Thursday, November 17, 2011

POPULARITI ANWAR, NIK AZIZ & GUAN ENG MERUDUM...

Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat dengan mantap sejak 2009, tetapi yang sebaliknya berlaku kepada tiga pemimpin utama pembangkang.

Di sebalik itu, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap disanjungi dan rakyat melihat beliau sebagai pemimpin teladan.

Ini kajian oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) wei...Bukan kajian yang dibayar atau disponsor.

Prof. Datuk Syed Arabi Idid daripada Jabatan Pengajian Komunikasi UIAM yang mengetuai kajian ini bukan calang-calang tokoh.

Kajian itu mendapati Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, menyaksikan populariti mereka merosot.

Selain daripada Najib, kajian terhadap populariti lima personaliti kepimpinan di Malaysia yang dijalankan oleh Unit Kajian Media dan Pilihan Raya UIAM menunjukkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus kekal popular walaupun berundur pada 2003.

Kajian oleh Prof. Datuk Syed Arabi Idid dari Mac 2008 hingga Julai 2011 bersama penyelaras penyelidikan, Azrul Hisyam Wakichan menggunakan sampel rambang purata 1,500 responden terdiri pengundi Melayu, Cina dan India dari seluruh negara ditanya mengenai kepuasan mereka terhadap kualiti kepimpinan kelima-lima pemimpin itu.

Kajian itu menunjukkan peningkatan dalam populariti Najib adalah hasil usaha berterusan beliau untuk mendekati hati rakyat dan memimpin negara ke arah masa depan yang lebih cerah.

“Kajian ini dengan jelas menunjukkan responden Melayu, Cina dan India kini menerima Datuk Seri Najib,” katanya.

Pada Oktober 2008, 35 peratus responden Melayu, 33 peratus Cina dan 41 peratus India menunjukkan yang mereka puas hati atau sangat puas hati dengan Najib, tetapi menjelang Julai 2011, penerimaan masing-masing meningkat kepada 59 peratus, 45 peratus dan 62 peratus.

“Hakikatnya rakyat kini lebih bersedia menerima Datuk Seri Najib sebagai pemimpin mereka,” kata Syed Arabi yang menjalankan kajian mengenai populariti pemimpin-pemimpin sejak 1989.

Mengenai punca kemerosotan populariti Anwar, Nik Aziz dan Lim, beliau berkata, ia banyak berpunca kerana isu-isu semasa dan kegagalan untuk mencapai kata sepakat dalam banyak hal.

Azrul Hisyam, yang menyelaras kajian itu, berkata, kajian yang sama mendapati rakyat Malaysia masih memandang tinggi Dr. Mahathir dan segala sumbangannya.

Purata 74 peratus daripada responden dalam soal selidik itu menunjukkan mereka menyanjungi Dr. Mahathir sepanjang kajian empat tahun itu.

Azrul Hisyam berkata, rakyat Malaysia melihat Dr. Mahathir sebagai pemimpin yang telah membuktikan kebolehannya dan masih lantang bersuara.

Wednesday, November 16, 2011

KHIR BAHAROM, DR ABDULLAH PENASIHAT AGAMA PENGAMPU?

Ini satu lagi isu memening kepala orang biasa seperti saya yang 'jahil' mengenai agama.

Semalan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya (gambar kanan) menyelar tindakan "penasihat agama" yang didakwanya tidak membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam urusan haji, sebaliknya "lebih kepada budaya ampu".

"Tidak bermanfaat, tidak bermanfaat," kata beliau.

Beliau tujukan 'serangan' itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan penasihat agama kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Md Zin yang dilapor mempertahankan status haji Najib setelah ditegurnya sebelum ini.

Juanda pada 9 November lalu melahirkan rasa terkejut dengan laporan berita bahawa seorang pemimpin kanan negara bersama isterinya serta orang kenamaan lain telah selesai ibadat haji.

Kuatkah mengampunya Jamil Khir dan Dr Abdullah Mohd Zin itu?

