Wednesday, December 29, 2010

'BIG BROTHER' TIDAK LAGI BOLEH BULI MALAYSIA SESUKA HATI!

Pada ketika pemain Malaysia berlatih, ada sebilangan rakyat Indonesia bawa banner tunjuk lagak. Tiada semangat kesukanan langsung. Beginilah apabila rakyat sesebuah negara sudah tidak rasional dengan meluahkan rasa tidak puas hati di tempat yang salah.

Macam-macam dengan Indonesia ni. Daripada cerita masalah pembantu rumah, isu sempadan, perairan, nelayan, bantuan tsunami dan gempa bumi, hinggalah kepada perlawanan bolasepak.

Ada sahaja yang rakyatnya tidak puas hati mengenai Malaysia. Yang hairannya kebanyakan berlaku sekitar Pulau Jawa.

Ternyata sejak sebelum perlawanan di Bukit Jalil, Ahad lalu pun, sebilangan rakyat Indonesia dan medianya sudah berusaha ‘memperkecilkan’ Malaysia dengan pelbagai cara.

Persoalannya apakah ia takut, pengecut atau terlalu yakin boleh menang selepas membelasah Malaysia 5-1 pada perlawanan pusingan awal di Jakarta sebelum ini?

Yang nyata, pasukan Indonesia adalah jaguh kampung kerana kemenangan dan kelayakannya memasuki final, semuanya ditempah di gelanggang sendiri. Lawan Filipina sebanyak dua kali pada separuh akhir pun bermain di gelanggang sendiri.

Sedangkan Malaysia bermain di Indonesia dan Vietnam untuk mara ke akhir. Siapa lebih gah sebenarnya?

Kerana itu saya memuji Irfan Bachdim (gambar kanan), penyerang pasukan bola sepak nasional Indonesia, apabila meminta rakan-rakan pasukannya agar tidak memberi alasan-alasan remeh setelah tewas kepada Malaysia.

Bagi Irfan, 22, apa yang penting pada saat ini ialah pasukan Garuda itu harus bangkit serta menyelesaikan misi mereka untuk menebus kekalahan pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Kuala Lumpur minggu lalu.

"Tidak boleh lagi tidur selepas kekalahan ini. Kami pasti melakukannya di Jakarta. Kami harus mampu melakukannya lebih baik lagi berbanding perlawanan yang lalu," kata Irfan dalam akaun Twitter rasminya, kelmarin.

Pasukan bola sepak Indonesia harus menang dengan jaringan empat gol jika ingin mengembalikan kegemilangan pasukan itu dan sekali gus menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 musim ini.

Begitu juga dengan Bambang Pamungkas yang mahukan semangat team pasukan Garuda dikembalikan untuk meraih kemenangan. Biarpun tewas kepada Malaysia pada final pertama, Bambang yakin dapat menebus kekecewaan itu malam ini jam 7.30 waktu Malaysia di Stadium Utama Bung Karno di Jakarta.


Melihat kepada gelagat penyokong dan sebilangan rakyat Indonesia, ternyata mereka tidak dapat menerima kenyataan bahawa pasukan yang datangnya dari negara jiran yang ‘tenggelam’ beberapa ketika sebelum ini bias bangkit mendadak.

Perangai ‘big brother’ yang mahu membuli adiknya tetap membara dan ini sesuatu yang tidak perlu diambil pusing oleh pasukan Malaysia.

Bukan rakyatnya sahaja bersikap begitu. Sejarah membuktikan Presiden Sukarno memandang rendah kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 yang dianggapnya ‘pemberian Britidh’ bukan melalui tumpah darah.

Tetapi Sukarno mengamuk dan melancarkan konfrontasi pada 1963 apabila Malaysia dibentuk oleh Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan ternyata ‘adiknya’ lebih licit kerana berjaya mempengaruhi antarabangsa untuk mengiktiraf gabungan Northern Borneo, Sarawak dan Tanah Melayu menjadi Malaysia.

Beberapa ketika kemudian ketika Presiden Suharto menjadi Presiden sekali lagi Malaysia dilihat negara yang tidak sehebat mana.

