Friday, November 18, 2011

REMAJA PEREMPUAN MUDAH DIPERDAYA MELALUI INTERNET

Masa sudah tiba dan sesuai sangat jika diadakan satu cara atau membentuk langkah berkesan kempen keselamatan siber demi untuk melindungi remaja perempuan daripada menjadi mangsa penyalahgunaan internet dan juga telefon bimbit.

Malah ibu bapa juga perlu diberikan pendidikan untuk mengetahui akan bahaya yang sedang menanti anak-anak remaja mereka jika terdedah kepada penyalahgunaan siber ini.

Satu tinjauan yang dijalankan oleh Women’s Centre for Change (WCC)di Pulau Pinang mendapati, remaja perempuan mudah terpedaya dengan orang yang tidak mereka kenali melalui telefon bimbit dan juga internet.

Tinjuan tersebut mendapati, 80% daripada 100 remaja perempuan berusia antara 15 hingga 17 tahun dengan mudah menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang yang tidak mereka kenali menerusi telefon bimbit sementara 54% lagi telah bersembang melalui internet dengan orang yang tidak mereka kenali sebelum ini.

Pengarah WCC, Dr Prema Devaraj berkata dalam satu sidang akhbar hari ini, tinjauan lapan bulan itu juga mendapati, wanita muda juga kini dengan mudah terdedah kepada orang yang tidak mereka kenali termasuklah mereka yang mempunyai niat jahat.

“Mereka ini tidak sedar akan bahaya yang mereka hadapi dengan berkongsi maklumat peribadi dengan orang yang tidak mereka kenali. “Malah kebanyakkan mereka tidak faham akan bahaya menjalinkan persahabatan dengan orang yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini melalui cara bersembang dalam talian atau menerusi telefon," katanya.

Menurut Dr Prema, remaja perempuan dan wanita muda ini mungkin berpendapat adalah masih selamat untuk berkomunikasi dengan orang yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini menerusi talian atau sms kerana tidak bertemu muka.

Bagaimanapun tegas Dr Prema, mereka yang berniat jahat akan dengan mudah memperdayakan remaja dan wanita muda ini secara tidak sedar tanpa mangsa mereka merasa suspek apa-apa.

Ini mereka lakukan dengan memperolehi kepercayaan mangsa mereka terlebih dahulu sebelum mula bertindak ke atas mangsa.

"Kita dapati, sesetengah mangsa rogol telah melalui pengalaman seperti ini," katanya.

Mangsa kemudiannya dengan mudah diugut setelah foto mereka melakukan adegan-adegan yang terlarang jatuh ke tangan penjenayah ini.

Dr Prema juga berkata, tinjauan mereka turut mendapati, satu pertiga daripada perempuan remaja telah diminta mengirimkan bahan-bahan yang menghairahkan atau memiliki unsur seks oleh orang yang tidak mereka kenali ini sama ada menerusi internet atau telefon bimbit.

Tinjauan itu yang dijalankan antara Januari hingga Ogos tahun ini di 10 buah sekolah di sini juga mendapati 17.3% daripada remaja perempuan telah menjalin persahabatan dengan orang yang tidak mereka kenali sebelum itu menerusi telefon bimbit.

Katanya lagi, 29.6% responden yang memiliki telefon bimbit telah terdedah kepada sms atau mms berunsur ghairah atau seksual daripada orang yang tidak mereka kenali.

Pada masa yang sama katanya, 36% responden yang berinteraksi menerusi rangkaian sosial seperti Facebook, Friendster dan MySpace, pula telah terdedah kepada pertanyaan berunsur seksual.

“Kita dapati 23% daripada responden telah berkongsi maklumat peribadi seperti nama sebenar, alamat dan umur dengan orang yang tidak dikenali,” kata beliau.

Thursday, November 17, 2011

POPULARITI ANWAR, NIK AZIZ & GUAN ENG MERUDUM...

Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat dengan mantap sejak 2009, tetapi yang sebaliknya berlaku kepada tiga pemimpin utama pembangkang.

Di sebalik itu, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap disanjungi dan rakyat melihat beliau sebagai pemimpin teladan.

Ini kajian oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) wei...Bukan kajian yang dibayar atau disponsor.

Prof. Datuk Syed Arabi Idid daripada Jabatan Pengajian Komunikasi UIAM yang mengetuai kajian ini bukan calang-calang tokoh.

Kajian itu mendapati Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, menyaksikan populariti mereka merosot.

Selain daripada Najib, kajian terhadap populariti lima personaliti kepimpinan di Malaysia yang dijalankan oleh Unit Kajian Media dan Pilihan Raya UIAM menunjukkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus kekal popular walaupun berundur pada 2003.

Kajian oleh Prof. Datuk Syed Arabi Idid dari Mac 2008 hingga Julai 2011 bersama penyelaras penyelidikan, Azrul Hisyam Wakichan menggunakan sampel rambang purata 1,500 responden terdiri pengundi Melayu, Cina dan India dari seluruh negara ditanya mengenai kepuasan mereka terhadap kualiti kepimpinan kelima-lima pemimpin itu.

Kajian itu menunjukkan peningkatan dalam populariti Najib adalah hasil usaha berterusan beliau untuk mendekati hati rakyat dan memimpin negara ke arah masa depan yang lebih cerah.

“Kajian ini dengan jelas menunjukkan responden Melayu, Cina dan India kini menerima Datuk Seri Najib,” katanya.

Pada Oktober 2008, 35 peratus responden Melayu, 33 peratus Cina dan 41 peratus India menunjukkan yang mereka puas hati atau sangat puas hati dengan Najib, tetapi menjelang Julai 2011, penerimaan masing-masing meningkat kepada 59 peratus, 45 peratus dan 62 peratus.

“Hakikatnya rakyat kini lebih bersedia menerima Datuk Seri Najib sebagai pemimpin mereka,” kata Syed Arabi yang menjalankan kajian mengenai populariti pemimpin-pemimpin sejak 1989.

Mengenai punca kemerosotan populariti Anwar, Nik Aziz dan Lim, beliau berkata, ia banyak berpunca kerana isu-isu semasa dan kegagalan untuk mencapai kata sepakat dalam banyak hal.

Azrul Hisyam, yang menyelaras kajian itu, berkata, kajian yang sama mendapati rakyat Malaysia masih memandang tinggi Dr. Mahathir dan segala sumbangannya.

Purata 74 peratus daripada responden dalam soal selidik itu menunjukkan mereka menyanjungi Dr. Mahathir sepanjang kajian empat tahun itu.

Azrul Hisyam berkata, rakyat Malaysia melihat Dr. Mahathir sebagai pemimpin yang telah membuktikan kebolehannya dan masih lantang bersuara.

Wednesday, November 16, 2011

KHIR BAHAROM, DR ABDULLAH PENASIHAT AGAMA PENGAMPU?

Ini satu lagi isu memening kepala orang biasa seperti saya yang 'jahil' mengenai agama.

Semalan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya (gambar kanan) menyelar tindakan "penasihat agama" yang didakwanya tidak membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam urusan haji, sebaliknya "lebih kepada budaya ampu".

"Tidak bermanfaat, tidak bermanfaat," kata beliau.

Beliau tujukan 'serangan' itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan penasihat agama kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Md Zin yang dilapor mempertahankan status haji Najib setelah ditegurnya sebelum ini.

Juanda pada 9 November lalu melahirkan rasa terkejut dengan laporan berita bahawa seorang pemimpin kanan negara bersama isterinya serta orang kenamaan lain telah selesai ibadat haji.

Kuatkah mengampunya Jamil Khir dan Dr Abdullah Mohd Zin itu?

