang dan menyebabkan wilayah Mindanao yang kaya dengan sumber asli, tidak dapat dibangunkan.

Perjanjian rangka kerja antara MILF dan Manila itu ditaja Malaysia dan ditandatangani di Istana Malacanang pada 15 Oktober lalu dengan disaksikan Najib dan rakan sejawatan beliau Presiden Benigno Aquino III.

Sunday, February 10, 2013

PAS - SEBUAH HIKAYAT PARTI SESAT DALAM PERJUANGAN AKIBAT PEMIMPINNYA ‘SESAT’!

Dua wajah bakal Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang. Layakkah mereka?
Wajahkah kita bererdanamenterikan seorang yang takut dan terus berdiam diri mengatakan sikapnya mengenai kalimah Allah selepas Majlis Syura PAS menentang penggunaannya oleh bukan Islam?

 Juga wajarkah kita berperdanamenterikan seseorang yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu banyak kontroversi dan isu peribadi hingga ke tahap ‘kronik’?

Isunya bukan sekadar sama ada Majlis Syura bincang idea Anwar jadi Perdana Menteri atau tidak. Isunya ialah apakah orang dilanda pelbagai kontroversi dan belum bersih sepenuhnya daripada skandal ‘seks’ dan tuduhan ‘meliwat’ serta tidak jelas pendirian Islamnya, layak dilantik Perdana Menteri?

Nik Aziz anggap Nik Aziz Tidak Layak Jadi Perdana Menteri, sebaliknya Anwar lebih layak?
Di Kota Baru hari ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan laporan media mengatakan Majlis Syura menolak idea Anwar dilantik sebagai perdana menteri sekiranya menguasai Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13(PRU-13) sebagai dakwaan mengarut.

Menteri Besar Kelantan turut menyalahkan UMNO yang dikatakan sengaja mencipta isu berkenaan sedangkan Majlis Syura yang dipengerusikannya tidak pernah membincangkan hal tersebut.

“Itu mengarut, tak ada apa, UMNO suka buat fitnah, benda tak ada apa-apa lagi, dia tak tahu dosa pahala, bila manusia tolak agama ia tidak dapat mengawal mereka,” katanya pagi semalam.

Reaksi Nik Aziz mengatakan UMNO buat fitnah perkara biasa walaupun kenyataan itu dibuat oleh seseorang yang bukan UMNO dan kebetulan ‘tidak suka kepada PAS dan Anwar’.

Bagi Nik Aziz siapa saja yang menentang PAS adalah UMNO dan yang ‘jahat’ itu UMNO.. Nik Aziz berang dengan laporan Mingguan Malaysia semalam yang menyebut “tercetusnya khabar bahawa Majlis Syura Ulama PAS menolak Anwar bagi menduduki jawatan berkenaan.’

Jahat sangatkah UMNO?

Kenapa Nik Aziz beria-ia mempertahankan Anwar untuk jadi Perdana Menteri dan bukan pemimpin PAS sendiri?

Mingguan Malaysia hari ini ada menyebut, menurut sumber, ‘walaupun kesahihan mengenai pendirian majlis syura itu masih belum dipastikan namun ia didakwa dibuat dalam satu perbincangan tertutup melibatkan beberapa ahli majlis berkenaan.’

Nik Aziz seolah-olah tidak sedar bahawa sebahagian besar pemimpin dan ahli parti itu, sememangnya tidak mahu Anwar yang juga Ketua pembangkang menjadi Perdana Menteri.

Dalam muktamar PAS lalu ada ahli PAS secara terbuka menyatakan sokongan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menduduki jawatan nombor satu negara tersebut.

Sebelum ini, ketika Muktamar Tahunan PAS Ke-58 di Kota Bharu, wakil Dewan Ulama, Hairul Nizam mahu Hadi menjadi Perdana Menteri dan bukannya pemimpin pembangkang yang lain.

Kenyataan beliau itu kemudiannya disokong oleh beberapa lagi pemimpin PAS yang turut berada dalam majlis syura.

Malahan ketika masih di dalam PAS, bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Dr. Hasan Ali pernah menyatakan secara terbuka bahawa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Apakah Nik Aziz tidak yakin keupayaan pemimpin PAS sendiri jadi Perdana Menteri?

Nik Aziz menolak Hadi mentah-mentah dalam soal menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang pilihan raya?

Aneh sungguh sikap Nik Aziz kerana menolak kemampuan Presidennya sendiri.

Pemimpin jenis apakah ini dan kepimpinan apa ada pada PAS apabila pemimpin bawahan tidak yakin dengan Presidennya sendiri?

Khamis lalu, menurut Mingguan Malaysia, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa, rakan-rakannya di dalam PAS memberitahu, penolakan Majlis Syura Ulama PAS terhadap Anwar semakin kuat.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku ekoran percanggahan pendirian kepimpinan pembangkang dengan majlis itu dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Atau apakah penolakan Nik Aziz itu ada kaitan dengan kebimbangannya sendiri bahawa 'kekuatan' PAS untuk menentukan siapakah bakal menjadi Perdana Menteri pembangkang akan menghadapi kesukaran kerana parti itu bukanlah dominan dalam kerjasama dengan PKR dan DAP?