Namun apabila Malaysia diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan menjadi salah satu kuasa ekonomi rantau ini sebagai Asian Tigers kerana pencapaian pertumbuhan ekonomi kita melebihi 10 peratus selama lebih sedekad, Indonesia mula gentar dan sesetengah pihak mula melancarkan ‘perang ekonomi’ terhadap Malaysia.

Kegawatan ekonomi 1998 dan kejatuhan Suharto tidak menghentikan ‘dengki’ Indonesia kerana Malaysia mampu menangani isu kegawatan ekonomi dengan dasar kita yang melakukan tambatan ringgit dan pengurusan ekonomi berhemah. Kita tidak meminjam daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) sedangkan Indonesia terperangkap dengan hutang dan permainan George Soros di Indonesia.

Kegagalan Presiden Habibe, Abdul Rahman Wahid (Gus Dur) dan Megawati menangani isu ekonomi menyebabkan Indonesia porak peranda dan satu petanda buruk dalam politik Indonesia ialah kehilangan wilayah Timur Timur.

Lebih malang, dengan kuasa Allah, Indonesia terus ditimpa mala petaka semula jadi seperti banjir besar, tsunami dan letupan gunung berapi yang menyebabkan rakyatnya semakin tertekan.

Rasa tidak puas hati terhadap pemerintah tidak dapat dilepaskan dengan cara yang bebas dan mulalah sesetengah rakyat melihat faktor luaran sebagai escapism.

Beikutan adanya kes terpencil mengenai pembantu rumah dan kes-kes lain, Malaysia dijadikan sasaran sedangkan ada lebih dua juta rakyat Indonesia sedang berjuang untuk ‘sesuap nasi’ di bumi Malaysia sambil sebahagianya menghantar pulang beratus juta ringgit ke Indonesia.

Pada ketika yang sama Malaysia tetap membantu rakyat Indonesia yang ditimpa mala petaka tetapi ada pula sebahagiannya bagaikan ‘memberi bunga kepada beruk’ dan ‘melepaskan anjing tersepit’.

Dan rentetan peristiwa ini hinggalah kepada perlawanan bolasepak apabila ‘abang’ tidak dapat menerima ‘kemenangan adik’.

Ternyata kekalahan pasukan Indonesia kepada skuad negara memberi kesan mendalam kepada peminat sukan republik itu yang seperti sukar menerima kekalahan tersebut lantas meletakkan pelbagai alasan bagi menutup kekecewaan. Menurut laporan Utusan Malaysia, laman sosial Twitter dan YouTube menjadi sasaran penyokong fanatik Indonesia untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka apabila menyalahkan pancaran laser sebagai punca kekalahan pasukan ‘Merah Putih’ itu.

Selain isu laser, terdapat juga di kalangan media negara itu yang begitu sensitif apabila media Malaysia menggunakan tajuk Garuda Patah Sayap sebagai gambaran kepada kekalahan skuad Indonesia. Bagi rakyat negara tetangga itu, Garuda merupakan simbol negara yang harus dihormati dan tidak boleh diguna pakai secara sewenang-wenangnya. Namun, di sebalik laporan media dan reaksi penyokong yang penuh emosional itu, terdapat juga siaran berita yang bernada positif buat pasukan bimbingan K. Rajagobal itu.

Kompas.com umpamanya menyiarkan berita bertajuk Indonesia Perlu Belajar yang isi kandungannya tidak menyalahkan faktor-faktor lain atas kekalahan itu.

Komen-komen yang diberikan juga meminta penyokong fanatik Indonesia berhenti menjadikan pancaran laser sebagai ‘kambing hitam’ sebaliknya mengakui barisan pertahanan Indonesia kucar-kacir setiap kali diasak seawal minit pertama permainan. Malah, melalui media sama, jurulatih Indonesia, Alfred Riedl mengakui bahawa kekalahan pasukannya bukan disebabkan pancaran laser.

Amat jelas, isu pancaran laser yang digembar-gemburkan oleh pemain, media dan penyokong Indonesia sebenarnya dimulakan oleh mereka sendiri pada pertemuan sulung antara kedua-dua pasukan di Stadium Gelora Bung Karno, 1 Disember lalu.