Kata Dr Juanda :"Yang bagi komen di Malaysia ini kononnya hendak bantu, sebenarnya bukannya membantu akibat tidak mahu faham, tetapi lebih kepada budaya ampu. Jadi rakyat makin keliru. Perkara asas ilmu haji, saya yakin semua jemaah dan bekas jemaah haji semua boleh faham."

Juanda yang juga bekas profesor pelawat di Universiti Oxford, United Kingdom mengatakan sebelum ini, paling awal jemaah haji menamatkan ibadat paling awal pada 8 November atau 12 Zulhijah selepas solat Zohor bagi yang nafar awal.


Susulan itu, Jamil Khir menjelaskan, kenyataan daripada Twitter Najib bahwa beliau selesai menunaikan haji, sedangkan masih ada rukun belum dilaksanakan, telah disalah tafsir dengan selesai wukuf.

Manakala Abdullah pula menyifatkan tuduhan bahawa Najib dan isteri gagal mengerjakan haji sebagai fitnah pihak yang terdesak, yang didakwa mengeksploitasi agama untuk mengelirukan orang ramai.

Kata Abdullah, dakwaan Najib dan isterinya Rosmah gagal mengerjakan haji merupakan fitnah oleh orang "jahil" dalam ilmu mengerjakan haji.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini semalam, Juanda berkata, beliau kasihan kepada Najib yang mempunyai pegawai yang banyak tetapi "tidak dimanfaat dan tidak bermanfaat".

"Kenapa tak bawa penasihat-penasihat agama ini daripada awal dalam rombongan PM yang 20 orang itu, agar hal macam ini tak berlaku daripada awal? Berlambak mereka ini ikut buat haji. Jemaah haji biasa pun duduk dengan pembimbing haji siang malam agar dibantu dan diberi nasihat ibadat," katanya.

Juanda yang juga profesor pelawat di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) di Shah Alam berkata, komen pihak lain, yang tiada dalam rombongan itu akan merendahkan lagi imej Najib dan merumitkan lagi keadaan.

Tak taulah kita, dan kepada yang tahu jawablah.

Susah nanti Perdana Menteri kita. Bukan sekadar soal ibadah haji tidak tamat, isu Datin Seri Rosmah Mansor 'tidak bertudung' pun menjadi isu pilihan raya kelak!

Sunday, November 13, 2011

MB KHALWAT - TUNGGU LANJUTAN PENDEDAHAN MSO, PENGARANG

Kita akan buat laporan polis dalam sehari dua ini dan akan bincang dengan peguam untuk tindakan undang-undang. Macam-macam dakwaan mereka, sehingga ada yang kata saya kena tangkap basah dengan pelajar UiTM, pramugari, ada kata budak Besut, Pasir Panjang dan macam-macam lagi.

Ini tidak berasas. Walaupun saya tahu ini adalah serangan politik tetapi demi maruah anak saya dan keluarga, saya akan mengambil tindakan. Kita orang politik, tahan tekanan tapi anak-anak saya dan keluarga bukan orang politik. Kesianlah mereka.

Demikian tegas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengenai dakwaan blog bahawa beliau ditangkap khalwat dan berkahwin Rabu lalu.

Ironinya, sehingga hari ini, kita masih menunggu pendedahan lanjut oleh blogger, Mohd Sayuti Omar (MSO) mengenai posting ‘MB Dia Isteri Ditangkap Khalwat’ pada blognya.

Ini kerana pada postingnya bertarikh 25 Oktober lalu, MSO mengatakan seorang Pengarang portal akan mendedahkan lebih lanjut kes ini.

Menurut Sayuti, “Baru sekejap tadi seorang pengarang sebuah portal berita menghubungi saya untuk meminta pengesahan berhubung seorang Menteri Besar yang dikatakan telah berkahwin seorang lagi. Kejadian itu berlaku pada bulan Ramadhan lalu. MB itu katanya ditangkap berkhalwat dengan perempuan yang kini sudah menjadi isterinya itu.

Isteri yang baru dikahwinkan itu merupakan yang ketiga. MB ini mencatat sejarah sebagai satu-satunya MB yang mempunyai lebih dari dua isteri dalam satu masa.