Dan kalaupun Nik Aziz dan PAS tidak bersetuju dengan Anwar, namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana DAP dikatakan tetap menyokong penuh Anwar menjadi Perdana Menteri.

Hakikat yang perlu ditelan PAS kini ialah, ia parti tidak ke mana-mana. Tidak ke tengah atau ke tepi kerana berundur daripada pakatan pembangkang pun rugi dan berada dalam pakatan pembangkang pun rugi.

Itulah nasib sebuah parti yang pemimpinnya tidak tahu memilih atau menilai arah perjuangannya.

Ia juga menggambarkan sebuah parti yang diterajui oleh pemimpin yang ‘sesat dalam perjuangan’ yang akhirnya menyesatkan pemimpinnya untuk memilih arah atau arah tuju yang benar dalam menegakkan Islam dan syiarnya!

Monday, January 28, 2013

PRU13 - SIASAT SINAR HARIAN, SPRM 'BERSEKONGKOL JATUHKAN PEMIMPIN BN'?

 
SPRM seharusnya menyiasat Sinar Harian yang menjejaskan sebuah parti yang memberikan kepercayaan terhadapnya...Sambil itu SPRM juga tercalar maruahnya seolah-olah ia mudah memberikan maklumat dan boleh dianggap bersekongkol dengan pembangkang yang cuba menjejaskan imej calon Barisan Nasional.

Apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatakan keputusan tapisan bakal calon pilihan raya yang dilakukannya adalah maklumat sulit dan hanya akan diserahkan kepada parti berkenaan yang meminta ia dilakukan, ia mengundang banyak pertanyaan terhadap laporan Sinar Harian, kelmarin.

Saya ingin bertanya pembaca, ingatkah dengan pilihan raya Kuala Terengganu 17 Januari 2009, apabila awal-awal lagi calon Barisan Nasional (BN) ketika itu  Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh didedahkan kononnya berkaraoke dengan seorang gadis?

Perang psikologi yang ‘jahat’ oleh laman milik pembangkang ketika itu menyebabkan reputasi Wan Farid terjejas.

Apakah permainan seperti ini mahu dijadikan taktik sama dengan mengaitkan Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar dengan rasuah dan digunakan pula oleh pembangkang melalui sebuah akhbar tabloid harian yang mendakwa ia ‘bebas’?

 Apakah Sinar Harian benar-benar bebas dan tidak digunakan pembangkang atau ia memang ‘bersekongkol dengan pembangkang’ dalam isu-isu tertentu?

SPRM, dalam satu kenyataan semalam, menafikan laporan disiarkan sebuah akhbar semalam yang mengatakan beberapa calon tertentu gagal dalam ujian tapisan SPRM.

Bagaimanapun, keputusan tapisan itu tidak boleh dikuat kuasa dari segi undang-undang yang mesti dipatuhi kerana SPRM hanya memaklumkan sama ada seseorang yang ditapis itu pernah atau sedang disiasat oleh suruhanjaya itu manakala keputusan pemilihan calon terletak sepenuhnya pada parti berkenaan.

Katanya, Cawangan Tapisan Keutuhan, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM sedang membuat tapisan terhadap senarai nama calon seperti dikemukakan oleh parti tertentu. 

Daripada penjelasan ini siapakah yang kantoi sebenarnya, Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri atau Sinar Harian?

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim pula menyatakan parti itu tidak bercadang menyerahkan senarai nama bakal calon kepada SPRM. PKR dan DAP juga tidak menghantar senarai nama calon mereka untuk ditapis.

Amat jelas ia hanya membabitkan BN dan jika Sinar Harian membuat sebarang spekulasi ia lebih membabitkan calon BN.

Apakah adil akhbar berkenaan membuat laporan sedemikian?

SPRM seharusnya menyiasat Sinar Harian yang menjejaskan sebuah parti yang memberikan kepercayaan terhadapnya untuk menapis calon BN.

Sambil itu SPRM juga tercalar maruahnya seolah-olah ia mudah memberikan maklumat dan boleh dianggap bersekongkol dengan pembangkang yang cuba menjejaskan imej calon BN.

Berikutan itu SPRM juga perlu menjernihkan imejnya yang dipalitkan akibat laporan berita itu.

Untuk lebih jelas isu ini, baca apa yang diposkan oleh Teganuku semalam (27 Jan 2013):

Sinar Harian Diperguna Untuk Memulakan Strategi Jatuhkan Kredibiliti Barisan Nasional?
Tidak dapat dipastikan sejauh mana benarnya laporan ekslusif Sinar Harian semalam yang melaporkan antara nama-nama besar yang disebut sebagai mereka yang dijangka tidak akan dicalonkan semula pada PRU13  ialah seorang menteri besar, seorang ketua menteri dan dua pemimpin tinggi sebuah parti.

Apabila menyebut Menteri Besar dan Ketua Menteri serta pemimpin tertinggi sebuah parti, apakah ia hanya melibatkan Barisan Nasional kerana pembangkang dikatakan mempunyai sistem saringan sendiri dan tidak memerlukan khidmat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan ini?