Insiden itu disahkan sendiri oleh penjaga gol negara, Sharbinee Allawee yang turun dalam perlawanan tersebut. Sharbinee berkata, terdapat pancaran laser dihalakan ke arahnya ketika gol kelima Indonesia yang dijaringkan pada minit terakhir perlawanan.

''Bagaimanapun, pancaran laser itu sebenarnya tidak menjadi masalah besar kerana ia sama sekali tidak mengganggu permainan selagi mata saya tidak memandang tepat ke arah pancaran laser berkenaan.

“Saya sendiri tidak ambil kisah dengan penggunaan laser itu kerana ia bukan punca utama kepada kekalahan kami. "Selepas tewas 1-5 kepada Indonesia pada aksi peringkat kumpulan, kami menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan tidak pula mencari sebarang alasan lain sebagai punca kami tewas," kata Sharbinee.

Sebaliknya menurut media Indonesia, gangguan laser yang dihalakan ke arah penjaga gol Garuda, Markus Harison sebagai punca kepada kegagalannya menyelamatkan tiga gol yang bolos pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.

Lebih memalukan Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nurdin Halid, seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan kekalahannya apabila mengecam insiden itu dan berjanji untuk mengemukakan laporan kepada AFF berhubung isu tersebut.

Inilah yang saya maksudkan dengan sikap dan perangai orang Indonesia yang tidak boleh menerima kenyataan bahawa adik tidak akan selama-lamanya ‘kecil dan muda’. Hinggakan ada yang mengatakan pasukan Malaysia gunakan bomoh Thailandlah, Chinalah dan India pun ada jugak!

Sedarlah apabila 'si adik kecil' sudah meningkat dewasa, ia mempunyai arah dan ketentuannya sendiri dan tidak akan lagi tunduk kepada perbuatan buli dan kongkongan abangnya.

Pemimpin dan sebilangan rakyat Indonesia perlu sedar bahawa dalam apa juga bidang – politik antarabangsa, ekonomi atau juga sukan – persaingan adalah untuk ke arah pencapaian yang lebih sihat dan jika kedua-duanya bekerjasama, kejayaan akan lebih mudah dicapai.

Yang penting bukan melayani atau memenuhi tuntutan sebahagian kecil rakyat yang memang suka mencari pasal tetapi demi kebahagian dan kemakmuran ramai dan kestabilan rantau Asia Tenggara yang berkekalan.

SIAPA PULA YANG FITNAHKAN NIK AZIZ MATI!

"Saya tidak akan ampun dan akan menanggung dosa di akhirat kelak selagi dia tidak minta maaf dengan saya,” kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu marah betul. Siapa pula yang menyebarkan berita kononnya beliau meninggal dunia?

Berita mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz, 79, heboh diperkatakan malah dikatakan telah meninggal dunia malam tadi.

Segala-galanya mungkin bermula daripada berita Utusan Malaysia bertajuk “Nik Abdul Aziz Nik Mat antara tiga terbunuh dalam nahas jalan raya”.

Menurut berita itu, “seorang pekerja kilang bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat serta kakak dan anak saudaranya terbunuh selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori penghantaran cepat di Kilometer 15, Jalan Bentong-Raub, dekat Lurah Bilut, semalam. Nik Abdul Aziz, 27, dari Bandar Baru Bangi, Selangor; kakaknya, Nik Hasmah, 29, dan anak Nik Hasmah, Mohd. Adib Daniel Amizan, lima tahun, meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas pada 2.20 pagi tadi.”

Lihat laporan Utusan Online di bawah:

Beberapa blog ada mengulas mengenai ‘Nik Aziz mati” tetapi tidak pula mengatakan atau mengesahkan Musyridul Am PAS itu mati.