Kata Dr Juanda :"Yang bagi komen di Malaysia ini kononnya hendak bantu, sebenarnya bukannya membantu akibat tidak mahu faham, tetapi lebih kepada budaya ampu. Jadi rakyat makin keliru. Perkara asas ilmu haji, saya yakin semua jemaah dan bekas jemaah haji semua boleh faham."

Juanda yang juga bekas profesor pelawat di Universiti Oxford, United Kingdom mengatakan sebelum ini, paling awal jemaah haji menamatkan ibadat paling awal pada 8 November atau 12 Zulhijah selepas solat Zohor bagi yang nafar awal.


Susulan itu, Jamil Khir menjelaskan, kenyataan daripada Twitter Najib bahwa beliau selesai menunaikan haji, sedangkan masih ada rukun belum dilaksanakan, telah disalah tafsir dengan selesai wukuf.

Manakala Abdullah pula menyifatkan tuduhan bahawa Najib dan isteri gagal mengerjakan haji sebagai fitnah pihak yang terdesak, yang didakwa mengeksploitasi agama untuk mengelirukan orang ramai.

Kata Abdullah, dakwaan Najib dan isterinya Rosmah gagal mengerjakan haji merupakan fitnah oleh orang "jahil" dalam ilmu mengerjakan haji.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini semalam, Juanda berkata, beliau kasihan kepada Najib yang mempunyai pegawai yang banyak tetapi "tidak dimanfaat dan tidak bermanfaat".

"Kenapa tak bawa penasihat-penasihat agama ini daripada awal dalam rombongan PM yang 20 orang itu, agar hal macam ini tak berlaku daripada awal? Berlambak mereka ini ikut buat haji. Jemaah haji biasa pun duduk dengan pembimbing haji siang malam agar dibantu dan diberi nasihat ibadat," katanya.

Juanda yang juga profesor pelawat di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) di Shah Alam berkata, komen pihak lain, yang tiada dalam rombongan itu akan merendahkan lagi imej Najib dan merumitkan lagi keadaan.

Tak taulah kita, dan kepada yang tahu jawablah.

Susah nanti Perdana Menteri kita. Bukan sekadar soal ibadah haji tidak tamat, isu Datin Seri Rosmah Mansor 'tidak bertudung' pun menjadi isu pilihan raya kelak!

Sunday, November 13, 2011

MB KHALWAT - TUNGGU LANJUTAN PENDEDAHAN MSO, PENGARANG

“Kita akan buat laporan polis dalam sehari dua ini dan akan bincang dengan peguam untuk tindakan undang-undang. Macam-macam dakwaan mereka, sehingga ada yang kata saya kena tangkap basah dengan pelajar UiTM, pramugari, ada kata budak Besut, Pasir Panjang dan macam-macam lagi.

Ini tidak berasas. Walaupun saya tahu ini adalah serangan politik tetapi demi maruah anak saya dan keluarga, saya akan mengambil tindakan. Kita orang politik, tahan tekanan tapi anak-anak saya dan keluarga bukan orang politik. Kesianlah mereka.”

Demikian tegas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengenai dakwaan blog bahawa beliau ditangkap khalwat dan berkahwin Rabu lalu.

Ironinya, sehingga hari ini, kita masih menunggu pendedahan lanjut oleh blogger, Mohd Sayuti Omar (MSO) mengenai posting ‘MB Dia Isteri Ditangkap Khalwat’ pada blognya.

Ini kerana pada postingnya bertarikh 25 Oktober lalu, MSO mengatakan seorang Pengarang portal akan mendedahkan lebih lanjut kes ini.

Menurut Sayuti, “Baru sekejap tadi seorang pengarang sebuah portal berita menghubungi saya untuk meminta pengesahan berhubung seorang Menteri Besar yang dikatakan telah berkahwin seorang lagi. Kejadian itu berlaku pada bulan Ramadhan lalu. MB itu katanya ditangkap berkhalwat dengan perempuan yang kini sudah menjadi isterinya itu.

Isteri yang baru dikahwinkan itu merupakan yang ketiga. MB ini mencatat sejarah sebagai satu-satunya MB yang mempunyai lebih dari dua isteri dalam satu masa.”