Sengaja saya memang tidak memberikan reaksi pantas kepada posting MSO ini untuk menunggu MSO dan Pengarang berkenaan membuat pendedahan lebih lanjut seperti dijanjikan.

Namun hingga ke saat ini MSO membisu dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said naik angin dan menyatakan akan menyaman blogger yang mendakwa beliau berkhalwat dan bernikah satu lagi.

Mengejutkan kerana beberapa blog yang sebelum ini turut memetik apa yang disiarkan oleh MSO tiba-tiba memadamkan terus dan ada juga blog yang terus memohon maaf kepada Ahmad Said.

Amat jelas takut juga mereka ini dengar Menteri Besar Terengganu mahu saman. Ada juga yang nakal membuat komen di blog teganuku menyebut : “Ambo raso pelik lah !!! biasanya blog MSO Melayu dan rangkaian blog Hambali yang kuat 'back up' Mat Said. Apa dah jadi dengan 2 orang ini ? Dah tak sebulu lagi ke dengan Mat Said???

Pada Rabu, Ahmad Said berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua blogger yang didakwa memfitnahnya, setelah kecewa dengan dakwaan tangkapan khalwat melibatkan dirinya.

Beberapa blog turut merangkaikan cerita ini (lihat di sini) tetapi Ahmad Said memilih hanya dua blog sejauh ini.

Menurutnya, beliau terpaksa bertindak menyaman pemilik blog http://guanopulok.blogspot.com dan http://msomelayu.blogspot.com kerana terlalu sedih dan kecewa dengan fitnah melampau yang ditujukan kepadanya dengan membabi buta.

Kedua-dua blog ini mengatakan Ahmad Said ditangkap di hotel.

Bukan rahsia lagi, Menteri Besar Terengganu sering bermalam di Hotel Hilton Sentral jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur.

Dan kerana itu ada tuduhan mengatakan beliau ditangkap khalwat di hotel berkenaan.

Persoalannya, apakah mungkin ada pihak boleh bolos ke bilik Menteri Besar di hotel berkenaan sedangkan untuk menggunakan lif pun terpaksa pakai kad khas.

Apakah berani staf hotel berkenaan membenarkan sesiapa sahaja bolos ke bilik tetamu begitu sahaja? Lagipun bukan mudah untuk ke bilik penginapan Menteri besar berkenaan kerana beliau adalah ‘regular customer’ di hotel berkenaan yang pastinya mendapat ‘perlindungan yang cukup’.

Jika benar boleh bolos, siapakah yang menangkap beliau? Ada repot polis atau Jabatan Agama Islam Wilayah tentang kejadian itu?

Kata Ahmad Said, dia mengetahui tentang tuduhan itu sejak tiga bulan yang lalu namun bertindak mendiamkan diri kerana hanya menyifatkannya sebagai satu cubaan serangan politik kepadanya.

“Tetapi saya tidak boleh bertahan apabila anak gadis saya yang balik bercuti menangis kerana diejek rakan-rakannya mengenai itu.

“Sebagai bapa, saya perlu lakukan sesuatu kerana ia sudah melibatkan orang-orang yang rapat dengan saya. Setelah berfikir panjang, saya rasakan saya perlu ambil tindakan dan akan bertindak menyaman blog-blog yang terlibat,” katanya.

Menteri Besar itu sudah mengenal pasti pemilik blog ‘MSO’ dan kini sedang mengenal pasti pemilik blog ‘Ganopulok’ kerana siasatan pihaknya mendapati, alamatnya telah dipindahkan ke California, Amerika Syarikat.

Kerana itu jika MSO ada bukti atau Pengarang yang disebutnya ada bukti, seperti ditegaskan Ahmad Said, mereka yang berkenaan harus tampil dan bukannya bersembunyi.

Mungkin MSO dan Pengarang berkenaan mempunyai jawapan?

Saturday, November 12, 2011

APA SPRM BUAT DI PETRONAS KALAU TIDAK SIASAT?

Lawatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Petroliam Nasional Berhad (Petronas) adalah sebahagian daripada prosedur operasi standardnya selepas menerima aduan.