Pisau. Net menyebut: “Menurut sumber, berita ini sudah tersebardan ramai penyokong PAS berguling dan menghantuk kepala meratapi kematian Nik Aziz Nik Mat,namun setelah menyedari yang mati adalah orang lain,mereka kembali bersemangat untuk memaki hamun kepada yang menyampaikan berita ini. Pisau sendiri terkejut ,kerana pada mula nya menyangkakan Mursyid maksum PAS ini sudah meninggal,tetapi Allah masih panjangkan umurnya agar beliau lebih banyak berkesempatan bertaubat dan bermuhasabah tentang dirinya yang terlalu banyak membuat kesilapan.

Blog The Sense, Credibility and Accountability pula mengulas: “Memang patutlah Pok Nik menuntut perMOHONan MAAF daripada pihak yang diDAKWAnya memFITNAH kononnya dia telah meninggal dunia.. HAIRAN jugaklah - tak keluar pun dalam berita BERNAMA, RTM, TV3, Utusan, Metro, Berita Harian, HARAKAH atau Malaysiakini, TIBA-TIBA aje Pok Nik mengatakan ada pihak yang menyebarkan BERITA fitnah sedemikian RUPA terhadapnya.. Siapalah punya KERJA agaknya ye? Gembira sangat ke PIHAK tersebut kalau Pok Nik sudah TIADA? Sedangkan semua TAHU yang HIDUP pasti akan MATI, yang PATAH, pasti akan TUMBUH dan yang HILANG, pasti akan berGANTI.. Itu sudah LUMRAH.. Kalau diTAKDIRkan Pok Nik sudah TIADA pun, pasti akan ada pengGANTInya yang mungkin 2X5 sepertinya? Itukan semuanya ketentuan Ilahi?”

Blog hhalem pula berkata: “Sebenarnya orang yang meninggal kemalangan jalanraya serupa namanya dengan Tok Guru yang pertama kali dilaporkan oleh bloger yang memetik dari Bernama...” Saya berdoa Tok Guru PANJANG UMUR dan mudahan MELAYU BERSATU SEMULA

The Flying Kick pula berkata “Sememangnya berita kematian NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT bukannya berita baru. Ini berita tahun 2009 atau lebih tepat lagi pada 26 Ogos 2009. NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 15, Jalan Bentong-Raub, dekat Lurah Bilut bersama-sama kakak dan anak saudaranya selepas kereta yang mereka naiki, bertembung dengan sebuah lori penghantaran cepat.”

Amat jelas, tiada siapa pun yang mengatakan Nik Aziz mati hanya Menteri Besar Kelantan itu sahaja yang terasa entah apa-apa.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat mengenai bekalan air di kediaman rasminya di JKR 10, di Kota Bharu semalam, beliau mahu mereka yang menyebarkan berita memfitnah kononnya beliau meninggal dunia agar memohon maaf dengannya.

Nik Aziz minggu lalu menerima rawatan di Wad Eksekutif Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana sakit pinggang.

Ketika ditanya sama ada beliau masih mampu mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz berkata, beliau masih mampu berbuat demikian kerana tugas mentadbir negeri bukan dengan tenaga zahir tetapi dengan otak dan mengaku otaknya masih berfungsi dengan baik.

Ada juga blog mengatakan Nik Aziz ini jenis takut mati kerana itu marah apabila ada orang mengatakan dia sudah mati.

Wallahualam - entah, siapa yang benar!

Monday, December 27, 2010

NAJIB UMUM STRUKTUR BARU UMNO MALAYSIA 3 PETANG INI?

Najib ketika mengumumkan untuk julung-julung kalinya kesediaan menyahut cabaran merebut jawatan Presiden UMNO di Kuala Terengganu hampir dua tahun lalu.

Pada ketika rakyat Malaysia sedang gembira dengan keputusan perlawanan bolasepak Malaysia-Indonesia yang berpihak kepada Malaysia semalam dan ramai memperkatakan pilihan raya kecil Tenang di Johor yang akan diadakan tidak lama lagi, tiga jam lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dijangka akan mengumumkan peralihan kepimpinan UMNO beberapa negeri.

Wakil media dijemput ke Tingkat 38, PWTC untuk satu sidang media khas oleh Perdana Menteri jam 3 petang nanti dan ramai mengatakan ia sebagai pengumuman mengenai struktur baru UMNO Malaysia seperti dijanjikan oleh Najib ketika Perhimpunan Agung UMNO baru lalu.