Sengaja saya memang tidak memberikan reaksi pantas kepada posting MSO ini untuk menunggu MSO dan Pengarang berkenaan membuat pendedahan lebih lanjut seperti dijanjikan.

Namun hingga ke saat ini MSO membisu dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said naik angin dan menyatakan akan menyaman blogger yang mendakwa beliau berkhalwat dan bernikah satu lagi.

Mengejutkan kerana beberapa blog yang sebelum ini turut memetik apa yang disiarkan oleh MSO tiba-tiba memadamkan terus dan ada juga blog yang terus memohon maaf kepada Ahmad Said.

Amat jelas takut juga mereka ini dengar Menteri Besar Terengganu mahu saman. Ada juga yang nakal membuat komen di blog teganuku menyebut : “Ambo raso pelik lah !!! biasanya blog MSO Melayu dan rangkaian blog Hambali yang kuat 'back up' Mat Said. Apa dah jadi dengan 2 orang ini ? Dah tak sebulu lagi ke dengan Mat Said???”

Pada Rabu, Ahmad Said berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua blogger yang didakwa memfitnahnya, setelah kecewa dengan dakwaan tangkapan khalwat melibatkan dirinya.

Beberapa blog turut merangkaikan cerita ini (lihat di sini) tetapi Ahmad Said memilih hanya dua blog sejauh ini.

Menurutnya, beliau terpaksa bertindak menyaman pemilik blog http://guanopulok.blogspot.com dan http://msomelayu.blogspot.com kerana terlalu sedih dan kecewa dengan fitnah melampau yang ditujukan kepadanya dengan membabi buta.

Kedua-dua blog ini mengatakan Ahmad Said ditangkap di hotel.

Bukan rahsia lagi, Menteri Besar Terengganu sering bermalam di Hotel Hilton Sentral jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur.

Dan kerana itu ada tuduhan mengatakan beliau ditangkap khalwat di hotel berkenaan.

Persoalannya, apakah mungkin ada pihak boleh bolos ke bilik Menteri Besar di hotel berkenaan sedangkan untuk menggunakan lif pun terpaksa pakai kad khas.

Apakah berani staf hotel berkenaan membenarkan sesiapa sahaja bolos ke bilik tetamu begitu sahaja? Lagipun bukan mudah untuk ke bilik penginapan Menteri besar berkenaan kerana beliau adalah ‘regular customer’ di hotel berkenaan yang pastinya mendapat ‘perlindungan yang cukup’.

Jika benar boleh bolos, siapakah yang menangkap beliau? Ada repot polis atau Jabatan Agama Islam Wilayah tentang kejadian itu?

Kata Ahmad Said, dia mengetahui tentang tuduhan itu sejak tiga bulan yang lalu namun bertindak mendiamkan diri kerana hanya menyifatkannya sebagai satu cubaan serangan politik kepadanya.

“Tetapi saya tidak boleh bertahan apabila anak gadis saya yang balik bercuti menangis kerana diejek rakan-rakannya mengenai itu.

“Sebagai bapa, saya perlu lakukan sesuatu kerana ia sudah melibatkan orang-orang yang rapat dengan saya. Setelah berfikir panjang, saya rasakan saya perlu ambil tindakan dan akan bertindak menyaman blog-blog yang terlibat,” katanya.

Menteri Besar itu sudah mengenal pasti pemilik blog ‘MSO’ dan kini sedang mengenal pasti pemilik blog ‘Ganopulok’ kerana siasatan pihaknya mendapati, alamatnya telah dipindahkan ke California, Amerika Syarikat.

Kerana itu jika MSO ada bukti atau Pengarang yang disebutnya ada bukti, seperti ditegaskan Ahmad Said, mereka yang berkenaan harus tampil dan bukannya bersembunyi.

Mungkin MSO dan Pengarang berkenaan mempunyai jawapan?