Demikian menurut kenyataan Petronas. Maknanya, SPRM datang ke Petronas walaupun bukan secara serbuan.

Pegawai SPRM berada di ibu pejabat Petronas baru-baru ini untuk memudahkan prosedur laporan maklumat pertamanya, yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard agensi itu berikutan sebarang aduan mengenai dakwaan salah laku.

Kenyataan Petronas menjelaskan, tiada serbuan dilakukan terhadap syarikat minyak dan gas negara itu dan tiada fail atau dokumen diambil oleh SPRM.

Sebelum itu, portal berita melaporkan bahawa SPRM menyerbu Petronas sejak minggu lalu selepas menerima maklumat berhubung dakwaan rasuah oleh juru perunding projek yang bekerja dalam usaha eksplorasi dan pengeluaran di perairan Malaysia.

"Petronas ingin mengulangi komitmen penuhnya dan berpegang kepada proses dan prosedur yang diiktiraf antarabangsa dalam proses tender dan kerja dan mempunyai dasar tidak bertolak ansur terhadap amalan rasuah," kata kenyataan itu.

Petronas ditubuhkan pada Ogos 1974 dan disenaraikan sebagai antara 500 perbadanan terbesar oleh Fortune Global. Ia menduduki tangga ke-107 tahun lalu selepas berada dalam senarai 100 teratas pada 2008 dan 2009.

Petronas mempunyai lebih 40,000 pekerja tetap di Malaysia dan 35 negara yang mengendalikan operasi.

Rakan sekerja ketika di New Straits Times pada 1990-an, Jahabar Sadiq melaporkan melalui The Malaysian Insider semalam bahawa SPRM menyerbu bangunan syarikat minyak nasional Petronas baru-baru ini berhubung dakwaan amalan rasuah di kalangan konsultan projek terlibat dalam kerja-kerja meneroka dan mengeluar minyak di perairan Malaysia,.

Memetik sumber, The Malaysian Insider difahamkan fail-fail berkaitan turut diambil oleh pegawai-pegawai SPRM dan Datuk Seri Najib Razak telah pun dimaklumkan sebelum beliau pergi ke Arab Saudi untuk menunaikan haji. Perdana Menteri kembali ke tanah air kelmarin.

"Pegawai-pegawai penyiasat telah mengunjungi pejabat itu ekoran banyak aduan mahu mendapatkan ganjaran sebagai pulangan kepada syor mendapatkan kontrak," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider tetapi tidak mahu identitinya didedahkan.

Satu lagi sumber mengesahkan bahawa siasatan SPRM telah dimaklumkan kepada Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. SPRM tidak mengesahkan tindakan mereka kerana bimbang akan menjejaskan siasatan.

Sumber-sumber industri berkata rasuah semakin kerap sejak saban tahun memandangkan Petronas mengurniakan siri kontrak melibatkan pelbagai operasi termasuk usaha mendapatkan lapangan minyak yang baru.

Bagaimanapun mereka tidak mengatakan bahagian di Petronas yang menjadi sasaran siasatan SPRM.

"Ia bukan sesuatu yang luar biasa. Setiap orang tahu permainan itu," katanya.

Satu lagi sumber memberitahu bahawa pengurusan Petronas telah mengadakan pelbagai mesyuarat untuk membincangkan dakwaan berkenaan amalan rasuah di kalangan pekerjanya, yang merupakan antara mereka yang mendapat gaji paling tinggi di Malaysia termasuk pinjaman perumahan menarik, manfaat perubatan dan insentif-insentif lain.

"Mereka pernah menjadi pekerja terbaik dan jujur tetapi terdapat terlalu banyak kontrak sejak kebelakangan ini dan ada yang mengambil langkah mudah," katanya lagi sambil menambah, ada pegawai Petronas yang hidup di luar kemampuan mereka.

"Terlalu banyak gosip dan cakap-cakap belakang. Ada kontraktor yang mengadu mereka perlu bayar untuk ditimbangkan bagi mendapat projek. Jadi tidak mengejutkan SPRM sudah berada di sana," katanya lagi.