Paling mendapat tempat dalam perbincangan ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan Perlis.

Jika Terengganu dikatakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mungkin dilantik semula atau dikembalikan ke jawatan lamanya, timbul spekulasi kononnya Menteri Besar Perlis akan menerima nasib seperti Ahmad Said sebelum ini.

Pada 22 Disember lalu (Rabu), Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu mengakui telah banyak kali ditanya mengenai spekulasi mengatakan beliau bakal digantikan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

“Sehingga hari ini belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pertukaran tersebut yang kini menjadi buah mulut rakyat Perlis. Saya tidak tahu tentang adanya pertukaran pemimpin yang dikatakan akan dimaklumkan esok namun khabar angin tentangnya telah acap kali saya terima," katanya.

Md. Isa dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri 24 April tahun lalu menggantikan Datuk Seri Md. Isa turut tidak mengetahui desas-desus mengenai tindakan sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini yang ke Putrajaya sehari sebelum itu untuk menemui Perdana Menteri.

Di Terengganu sejak dua bulan lalu, pecacai politik menyebarkan berita kononnya Ahmad Said akan kekal sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri kerana Datuk Seri Hishamuddin Hussein akan kekal kerana desakan orang UMNO Terengganu sendiri yang mahukan dikekalkan sedemikian.

Malah ada mengatakan Hishamuddin tidak mahu lepaskan jawatan itu kerana melihat pentingnya beliau menerajui Terengganu selain kerana ‘kemelut’ belum selesai, juga untuk base politik Hishamuddin dalam persediaan untuk pemilihan parti akan datang.

Ada pecacai lain pula membawa berita, Najib yang terlalu sayangkan Datuk Seri Idris Jusoh akan tetap meletakkan beliau sebagai Timbalan Pengerusi sekalipun ‘terpaksa’ melantik Ahmad Said sebagai Pengerusi.

Manakala ada sebahagian lagi mengatakan ‘sayang kepada Idris’ akan ditunjukkan oleh UMNO Pusat dengan melantiknya sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Apa sahaja spekulasi, hanya Najib yang dapat menjawabnya.

Di Kedah pula, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir sudah menyatakan kesediaannya untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, dan dikatakan ramai pemimpin di negeri itu yang gundah-gulana.

Malahan awal-awal lagi, salah seorang pemimpin yang memegang jawatan di peringkat UMNO negeri menyatakan anak kepada bekas Perdana Menteri itu tidak layak menyandang jawatan tersebut. Di kalangan ketua-ketua bahagian pula berpendapat hanya kelompok mereka sahaja yang layak.

Inilah penyakit lama yang masih melumuri UMNO, ketika Barisan Nasional (BN) amat memerlukan satu pasukan yang mantap bagi merampas kembali Kedah daripada PAS.

Di Selangor sehingga ini belum ada calon khusus yang disebut-sebut tetapi antara yang dikatakan hampir pasti ialah Datuk Seri Noh Omar, walaupun nama bekas Ketua UMNO Sepang, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed turut diperkatakan.

Soal penting ialah Najib mahu melakukan transformasi dalam UMNO.

Terima sahaja dan berilah sokongan atau bantuan. Biar hilang jawatan jangan hilang kuasa UMNO di mana-mana negeri juga.

Semua pemimpin danahli UMNO merasakan peritnya bila hilang kuasa sama ada di Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Di Perak, Datuk Seri Dr Zamri Kadir turut memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi.
Banyak agenda Melayu dan Islam akan tergencat jika pemimpin UMNO terus bertelagah.

Bilakah masanya mereka akan sedar dan insaf selain berani mentransformasi diri untuk ‘rela menjadi pengikut’ selepas sekian lama menjadi pemimpin.

Mereka perlu sedar akan tiba orang lain, tidak kiralah sekiranya lebih muda, untuk menjadi pemimpin yang dipercayai.