Atau apakah laporan ini merupakan strategi pembangkang menggunakan laporan akhbar berkenaan untuk menjatuhkan kredibiliti Barisan Nasional seolah-oleh pemimpin Barisan Nasional terpalit rasuah?

Melalui perang psikologi awal ini, sedikit sebanyak pemikiran rakyat sudah dipengaruhi kononnya calon Barisan Nasional yang dikemukakan kepada SPRM ini terpalit rasuah sedangkan SPRM sendiri belum memaklumkan apaapa kepada parti.

Selain itu, jika benar wujud keadaan sedemikian, apakah sumber itu daripada SPRM sendiri kerana ulasan oleh Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah SPRM tidak mahu terbabit dengan laporan oleh Sinar Harian semalam.

Akhbar berkenaan melaporkan perkembangan terbaru ini disedari setelah urusan awal tapisan senarai calon oleh SPRM yang diserahkan beberapa parti kepada  untuk tapisan menjelang PRU13 selesai, baru-baru ini.

Sinar Harian yang memetik sumber yang boleh dipercayai, ratusan nama calon sudah diserahkan kepada SPRM dan berikutan tapisan yang dilakukan, beberapa nama-nama besar telah gagal saringan.

Jawatan Khas berkenaan mengatakan semalam, pihaknya tidak terlibat dalam tapisan calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Salah seorang ahlinya, Dr Tan Seng Giaw memberitahu, tapisan itu dilakukan SPRM tanpa campur tangan pihak lain termasuk beliau dan lima lagi ahli jawatankuasa tersebut.

Bekas Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan itu berkata, siasatan perlu dilakukan secara telus dan profesional. "Kami tidak terlibat, siasatan hanya dilakukan SPRM," katanya.

Selain beliau, jawatankuasa tersebut dianggotai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator, Datuk Doris Sophia Brodi; Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad; Datuk Abdul Rahman Dahlan (Kota Belud); Datuk Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Salahuddin Ayub (Kubang Kerian).

Sementara itu, Salahuddin yang juga Naib Presiden Pas, menegaskan siasatan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dibuat secara objektif dan rasional, bukannya berdasarkan tuduhan.

Katanya, beliau tidak tahu tentang empat nama yang dinasihatkan untuk tidak bertanding dalam PRU13 kerana isu ini masih baru dan belum dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah.

"Apa yang penting adalah integriti perlu diutamakan dalam setiap usaha yang dilakukan bersama SPRM. Namun, dalam isu ini, saya masih belum mendapat apa-apa maklumat, kerana isu ini masih baru," katanya.

Ditanya sama ada parti komponen Pakatan Rakyat (PR) termasuk Pas akan menghantar senarai nama calon untuk ditapis SPRM, Salahuddin berkata, Umno hantar nama calon kerana parti itu adalah kerajaan yang memerintah.

"Banyak tapisan perlu dibuat kerana mereka memerintah negara ini, tetapi Pas apa yang ada, kami bukan pemerintah," katanya.  

Sinar Harian melaporkan semalam, beberapa parti politik dijangka terpaksa menggugurkan nama-nama besar daripada menjadi calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengguguran itu tidak boleh dielakkan kerana beberapa tokoh itu gagal dalam ujian tapisan yang dilakukan oleh SPRM kerana mempunyai masalah dengan undang-undang.

Berdasarkan hasil ujian tersebut, parti-parti yang terlibat telah dinasihatkan tidak meletakkan nama-nama besar yang bermasalah itu sebagai calon mereka.

Maklumat yang diterima Sinar Harian menunjukkan nama-nama besar yang gagal ujian tapisan tidak boleh diletakkan sebagai calon dan jika dicalonkan juga, ia akan memberi implikasi kepada parti terbabit.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdul enggan memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut.

Beliau sekadar menegaskan bahawa Cawangan Tapisan Keutuhan, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM masih membuat tapisan ke atas senarai calon yang dihantar parti-parti politik.

Katanya, parti-parti yang akan meletakkan calon dalam PRU13 masih terus menghantar nama-nama calon masing-masing untuk tapisan dan ada yang akan terus menghantar senarai tersebut walaupun selepas Parlimen dibubarkan nanti.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Umno buktikan parti itu serius menjaga integritinya dengan menyahut cabaran menghantar nama calon bagi tapisan pihak berkenaan.

Katanya, apa yang dilakukan oleh Umno adalah tuntutan biasa seperti pilihan raya umum (PRU) yang lalu. “Soal nama calon itu, kami buat kerja seperti biasa. Soal serah nama pada SPRM, tunggu nanti saya akan beritahu,” katanya semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron pula berkata, apa yang dilakukan oleh partinya itu adalah kaedah yang baik. “Ini rasa tanggungjawab kita dalam menunjukkan Umno sememangnya serius dalam integriti.

Tidak seperti pembangkang yang hanya menuduh parti lain tetapi mereka tidak melakukan perkara yang sepatutnya. “Kebolehan dan kepercayaan itu penting dan Umno berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.