Sebagai ahli UMNO yang setia berkhidmat, terimalah keputusan Presiden UMNO dan MKT untuk melicinkan perjalanan UMNO dan sama-sama memenangkan parti dalam pilihan raya.

Tidak ada gunanya menjadi pemimpin UMNO sedangkan kawasan atau negeri diperintah oleh orang lain dan kita berada di pihak lawan walau seketika atau sepanjang masa!

AGENDA MALAYSIAKINI TERHADAP UMNO TERSERLAH!


Kebencian atau dendam kesumat - juga mungkin agenda ‘jahat’ menyebabkan Malaysiakini menukar tajuk rencana Bernama menjadi sebegini “Umno: Hidup segan, mati tak mahu?”

Sedangkan, pada tajuk asal ia berbunyi ‘Umno Melangkah Ke 2011 Dengan Model Politik Baru’.

Amat jelas agenda Malaysia semakin terbongkar dan 'bangkai gagah tidak boleh ditutup lagi'. Tuduhan bahawa Malaysiakini memperjuangkan agenda pembangkang, khususnya Parti Keadilan Rakyat begitu terserlah.

Apapun, baca rencana mengenai UMNO ini untuk kita sama-sama menilai perjuangannya sama ada benar seperti tajuk yang dipaparkan oleh Malaysiakini.

Umno Melangkah Ke 2011 Dengan Model Politik Baru
Oleh Ahmad Shukran Shaharudin

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, Model Baru Politik (MBP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno baru-baru ini, tiba pada tepat pada masanya demi survival parti dan agenda perjuangannya.

Umno, katanya, perlu berubah supaya lebih terbuka dan inklusif, dan model baru politik ini menjadi wadah bagi perubahan yang diperlukan serta diperincikan supaya dapat diamal oleh semua anggota parti.

Model berkenaan yang membawa tema "Umno Dahulukan Rakyat" mengutamakan kepentingan rakyat dalam perjuangan Umno, sekali gus menolak 'lagu-lagu lama' seperti 'politik pembangunan' yang dilihat sudah kurang menarik kepada rakyat.

Langkah pertama sudahpun dilaksanakan iaitu meminda perlembagaan parti supaya tidak hanya sebahagian anggota yang berkuasa membuat pilihan kepimpinan parti, tetapi keanggotaan yang lebih besar boleh memilih pemimpin mereka.

Pindaan yang dibuat kini membolehkan lebih 400,000 anggota layak memilih Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden serta anggota Majlis Tertinggi berbanding hanya 2,500 anggota perwakilan ke Persidangan Agung Umno sebelum ini.

Najib pernah berkata Umno harus berubah mengikut peredaran masa dan zaman kerana masyarakat sekarang menolak parti yang sudah berjasa kepada mereka kerana mereka melihat parti berkenaan masih dengan keadaan lama, tidak dinamik dan kaku.

Untuk memastikan Umno 'tak lapuk dek panas dan tak lekang dek hujan', Najib yang serius mahu melakukan perubahan pada parti, juga menggariskan beberapa langkah menanganinya seperti yang dinyatakan dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2010 Oktober lalu.

Pemulihan itu harus melalui tiga fasa, iaitu memperakui kelemahan dan masalah, bermuhasabah dan mencari penawar mustajab, serta memulakan gerak kerja.

Tujuh perkara pula telah digariskannya, iaitu meletakkan parti lebih tinggi daripada peribadi, memperkuatkan pasukan bukannya kumpulan, memenangi hati rakyat, menjuarai media baru, sasar pengundi muda, sifar masalah dalaman dan mendahulukan rakyat.

Perubahan-perubahan yang dilakukan bukan setakat menjadikan anggota Umno sebagai sasaran malah rakyat secara keseluruhannya, selaras dengan kedudukan Umno sebagai parti tunjang pemerintahan negara.

Apapun perubahan atau model yang mahu diterapkan, ia tidak akan mengubah matlamat perjuangan Umno yang asal.

Namun Najib sedar, transformasi manusia bukannya semudah transformasi fizikal kerana ia mencabar, memakan masa selain memerlukan respon dan penghayatan yang secukupnya.

"Tapi (kita) jangan kecewa sebab kita berurusan dengan manusia, dan manusia, tentu sekali amat mencabar untuk melakukan perubahan besar dalam masa yang singkat," katanya.

Selain MBP, Umno juga mencatat detik manis apabila berjaya merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas pada pilihan raya kecil pada 4 Nov lepas. Calon Barisan Nasional dari Umno, Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi, mengalahkan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed.

Walaupun pelbagai pihak menyatakan bahawa kemenangan itu memberi petanda sokongan sudah kembali kepada Umno/Barisan Nasional, dua tokoh politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad, mempunyai pandangan berbeza terhadap keputusan berkenaan.

Rumusannya, kemungkinan strategi yang digunakan oleh Tengku Razaleigh selaku pengarah jentera pilihan raya kecil itu, bersesuaian dengan kehendak di kawasan itu dan keputusan mungkin berbeza sekiranya pilihan raya kecil itu diadakan di tempat lain.

Apapun, Umno mesti mengambil perhatian bahawa ia tidak boleh berasa selesa dengan kemenangan itu dan harus sentiasa bekerja keras supaya perpaduan di peringkat akar umbi kekal mantap seperti yang diingatkan berkali-kali oleh presiden parti terutamanya untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Ada pemerhati politik yang mengatakan Najib akan memberi perhatian kepada kerajaan pada tahun pertama pimpinannya dan hanya memberi perhatian kepada politik parti pada tahun kedua di tampuk pemerintahan dan ini terbukti benar.

Umno juga mengorak langkah memberikan nafas baru dengan membawa masuk 40 ulama muda, termasuk seorang anak bekas mufti negeri menyertainya, dengan objektif menyebarluaskan dakwah Islam dalam parti dan negara.

Terdapat juga perubahan besar yang akan dilakukan terhadap kepimpinan Umno negeri untuk memperkuat dan memantapkan parti.

Apa yang dijangkakan perubahan itu membabitkan pengerusi perhubungan negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan selain Terengganu yang kini diketuai sama ada oleh presiden, timbalan presiden dan tiga orang naib presiden.

Semua ini tidak lain tidak bukan bagi mempertahankan Putrajaya daripada dirampas pembangkang yang dianggap sebagai 'saudagar mimpi'.

"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan," kata Najib kepada perwakilan Umno.

Mesej terpentingnya ialah orang Melayu perlu memahami risiko iaitu berhadapan dengan kemungkinan kehilangan kuasa jika kelemahan tidak diakui, penawar politik tidak dicari dan usaha ke arah mempertahankan kuasa, gagal.

Dalam perjuangan juga Umno perlu serius dengan isu pengundi, kerana sebagai contoh, jumlah pengundi yang berjaya didaftarkan melalui jentera Umno di Johor, misalnya, hanya 13,125 orang.

Dicampur jumlah pengundi yang didaftarkan oleh parti komponen BN lain, bilangan pengundi baru yang didaftarkan oleh BN di Johor hanya 14,768 orang sedangkan pembangkang mendaftarkan 18,129 orang.

Malaysia sudah melepasi separuh usia Parlimen selepas pilihan raya umum 2008, jadi masa semakin suntuk dan oleh yang demikian Umno dan BN perlu bersedia dan tidak lagi boleh bertangguh-tangguh lagi dalam memperkuatkan 'barisan'.

Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melawat negeri-negeri untuk berjumpa dengan ahli-ahli Umno dan rakyat.

Apabila perkara ini diutarakan, pemerhati dan penganalisis politik dan juga media tertanya-tanya adakah pilihan raya umum semakin dekat, sedangkan tempoh mandat BN sekarang hanya tamat pada 2013.

Tambahan pula pemilihan Umno bagi peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi yang dijadual diadakan pada tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan bagi membolehkan Umno memberi tumpuan kepada proses pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan MBP.

Apapun, sama ada pilihan raya diadakan dalam masa terdekat atau tidak, Umno tidak perlu menunggu 2011 untuk memantapkan parti dengan senjata baru diperkenalkan oleh presidennya -- MBP.